Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Pernah hidup susahBAND berasal dari Bogor, Indonesia, Dadali yang cukup popular dengan single pertama mereka Di Saat Aku Mencintaimu, mengakui pernah hidup susah sebelum mereka mengecapi populariti seperti hari ini. Band yang mempunyai enam orang ahli iaitu Dyrga (vokalis), Fadel (bass), Rickarjd (gitar), Yuda (gitar), Oq (dram) dan Rix (keyboard) ketika ditemui pada majlis pelancaran album mereka yang berjudul Di Saat Aku Mencintaimu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini mengatakan, mereka tidak pernah menyangka akan segera popular hanya dengan sebuah lagu sahaja. Pengalaman ditolak oleh banyak syarikat rakaman sehingga kehabisan wang dan terpaksa hidup bergelandangan selama beberapa hari di kota Jakarta masih segar dalam ingatan setiap ahli band Dadali. "Kami pernah ditolak oleh beberapa penerbit syarikat rakaman yang memandang kami hanya dengan sebelah mata. Sungguhpun begitu, kami tidak berputus asa dan tetap mahu memperjuangkan muzik kami dengan memberi rakaman demo kepada setiap syarikat rakaman yang ada di Jakarta. "Bayangkan sahaja perjalanan kami dari Bogor sangat jauh, kemudian ditolak oleh penerbit dan pernah suatu ketika kami kehabisan wang. Cuma yang ada dalam poket RM2 (RP 5,000) sahaja. "Kami hanya mampu membeli sekeping roti untuk dikongsi berenam. Tidur di tepi kaki lima pusat beli-belah dan akhirnya kami sampai di syarikat rakaman Nagaswara," ujar vokalisnya, Dyrga. Bagaimanapun kata Dyrga, saat pertama kali bertemu dengan penerbit di syarikat rakaman Nagaswara untuk memberi rakaman demo, sekali lagi kehadiran mereka tidak diendahkan. "Ketika itu, sudah habis wang dan badan letih, tetapi saya tetap memaksa untuk mereka menyimpan rakaman demo yang kami bikin. Ketika perjalanan pulang, kami mendapat khabar gembira dan mereka meminta kami datang ke Jakarta untuk memperbaiki muzik kami," luah Dyrga lagi mengenai rentetan perjalanan muzik band Dadali. Selepas berjaya mendapat kontrak dengan syarikat rakaman Nagaswara, sekali lagi mereka diuji apabila penerbit mengatakan tiada lagu yang benar-benar kuat untuk album pertama mereka. "Ketika itu sudah ada sembilan buah lagu dan lagu Di Saat Aku Mencintaimu dicipta yang terakhir sekali oleh Yuda yang kebetulan waktu itu sedang bersedih kerana putus cinta. "Dia mahu menjual lagu itu kepada Melly Goeslaw dan saya kata kepadanya, lagu ini sedap kenapa mahu jual. Lebih baik digunakan untuk album kami sendiri. Jadi kami bersama-sama perbaiki lagu itu dan apabila diperdengarkan kepada penerbit, terus dipromosikan lagu itu," cerita Dyrga. Popular di pentas HANYA berbekalkan sebuah album dan sebuah single sahaja, nama Dadali kini meledak di Indonesia dan Malaysia. Berkat inspirasi putus cinta itu, lagu tersebut telah dijadikan lagu runut bunyi lebih 10 buah sinetron di Indonesia dan juga Malaysia menerusi drama Dingin Lavenda. Lebih menarik lagu single pertama Dadali itu telah dimuat turun sebanyak 800,000 di Malaysia sahaja, manakala muzik video lagu Di Saat Aku Mencintaimu pula telah ditonton lebih daripada dua juta penonton di laman perkongsian video, Youtube. "Semuanya berlaku tanpa dirancang. Waktu itu kami baru sahaja selesai penggambaran muzik video lagu Di Saat Aku Mencintaimu. "Selepas video muzik itu siap, kami ingin menontonnya dan penerbit menghantar video itu di Youtube kerana susah untuk kami berulang-alik antara Bogor dan Jakarta. Kami merupakan orang kedua yang menonton video itu. "Setelah itu, kami tidak kisah tentang video di YouTube, tahu-tahu sahaja video itu sudah ditonton oleh ramai orang. Memang kami sangat terkejut kerana tidak sangka sambutannya begitu menggalakkan," luah Dyrga sambil dipersetujui oleh anggota Dadali yang lain. Kesukaran hidup yang pernah dilalui menjadikan mereka lebih matang dan berpijak di bumi yang nyata meskipun nama mereka semakin hari