Adsense

Selasa, 8 Mei 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Almy Nadia Terkejut Fizz Fairuz Buka Mulut Soal Kahwin

Posted: 08 May 2012 06:11 PM PDT

Almy Nadia.
PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia benar-benar terkejut selepas mendengar laporan kekasihnya iaitu Fizz Fairuz berhasrat untuk mengahwininya pada tahun ini.
Almy, 25, berkata, dia tidak dapat memberi sebarang reaksi berhubung kenyataan itu kerana tidak mengetahui apa-apa tentang hasrat Fizz Fairuz.
"Maafkan saya kerana tidak dapat nak komen kerana langsung tidak mengetahui perkara itu dan rasanya tidak patut saya berkata apa-apa mengenai benda yang saya sendiri tidak pasti.
"Saya terkejut dan sejujurnya tidak tahu reaksi apa yang ingin diberi mengenai laporan berkenaan," ujarnya ketika dihubungi pada Selasa.
Fizz dalam satu laporan dalam portal Rotikaya.com pada Selasa memberitahu telah memasang niat untuk mengahwini Almy pada tahun ini dan perkara itu akan menjadi kenyataan selepas ibunya kembali mengerjakan umrah pada bulan Jun depan sebelum menetapkan tarikh pernikahan.
Dalam pada itu, Almy berkata, dia bukan cuba mengelak daripada pihak media mengenai perkara tersebut tetapi tidak pernah dimaklumkan oleh Fizz tentang hasrat hatinya itu.
Katanya buat sementara waktu ini biarlah Fizz yang membuat kenyataan kepada pihak media namun dia enggan membuat sebarang kenyataan balas kerana takut tersilap kata.
"Sebelum ini peminat dan media sering bertanya kepada saya mengenai hubungan kami sehingga pada satu tahap saya rasa malu.
Fizz Fairuz.
"Jadi sekarang biarlah Fizz yang bercakap kepada mengenai hubungan kami kerana tidak manis saya turut bercakap mengenai hal yang saya sendiri tidak tahu dan tidak dimaklumkan," ujarnya.
Bagaimanapun kata Almy, dia mahu mengambil pendekatan untuk membuka mulut apabila tiba masanya nanti bagi menjelaskan semua perkara yang menjadi tanda tanya ramai pihak selama ini.
"Sama ada Fizz masuk meminang atau tidak saya akan beritahu nanti serta mengenai apa yang terjadi tetapi bukan sekarang, suatu hari nanti. Buat masa ini biarlah Fizz yang memberi komen.
"Saya sedar pelbagai tohmahan orang buat mengenai hubungan kami dengan mengatakan bahawa kami telah putus cinta. Rasanya tak baik berkata begitu kerana ia boleh menjadi satu doa buat saya dan Fizz," jelasnya.

- ---

Pelakon Beego Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Khalwat

Posted: 07 May 2012 09:51 PM PDT

Beego
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Beego bersama dua rakannya mengakutidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, Selasa.
Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, bersama Fikry Zainun dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.
Sementara itu dua wanita yang merupakan kenalan mereka iaitu Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara. Kedua-dua mereka membayar denda.
Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 23 Februari 2011 kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Kondominium Okleaf Park, Bukit Antarabangsa dekat sini.
Kesemua mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 29 (1) (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanyasekali jika disabitkan kesalahan.
Kelima-lima tertuduh tersebut hadir selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka kerana gagal untuk perbicaraan kesberkenaan pada 10 April lalu.
Terdahulu Shaiful Azli turut menasihati dua wanita berkenaan agar bertaubat atas perbuatan itu kerana Allah memberi mereka ujian untuk menyedari kesilapan yang dilakukan.
"Saya ingin petik nasihat Saidina Umar, sekiranya kesalahan itu adalah perbuatan pertama, Allah akan menutup aib kamu tetapi jika ia dilakukan berulang kali, maka Allah sendiri akan membuka aib itu. Jadi, pilihlah untuk kehidupan lebih baik selepas ini," katanya.
Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 26 Jun 2012 untuk perbicaraan Beego bersama dua rakan lelakinya itu.

- ---

Bekas Isteri Jimmy Shanley Hamil Anak Haram?

Posted: 07 May 2012 09:45 PM PDT


SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy pernah mendakwa mengandung anak haram dan mengugut mahu menggugurkan kandungan itu jika ia anak Jimmy.
Jimmy, 31, atau nama sebenarnya, Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh berkata, kenyataan isterinya itu dibuat menerusi kiriman SMS selepas dia menegur perbuatan Nursuhaila yang masih berjudi dan mengingkari janji tidak lagi meneruskan tabiat buruk itu.
Pelakon itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarie yang mewakilinya, Mohd Noor Aizan Md Idrus pada perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat ke atas Nursuhaila, 25.
Bagaimanapun, Jimmy memberitahu anak yang dikandung Nursuhaila adalah zuriatnya dan isterinya tidak menggugurkan kandungan itu, sebaliknya mengeluarkan kenyataan tidak benar kerana didorong perasaan marah.
Terdahulu, Jimmy memberitahu mahkamah pada 24 Januari tahun lalu, dia pergi ke rumah ibu mentuanya selepas dipelawa wanita itu.

