Adsense

Rabu, 30 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Marsha sekadar suka-suka

Posted: 29 May 2012 09:45 AM PDT

JIKA sebut namanya sekarang, pasti ramai peminat terus teringat kepada rancangan gosip Propaganza yang hangat ke udara setiap Ahad, jam 12 tengah hari di Astro Ria.

Bergandingan dengan Reza AF, lagak Anak Tamparuli, Sabah ini cukup selamba, lucu malah ada juga yang menganggapnya sebagai 'gedik' tatkala mengacarakan rancangan itu.

Biar apapun kata orang terhadap gaya penyampaiannya itu, Marsha Milan Londoh, 26, tidak pernah mengambil pusing, sebaliknya terus memfokuskan untuk memberikan yang terbaik kepada dunia baru itu.

Sebelum ini ramai tertarik dengan alunan vokal Marsha. Kemudian ramai memuji lakonannya dalam drama seram Kum Kum diikuti filem komedi romantis Cun! arahan Osman Ali. Namun sejak ada Propaganza, nama Marsha terus mendapat perhatian dan ia nyata memperlihatkan satu lagi bakat dalam diri beliau.


Apa yang jelas, Marsha mengakui pembabitannya secara 'bidan terjun' dalam bidang pengacaraan TV sebagai rezeki serta pengalaman baru.


"Tidak pernah terlintas di hati saya untuk mencuba bidang pengacaraan khususnya untuk Propaganza. Saya sebenarnya tak sangka niat asal iaitu hanya suka-suka menghadiri uji bakat akhirnya membuatkan saya terjebak dengan program gosip.

"Saya mencuba uji bakat itu kerana atas pujukan kawan-kawan. Tak pernah terfikir langsung saya akan diberikan 'job' berkenaan dan ketika diuji bakat pun saya tidak serius. Saya rasa saya 'gila-gila' tapi rupanya itu yang mereka suka.

"Beberapa hari selepas itu, saya terus mendapat panggilan menyatakan saya berjaya mendapat 'job' itu. Memang terkejutlah kerana saya tidak mengharapkan apa-apa. Malah saya masih cakap pada mereka bahawa saya tak mungkin akan menjadi hos yang bagus dan belum benar-benar bersedia.

"Bagaimanapun, pandangan kru produksi pula lain. Mereka menyatakan saya sangat sesuai untuk program berkenaan. Lama juga saya berfikir dan atas nasihat kawan serta tidak mahu mengecewakan permintaan mereka, saya pun terima. Mujurlah saya digandingkan dengan rakan baik, Reza maka terciptalah keserasian antara kami sebab dah kenal lama.

"Setakat ini, saya mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang cakap saya 'gedik', bingit dan tak sesuai. Tak kisahlah, saya pun sudah terima 'job' ini dan akan teruskan. Alang-alang mandi, biar sampai basah. Apa-apapun, saya berbalik kepada niat asal iaitu mahu menghiburkan penonton.

"Tidak kurang yang memuji dan itu sesuatu yang saya suka. Saya faham, bukan senang untuk memuaskan hati semua orang, tapi apalah guna menjadi orang lain semata-mata mahu buat orang suka kepada kita bukan?" katanya.

Namun Marsha tidak menafikan, sejak mengacarakan Propaganza, pelbagai tawaran mengacara mula mendatanginya dan kebanyakannya adalah untuk acara korporat.
Akuinya, untuk mengacarakan majlis yang besar, ia bukan senang.

Menjadikan Aznil Nawawi, Sharifah Shahira dan Jozan sebagai insan rujukan untuk memantapkan tugas baru itu, Marsha bagaimanapun masih bergelut untuk menyembunyikan loghat Sabah tatkala berada di depan kamera.

"Loghat saya masih lagi tebal dan itulah antara cabaran terbesar dalam mengacarakan Propaganza. Selain itu, cabaran lain, rancangan ini ke udara secara langsung dan sekali jalan saja. Berbanding lakonan, sekurang-kurangnya saya masih boleh memperbaiki pertuturan kerana babak boleh diulang-ulang.

"Saya harus juga berterima kasih kerana digandingkan dengan Reza. Dia pun sudah lama dalam bidang ini dan apa-apa kekurangan mudah saja bagi saya untuk merujuk kepadanya," jelasnya.

Masih berkira-kira sama ada ingin meneruskan atau tidak pada musim akan datang, Marsha tidak ada apa-apa perancangan setakat ini dan mahu hanya tunggu dan lihat.

Dalam pada itu, dia masih lagi mengimpikan agar kerjaya nyanyiannya juga menemui saat kemuncaknya. Niat asalnya terbabit dalam industri menjadi penyanyi nampaknya semakin samar apabila bakatnya dipandang sepi. Biarpun secara kasarnya, Marsha juga antara penyanyi wanita yang berpotensi, industri muzik seolah-olah belum mengiktirafnya.

"Memang saya kecewa namun apa boleh buat. Saya kena sabar dan terus berharap saja kerana apa yang pasti, saya tidak akan berputus asa. Syukur saja, tawaran menyanyi masih lagi banyak dan sekurang-kurangnya ia membuktikan nyanyian saya masih diterima. Saya pun dalam proses untuk muncul dengan single terbaru.

"Kali ini, saya sangat menaruh harapan agar single berjudul Kepastian Cinta ciptaan Ajai mampu membuka mata orang. Cukup bermakna dan ada kaitan dengan kehidupan saya, diharap lagu ini juga akan menaikkan semula 'jenama' Marsha sebagai seorang penyanyi. Berentak balada, kemungkinan single ini akan dilancarkan pada Julai atau Ogos nanti," katanya lagi.

Lebih banyak kelihatan dalam lakonan pada ketika ini, Marsha tidak menolak perasaan gementar menantikan filem pertama dia menjadi watak utama, Qada yang akan ditayangkan penghujung tahun ini.

Diarahkan Michael Ang, Marsha pada mulanya ingatkan Qada adalah sebuah telemovie, namun rupa-rupanya ia sebuah filem. Istimewanya, lagu tema filem itu berjudul Tentang Cinta adalah dendangannya.

Trivia Marsha

  • Filem terbaru yang ditonton...Safe
  • Perkara yang membuatkan Marsha rasa tenang...Muzik atau lagu santai yang memberikan inspirasi.
  • Kalau tidak jadi artis...Mungkin guru atau pramugari!
  • Insan yang paling ingin ditemui...Oprah Winfrey
  • Lagu kegemaran sepanjang masa...Still With You



  • Zed hargai niat Mustapha

    Posted: 29 May 2012 08:39 AM PDT

    IMPIAN pelakon Zed Zaidi untuk menerajui Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menjadi kenyataan apabila dia dipilih sebagai presiden baru menggantikan Harun Salim Bachik.

    Pelantikan Zed bersama empat ahli jawatankuasa (AJK) lain dilakukan pada mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-14 di Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Selangor, Sabtu lalu.

    Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil, 32, menang menerusi undian majoriti iaitu 152 ahli, dicabar Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang mendapat sembilan undi manakala Zulkifli Ismail (8). Memberi kejutan, bekas presiden, Datuk Mustapha Maarof yang sepatutnya turut bertanding akhirnya menarik diri.

    Dalam senarai AJK Seniman bermula 2012 sehingga 2015, Zed dibantu Elyas Iskandar sebagai Timbalan Presiden, Syean (Setiausaha), Rena Tan (Penolong Setiausaha) dan Nadia Kesumawati (Bendahari).


    Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Diploma Sains Komputer (Universiti Putra Malaysia) dan kini melanjutkan pelajaran untuk Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Zed bersemangat mahu meneruskan perjuangan membela nasib artis tempatan.


    Dia juga yang dalam proses menghasilkan buku Dilema Artis Malaysia berhasrat mengubah persepsi masyarakat terhadap artis tempatan yang mempunyai taraf pendidikan rendah. Dia menyarankan agar artis tempatan mengambil peluang melanjutkan pelajaran secara luar kampus.

    Ikuti temu bual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Zed yang bercerita lanjut mengenai perjuangannya sebagai presiden baru Seniman dan usaha yang ingin dijalankan selepas ini.

    RAP: Tahniah. Apakah kejayaan ini sesuatu yang diduga?

    ZED: Bukan kata diduga tapi saya mengikut prosedur dan proses demokrasi yang dijalankan ketika AGM. Segala pelantikan AJK adalah keputusan majoriti ahli yang mengundi.

    Saya terpilih mungkin mereka (ahli) nampak keikhlasan saya dalam memperjuangkan nasib artis tempatan ke tahap lebih baik. Sebelum ini artis dan masyarakat lebih nampak fungsi persatuan hanya menjaga kebajikan artis.

