Adsense

Khamis, 26 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Terjemahan kisah cinta agung

Posted: 25 Apr 2012 08:08 AM PDT

SEPANJANG lebih dua jam meneliti plot cerita filem yang mengangkat perjuangan demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi, The Lady, terlintas persoalan mengapa begitu kuat semangat figura itu.

Bayangkan, tidak tergambar perasaannya berdepan 1,001 krisis dan kemelut hingga ke satu tahap, pejuang politik yang inginkan kebebasan dan taraf keselamatan buat rakyat di Burma itu terpaksa berpisah dengan keluarganya dan meratapi kematian suami dari jauh. Namun untuk berputus asa dan mengalah adalah mustahil.

Gambaran menerusi filem The Lady begitu jelas hingga mampu mengundang air mata penonton kerana lakonan teraju utamanya, Datuk Michelle Yeoh yang menghidupkan semula Aung San Suu Kyi begitu berkesan.

Kita mungkin tertanya-tanya bagaimana pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini benar-benar dapat menjiwai watak Suu Kyi hingga berkesan di hati penonton.


Peluang bertemu dengannya petang Selasa lalu di ibu kota bagi mempromosikan The Lady menjadi ruang terbaik mendengar ceritanya.


Pengalaman Michelle melakonkan watak Suu Kyi adalah kenangan terindah buatnya sepanjang lebih dua dekad sebagai anak seni.

Menyifatkan perjalanan dan perjuangan Suu Kyi bagai sebuah rencana terhebat dunia, bintang berusia 50 tahun yang sebelum ini dikenali menerusi watak Wai Lin dalam James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997 bertuah kerana akhirnya apa yang diimpikan menjadi kenyataan.

"The Lady adalah pengalaman terbaik buat saya kerana diberi kebebasan sepenuhnya untuk meniru figura Suu Kyi. Ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah kerana sejak awal membaca skrip nukilan Rebecca Frayn dan mendengar kehendak pengarah, watak ini menuntut komitmen yang begitu tinggi.

"Bayangkan, saya meneliti setiap sudut Suu Kyi agar lakonan yang ditampilkan lebih realistik dan berkesan.

"Saya melihat semua videonya termasuk ucapan, gayanya pada majlis rasmi bagi memastikan gerak tubuh dan gaya bercakap tidak lari jauh. Malah, saya juga bekerja dengan tutor Inggeris bagi memastikan penggunaan dan sebutan bahasa Inggeris saya lebih lancar sepertinya yang begitu fasih. Saya perhatikan semuanya supaya setidak-tidaknya dapat menggambarkan perwatakannya.

"Bagaimanapun, cabaran utama adalah mengkaji dan meneliti emosinya. Itulah satu pengalaman yang begitu hebat buat saya kerana figura Suu Kyi bukanlah calang-calang. Saya perlu melihat dan memahami keseluruhan perjalanannya untuk mendapat emosi dan rasa yang serupa. Gaya Suu Kyi menahan perasaan sedih, keliru, kecewa dan cinta adalah sesuatu yang perlu saya fahami.

"Fokus saya lebih ditumpukan kepada semangat dan cinta juangnya. Sejak dari awal membaca skrip hinggalah melakonkan watak ini, saya begitu terharu dengan semangat yang ada pada diri Suu Kyi. Dia sememangnya wanita yang penuh sifat kasih sayang dan tidak mudah menyerah kalah walaupun terpaksa berdepan dengan pemerintahan tentera.

"Namun, saya merasakan wujudnya keserasian antara saya dan Suu Kyi kerana sejak dulu lagi, saya memang meminati personaliti dan perjuangannya. Jika dilihat, Suu Kyi juga meninggalkan Burma untuk meneruskan kehidupan bersama suami dan kemudian kembali kerana terbit rasa rindu kepada tanah airnya. Saya juga begitu, mencipta nama di luar negara dan kini berada semula di Malaysia untuk mempromosikan filem ini," jenakanya.

Jelasnya lagi: "Saya begitu mengagumi ideanya dalam memperjuangkan sistem kerajaan baru buat Burma meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan."

Kronologi The Lady menyingkap kisah Suu Kyi yang sudah meninggalkan Burma selepas berkahwin dengan lelaki Inggeris dan menetap di London bersama dua anaknya, namun tiba-tiba terpaksa pulang semula ke Burma sekitar 1988 bagi menziarahi ibunya yang sedang nazak.

Lahir dalam keluarga yang berlatarkan politik, ayahnya seorang pemimpin berpangkat Jeneral mati ketika usianya tiga tahun pada 1947, membuatkan kehadiran semula Suu Kyi di Burma sebagai satu simbolik suara rakyat yang inginkan kebebasan.

Burma terikat dengan sistem pemerintahan tentera yang menyekat kebebasan membuatkan rakyat memberontak. Lantas Suu Kyi diangkat menjadi pemimpin rakyat untuk memperjuangkan demokrasi.

