Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Mania pentas uji diriKEPUTUSAN tiga orang bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Hafiz, Stacy dan Aril untuk melibatkan diri dalam program realiti Mania merupakan satu risiko besar yang diambil oleh setiap penyanyi yang menyertai program tersebut. Kualiti serta populariti mereka menjadi kayu pengukur untuk mereka kekal bertahan selama yang mungkin dalam program yang bersiaran setiap hari Sabtu di Astro Ria. Ketiga-tiga Hafiz, Stacy dan Aril memiliki sebab tersendiri di sebalik penyertaan mereka dalam Mania. Medan baiki diri Meraih gelaran juara Anugerah Juara Lagu ke-26 serta penyanyi popular menerusi Anugerah Bintang Popular 2011, nyata bukan satu halangan buat Hafiz untuk masuk bertanding dalam Mania. Kata pemilik nama Mohd. Hafiz Mohd. Suip itu, Mania merupakan medan untuk memperbaiki diri bagi menjadi penyanyi yang lebih baik serta menonjolkan sisi lainnya yang belum pernah dilihat oleh peminatnya. "Selain itu, ia juga medan untuk setiap penyanyi mengukur sejauh mana populariti kerana program itu menuntut undian daripada penonton untuk mengekalkan posisi penyanyi kegemaran mereka." "Saya masuk program Mania untuk memperbaiki diri serta mendekatkan diri dengan peminat kerena setiap minggu peminat boleh menyaksikan saya di kaca televisyen secara langsung. Sedikit sebanyak ada saatnya saya teringat kembali ketika menyertai program AF kerana ia sebuah program realiti. "Cuma bezanya ketika di AF, saya dan semua peserta lain sangat naif mengenai industri hiburan tetapi dalam Mania semuanya telah mempunyai pengalaman. Pesaing pula semuanya penyanyi yang hebat, jadi saya perlu cabar diri untuk tingkatkan kualiti persembahan serta menjadi lebih kreatif untuk menarik perhatian penonton," ujarnya yang berada di bawah naungan empayar Ahmad Dhani. Memilih penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor sebagai pesaing utama kerana kualiti vokalnya, ujar Hafiz dia langsung tidak tertekan sepanjang tujuh minggu dalam Mania meskipun harapan peminat terhadapnya cukup tinggi. "Saya tidak melihat harapan peminat sebagai satu tekanan tetapi ia adalah cabaran untuk diri saya. Bukan selalu dapat bekerjasama dengan penerbit muzik seperti Ahmad Dhani, jadi saya gunakan peluang ini untuk mengutip ilmu sebanyak boleh daripadanya," tuturnya yang menyanyikan lagu Ombak Rindu bersama Maya Karin pada minggu ketujuh Mania yang berlangsung pada Sabtu lalu. Cipta lagu Selepas album sulungnya Masih Jelas yang berada di pasaran pada tahun 2009, Hafiz tidak muncul dengan sebarang album sebaliknya dengan beberapa buah lagu single. Selepas tiga tahun, Hafiz kini dalam proses menyiapkan album terbaharunya. Memberanikan diri mencipta lagu sendiri katanya, peminat pasti terkejut dengan pembaharuan yang ditampilkan untuk album yang diharap dapat berada di pasaran pada penghujung tahun ini. "Lima lagu sudah dirakam, sekarang saya sedang menunggu beberapa buah lagu lagi. Menariknya dalam album terbaharu ini lagu ciptaan saya dan sepupu, Idzam, serta lirik oleh saya sepenuhnya yang berjudul Mungkinkah turut dimuatkan dalam album itu.