semakin bersinar di Indonesia dan juga Malaysia. "Prinsip band Dadali, ketika kami di atas pentas, kami adalah artis tetapi apabila berada di bawah pentas, kami adalah orang biasa yang menjalani kehidupan yang sama seperti sebelum kami dikenali ramai," kata Yuda, 33, yang merupakan anggota tertua band Dadali. Dyrga bukan Ariel Peterpan Jika didengar dengan teliti lontaran vokal Dyrga ternyata vokalnya itu kedengaran serupa dengan vokal milik vokalis band Peterpan, Ariel yang kini berada di dalam penjara atas kesalahan menyebarkan video lucah. Perkara itu turut diakui oleh ramai pihak termasuklah penerbit band Peterpan sendiri sehingga pernah menawarkan Dyrga untuk menggantikan posisi Ariel dalam konsert jelajah Peterpan di Indonesia. Semuanya terjadi apabila band Dedali diminta oleh penerbit program Inbox untuk menyanyikan lagu Peterpan, Mungkin Nanti dengan alasan peminat sudah lama merindui Ariel Peterpan. "Sekali itu sahaja saya menyanyikan lagu Peterpan, terus orang mengatakan suara saya mirip Ariel dan penerbit Peterpan turut menawarkan saya untuk menggantikan tempat Ariel pada konsert jelajah mereka. "Penerbit saya tolak tawaran itu, begitu juga saya kerana saya tidak mahu kehadiran saya di dalam industri muzik dibayangi oleh Ariel Peterpan. Saya lebih selesa jika saya dikenali dengan band Dadali sahaja," balas Dyrga. DADALI kelihatan begitu komited sewaktu membuat persembahan kepada pihak media pada majlis sidang akhbar. Disoal adakah Dyrga sengaja menyanyikan lagu mengikut lenggok suara Ariel, jawabnya: "Saya sebenarnya sedih disamakan dengan Ariel. Macam mana saya mahu buat kerana sudah suara saya begini, bukan sengaja mahu ada suara sepertinya. Dalam dunia memang ada tujuh orang yang sama, mungkin salah satu daripada tujuh orang itu adalah saya." Menurut Dyrga lagi, band Dadali tidak memerlukan hasil ciptaan orang lain kerana mereka berenam berkebolehan dalam penciptaan lagu selain untuk mengekalkan identiti band Dadali. | ||
Posted: Azza dituduh jahilOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
PADA 1 April lalu, Noor Azzarima Zawari atau lebih dikenali sebagai Azza, telah melangsungkan pernikahan bersama kekasih yang dikenali hampir dua tahun lalu, Azlan Zulaily yang juga seorang pramugara syarikat penerbangan tempatan. Masih terang warna inai di jari, namun sudah ada kata-kata kurang enak tentang cara pemakaian selendang Azza pada majlis pernikahannya yang berlangsung dalam Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor itu. Kemanisan mengecapi bahtera perkahwinan tercalar sedikit ekoran tuduhan terhadap diri Azza yang ditohmah sebagai seorang yang jahil tentang ilmu agama kerana tidak menutup aurat ketika berada di dalam pekarangan masjid untuk majlis akad nikahnya itu. Sebagai seorang Islam, sememangnya agak keras tuduhan jahil tentang hukum agama yang dilemparkan terhadap bekas anggota kumpulan Elite itu. Azza yang dihubungi Kosmo! kelmarin berkata: "Azza faham ia menyentuh sensiviti masyarakat, jadi Azza ingin meminta maaf secara terbuka jika selendang yang Azza pakai itu menjadi isu. Azza akui sangat sedih dan tidak tahu mahu berkata apa. "Tapi tidak mengapa kerana dalam dunia ini tidak semua orang suka kita. Saya terima dengan sabar. Biarlah mereka mahu berkata, kerana apa yang penting kejadian ini akan membuatkan Azza lebih berhati-hati pada masa akan datang." Namun begitu, Azza bersyukur kerana ada peminat dan rakan-rakan yang sentiasa setia menyokong karier dan dirinya walau apa pun yang terjadi. Menyingkap sejarah sebelum Azza, 34, dan Azlan, 25, bersatu sebagai suami isteri, ujar Azza, lebih setahun lalu, dia berkenalan dengan Azlan di Mydin Mall, USJ, Subang, Kuala Lumpur semasa membuat persembahan. Sejak dari itu, telah bersemai bibit-bibit cinta antara mereka berdua sehingga membawa mereka ke jenjang pelamin. Sempena perkahwinannya itu, Azza menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran berjumlah RM10,000. Selain itu, Azza menerima sembilan dulang hantaran daripada pengantin lelaki, antaranya dua bentuk cincin, set wangian, al-Quran dan sejadah serta buah-buahan manakala pihak lelaki pula menerima 11 dulang hantaran yang berupa set wangian, set persalinan, set dompet dan sebagainya. Mungkin terlalu gementar, hanya selepas tiga kali lafaz, Azza sah bergelar isteri kepada Azlan tepat pukul 5.27 petang itu yang dinikahkan oleh jurunikah, Abdul Hakim Abdul Rahman. "Semestinya dalam diri saya ini memang wujud perasaan penuh tanggungjawab setelah bergelar suami selain gemuruh dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur-baur," ulas Azlan yang tidak kisah dengan perbezaan umur antara dirinya dan Azza. Tambahnya: "Sebab apa saya memilih Azza untuk dijadikan teman hidup ialah kerana dari segi karakternya sendiri. Dia seorang yang kelakar dan dia juga seorang yang penyayang. Anaknya, Marissa juga saya telah anggap seperti anak saya sendiri. Berbicara mengenai perancangan untuk menambah bilangan ahli keluarga, mereka berdua sepakat belum lagi mempunyai perancangan untuk berbuat demikian. Namun, andai kata rezeki daripada Tuhan diberi lebih awal, Azza dan Azlan bersyukur dengan pemberian tersebut. | ||
Posted: Showdown 2012 lebih hebatSUASANA di kaunter pendaftaran Showdown 2012 di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini. SUDAH memulakan 'peperangan gerak tari' yang disiarkan pada 4 April lalu, Showdown 2012 kembali dengan lebih hebat, lebih meriah dan lebih mega daripada sebelumnya. Kali ini cabaran yang harus dilalui tentulah lebih besar kerana selepas dua musim bersiaran, Showdown telah mempunyai satu tanda aras yang tinggi terhadap bakat-bakat penari baharu yang lebih hebat kerana dua musim sebelum ini, para peserta yang hadir telah menunjukkan skil tarian yang tidak bersifat amatur. Selain mencari penari baharu yang hebat, untuk memantapkan program tersebut, pihak penerbitan pemenang Program TV Popular di Shout! Awards 2010, Program Realiti Terbaik pada Anugerah Skrin 2010 dan Program Realiti TV Terbaik pada malam Anugerah Sri Angkasa 2010 ini juga memperluaskan publisiti program realiti tersebut dengan menggunakan strategi pemasaran dan promosi menerusi media alternatif. Keberkesanan penggunaan media alternatif terbukti memandangkan peningkatan jumlah pengikut dalam talian yang diraih oleh 8TV. Buktinya 8TV mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman sosial Facebook di bawah rancangan Showdown 2010 dan Showdown 2011. Secara purata, kira-kira 9,000 pos dan status dikemaskini setiap hari oleh para peminat. Angka ini tidak termasuk ribuan lagi yang turut mengikuti 8TV melalui profil yang lain. Malah, pada musim ketiga ini juga menyaksikan sedikit kelainan yang ditonjolkan dengan uji bakat mencari penari baharu dijalankan menerusi dalam talian. Sesi uji bakat yang dilakukan secara dalam talian sejak 1 November hingga 21 November 2011 ternyata mendapat respons yang baik daripada peminat apabila lebih 30 kru menghantar video tarian mereka. "Kami sangat berbangga apabila program Showdown dapat diterbitkan untuk musim yang ketiga kerana kami dapat memperkenalkan rakyat Malaysia kepada penari dan penghibur negara yang sememangnya berbakat besar. "Ini (Showdown) adalah platform terbaik bagi anak-anak muda negara untuk mengetengahkan bakat mereka. Kepada peminat setia Showdown, ini merupakan hadiah daripada kami untuk anda yang sentiasa menyokong 8TV," ujar Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul. Pertarungan kali ini akan memberi peluang kepada juara membawa pulang habuan sebesar RM50, 000. Siapa yang akan menjadi pemenang pada Showdown 2012 tahun ini, jangan lupa saksikan program ini yang telah mula bersiaran setiap hari Rabu pada pukul 9.30 malam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |