Adsense

Khamis, 26 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Jelmaan Aung San Suu Kyi

Posted:

Jelmaan Aung San Suu Kyi

Jelmaan Aung San Suu Kyi

SOROTAN mata Yang Zi Chong atau nama pentasnya, Michelle Yeoh, 49, terpendam sejuta perasaan yang tidak terungkap kata-kata. Dia kelihatan cukup teruja sewaktu pertemuan di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur sempena promosi filem terbaharu lakonannya, The Lady baru-baru ini.

Ia jelas mencerminkan perasaan Michelle tatkala berada di tanah tumpah darah sendiri. Akuinya, dia sentiasa merindui tempat kelahirannya biarpun sering berkelana jauh di negara asing demi karier seninya.

"Saya sentiasa merindui Malaysia, ini tempat kelahiran saya. Perkara pertama yang akan saya buru adalah bihun kari, sudah pasti saya masih menggemari masakan tempatan," ujarnya.

Barangkali ramai tidak menyangka Ratu Malaysia 1983 itu merupakan satu-satunya aktres yang dibenarkan oleh aktor Jackie Chan melakukan lagak ngeri sendiri dalam setiap filem lakonannya.

Malah, Michelle yang dahulunya pernah menuntut di Royal Academy di London, United Kingdom seringkali mempamerkan aksi lincah seakan-akan gerak tari setiap kali berlakon.

Dalam pada itu, berbeza pula usaha yang dicurahkan Michelle untuk filem The Lady yang bakal menjengah pawagam pada 3 Mei ini.

Menerusi filem itu katanya, menuntut dia untuk lebih banyak bermain dengan pergolakan emosi dan jiwa sebagai seorang pemimpin wanita.

"Saya yang mahu merealisasikan watak Daw Suu (Aung San Suu Kyi) sejak empat tahun lalu. Selepas mendapat idea itu saya meminta pengurus saya mencarikan mana-mana produksi yang sudi menghasilkan filem biografi seperti ini.

"Muncul juga beberapa buah syarikat yang berminat tapi akhirnya saya memilih Luc Besson memandangkan dia merupakan seorang individu yang sangat saya kagumi berdasarkan hasil karyanya sebelum ini," katanya.

The Lady arahan Beeson yang merupakan pengarah terkenal Perancis itu mengisahkan bagaimana Aung San Suu Kyi berusaha keras mendesak keamanan dan demokrasi dipulihkan di Myanmar tanpa ada keganasan.


MICHELLE teruja berlakon di bawah arahan pengarah Perancis, Luc Beeson untuk filem The Lady.


Dalam pada itu, filem ini memaparkan kasih sayang dan pengorbanan pemimpin demokrasi itu yang dipisahkan dengan keluarganya dalam tempoh waktu yang panjang sebelum dibebaskan daripada tahanan di rumah sendiri.

Politik

Sangat besar cabaran untuk wanita kelahiran Ipoh, Perak itu untuk menghidupkan karakter Aung San Suu Kyi. Selaku seorang pemimpin yang disegani, Michelle juga harus berhati-hati memandangkan negara Myanmar masih belum stabil sepenuhnya dari segi politiknya.

Filem ini bagaimanapun mendapat tentangan hebat di negara China ekoran dakwaan bahawa perjuangan Aung San Suu Kyi menuntut demokrasi merupakan simbol ketakutan.

"Saya tidak melihat perkara itu bersifat politik. Mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini adalah kasih sayang dan keamanan. Malah ia bukan ancaman kepada mana-mana pihak.

"The Lady bercerita mengenai ikatan kekeluargaan yang teguh dan tentang betapa bernilainya sebuah demokrasi," katanya.

Michelle juga menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk terlibat dalam politik walaupun dia tetap memerhatikan situasi politik dan pilihan raya yang berlaku di negara Myanmar.

"Filem ini menjalani penggambaran di Yangon, Myanmar dan beberapa kawasan di Thailand, jadi sudah pasti tempat-tempat itu menjadi sebahagian daripada diri saya.


MICHELLE mengakui sangat teruja pulang ke tanah kelahirannya, Malaysia.


"Saya masih ikuti perkembangan politik di sana tapi tidak sesekali berminat untuk terlibat dalam dunia itu," ungkapnya.