"Tiga tahun lagu itu telah disimpan dan akhirnya peminat dapat mendengar lagu yang dicipta oleh saya sendiri, saya sendiri sudah tidak sabar untuk lagu ini berkumandang di dalam radio. Mungkin selepas Mania tamat atau saya tersingkir, saya akan mempromosi lagu single terbaharu itu. "Album baharu sangat berbeza, walaupun saya dikenali dengan lagu balada tetapi saya mengambil risiko dengan membawakan lagu genre alternatif pop rock untuk album terbaharu," jelasnya lagi. Promosi percuma Tidak dinafikan menyertai Mania secara tidak langsung memberi publisiti meluas secara percuma kepada penyanyi yang bertanding dan akui Stacy, itu antara sebabnya dia menyertai program itu. Sementelah, dia sememangnya suka melakukan persembahan pentas secara langsung. Tegasnya, meskipun sudah popular dan lagunya sering diputarkan di corong radio, untuk bertahan dan terus diminati, penyanyi harus mempunyai strategi. Maka, kata Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, strategi dirinya menyertai Mania adalah untuk menonjolkan dirinya sebagai penyanyi yang versatil. "Tujuan utama saya sertai Mania sebab saya suka membuat persembahan secara langsung di pentas. Beraksi di pentas Mania sama seperti membuat persembahan pada AJL, cuma bezanya Mania berlangsung setiap minggu. Itu yang saya suka. "Selain dapat publisiti percuma, bagi saya publisiti sangat penting untuk seseorang penyanyi, saya juga dapat tunjukkan kepada peminat yang saya berkemampuan menyanyikan lagu pelbagai genre bukan hanya lagu yang memerlukan saya menari sahaja," ujarnya. Tambahnya, walaupun sudah mempunyai pengalaman tetapi dirinya masih gementar sebelum melakukan persembahan di mana-mana persembahan termasuk pentas Mania. "Saya masih gementar sebelum melakukan persembahan di mana-mana pentas, cuma ketika saya sertai Mania, rezeki persembahan pentas bertambah. Ini membuatkan saya bertambah sibuk dan tidak dapat melakukan latihan dengan masa yang cukup. "Cuma apa yang saya sangat bimbang kemungkinan saya tidak dapat fokus kerana penat dengan persembahan pentas. Setiap Sabtu pula saya harus melakukan persembahan secara langsung di atas pentas Mania. Semua mengharapkan yang terbaik daripada saya. "Saya takut tidak dapat penuhi apa yang mereka harapkan, takut peminat lari dan kecewa dengan persembahan saya, justeru, pentas Mania satu cabaran yang besar untuk saya kekal di landasan yang betul sepanjang masa walaupun saya penat dan tidak cukup rehat," ungkap Stacy yang kini popular dengan lagu Kasanova.
Jadi ibu Kini, Stacy telah bergelar ibu kepada anak angkatnya bernama Bella Valentina yang berusia dua bulan. Anak angkat yang diambil dari Sabah itu merupakan penawar hatinya di kala kepenatan selepas bekerja. Kata Stacy, sudah lama dia mengidam untuk mengambil anak angkat dan bersyukur kerana Bella telah hadir di dalam hidupnya. "Saya memang sudah lama mahukan anak angkat, jadi bila saya dengar ada bayi yang ingin diberikan kepada orang, saya cepat-cepat pergi ambil dan kini Bella, milik saya. Sebenarnya saya memang sukakan kanak-kanak, kerana ketika di Sabah saya pernah menjadi pengasuh kanak-kanak. "Semua orang pun penat bila balik kerja tetapi sebaik pandang wajahnya, tambahan ketika dia tersenyum, semua penat hilang secara tiba-tiba. Walaupun saya bukan ibu kandungnya tetapi saya dapat rasai perasaan seperti ibu yang lain," luah Stacy. Disoal mengenai penjagaan Bella dengan jadual kerjanya yang sangat padat, terang Stacy, dia tidak pernah menghadapi masalah untuk menjaga anaknya itu kerana keluarganya sentiasa berada di sisinya untuk membantu. "Keluarga saya semuanya jenis suka kanak-kanak, jadi tidak ada masalah kalau saya sibuk kerana mereka akan ambil alih tugas menjaga Bella. Ibu saya akan berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur, dia banyak membantu menjaga Bella selain kakak saya," ucap Stacy yang menggelarkan dirinya Mummy. Penjenamaan semula Penyanyi Khairil Azam Pilus, atau Aril, pula menyertai Mania untuk penjenamaan semula kerjaya nyanyiannya. "Pentas Mania adalah platform untuk saya membikin penjenamaan semula kerjaya nyanyian saya dalam industri seni. Walaupun saya masih aktif menyanyi tetapi ramai yang tidak tahu kerana kerjaya saya sebagai pengacara lebih menyerlah daripada penyanyi," ucapnya yang popular dengan lagu Menatap Matamu. Tegas pemuda berusia 27 tahun itu, walaupun publisiti kurang diperoleh tidak bermakna dia tidak lagi aktif sebaliknya, dia masih menerima banyak persembahan pentas selain tawaran sebagai pengacara program televisyen. "Mungkin saya tidak ada lagu yang benar-benar popular, penghasilan album pula harus mengikut giliran memandangkan saya bernaung di bawah Astro yang menaungi ramai penyanyi. "Buat masa ini, saya bersyukur dengan apa yang saya miliki dan akan berusaha untuk mempertingkat diri ke tahap yang lebih tinggi," katanya yang akan menjadi pengacara program Di Mana Joe Jambul terbitan RTM. Pernah terlibat dalam drama berjudul Kau dan Aku, beritahu Aril, dia masih belum bersedia untuk bergelar seorang pelakon secara serius meskipun terdapat tawaran yang diberi kepadanya. "Mungkin pada masa depan, saya akan berlakon tetapi buat masa terdekat tidak. Ini kerana berlakon memerlukan masa yang sangat panjang di lokasi penggambaran dan harus menunggu lama. Saya pula banyak kerja yang berjalan serentak seperti pengacaraan dan persembahan pentas. "Saya bimbang tidak boleh beri komitmen seperti mana yang dikehendaki. Namun, jika ada yang benar-benar menarik hati, mungkin saya akan pertimbangkan," katanya. Minat Dewa 19 Aril yang berada di bawah naungan empayar Ahmad Dhani tidak menyangka dia dapat bekerja dengan penerbit, komposer dan penyanyi terkenal Indonesia kerana akui Aril, dia merupakan peminat nombor satu kumpulan Dewa 19.
