Adsense

Selasa, 8 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Hikmah kontroversi

Posted: 07 May 2012 04:01 PM PDT

Hip

Aaron Aziz dapat sokongan padu daripada peminat, rakan seperjuangan

SELEPAS genap sebulan menggenggam trofi Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, semalam, Aaron Aziz, 36, menerima sebuah kereta Nissan Teana 2.5 L berharga RM167,020 tajaan Edaran Tan Chong Motor (M) Sdn Bhd selain barang kemas bernilai RM250,000 daripada Rafflesia-Mandalay.

Tidak mampu menyembunyikan rasa terharu, aktor kelahiran Singapura itu mengakui akan menggunakan sendiri kenderaan yang dimenanginya manakala set barang kemas serta barangan Avon bakal diberikan kepada wanita teristimewa dalam hidupnya, Diyana Halik. "Hadiah ini umpama penghargaan daripada peminat yang mempercayai hasil kerja saya dan tidak lupa terhadap Berita Harian selaku penganjur. Anugerah ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya pengiktirafan kepada seluruh karyawan seni.

"Justeru, ia amat besar maknanya buat diri saya apatah lagi selepas lapan tahun kehadiran saya di sini. Saya akan menggunakan kereta ini sendiri malah tidak pernah terfikir untuk menjualnya, begitu juga dengan barang kemas," katanya selepas majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Hotel Holiday Villa Subang & Suite, di Subang, semalam.

Majlis sama turut menyaksikan peniaga kuih, Noraini Halip, 31, dipilih sebagai pemenang bagi kategori pembaca dengan membawa pulang kereta Nissan Grand Livina X-Gear 1.6A bernilai RM79,894.

Penyerahan hadiah disempurnakan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Baid Shahid selain Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk ABPBH 2011/ Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan Berita Harian, Hanizam Abdullah serta Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk ABPBH 2011, Zainuri Misfar.
Turut hadir Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Ang Bon Beng dan wakil penaja ABPBH2011 terdiri daripada Lux, Avon, POTO Travel & Tours, Sinarmas Travel & Tours, TV3 sebagai penyiar rasmi serta Hot FM yang menjadi stesen radio rasmi.

Pada malam kemuncak di Arena Of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu, Aaron meraih 87,669 undi sekali gus mengenepikan kelompok empat artis lain yang mendapat undi tertinggi iaitu Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Fasha Sandha dan Tasha Shilla.

Sementara itu, demi komitmen terhadap ABPBH dan peminatnya, Aaron yang pulang ke Singapura sejak beberapa hari lalu sanggup 'turun' ke Kuala Lumpur menghadiri majlis ini dan kemudian sebaik acara penyampaian berakhir terus memandu kembali ke Kota Singa.

"Sebenarnya ada sedikit kerja yang perlu diselesaikan di Johor Bahru dan alang-alang di sana, saya balik jenguk keluarga sekejap. Apa pun saya tidak akan melepaskan peluang menemui teman artis, rakan media dan peminat yang mengundi," katanya lagi.

Diaju isu yang masih 'panas' berkaitan kemasukan artis luar ke Malaysia selain Zed Zaidi menerusi Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) meminta kementerian menyemak dan memperketatkan permit, Aaron dengan tenang, menjelaskan sebagai pekerja seboleh mungkin dia cuba mematuhi garis panduan.

"Saya percaya setiap kejadian ada hikmahnya. Macam isu yang diluahkan Zed, ia lebih kepada pendapat. Namun saya faham dia hanya menjalankan tanggungjawabnya dan kalau dia atau persatuan mahu menyemak kemasukan artis luar, itu sudah tugas mereka.

"Apabila soal warga luar ditimbulkan, saya melihatnya dari sudut positif. Bukan hanya rakan artis termasuk pengarah seperti Datuk Yusof Haslam dan Erma Fatima memberi sokongan moral selain peminat, individu bukan peminat juga turut meniupkan perangsang.

"Dorongan mereka ini yang membuatkan semangat saya semakin kuat. Saya memenuhi setiap tawaran berlakon dengan ikhlas malah mengikut peraturan ditetapkan kerana saya mencari rezeki untuk keluarga dan anak-anak," katanya yang menegaskan tidak kecewa apabila kerakyatannya dijadikan polemik sesetengah pihak
Difahamkan menerusi isteri merangkap pengurus peribadinya, Diyana, setiap produksi yang mengambil artis luar termasuk Aaron wajib memastikan permit kerja mereka diuruskan sebelum proses penggambaran dimulakan.

Dalam kekalutan pihak tertentu, aura Aaron nyata terus berbisa apabila selain deretan filem dan telefilem yang menanti dilaksanakan, bapa kepada tiga cahaya mata itu turut dilamar mengendalikan rancangan realiti Fear Factor: Celebrity Challenge.

Bakal menjalani penggambaran pada Oktober ini, tawaran yang diajukan kira-kira tiga bulan lalu antara cabaran baru yang sedia digalas apatah lagi pengacaraan bagi program realiti berkenaan memerlukannya melakukan perkara mengerikan.

"Dulu saya pernah menjadi hos rancangan TV, cuma Fear Factor sangat mencabar malah antara program kegemaran saya. Jika tiada aral, selama sebulan saya dan peserta akan berkampung di Afrika. Saya pasti ia mengujakan," katanya yang bakal berada di lokasi filem Dampak, Jun ini disusuli Cicakman 3 bersama Zizan Razak.


Artis, pembaca bertuah dirai

Posted: 07 May 2012 03:59 PM PDT

Hip

Ramai wajah popular serikan majlis penuh meriah di Subang Jaya

BAGI meraikan pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu, sebuah majlis penyampaian khas diadakan di Holiday Villa Hotel and Suites Subang Jaya, semalam.

Selain pemenang kategori artis, majlis terbabit turut meraikan pembaca bertuah Peraduan Undi dan Menang. Pada majlis berkenaan, Bintang Paling Popular yang juga Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH2011, Aaron Aziz, membawa pulang kereta Nissan Teana 2.5L bernilai RM167, 020, seutas rantai mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM250,000 serta barang tajaan Avon.

Sementara itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, pula menerima seutas rantai mutiara, juga sumbangan Rafflesia bernilai RM25,000, sebagai hadiah yang dimenangi untuk kategori Anugerah Seri Perak. Kategori yang diadakan khas sempena 25 tahun penganjuran ABPBH itu mempertandingkan kembali 12 pemenang Bintang Paling Popular anugerah terbabit.

Pemenang Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Datuk Sheila Majid, pula membawa pulang seutas rantai mutiara bernilai RM25,000, wang tunai RM 3,000 dan barang tajaan Avon.

Manakala semua pemenang bagi 14 kategori lain turut membawa pulang seutas rantai mutiara Rafflesia bernilai RM10,000, wang tunai RM3,000 dan barang tajaan Avon. Pemenang kategori Artis Duo / Berkumpulan pula membawa pulang RM5,000.
Majlis pada petang itu diserikan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air, antaranya Ziana Zain, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Johan As'ari, Shila Amzah, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Johan Raja Lawak, Hafiz, Diddy Alias dan ramai lagi.

Pada majlis itu, penyampaian hadiah kepada pemenang kategori khas turut diadakan. Anugerah Khas ABPBH2011 diwujudkan bagi menghargai artis yang paling banyak memberikan komitmen kepada anugerah ini khususnya sepanjang siri jelajah. Artis yang menerima anugerah terbabit ialah Fizz Fairuz, Along Cham, Yana Samsudin, Awi Rafael, Shila Amzah, Shaheizy Sam dan kumpulan Forteen. Mereka menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 dan barangan Avon.

Sementara itu, penyampaian hadiah bagi kategori pembaca turut diadakan.
Pemenang utama, Nor Aini Khalip, 31, dari Hutang Melintang, Perak, menerima sebuah kereta Nissan Livina X-Gear 1.6A bernilai RM79,894.50.

Manakala pemenang bertuah peraduan Undi dan Menang peringkat awal dan akhir menerima barang kemas tajaan Rafflesia, Apple iPad 16 GB, kamera Canon EOS DSLR, Blackberry Torch, Sonny PS3 Console, Samsung Galaxy Tab 10.0, Apple iPod Touch serta wang tunai.

Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Datuk Dr Ang Bon Beng; Pengarang Bersekutu Edisi Minggu Berita Harian merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Hanizam Abdullah; Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2011, Zainuri Misfar; dan Pengarang Hiburan Bintang Popular, Akmal Abdullah.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan oleh pemenang keseluruhan Bintang Idola Berita Harian 2012, Kamilia Razwanis Kamarudin dan Hafiz.