Dalam pada itu, Michelle secara berseloroh berkata: "Filem ini sepatutnya diberikan judul The Lady & The Gentleman kerana sokongan kuat sepanjang masa yang diberikan Michael Aris kepada Aung San."

Tukar rejim kehidupan

The Lady yang menjalani penggambaran pada tahun lalu turut berdepan beberapa kontroversi. Antaranya, ada beberapa nama pelakon dan kru yang terbabit tidak boleh dikreditkan.

"Pihak produksi bimbang akan keselamatan keluarga beberapa individu dari Myanmar dan utara Thailand yang membantu saya menjayakan filem ini, jadi langkah terbaik adalah tidak meletakkan nama mereka yang ada sesetengahnya merupakan pelarian," ujar Michelle.

The Lady menuntut pengorbanan yang besar daripada Michelle selaku pendukung watak utamanya. Katanya, dia terpaksa menukar rejim kehidupan hariannya lapan bulan sebelum memulakan penggambaran pada tahun lalu.

Michelle sebelum ini juga pernah bertemu dengan anak sebenar Aung San Suu Kyi iaitu Kim Aris di London. Ujar Kim ketika itu, ibunya memiliki badan yang lebih kurus berbanding Michelle.

Fakta itu menyebabkan Michelle terpaksa menurunkan berat badannya.

"Kalau biasanya saya bangun tidur pada pukul 6 pagi tapi saya awalkan dengan bangun pada pukul 4 pagi untuk melakukan aktiviti bersenam.

"Kemudian saya akan lakukan tugas seperti biasa. Pulang ke rumah saya akan sambung bersenam dalam masa lebih kurang dua jam. Ia bertujuan untuk menurunkan berat badan saya dengan cara yang betul.

"Selain itu, saya perlu kawal diet pemakanan saya dan melebihkan aktiviti kardiovaskular," katanya yang kehilangan hampir sembilan kilogram untuk mendapatkan sosok tubuh seperti Aung San Suu Kyi yang sebenar.

Malah, dia melantik seorang tutor bahasa Inggeris untuk mengajarnya bercakap dengan cara berhemah persis pemimpin pujaannya yang pernah memenangi hadiah Nobel Keamanan Dunia pada tahun 1991.

"Daw Suu miliki postur badan yang sangat menakjubkan, selama enam bulan saya berlatih untuk berdiri, duduk dan berjalan sepertinya.

"Dari segi bercakap pula saya ada melantik seorang tutor bahasa," cerita Michelle.

Muzikal Hoore! Hoore! untuk Sudirman

Posted:

Muzikal Hoore! Hoore! untuk Sudirman

Muzikal Hoore! Hoore! untuk Sudirman

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


ALLAHYARHAM Sudirman Haji Arshad menjadi inspirasi pengarah filem muzikal Hoore! Hoore!, Saw Teong Hin untuk membikin filem muzikal tersebut.


PENGALAMAN pernah ditolak oleh beberapa orang penerbit, tidak menghalang semangat pengarah Saw Teong Hin untuk terus melaksanakan hasratnya mengarah sebuah filem berbentuk muzikal.

Walaupun sedar genre muzikal masih sukar untuk diterima oleh penonton Malaysia yang cukup kenyang dengan genre komedi dan seram, Saw Teong Hin tetap mengambil risiko.

"Saya mendapat inspirasi untuk mengarahkan filem ini apabila saya menonton filem High School Musical dan juga Mamma Mia!. Selepas menonton, tercetus dalam hati saya mengapa Malaysia tidak menghasilkan filem sedemikian.

"Kalau mahu diikutkan, kita mempunyai banyak lagu yang sedap dan kekal popular sehingga ke hari ini untuk digunakan dalam filem. Bertitik-tolak daripada itu, saya terpanggil untuk menghasilkan sebuah filem muzikal dengan mengangkat karya nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

"Sudirman seorang penghibur yang hebat, kreatif, berani dan berjiwa besar. Dia satu-satunya penghibur yang dikagumi semua kaum di negara ini. Saya juga peminatnya," jelas pengarah filem Hoore! Hoore! itu panjang lebar mengenai projek filem muzikal sulungnya itu.

Sedar risiko besar yang dihadapinya terutama bajet yang tinggi diperlukan untuk membikin sebuah filem muzikal, pengarah yang pernah mengarah filem Puteri Gunung Ledang itu kekal optimis.

"Inspirasi sebenar datangnya daripada kata-kata Allahyarham iaitu kenapa kita harus meletakkan pagar mengelilingi kita. Maksudnya, kenapa kita perlu menyekat diri kita untuk melakukan perubahan.

"Saya tidak kisah kalau ada yang mendakwa pembikinan filem ini kerana mahu menumpang populariti Sudirman kerana saya menghasilkan filem ini sebagai penghargaan buat beliau.

"Karyanya disimpan sebagai sejarah negara yang perlu dipelihara dan dikenang oleh generasi muda lebih penting daripada kutipan pecah panggung. Tetapi kalau filem ini mendapat kutipan pecah panggung, ia satu bonus buat saya dan penerbit, Astro Shaw Sdn. Bhd.," ucapnya.

Bukan itu sahaja, Saw Teong Hin juga mengambil risiko apabila mempertaruhkan bakat baharu sebagai peneraju utama filem Hoore! Hoore!.

Pelakon baharu, Farah Nazirah pertama kali bergelar pelakon selepas dia terpilih untuk membawakan watak Nurul Iman bergandingan dengan penyanyi Akim.

"Saya tidak sangka akan terpilih dalam uji bakat kerana saya pergi sekadar suka-suka. Sebenarnya saya suka menyanyi tetapi tidak sangka iklan di Facebook menarik saya untuk menjadi pelakon," ujarnya.


BARISAN pelakon filem muzikal Hoore! Hoore! yang merupakan muka-muka baharu, (dari kiri), Farah Nazirah, Shahila Shariff, Syafiqah Md. Jemey, Afi Faris dan Nur Syazwana hadir pada majlis pelancaran runut bunyi filem tersebut di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur pada minggu lalu.


Farah yang merupakan gadis bertudung sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan apabila dalam filem Hoore! Hoore! dia muncul tanpa mengenakan tudungnya.

"Ketika penggambaran berjalan, saya sebenarnya baru belajar pakai tudung, tetapi sekarang saya sudah pakai tudung sepenuhnya. Saya tidak boleh ubah apa yang telah saya lakukan sebelum ini untuk filem Hoore! Hoore!, sebaliknya apa yang boleh saya buat sudah tentu menjaga imej yang saya miliki sekarang," luahnya.

Sebanyak 12 buah lagu Allahyarham Sudirman yang dirakamkan semula dalam filem ini. Selain Akim dan Farah Nazirah, filem ini turut dibintangi Adibah Noor, Shahronizam Noor, Harun Salim Bachik dan Fauziah Nawi.

Hoore! Hoore! bakal ditayangkan pada 24 Mei ini, sehari sebelum hari memperingati ulang tahun kelahiran Allahyarham Sudirman pada 25 Mei 1954.

Sempena kemunculan filem berkenaan, Astro Shaw dengan kerjasama pusat karaoke terkenal Red Box bakal mengadakan Pertandingan Karaoke Hoore! Hoore! di tiga lokasi berasingan bermula 13 Mei depan.

Ia akan diadakan di Green Box Seremban 2 pada 13 Mei, Green Box Bukit Tinggi Klang (20 Mei) dan Red Box Ria Sogo (27 Mei).

Pada majlis yang sama, video muzik lagu Idola dendangan Azlan & The Typewriter yang dipilih sebagai lagu runut bunyi filem tersebut, Hoore! Hoore! juga telah dilancarkan.

Lagu ciptaan Audi Mok itu mempertaruhkan lirik nukilan Azlan sendiri yang menjadikan Sudirman sebagai inspirasi dalam penulisannya mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.

"Saya mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan lirik lagu itu. Saya menonton filem lakonan Allahyarham seperti Kami dan mendengar semula lagu-lagunya.

"Bukan apa, saya bimbang jika saya tidak terikat dengan inspirasi itu, lagu saya akan mengikut kepala saya sendiri sedangkan lagu ini dicipta khas untuk filem Hoore! Hoore!," kata Azlan.

Johan, Hafiz kongsi kegembiraan

Posted:

Johan, Hafiz kongsi kegembiraan

Johan, Hafiz kongsi kegembiraan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


SELAIN Hafiz dan Johan, dua lagi artis residen Astro yang diraikan Astro baru-baru ini termasuklah Aaron (belakang, kiri) dan Zizan (depan, kiri).


DINOBATKAN sebagai paling popular, pastinya sesuatu di luar jangkaan buat dua orang artis pujaan ramai iaitu penyanyi Hafiz AF dan Johan.

Ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan artis residen Astro, Hafiz menyifatkan pemilihannya sebagai penyanyi lelaki popular baru-baru ini sebagai penghargaan paling bermakna buat dirinya.

"Pada Januari lalu, lagu nyanyian saya iaitu Awan Nano telah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik semasa Anugerah Juara Lagu (AJL) 26. Kemudian pada bulan ini saya dipilih pula sebagai penyanyi paling popular berdasarkan pemilihan peminat.

"Sudah tentu saya sangat gembira dengan kejayaan yang diraih dan menganggap ia merupakan bonus buat diri saya pada tahun ini. Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka kerana sedar perlu bersaing dengan ramai penyanyi lain," ujarnya.

Menurut Hafiz, memandangkan kini dirinya menjadi pilihan peminat, dia mahu terus fokus pada kerjayanya sekarang dan tidak mahu terlalu leka dengan kejayaan yang diperoleh.

Hafiz ke Indonesia

Ditanya tentang aktiviti seninya ketika ini, Hafiz memberitahu dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada penyertaannya dalam program Mania memandangkan hadiah yang ditawarkan kepada juara cukup lumayan.


JOHAN bakal bergandingan dengan Didie Alias menerusi program Acana Tu Johan.


"Sudah tentu sasaran saya mahu mencul juara kerana mahu mendapatkan hadiah sebanyak RM500,000. Jadi, sekali lagi saya mengharapkan sokongan daripada peminat agar saya berjaya dalam rancangan tersebut," ujarnya.

Menurut Hafiz, pada bulan Februari lalu dia telah pergi ke Indonesia selama dua minggu dalam usaha untuk mengembangkan karier nyanyiannya serta merakamkan single terbaharunya dan mempromosikan lagu Awan Nano di negara tersebut.

"Semasa di sana saya telah pergi ke beberapa buah stesen radio di Jakarta dan Yogyakarta. Saya akui agak sukar untuk menarik minat pendengar mereka, tetapi bersyukur apabila lagu saya tetap tercalon dalam carta lagu dalam sebuah stesen iaitu Pesona FM," ujarnya.

Johan kurangkan aktiviti seni

Sementara itu, Johan yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, kejayaannya sebagai pelakon komedi paling popular banyak dibantu dengan pembabitannya dalam pelbagai rancangan komedi pada tahun lalu.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraannya memperoleh kejayaan tersebut, Johan menyatakan buat masa ini dia mahu mengurangkan pembabitannya dalam bidang seni kerana mahu memberi tumpuan sebagai penyampai radio.

"Sepanjang empat bulan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Era, maklum balas yang diterima daripada pendengar sangat positif dan saya akui semakin selesa dengan tugas saya sekarang.


HAFIZ kini berusaha memburu wang kemenangan RM500,000 menerusi program Mania yang turut disertainya.


"Namun, pada Jun ini saya akan terbabit dengan sebuah program berjudul Acana Tu Johan untuk 13 episod. Dalam program tersebut, saya akan berkolaborasi dengan Didie Alias," ujarnya yang kini sedang menyertai program Super Spontan di saluran Astro Warna.

Pada minggu lalu, seramai empat artis naungan Astro iaitu Aaron Aziz, Zizan Razak, Hafiz dan Johan telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, penganjuran majlis pada malam itu juga merupakan sebahagian daripada penghargaan kepada keempat-empat artis tersebut yang telah sedikit sebanyak telah mengharumkan nama Astro.

"Saya percaya dengan kejayaan yang diraih oleh keempat-empat artis ini berdasarkan hasil usaha keras mereka dalam bidang masing-masing dan saya berharap mereka akan terus mengekalkan kemenangan yang sama pada tahun hadapan," ujarnya.

Selain empat orang artis yang diraikan, majlis tersebut turut dihadiri oleh bekas pemenang Pengacara TV Popular, Aznil Haji Nawawi dan penerbit Datuk Yusof Haslam.