Melihat kesengsaraan rakyat, Suu Kyi mengambil keputusan untuk bangkit memperjuangkan nasib rakyat melalui sistem demokrasi.

Bagaimanapun, perjalanan Suu Kyi tidak semudah itu. Meskipun menerima undian yang jauh lebih tinggi ketika pilihan raya 1990, hak demokrasi yang diinginkan rakyat serta perjuangan Suu Kyi tidak diiktiraf, sebaliknya tokoh bersemangat tinggi itu terkurung di dalam rumah sendiri hampir dua dekad kerana tidak dibenarkan berkempen.

Bayangkan, bukan saja kebebasannya tersekat, malah Suu Kyi dipisahkan daripada suaminya yang begitu menyokong perjuangannya dan dua anak lelakinya. Suami dan anaknya juga dihalang ke Burma untuk bertemunya.

Kemuncaknya, semangat juangnya terpancar tatkala Suu Kyi menerima berita suaminya meninggal dunia di London tanpa kehadirannya.

Tambah Michelle lagi, apa yang cuba disampaikan kepada penonton bukanlah aspek politik, sebaliknya The Lady memaparkan kisah kasih sayang yang luhur dan suci.

"Usah bicara soal politik kerana The Lady tidak mengangkat objektif sebegitu. Walaupun menyingkap kisah Suu Kyi yang jelas seorang pejuang demokrasi, namun apa yang cuba diceritakan The Lady adalah semangatnya dan cinta kepada keluarga.

"Mana tidaknya, walaupun terpaksa berpisah dengan keluarga, Suu Kyi masih mampu mengukir senyuman semata-mata demi perjuangannya yang belum selesai.

"Saya yakin penonton akan dapat merasai suntikan kasih sayang yang dipaparkan dalam The Lady. Ini bukan saja mengangkat rasa juang dan semangat seorang wanita, malah The Lady juga mencerminkan sebuah naskhah yang mengiktiraf sikap budiman seorang lelaki kerana suami Suu Kyi tidak pernah merungut walaupun terpaksa berjauhan lantaran percaya terhadap perjuangan isteri tersayang," katanya.

Filem arahan Luc Besson ini turut menampilkan barisan pelakon hebat lain termasuk David Thewlis dan Jonathan Woodhouse serta diterbitkan tunang Michelle sendiri, Jean Todt yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari.

Michelle yang menjadikan Suu Kyi sebagai sumber inspirasi buatnya turut mengakui masih mengikuti perkembangan senario politik di Burma, selain perkembangan semasa pejuang demokrasi itu.

"Watak Suu Kyi sudah menjadi sebahagian daripada diri saya. Justeru, hingga kini, saya memang mengambil perhatian mengenai pergolakan yang berlaku di Burma kerana sebagai keluarga Asean, saya rasa ia satu tanggungjawab untuk kita sama-sama membantu walaupun sukar untuk menembusi pemerintahan tentera yang sudah dipraktikkan di sana," katanya yang diharamkan menjejakkan kaki ke Burma selepas melakonkan watak Suu Kyi dalam filem biografi hebat ini.

The Lady akan ditayangkan kepada umum bermula 3 Mei serentak di seluruh negara.


Osman kembali ke medan aksi

Posted: 25 Apr 2012 07:40 AM PDT

PERISTIWA seorang pelakon lelaki cedera parah apabila berlaku kemalangan di set penggambaran filem Barajiwa pada 12 Januari tahun lalu masih diingati masyarakat.

Ketika kejadian pada jam 11.30 malam itu, pelakon babak ngeri, Mohd Raffi Hussin, 25, cedera parah apabila set untuk adegan kebakaran di sebuah rumah banglo meletup secara tiba-tiba menyebabkan dia melecur sebahagian badan, tangan kiri dan muka.

Raffi memegang watak antagonis sebagai Kumbang sepatutnya menyalakan api untuk membakar gerai. Bagaimanapun, adegan letupan yang sepatutnya sejurus api dinyalakan, dilakukan lebih awal menyebabkan dia terperangkap dan melecur 60 peratus badannya akibat disambar api.

Disebabkan pelbagai masalah tidak dijangka inilah membuatkan pengarah 'box office', Osman Ali bersetuju menukarkan namanya kepada Jiwa Taiko.


"Asalnya memang menggunakan judul Barajiwa yang juga tajuk peribadi saya. Ini kerana jalan ceritanya penuh emosi. Bagaimanapun, dengan masalah yang berlaku ketika penghasilannya, saya merasakan penggunaan namanya agak bahaya.


"Selain itu, ada juga yang berkata tajuknya agak puitis. Akhirnya kami cari tajuk baru dan nama Jiwa Taiko dicadangkan. Saya dapati tajuk ini mudah kerana penonton remaja dengar pun dah faham genre filem ini. Ia juga mudah diingat," katanya pada sidang media memperkenalkan lagu tema filem Jiwa Taiko di Hard Rock Cafe, Selasa lalu.

