Adsense

Sabtu, 7 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Prahara cinta Tamara

Posted: 06 Apr 2012 03:24 PM PDT

Hip

Bintang Cicakman 2 anggap kes permohonan cerai terlalu peribadi untuk dikongsi umum

BARANGKALI prahara yang menerjah adalah sesuatu yang di luar jangkauan umum, apatah lagi sebelum ini tidak pernah tercuit kebahagiaan yang mereka jalani sejak berumah tangga dua tahun lalu. Bagaimanapun, Isnin lalu, aktres kelahiran Bandung, Indonesia, Tamara Bleszynski mengejutkan media di negara kelahirannya apabila mengajukan permohonan cerai daripada suaminya, Mike Lewis.

Permohonan cerai itu dibuat atas kesepakatan bersama dan akui Tamara, 37 serta Mike, 30, hal itu sudah mereka bincangkan semasak-masaknya sebelum diajukan ke Pengadilan Agama.

"Cukup jika kami umumkan sudah membuat permohonan cerai di Pengadilan Negeri Jakarta Selatan. Terlalu peribadi untuk kami kongsi apa punca perceraian ini tetapi kami yakin ini adalah keputusan terbaik buat saya dan Mike.

"Kami berpisah secara baik, malah akur menerima apa saja impak daripada keputusan yang diambil ini," kata Tamara pada sidang media yang diadakan di Rolling Stones, Jakarta Selatan, petang Isnin lalu.

Aktres yang pernah membintangi filem terbitan KRU Studios, Cicakman 2 - Planet Hitam dan Mike, beberapa kali mengulangi pendirian bahawa perceraian itu tidak akan menjarakkan hubungan mereka.
Bahkan, Tamara dan Mike tetap akan bersahabat justeru berharap perceraian yang bakal ditempuhi diakhiri dengan baik tanpa perlu bermasam muka.

"Kami mahu perpisahan ini berakhir dengan baik, malah saya dan Tamara tetap akan bersahabat walaupun antara kami berdua sudah tiada ikatan lagi," kata Mike yang muncul dalam filem Hafalan Shalat Delisa, tahun lalu.

Menyerahkan segala keputusan perceraian mereka kepada pengadilan, Tamara dan Mike akur, perpisahan itu mengundang pelbagai kemungkinan tetapi mereka sudah bersedia menanggung impak yang bakal datang.

Mike dan Tamara bernikah pada 2 Februari 2010 di Bali dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Kenzou Leon Blezynski Lewis yang dilahirkan pada 22 Disember 2010.

Tamara sebelum ini pernah menempuh kegagalan dalam perkahwinan apabila mahligai cinta yang dibina bersama jejaka Aceh, Teuku Rafli Pasya juga berakhir dengan perpisahan.

Bersama Teuku Rafli, Tamara dikurniakan anak lelaki, Rasya Islamy Pasya. Menyentuh masa depan Kenzou, Tamara berkata, perkara itu turut diserahkan kepada undang-undang.

"Saya yang mengemukakan permohonan itu, malah ia dibuat atas keputusan matang selepas perbincangan panjang. Mengenai anak, kami menyerahkan kepada undang-undang," kata wanita yang bermula sebagai model komersial sebelum menekuni dunia lakonan sinetron dan filem.

Awal Februari lalu, Mike yang dilahirkan di Tokyo, Jepun tetapi membesar di Kanada hadir pada tayangan perdana filem, Malaikat Tanpa Sayap sendirian tanpa ditemani Tamara.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan Tamara, jejaka yang mencipta nama selepas membintangi filem, Suster Ngesot pada 2007 ralit bercerita mengenai hobi terbaru isterinya iaitu memasak.

Mike bahkan tidak menafikan, sudah mula terikut-ikut dengan minat Tamara yang cenderung di dapur malah mengakui, fokus wanita itu lebih terarah kepada anak dan menguruskan rumah.

Langsung tidak terkesan riak keretakan dalam rumah tangga apabila Tamara tidak pernah lupa menitipkan air tangannya ketika Mike sibuk di lokasi penggambaran.
"Dia punya bakat terpendam. Mungkin dulu ketika mula berpindah Tamara jarang memasak tetapi dia belajar dan akhirnya menguasai bidang baru itu.

"Ketika anak di sekolah, Tamara akan menghabiskan masa di dapur memasak sebelum dititipkan kepada saya yang sibuk di lokasi. Sempat ia mengundang iri pelakon lain yang ada bersama," imbas Mike mengenai detik kebahagiaan singkat yang dijalaninya bersama wanita berdarah campuran Sunda-Poland itu.

Pernikahan Tamara dan Mike dulu pernah menimbulkan perdebatan terutama jurang usia mereka yang agak jauh, namun kedua-duanya mempertahankan cinta mereka bersandarkan logik, bukan hanya mengikut perasaan.

Hubungan manusia bagi mereka, tidak seharusnya dibatasi usia dan selagi seseorang itu selesa ia tidak wajar dijadikan titik yang menghalang kesucian sebuah percintaan.

"Saya berkali-kali melamar Tamara dan dia menolak. Saya sudah terbiasa hidup dikelilingi wanita cantik kerana tuntutan karier memerlukan saya berdamping dengan mereka.

"Tetapi ketika melihat Tamara, saya juga seperti orang lain yang menilainya sebagai seorang bintang besar jadi saya tidak menaruh harapan terlalu tinggi," kata Mike.

Bukan kerana orang ketiga:

TAMARA mempertahankan badai yang melanda rumah tangga mereka bukan kerana hadirnya orang ketiga atau berlaku kekerasan hingga membuatkan dia dan Mike memilih untuk membawa haluan sendiri.

Sebelum ini sempat bertiup khabar mengatakan Mike berlaku curang dengan pelakon lain tetapi perkara itu berlalu begitu saja apabila kesahihannya tidak dapat dibuktikan.

"Saya dan Mike lebih sesuai menjadi sahabat dan teman, bukan lagi sebagai suami dan isteri. Ia sesuatu yang terlalu peribadi untuk dikongsi tetapi kami berpisah bukan kerana keganasan rumah tangga atau adanya orang ketiga," kata Tamara.

Ketika ditanya apakah mereka masih tinggal bersama sementara perceraian belum disahkan, Tamara dan Mike memilih untuk tidak memberikan jawapan.

"Ia sesuatu yang terlalu privasi, jadi tidak mungkin kami akan bercerita mengenainya. Yang pasti, kami menghormati undang-undang," katanya lagi.

Jurucakap mereka berdua, Malvin Barinding ketika diminta kepastian mengenai punca perpisahan itu berkata, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi bersama khalayak.

"Mereka sudah memilih untuk mengajukan permohonan cerai. Lebih baik mereka menjadi sahabat, malah tiada hal besar yang berlaku.

"Tiada orang ketiga, juga tiada keganasan rumah tangga sebaliknya apa yang berlaku dibuat atas kesepakatan mereka bersama," katanya.

Epik Titanic versi 3D

Posted: 06 Apr 2012 03:12 PM PDT

Hip

Kisah cinta Jack, Rose terus versi 3D buai perasaan penonton

Filem: Titanic 3D Denre: Drama, Cinta, Sejarah Arahan: James Cameron Pelakon: Leonardo DiCaprio, Kate Winslet, Billy Zane, Kathy Bates, Frances Fisher, Gloria Stuart, Bill Paxton, Bernard Hill

Durasi: 3 jam
Tayangan: Mulai 5 April 2012

TIDAK perlu diperkenalkan lagi karya agung James Cameron, Titanic, yang menjadi filem termahal dalam sejarah membabitkan kos AS$200 juta (1996) dengan pulangan kutipan RM5.4 bilion selain keunggulannya sebagai fenomena walau sudah 15 tahun berlalu.

Berbaloi mempertaruhkan gajinya sendiri semata-mata mahu menyiapkan produk yang tertangguh, akhirnya filem epik gah bersandarkan sejarah tenggelamnya kapal persiaran R.M.S Titanic dalam tragedi 15 April 1912 dipertontonkan julung kali pada 1 November 1997 pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo.
Bukan cinta biasa yang angkat sebagai subjek sebaliknya kisah dua darjat antara penumpang kelas tiga, Jack, serta gadis bangsawan kelas pertama, Rose, ialah metafora mewakili senario sebenar masyarakat hingga yang masih dibelenggu sikap tamak, nafsu dan meletakkan kuasa di tempat pertama.

Genre dipaparkan juga saling melengkapi - dari romantis, aksi, suspen hinggalah drama membuatkan filem yang membolot 11 Oscar itu mampu 'membeli jiwa' semua golongan di seluruh dunia.

Kini bagai dinanti, genap 100 tahun tragedi kapal mewah menyembah dasar Lautan Atlantik Utara dengan kedalaman 12,378 kaki di bawah paras laut, James tampil bersama versi lebih segar, Titanic 3D.

Segala-galanya masih kekal sama, tetap klasik, cuma format persembahan diadun menerusi format tiga dimensi yang dikatakan lebih hidup, sejajar transformasi teknologi masa kini malah sudah pasti sutradara tersohor itu mahu membawa kembali filem agungnya dalam nafas baru untuk dinikmati pula generasi muda.

Repertoire yang ditonjolkan menerusi Avatar tiga tahun lalu, juga sebuah filem tiga dimensi yang diperkatakan ramai antara cabaran besar bagi untuk memastikan Titanic 3D lebih hebat daripada itu.

Jangkamasa setahun bersama 300 pakar grafik juga membabitkan kos lebih RM5 juta bukan kerja mudah, apatah lagi mengadun serta meneliti semula gulungan filem yang sudah bertahun tersimpan dalam arkib sejarah.

Begitupun, bagi peminat atau mereka yang membesar dengan naskhah berseni itu, tidak kira 3D atau filem biasa, faktor dinantikan adalah peluang menyaksikan semula Titanic di layar lebar seperti awal kemunculan dulu.

Tidak sama impak tatkala menonton menerusi televisyen walau selebar mana pun skrin kerana kepuasan serta perasaan mengikuti babak dramatik seperti adegan Jack berpesan kepada kekasihnya ketika terapung di laut cukup terkesan sebaik menonton semula filem itu di pawagam.

Apa pun, James hanya mengikuti budaya popular pembikinan filem dunia dengan menerbitkan semula Titanic dalam versi tiga dimensi dan bagi pengikut tegar filem ini, biar disajikan dalam apa jua versi, ia tetap filem klasik yang tidak pudar ditelan zaman.