- ---

Dayang Masih Kekok Guna Telefon Bimbit

Posted: 07 May 2012 08:25 PM PDT

Dayang akhirnya akur dengan keperluan teknologi apabila terpaksa memiliki telefon bimbit sendiri sejak setahun yang lalu. - Foto oleh RAYMOND OOI
PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah mengakui masih berasa janggal dan tidak begitu merasai kepentingan penggunaan telefon bimbit yang sudah setahun dimilikinya itu.
Pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 30, yang selama ini tidak mempunyai telefon bimbit akhirnya terpaksa memiliki peralatan itu sejak setahun lalu demi tuntutan kerja.
"Saya hanya gunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi dengan pengurus atas urusan kerja sahaja. Saya sering letak telefon itu di merata tempat dan jarang berada di tangan kerana tidak begitu merasai kepentingannya.
"Kadang-kadang, saya boleh keluar rumah tanpa membawa telefon itu bersama sebab sudah terbiasa dengan keadaan itu selama ini," katanya ketika ditemui di Menara Star, di sini, baru-baru ini.
Kata penyanyi lagu Sayang ini, dia membeli telefon bimbit itu selepas dipujuk berulang kali oleh pengurusnya, Sharina Ahmad bagi melancarkan urusan komunikasi antara mereka.
"Jika sebelum ini, pengurus lama saya Shaliza Kader Sultan sentiasa berada dengan saya hampir 24 jam, jadi saya tidak perlu runsing mengenai jadual kerja dan lain-lain.
"Namun, pengurus baru, Sharina Ahmad tidak semestinya bersama saya pada setiap masa. Atas sebab itu, dia memujuk saya untuk mendapatkan telefon bimbit sendiri bagi melancarkan proses komunikasi.
"Malah, sejak memiliki telefon bimbit kira-kira setahun yang lalu, saya turut memanfaatkannya untuk mengemas kini akaun Twitter dan Facebook dan berinteraksi dengan peminat," terangnya.
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Dayang berkata dia bakal mengadakan persembahan dengan penyanyi Anuar Zain pada sebuah konsert amal One Night Only di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 15 Mei ini.
"Sudah lama saya tidak berkongsi pentas dengan Anuar dalam satu persembahan. Kali terakhir adalah pada persembahan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur kira-kira lapan tahun lalu.
"Saya berasa seronok kerana selesa bekerjasama dengannya. Selain itu, saya juga akan terlibat sebagai penyanyi undangan pada konsert Datuk D.J Dave di Istana Budaya pada 1 hingga 3 Jun depan," jelasnya.

- ---

Penyebaran Gambar Syamsul Yusof dan Nurul Ain Perbuatan Khianat

Posted: 07 May 2012 08:23 PM PDT

Nurul Ain Nordin
PETALING JAYA: Aktres dan pengarah filem Oh Mak Kau (OMK), Nurul Ain Nordin (Ain) menganggap penyebaran gambarnya dengan Syamsul Yusof di Internet adalah perbuatan khianat pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengannya.
Ain, 24, yang juga penerbit filem itu berkata dakwaan mereka mempunyai hubungan istimewa juga adalah tidak benar sebaliknya dia telah mengenali Syamsul sejak menjalani latihan praktikal di Skop Production beberapa tahun lalu.
"Sudah berulang kali saya memberikan penjelasan mengenai hubungan kami namun saya sedar tidak mudah untuk meyakinkan orang untuk menerima apa yang saya katakan.
"Hakikatnya, kami hanya kawan. Hubungan kami adalah atas dasar profesional kerana dia banyak membantu membimbing saya di lokasi penggambaran filem OMK dan tidak lebih daripada itu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebelum ini beberapa keping gambar tersebar di Internet memperlihatkan kemesraan mereka yang duduk berasingan daripada krew dan pelakon lain ketika di lokasi penggambaran filem OMK.
Kemesraan Ain dan Syamsul di lokasi penggambaran filem Oh Mak Kau yang didakwa menjalin hubungan secara rahsia.
Syamsul juga dikatakan sanggup menemani Ain di lokasi penggambaran selama beberapa jam walaupun dia tidak terlibat dengan penggambaran.
Ain yang mula dikenali menerusi filem Suatu Malam Kubur Berasap (2011) berkata, dia sempat berbincang dengan Syamsul mengenai dakwaan itu sejak gambar-gambar mereka tersebar di Internet pada minggu lalu.
"Saya ada bercakap dengan Syamsul mengenai perkara ini. Saya mohon agar isu ini tidak dibesar-besarkan kerana saya tidak mahu perkara remeh-temeh begini menimbulkan perasaan kurang selesa kepada Syamsul, bapanya Datuk Yusof dan mereka sekeluarga yang saya hormati.
"Apatah lagi dakwaan itu adalah tidak benar jadi saya bimbang ia akan melukakan hati kekasih Syamsul pula," ujarnya yang mengakui belum mempunyai kekasih.
Ditanya adakah penyebaran gambar dan kontroversi hubungan cinta itu sengaja dicetuskan sebagai promosi kepada filem pertama arahannya itu, Ain berkata perkara itu tidak berasas kerana masih terlalu awal untuk pihaknya melakukan promosi filem berkenaan.
"Dakwaan itu bukan strategi kami untuk mempromosikan OMK. Bagi saya, masih terlalu awal untuk tujuan itu kerana filem ini baru tamat penggambaran dan kini dalam proses suntingan dalam talian.
"Kalau semuanya lancar, ia mungkin akan ditayangkan pada hujung tahun ini. Jadi, tak mungkinlah kami sengaja mengada-adakan kontroversi ini untuk promosi pula," jelasnya.
OMK yang diterbitkan syarikat produksi Ain bersama beberapa rakan kongsi iaitu Star Scope Production Sdn Bhd menjalani penggambaran selama 23 hari.
Filem yang mengisahkan mengenai seorang wanita gengster lakonan Wan Maimunah ini turut dibarisi antaranya oleh Didie Alias, Yank Kassim, Abon dan Sepahtu.

- ---