    Namun, apa pula perjuangan yang seharusnya kita lakukan untuk memastikan artis tempatan lebih terbela? Usaha ini menjadi agenda perjuangan saya untuk melakukan perubahan demi kebaikan artis sendiri.

    Saya bersyukur dengan sokongan majoriti ahli pada saya. Tindakan Mustapha tarik diri daripada bertanding sebenarnya tidak mahu artis veteran dan muda bergaduh. Beliau tarik diri secara hormat dan mahu beri peluang kepada golongan muda menerajui persatuan ini.

    Pengorbanan Mustapha ini saya sangat hargai dan menjadi satu penghormatan terbaik buat saya. Menerusi pelantikan AJK baru kali ini menampakkan ahli muda mula bangkit manakala artis veteran turut menyokong perjuangan artis muda.

    RAP: Bagaimana komen artis veteran terhadap kemenangan Zed?

    ZED: Mereka banyak menyokong saya dan tahu perjuangan yang ingin saya usahakan bukan hanya untuk golongan artis tertentu, tapi untuk semua. Tak kira artis senior atau baru, saya kena fikirkan perjuangan persatuan membabitkan semua ahli.

    Seperti isu yang saya bangkitkan mengenai nasib artis tempatan masih tidak ada rumah sendiri, sebenarnya 80 peratus artis kita termasuk golongan veteran tidak memilikinya dan hanya menyewa.

    Ini adalah masalah semua artis yang harus diperjuangkan. Lebih sekadar persatuan bertindak menjaga kebajikan, apa yang perlu ditekankan apakah perjuangan dan usaha yang mahu dilakukan untuk membela nasib artis kita seterusnya. Paling penting, saya berusaha meningkatkan imej artis tempatan agar menjalani kehidupan lebih baik.

    RAP: Ketika menjadi Timbalan Presiden sebelum ini, Zed lantang bercakap mengenai isu kemasukan artis luar. Apakah situasi sekarang ini memberi amaran kepada artis luar mengenai tindakan Zed selepas ini?

    ZED: Artis luar memang tiada permit apabila masuk ke sini. Mereka juga tidak tahu maklumat sebenar daripada Jabatan Imigresen Malaysia mahupun kewujudan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal).

    Menerusi persatuan, saya perlu menghalang situasi ini agar ia tidak menjadi barah. Apa yang berlaku sekarang, artis luar diagungkan sehingga artis tempatan dan negara kehilangan identiti sendiri. Orang bertanya mengapa saya perlu bangkitkan isu ini kerana saya mahu memperjuangkan nasib artis tempatan seperti saya agar tidak dipinggirkan.

    Seniman penting dalam menyelamatkan artis tempatan. Saya akan membuat kunjungan hormat berjumpa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan memberi cadangan cara mengatasi masalah ini.

    Dalam pada itu, saya juga akan bertanya pada Puspal mengenai garis panduan mereka dan bertanya pada Finas mengenai situasi artis luar berlakon di sini, tetapi mereka bukan ahli persatuan.

    Cadangan saya mahu badan penguat kuasa seperti Imigresen, Puspal termasuk persatuan lain bergabung membuat pemeriksaan terhadap setiap artis luar sama ada mereka mengikut prosedur betul atau tidak.

    Jika sebelum ini, orang lain mengutuk saya kerana tiada kuasa, tetapi sekarang saya akan lakukan dan menjadi wakil artis tempatan menyuarakan cadangan kepada pihak kerajaan. Artis luar jangan main-main dengan saya kerana saya akan berjuang sampai mati.

    RAP: Apakah mungkin tindakan tegas Zed nanti boleh memberi kesan kepada diri sendiri atau persatuan?

    ZED: Kalau saya disenarai hitam selepas ini, saya akan bertanya pada pihak berkenaan apa masalah atau kesalahan saya? Dalam menjalankan amanah sebagai presiden, saya mengikut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

    Merujuk kepada situasi artis luar, saya harus utamakan nasib tempatan terlebih dulu. Apabila artis luar 'bermaharajalela' di sini, ia turut menjejs pendapatan negara apabila pengeluaran wang ke luar negara.

    Saya mewakili persatuan perlu menyuarakan pandangan dan cadangan serta mendesak kerajaan mengenai tindakan yang mereka lakukan. Bagi saya, acara anugerah yang dianjurkan betul tapi persoalannya, di manakah lokasi acara itu diadakan?