"Saya memang peminat kumpulan Dewa 19. Sebelum ini saya pernah menemu bual kumpulan Dewa 19 ketika mereka mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Waktu itu saya sangat berdebar untuk menemu ramah mereka kerana terlalu minat. "Jadi, saya rasa macam tidak percaya apabila sekarang saya dapat bekerja dengan Ahmad Dhani. Saya bersyukur kerana dapat menimba ilmu dengannya kerana bekerja dengannya sangat mudah dan tiada tekanan langsung. Walaupun daripada segi luaran, dia nampak seperti sukar didampingi tetapi jika sudah kenal dengannya, ternyata dia seorang yang kelakar," ujar Aril lagi. Apabila ditanya tidak mahukah dia mendapatkan sebuah lagu sentuhan Ahmad Dhani, Aril terdiam sebelum berkata: "Memang saya mahukan lagu daripadanya tetapi rasanya masih terlalu awal untuk minta lagu. Tunggulah beberapa minggu lagi, jika dia sudi, saya bersyukur sangat-sangat." | ||||||
Posted: Afdlin perjuangkan hakOleh HARYATI KARIM
PELAKON dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki meluahkan rasa kecewanya apabila filem terbaharu arahannya Berani Punya Budak dipinggirkan oleh sesetengah pawagam tempatan. Perkara itu berlaku dikatakan untuk memberi laluan dan memberikan sokongan yang lebih kepada filem Hollywood, The Avengers yang kebetulan ditayangkan sehari selepas filem aksi komedi tempatan itu mula ditayangkan di pawagam. Berkongsi minggu yang sama permulaan tayangan dengan filem mega Hollywood yang ditunggu-tunggu itu pada minggu lalu, sebagai pengarah Berani Punya Budak, Afdlin sedar saingan yang cukup besar untuk filemnya dalam menghadapi The Avengers. Namun, dia cukup kecewa apabila filemnya itu ditayangkan pada waktu tidak munasabah serta diberikan dewan tayangan yang kecil berbanding dengan filem Hollywood itu. Tidak mahu melatah tanpa sebarang bukti kukuh, kata Afdlin, dia kini sedang mengumpulkan segala fakta dan bukti sebelum mengambil tindakan yang seterusnya. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Afdlin yang dihubungi semalam. Kosmo!: Filem Berani Punya Budak sedang rancak ditayangkan di pawagam, apa yang membuat Afdlin yang dikhabarkan kecewa? AFDLIN: Saya sendiri membuat tinjauan di beberapa buah pawagam dan mendapati sebuah daripadanya yang terletak di Kuala Lumpur tidak menayangkan filem Berani Punya Budak untuk slot tayangan lewat malam, pada hari Sabtu. Sedangkan pada waktu itulah orang ramai ingin menonton wayang, sebaliknya pihak pawagam memberi slot itu kepada filem luar. Bukankah ada sistem wajib tayang yang mewajibkan setiap pawagam menayangkan filem tempatan selama dua minggu? Ya, memang filem saya itu ditayangkan mengikut sistem wajib tayang tetapi ia dipinggirkan apabila pihak pawagam meletakkan waktu tayangan pada waktu yang tidak munasabah iaitu pada pukul 11 pagi, siapa yang mahu tonton wayang pada waktu pagi dan tayangan terakhir adalah pada pukul 8.30 malam. Adakah Afdlin sedar bahawa pesaing filem Berani Punya Budak adalah filem bajet mega Hollywood The Avengers, yang ditunggu-tunggu peminat? Saya sedar dan saya tahu. Sungguhpun begitu pihak pawagam sepatutnya memberi hak sama rata kepada filem tempatan untuk bersaing. Macam mana filem saya mahu bersaing jika mereka memberi dewan tayangan yang hanya boleh memuatkan sekitar 100 orang tetapi filem luar diberi dewan yang paling besar serta tayangan lewat malam. Saya belum mendapat tahu jumlah kutipan yang sebenar tetapi jika begini keadaannya, filem saya hanya mengutip kutipan yang sederhana sahaja. Adakah Afdlin mahu mengambil sebarang tindakan? Saya sedang mengumpul bukti dan fakta. Saya tidak mahu melakukan satu perkara dengan terburu-buru tanpa bukti yang kukuh. Jika benar perkara ini terjadi bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi seluruh negara, saya akan ambil tindakan dan berjuang habis-habisan. Apakah jenis tindakan yang akan diambil Afdlin? Saya tidak tahu tindakan macam mana yang akan diambil kerana masih mengumpulkan bukti. Saya meluahkan rasa kecewa ini bukan untuk filem saya sahaja tetapi industri filem tempatan secara keseluruhannya. Walaupun filem tempatan sudah berjaya mengutip kutipan jutaan ringgit hakikat sebenarnya, pihak pawagam masih memberi lebih sokongan kepada filem luar bukannya filem tempatan. Maknanya kita masih kalah. Mungkinkah disebabkan lebih mendapat sambutan, maka, pihak pawagam memberi lebih ruang kepada filem luar? Filem luar atau tempatan, bagus atau tidak sesebuah filem itu, pihak pawagam harus memberi peluang yang sama rata. Kita ada skim wajib tayang serta ada peraturan dan perjanjian yang harus diikut oleh pihak pawagam, jadi saya harap mereka ikut peraturan itu dengan telus. | ||||||
Lohan mimpi ngeri karyawan Glee Posted: Lohan mimpi ngeri karyawan GleeLINDSAY LOHAN merupakan bintang terbaharu yang dijemput sebagai pelakon undangan khas bagi memeriahkan lagi siri Glee. LINDSAY LOHAN dilaporkan telah menjadi suatu mimpi ngeri buat karyawan siri popular Glee apabila aktres kontroversi itu dikatakan telah membuat perangai di set penggambaran siri drama muzikal televisyen popular itu. Satu sumber memberitahu, Lohan yang dijemput sebagai pelakon undangan khas Glee datang lambat ke set penggambaran, selain tidak membuat persediaan untuk karakter lakonannya. Sumber memberitahu E! News: "Lindsay Lohan menjadi mimpi ngeri semalam (pada 25 April lalu). Dia datang ke set penggambaran Glee lewat tiga jam daripada waktu yang telah ditetapkan dan apabila dia tiba, lain pula jadinya. Dia enggan terbabit dengan penggambaran dan selalu menghilangkan diri sehingga kru terpaksa mencarinya di merata-rata tempat di set penggambaran itu. Sebabnya dia tidak menghafal skrip." Tambah sumber, Lohan sudah menghabiskan penggambaran untuk bahagian pertama kemunculannya dalam Glee dengan melakonkan watak dirinya sendiri pada minggu sebelumnya, namun gagal menyempurnakan lakonannya untuk bahagian kedua pada 25 April lalu. Bagaimanapun, jurucakap Lohan, Steve Honig mendakwa berlaku kesilapan teknikal. Katanya: "Kru produksi Glee memberitahu pihak kami bahawa Lindsay akan terbabit dengan penggambaran pada pukul 2 petang, sejurus selepas makan tengah hari. "Namun, mereka kemudian berkata Lindsay hanya akan terbabit dengan penggambaran bermula pada pukul 3 petang, sebab itu dia tiada di set kerana ketika itu dia sedang bersiap dengan solekan dan dandanan rambut. Ini satu bukti ada pihak yang suka mengaitkan Lindsay dengan kontroversi." Episod Glee yang menampilkan Lohan akan mula disiarkan di TV Amerika Syarikat pada 15 Mei ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |