Adsense

Rabu, 30 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jangan pentingkan diri

Posted: 29 May 2012 03:23 PM PDT

Hip

Ketua Pengarah FINAS, Mohd Naguib Razak

Ketua Pengarah FINAS, Mohd Naguib Razak

SAMBUTAN baik peminat terhadap filem tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan produser, baru dan lama, seakan berlumba-lumba menghasilkan lebih banyak judul untuk tayangan di pawagam. Siapa yang tidak terliur apabila ada filem Melayu yang mampu memungut sehingga RM10 juta ketika menemui penonton di panggung?

Tahun lalu saja, sebanyak 42 judul ditayangkan, berbanding hanya 29 pada 2010. Separuh pertama tahun ini pula, 35 filem sudah pun menjengah pawagam, manakala lebih 30 judul lagi sedang menunggu giliran.

Sistem tayangan dua judul tempatan seminggu yang diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), berkuat kuasa bulan ini juga dilihat mendorong penerbit mengeluarkan lebih banyak filem. Barangkali taksub melihat pulangan lumayan diraih industri perfileman tahun lalu, dengan kutipan kasar RM124.85 juta menyebabkan penerbit filem tambah bersemangat. Namun, perkembangan pesat industri filem yang cukup dibanggakan tahun lalu menjadi sebaliknya tahun ini apabila sehingga Jun, belum ada filem berjaya mencatat kutipan memberangsangkan. Kutipan kasar yang diraih menerusi 23 filem yang ditayangkan sehingga Mei ialah RM33 juta, sedangkan tahun lalu bagi tempoh yang sama dan hanya menerusi 16 filem, RM41.2 juta mampu diraih. Angka itu bagai membayangkan kesuraman industri perfileman tempatan.

Lambakan filem yang ditawarkan melebihi permintaan, sekali gus memperlihatkan industri ini seakan sedang melalui era inflasi.

Melihat keadaan ini, penerbit perlu berasa bimbang. Bersandarkan wajah popular bukan lagi jaminan filem boleh mencatat kutipan pecah panggung. Mungkin tiba masanya penggiat filem mengkaji alasan menyebabkan filem tempatan tidak laku.
Lantaran terlalu mengejar kuantiti, kebanyakan penerbit mengabaikan soal kualiti. Akhirnya filem berkenaan nampak murah dan berkelas rendah, atau dalam bahasa kasar, penonton mula melabelkan produk yang berkualiti rendah itu sebagai filem bodoh.

Mungkin juga sudah tiba masa FINAS memandang serius keadaan ini sekiranya mahu industri kita terus berkembang. Sepatutnya sebuah badan ditubuhkan bagi menilai kelayakan sebuah karya yang layak dipanggil filem, sebelum memasuki panggung.

Namun, Ketua Pengarah FINAS, Mohd Naguib Razak pula mempunyai alasan sendiri kenapa badan penilai tidak boleh diwujudkan. Jelasnya, pelaksanaan itu hanya akan menimbulkan ketidakadilan kepada penggiat filem.

"Menilai bagus atau tidak sesebuah filem adalah sesuatu yang subjektif.

Kita hanya berhak menolak jika mutu teknikal sesebuah filem itu teruk. Kita pun memikirkan juga kepayahan penerbit mengeluarkan belanja berjuta-juta untuk menghasilkan filem.

"Memang diakui tahun ini industri filem kita nampak suram, tetapi sebenarnya jumlah kutipan masih lagi tinggi. Keadaan ini sebenarnya tidak banyak bezanya dengan 2011.

Tahun lalu, ada filem yang kuat dan ada juga filem yang teruk. Bagaimanapun tahun ini filem kita cukup makan saja, belum ada lagi yang 'meletup' dan setakat ini juga, belum ada filem yang gagal teruk.

"FINAS sedang mengkaji di mana silapnya tetapi penerbit juga perlu pandai meramalkan pasaran.

Mereka tidak boleh terlalu selesa dengan genre yang pernah hit kerana kejayaan itu mungkin tidak berulang.

Mereka kena pandai lihat bila sesuatu trend itu akan habis.

"Sebelum ini, orang sangka genre cinta dan aksi tidak boleh dijual, tetapi jadi sebaliknya apabila filem Ombak Rindu dan KL Gangster mencatat kutipan sangat memberangsangkan," katanya.

Ombak Rindu arahan Osman Ali berjaya memungut kira-kira RM11 juta, manakala KL Gangster pula mencecah RM12 juta.

Selain itu juga, kata Naguib, untuk mencapai kutipan pecah panggung, penerbit perlu berani mengeluarkan bajet besar. Mereka juga tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri dengan menghasilkan filem bermutu rendah semata-mata mahu mengaut untung mudah.

Penerbit perlu berhati-hati dan memikir sedalam-dalamnya mengenai corak penceritaan, strategik, selera dan mood penonton sebelum menghasilkan filem.

Naguib turut memohon diberikan sedikit masa terhadap syarat dua filem seminggu yang baru diperkenalkan.

Katanya, ketika Syarat Wajib Tayang (SWT) diperkenalkan, ia seakan-akan tidak memberikan kesan kepada industri.

Namun kini SWT berjaya, begitu juga dengan syarat sebuah filem seminggu yang pada mulanya kelihatan seakan tidak relevan, tetapi pelaksanaannya juga menampakkan kesan positif.

Bagaimanapun, katanya, lambakan filem boleh diatasi jika penerbit sendiri sedar keadaan ini dan dengan rela hati mengurangkan pengeluaran filem.