    Jika di sini, ia perlulah mengikut prosedur di negara ini. Situasi artis luar menjadi bebanan pada negara dan pengiklanan juga yang tidak menggunakan artis tempatan membuatkan situasi menjadi semakin keliru dan negara hilang identiti.

    Saya ada pengalaman berlakon drama di luar negara iaitu nama saya tidak dicalonkan dalam acara anugerah kerana saya artis luar dan juga disekat masuk imigresen di sana atas alasan tidak ada surat kelulusan dari persatuan mereka.
    Jika mendapat surat ini sekalipun, mereka meletakkan syarat iaitu perlu berlakon menggunakan bahasa mereka.

    Jadi kita di sini pun perlu tegas. Saya ada pandangan berbeza, tapi niat saya mahu memperjuangkan nasib artis kita.

    RAP: Apakah usaha menyatukan semua ahli Seniman?

    ZED: Saya ada perancangan membabitkan artis veteran dalam aktiviti anjuran Seniman. Artis muda sebenarnya menghargai sumbangan artis veteran dan mungkin dapat diadakan aktiviti mengumpul sumbangan untuk artis veteran melalui usaha artis muda.

    Saya juga akan berbincang dengan pihak Tabung Haji dan kerajaan mengenai usaha membawa semua artis veteran yang bernaung sebagai ahli Seniman mengerjakan haji. Apa yang saya rancangkan ketika ini adalah memperkuatkan hal dalaman Seniman dulu iaitu membabitkan masalah komunikasi, penyimpanan data ahli dan penjenamaan semula termasuk logo persatuan serta membangunkan portal di laman sosial yang mengikut perkembangan teknologi semasa.

    RAP: Apakah Zed tahu berlakunya penyelewengan dalam proses pembelian bangunan Seniman bernilai RM330,000 yang dikatakan membabitkan Amanah Raya Berhad dan isu minit mesyuarat AGM ke-13 yang dilaporkan hilang?

    ZED: Isu ini sebenarnya tidak berlaku. Ia ditimbulkan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan mengambil kesempatan apabila tahu Seniman ada wang yang banyak.

    Walaupun mereka pernah menyumbang kepada persatuan, tetapi ia tidak perlu diungkit. Saya sendiri tak terfikir menggunakan duit persatuan sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti. Sebaliknya, masih banyak cara lain mencari dana untuk buat aktiviti.

    Menerusi pengetahuan dan pengalaman AJK, usaha menjaga kebajikan artis akan diteruskan tapi dengan cara lebih proaktif. Saya bukan agresif cuma saya tak mahu lambat buat kerja.

    Menguruskan persatuan adalah seperti mengendalikan syarikat. Isu beli bangunan baru tidak berlaku dan itu cuma cadangan. Mereka yang menimbulkan isu ini adalah mengarut dan sengaja mencari isu. Begitu juga, minit mesyuarat ke-13 sebenarnya masih ada di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan tidak hilang.

    RAP: Agenda Zed seterusnya?

    ZED: Saya akan menubuhkan satu jawatankuasa disiplin untuk meletakkan syarat dalam mengawal disiplin artis dan memantau masalah yang berlaku. Seperti usaha mendapatkan Sijil Penggambaran Produksi (SPP) dari Finas, sepatutnya artis terbabit perlu menjadi ahli Seniman.

    Saya akan mempersoalkan tanggungjawab Finas dalam soal ini. Kepemimpinan dulu tidak menekankan perkara ini, tapi sekarang kita harus mengawal artis tempatan dan luar yang ingin bekerja.

    Nasihat saya kepada artis luar agar segera berdaftar dengan Seniman sebelum saya memberi tekanan dan mengambil tindakan terhadap mereka. Saya tak mahu berlaku situasi nama artis itu digugurkan daripada terbabit dalam acara tertentu kerana tidak berdaftar.

    Tindakan mendaftar ini tidak kira artis tempatan atau luar negara. Untuk menjadi ahli Seniman juga, ada kriteria yang ditetapkan. Mereka yang memohon akan ditapis dan tidak sewenangnya menjadi ahli semata-mata ingin mengambil kesempatan.

    Selepas mesyuarat pertama AJK Seniman diadakan (kelmarin), segala proses pendaftaran akan dihantar kepada ROS. Saya berharap semua pendaftaran AJK baru ini dapat diselesaikan dalam minggu ini. Saya harap semua perancangan ini akan dapat dilaksanakan.