Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kualiti Ziana ZainTANGGAL 2 Mei lalu, genap 44 tahun usia penyanyi, pelakon dan model terkenal Ziana Zain. Bagi meraikan ulang tahun kelahiran Ziana, satu sambutan ringkas telah diadakan bersama peminatnya di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Bertemu dengan ibu kepada empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 12, Muhammad Ammar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Ariel Armin dan Siti Nour Kaseh Armin Zaharin, 1 tahun 5 bulan, yang kekal jelita itu, ternyata Ziana seorang yang cukup merendah diri berbeza dengan nama besarnya, malah dia cukup suka tertawa. Bercerita perihal kerjayanya, Ziana antara anak seni yang cukup sukses dan kekal bertahan selepas 21 tahun aktif dalam dunia seni sejak muncul dengan album pertama berjudul Madah Berhelah pada tahun 1991. Namanya terus harum, malah menjadi semakin mahal dan terus dipuja sehingga sekarang. Rahsianya, mungkin kerana vokalnya yang berbeza dan tidak mempunyai klon yang serupa dengan dirinya. Tertawa dengan pujian yang diberikan, Ziana mengatakan suara yang dimiliki adalah kurniaan Allah. Vokal setiap penyanyi berbeza-beza dan dia bersyukur kerana vokal serta lagunya diterima peminat. "Saya sangat bertuah dan bersyukur kerana disayangi peminat sejak muncul dengan album pertama sampai saya sudah ada empat orang anak," tuturnya. Ditanya bagaimana Ziana menjaga vokalnya, tegasnya, dia mengelak untuk meminum air sejuk dan minuman bergas. "Pernah ketika mula-mula jadi penyanyi, saya langsung tidak sentuh air sejuk dan bergas kerana bimbang boleh mengganggu kualiti vokal. "Namun, sekarang suara saya sudah lasak, sesekali minum air sejuk dan bergas apa salahnya. Rugi pula kalau tidak merasa minum air sejuk," katanya yang telah muncul dengan tujuh buah album studio. Bukan setakat vokal, jelas penyanyi yang pernah bergelar gadis kilang serta pramugari itu lagi, untuk mengekalkan reputasi dan juga kejayaan, dia menjadi dirinya sendiri setiap masa. "Saya menjadi diri saya yang sebenar iaitu Siti Roziana pada setiap masa, tidak kiralah di rumah, di pentas persembahan dan juga ketika bersama peminat. "Apabila kita menjadi diri sendiri dan merasakan pekerjaan saya iaitu menyanyi, berlakon dan model sebagai satu tanggungjawab, saya akan melakukan sebaik mungkin dalam semua perkara. "Tidak perlu meniru atau menjadi orang lain semata-mata mahu dihargai. Paling penting, saya harus jujur dengan orang yang menyayangi saya, iaitu jujur terhadap keluarga dan peminat," luahnya lagi. Selepas 10 atau 15 tahun akan datang, andai kata Ziana tidak lagi bergerak aktif di pentas nyanyian, beritahunya, dia mahu meninggalkan nama, imej yang bersih serta lagu malar segar buat peminat. "Saya mahu lagu-lagu saya menjadi motivasi buat orang yang mendengarnya dan juga meninggalkan imej serta semua perkara terbaik yang peminat boleh ingati apabila saya sudah tidak bergelar anak seni lagi nanti," katanya dalam nada serius. ZIANA ZAIN tidak suka menghampakan harapan para peminatnya. Saban tahun, dia akan berkumpul dengan peminat yang sentiasa menyokong karier seninya. Sambutan ulang tahun Ziana memang cukup mesra bersama peminatnya. Hal itu dapat dilihat sewaktu sambutan ulang tahunnya, baru-baru ini. Dia memberitahu, hampir saban tahun jika dia tidak bercuti daripada mengandung atau berpantang, pasti ada sahaja sambutan ulang tahun dirancang oleh peminat setianya. "Jika tiada peminat, tiadalah Ziana Zain hari ini. Jadi, apa salahnya saya meluangkan masa sehari bersama peminat yang tidak putus-putus menyokong saya daripada dahulu sehingga ke hari ini. "Boleh dikatakan, saya rapat dengan peminat kerana bukan sekali dua perjumpaan seperti ini diadakan, tetapi sudah banyak kali. Memang saya seronok kerana rasa diri dihargai, begitu juga peminat yang merasakan diri mereka dihargai oleh saya," katanya yang berusaha untuk memenuhi undangan setiap peminatnya. Apabila disoal adakah dia turut meraikan ulang tahun bersama keluarga, Ziana tersenyum lebar. Katanya, sambutan hari ulang tahun bukan satu tradisi dalam keluarganya, tetapi memadai dengan ucapan tanda kasih sayang terutamanya daripada suami tercinta, Armin Zaharin. "Saya amat pentingkan kad ucapan. Tahun ini saya menerima tiga kad ucapan daripada suami. Bagi saya kad ucapan lebih romantis dan mempunyai nilai nostalgia yang tinggi," katanya yang mempunyai sekotak koleksi kad ucapan