Lagu berjudul Bebas ini nyanyian Sam Bunkface bersama kumpulan projek khasnya, The Azenders. Mereka juga turut mendendangkan lagu Bebas dan dua lagu lain istimewa buat tetamu yang hadir.

Jiwa Taiko adalah filem aksi kedua Osman selepas Anak Halal yang mencatat kutipan sederhana iaitu kira-kira RM1.6 juta ketika ditayangkan penghujung 2007. Berbanding filem pecah panggung arahannya, Ombak Rindu yang lebih melodrama, Jiwa Taiko terbitan Nuansa Sdn Bhd tampil dengan genre aksi.

"Filem ini dihasilkan khas buat penggemar filem aksi. Jiwa Taiko lebih kepada konsep filem 'story teller' iaitu kisah dramatik dan penceritaan. Saya tak jual filem aksi sepenuhnya. Ceritanya macam Anak Halal, tapi kandungannya lebih padat.

"Ceritanya ganas dan memaparkan gangsterisme yang menguasai jiwa remaja apabila dicengkam kemarahan. Ia adalah pemberontakan jiwa remaja. Saya pasti orang akan membandingkan filem ini dengan KL Gangster. Namun, saya bukan tiru kerana dah buat filem Anak Halal terlebih dulu yang tampilkan cerita begini.

"Apabila diberi peluang buat lagi filem sebegini, saya hasil–kannya dan kebetulan filem KL Gangster meletup. Menerusi paparan di YouTube, ramai yang membandingkan kedua-dua filem ini. Bagi saya perbandingan boleh membantu promosi filem ini.

"Cuma, Jiwa Taiko bukan sebuah filem yang besar seperti KL Gangster. Banyak adegan aksi dilakukan sendiri pelakonnya. Filem ini guna kepakaran seni mempertahankan diri khususnya persilatan dan saya jalinkan kerjasama dengan Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia (PSSGM)," katanya.

Semacam meneruskan kesinambungan Anak Halal apabila Osman sekali lagi menampilkan Bront Palarae, Remy Ishak dan Mislina Mustaffa. Menjawab persoalan ini, Osman mengakui memilih mereka kerana tertarik dengan bakat yang ada.

"Masa buat filem itu, saya nampak bakat mereka. Sebab mereka tak popular dan dikenali ramai, saya nak ketengahkan bakat mereka dalam Jiwa Taiko. Watak filem ini memang khas untuk mereka dan saya nampak keserasian mereka sangat bagus.

"Untuk filem ini, saya gunakan kamera Super 16 MM seperti yang digunakan pengarah filem bebas luar negara. Saya nakkan filem ini ada unsur 'raw' dan nampak lain daripada filem lain," katanya.

Sebagaimana Ombak Rindu, pengarah kelahiran Langkawi ini juga tidak lepas menyelitkan imej laut dalam filem berlabel 18 SX ini. Padanya, lautan luas membawa maksud tersendiri.

"Lautan adalah gambaran perjalanan hidup dan gelora dalam kehidupan. Saya lahir di pulau dan laut ada nilai sentimental buat saya. Air juga adalah satu elemen utama dalam hidup.

"Saya hasilkan filem ini sebelum Ombak Rindu menemui peminat. Dulu saya tak rasa tekanan menanti bagaimana sambutan penonton. Sekarang saya memang terasa bahang–nya. Mungkin Jiwa Taiko akan berjaya.

"Kalau tak berjaya pun, saya harap sambutan yang diterima akan memuaskan hati. Saya hanya sasarkan kutipan RM4 juta dan tak berani sasarkan lebih tinggi kerana sekarang dua filem ditayangkan dalam masa seminggu, ditambah lagi dengan persaingan lain.

"Dapat kutipan RM4 juta ke atas pun saya dah rasa syukur. Sekarang saya dah mula buat praproduksi filem terbaru, Munajat Kekasih yang berkisarkan kisah cinta tapi memaparkan subjek kehidupan yang penuh tragedi.

"Genrenya drama romantik yang sangat menyentuh perasaan. Insya-Allah filem
ini akan dibintangi Shaheizy Sam dan heroin yang difikirkan antaranya Nora Danish. Filem ini akan tampil dengan dua hero," katanya.

Mengenai pemilihan The Azenders sebagai penyanyi tema, Osman berkata, ia dibuat selepas menilai populariti Sam bersama Bunkface.

"Lagunya bersama The Azenders menepati konsep muzik yang saya mahukan. Saya bercerita mengenai cerita dan idea filem ini kepada Sam dan dia tampil dengan lagu yang menepati cita rasa Jiwa Taiko," katanya mengenai lagu runut bunyi filem yang akan menemui peminat pada 14 Jun ini.