daripada suami. Ditanya antara perkataan daripada suami yang menyentuh hatinya, sambil menitiskan air mata, Ziana memberitahu: "Saya selalu menyakiti hati awak dan membuatkan awak menangis, tetapi awak tetap setia berada di sisi saya. Terima kasih kerana menyayangi saya sebagai suami serta menjadi isteri yang terbaik buat saya." Ulas Ziana, kad ucapan merupakan barang paling penting berbanding material lain. Ini kerana, dia berpendapat, kad ucapan mampu menghangatkan hubungan kerana ia boleh dibaca berulang kali untuk mengingati saat-saat indah. "Bukan semua orang boleh meluahkan ucapan sayang di bibir, sebaliknya mereka akan menjadi ikhlas apabila menulis di atas kad," katanya yang turut menerima kad hari lahir daripada dua anaknya iaitu Aiman dan Ammar. Awet muda Tampil dengan busana berwarna kuning rekaan Zery Zamry yang merupakan warna tema majlis sambutan hari ulang tahunnya, Ziana kelihatan cukup anggun dan lebih muda daripada usia sebenarnya. Apabila disoal apa rahsianya mengekalkan awet muda, Ziana memberitahu dia mengikut petua orang tua seperti berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap pagi dan melakukan senaman muka. "Orang tua kita banyak petua yang baik untuk diamalkan, selain itu saya juga mengambil vitamin untuk mengekalkan kecergasan tubuh. Saya juga banyak mengambil jus buah-buahan setiap hari," katanya yang memberitahu hati yang gembira merupakan kunci kepada awet muda. Tidak berselindung, Ziana juga mengakui mengambil kolagen dan juga vitamin C untuk mengekalkan kecantikan wajah serta tubuh. "Sebenarnya sudah lama saya ambil kolagen dan vitamin C dan nampak perubahan yang ketara. Bagaimanapun dengan lambakan produk kolagen serta vitamin C hari ini, saya risau ada pengguna yang tersalah pilih produk. ZIANA cukup terharu apabila diberi sejambak bunga oleh peminatnya pada sambutan ulang tahun ke-44nya baru-baru ini. "Sebelum saya mengambil sesuatu produk, saya akan kaji dan bertanyakan kemusykilan kepada doktor yang bertauliah. Bagi saya tidak ada salahnya mengambil kolagen dan vitamin C untuk kesihatan," ujarnya yang mengambil produk tersebut dalam bentuk serbuk. Disebabkan terlalu ramai peminat yang sering bertanya tentang rahsia kecantikannya, Ziana mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk kesihatan atas jenamanya sendiri, selewat-lewatnya pada hujung tahun ini. "Apabila ramai yang bertanya tentang rahsia kecantikan, saya terfikir untuk mengeluarkan produk kesihatan sendiri. Bagi saya, produk yang bakal dikeluarkan ini merupakan salah satu cara saya berkongsi rahsia dengan peminat. "Sebelum menjual produk kesihatan, saya telah mencubanya sendiri untuk tiga bulan dan melihat hasilnya yang memuaskan baru saya yakin untuk menjualnya. Harganya tidak mahal dan boleh dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat," ulas Ziana mengenai perancangan menjual produk jenama sendirinya itu. | ||
Posted: Ady tak mahu anak angkatOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
SUDAH enam tahun pelakon bertubuh sasa, Ady Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 31, mendirikan rumah tangga dengan Aida Yusof. Namun sehingga kini mereka belum dikurniakan rezeki anak selepas Aida mengalami keguguran sebanyak empat kali. Paling mengecewakan pasangan itu apabila isterinya disahkan mengandung kembar tiga tahun lepas, namun kandungannya tidak kuat dan dia sekali lagi mengalami keguguran. Ramai yang mencadangkan supaya Ady mengambil anak angkat. Mungkin berkat mengambil anak angkat, mereka akan dikurniakan anak kandung selepas itu tetapi Ady menolak. Kenapa Ady menolak untuk mengambil anak angkat? Ikuti perbualan Kosmo! bersama Ady ketika ditemui selepas persembahan Minggu Setiausaha bersama penyanyi Zahid AF dan Ady Putra yang berlangsung di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. Isteri anda sudah mengalami keguguran sebanyak empat kali. Apakah puncanya isteri anda mengalami keguguran? Doktor beritahu dia ada penyakit Endometriosis (tisu daripada selaput dalam rahim yang juga disebut endometrium telah tumbuh di luar rahim). Disebabkan itu, kandungannya sukar lekat dengan kuat. Adakah anda merujuk kepada pakar sakit puan mengenai masalah tersebut? Kami telah berjumpa dengan beberapa pakar sakit puan. Tetapi setakat ini, ia belum menunjukkan sebarang hasil. Malah, saya juga ada cuba perubatan daripada Arab. Bagaimana pula dengan perubatan tradisional? Saya sudah mencuba semuanya, termasuk berubat secara tradisional. Bukan itu sahaja, saya juga ada bawa dia berjumpa pakar bidan dan bawa dia pergi mengurut. Apabila kita bercakap soal anak, ia bukan semudah seperti kita nak buat sebuah kereta. Mungkin belum rezeki untuk kami dapat anak. Tidak teringin untuk mengambil anak angkat sahaja? Ramai yang mencadangkan supaya kami mengambil anak angkat. Kata mereka, mungkin berkat saya ambil anak angkat selepas itu saya dikurniakan anak sendiri. Tetapi saya tanya pada diri sendiri mampukah saya menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab sebab dia bukan darah daging sendiri. Saya juga takut tidak dapat berlaku adil pada anak angkat itu. Kalau boleh, saya mahu zuriat daripada darah daging sendiri kerana ia boleh menyambung keturunan. Apakah usaha lain yang dilakukan anda untuk memperoleh anak? Saya sudah buat solat hajat malah saya dan isteri juga sudah mengerjakan umrah. Kalau Tuhan masih belum mengurniakan anak kepada kita, maka kita tunggu sajalah. Mungkin Dia sudah rancang dan hanya Dia sahaja yang tahu. Maaf bertanya, disebabkan tiada rezeki anak, tidakkah berlaku sebarang perselisihan faham antara anda dan isteri? Alhamdulillah, tiada sebarang pertikaian antara saya dan isteri. Tapi, saya tak tahulah perasaan dia macam mana. Cuma, apa yang boleh dilakukan, saya sentiasa tunjukkan kasih sayang saya padanya. Saya tak dapat bayangkan macam mana kalau saya berada di tempat dia. Mungkin saya tak kuat dan tak dapat terima kenyataan. Dia memang seorang yang tabah. Menyaksikan anda menyanyi pada Minggu Setiausaha di Hotel Seri Pasific baru-baru ini, adakah anda ingin menjadi penyanyi selepas ini? Saya tak pernah terfikir untuk jadi penyanyi. Saya lebih suka berlakon. Lagu yang saya nyanyikan sewaktu Minggu Setiausaha di Seri Pasific itu sekadar lagu untuk runut bunyi filem Aku Terima Nikahnya dan drama Tentang Dia. Tidak teringin untuk hasilkan single atau album? Saya pernah buat album sekitar tahun 2007 yang mana ia memuatkan 10 buah lagu. Buat masa ini saya tak terfikir nak buat single atau album lagi. Cukuplah sekadar menyanyi untuk runut bunyi album atau filem. Beralih pada soalan lain, apakah projek terbaharu anda? Sebanyak empat buah filem saya akan keluar pada tahun ini, iaitu filem Langgar, Aku Terima Nikahnya, Hanyut dan KL Gangster 2. Saya juga telah dilantik sebagai ikon Rempit United dan juga ikon umrah haji untuk Triways Hujjaj International Services Sdn. Bhd. | ||
Posted: Dev Patel makin matang
DEV PATEL memang cukup sinonim dengan watak Jamal yang dibawanya dalam filem fenomena, Slumdog Millionaire. Kini, selepas empat tahun filem tersebut disiarkan, kerjaya seni Dev pantas berkembang. Bakatnya semakin diiktiraf penggiat seni Hollywood. Dev yang baru menyambut ulang tahun ke-22nya bercakap tentang kehidupan masa kini, cabaran berlakon di Hollywood serta kisah cinta dia dengan aktres, Freida Pinto. Bagaimana filem Slumdog Millionaire telah merubah kehidupan anda? Terlalu banyak yang telah berubah selepas filem itu berjaya. Saya telah menjadi orang yang lebih matang. Dari segi kerjaya, saya dikelilingi banyak artis berbakat besar yang telah membuat saya mahu bersaing dengan mereka. Sikap yakin diri saya juga bertambah. Adakah bakat anda sebagai aktor diperlekeh di Hollywood? Ya, saya tidak boleh menafikan hal itu. Kadang-kala saya hanya diberi watak sampingan yang jika dilihat, tidak perlu ada pun tak mengapa. Tapi secara peribadi, saya mengambil ia sebagai cabaran untuk diri sendiri supaya saya tidak cepat lupa dan berasa selesa. Anda masih berhubung dengan Danny Boyle? Ada perancangan untuk kembali bekerjasama? Ada juga kami berhubung. Setakat ini memang tidak ada tawaran, tapi jika dia menawarkan saya watak untuk filem arahannya, saya akan menerima tanpa berfikir. Anda dan Freida Pinto sangat sibuk. Bagaimana kalian meluangkan masa bersama? Buat masa sekarang, secara kebetulan, saya sedang menjalani rakaman sebuah program televisyen di Los Angeles dan dia juga berada di sini kerana terbabit dengan projek filemnya. Jadi kami banyak menghabiskan masa bersama. Jika kami sibuk dan tidak dapat bertemu, kami akan berhubung melalui telefon dan Skype. Adakah Bollywood akan melihat gandingan kalian lagi? Saya tak kisah, tapi secara jujur, tawaran yang datang masih belum menambat hati saya untuk bersetuju berlakon dalam naskhah tersebut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |