Kosmo Online - Hiburan |
Pengakuan terbuka Sheila Majid Posted: Pengakuan terbuka Sheila MajidRATU Jazz negara, Datuk Sheila Majid, 47, membuat pendedahan secara terbuka bahawa kebanyakan lagu yang dicipta pada zaman ini tidak melekat di jiwanya dan mudah dilupakan kerana melodinya kedengaran serupa dengan lagu-lagu yang lain. Disebabkan itu dia mengakui perlu bersikap cerewet memilih lagu biarpun perlu mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan lagu baharu. Sikap cerewet Sheila itu juga menjadi bukti mengapa dia masih bertahan dalam industri muzik sehingga kini. "Jika saya bawa kereta dari rumah ke destinasi sambil dengar radio, tak ada satu lagu pun yang boleh diingat. 'It's all can easily forgettable'. Bukan nak kata saya sudah tua tetapi lagu-lagu sekarang kebanyakannya tidak ada jiwa. Ia lebih kepada tempo semata-mata. Kenapa lagu-lagu dulu masih diterima sehingga kini sebab ia ada jiwa dan mampu memberi impak kepada pendengar sekali gus menyebabkan penyanyi itu bertahan sehingga kini. "Sejak dua tahun lalu saya masih tercari-cari dan menunggu untuk dapatkan lagu yang benar-benar kuat dari segi melodi dan juga lirik tetapi tiada," ujarnya jujur selepas sidang akhbar sempena minggu setiausaha, A Day with Living Legend - Sheila Majid di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur. Akuinya, dia banyak menerima lagu daripada pelbagai komposer tetapi sukar untuk membuat pilihan kerana lagu yang diterima tidak begitu kena dengan jiwanya. "Saya memang selektif dalam pemilihan lagu sejak dari dulu lagi. Ada yang lirik okey tapi tak kena dengan melodi. Kedua-dua perlu seimbang. Kalau boleh saya mahu lagu yang boleh menarik jiwa pendengar," jelasnya. Yuna dan Najwa Namun begitu, walaupun Sheila menyelar generasi masa kini dunia muzik tempatan, namun dia penuh berkeyakinan terhadap dua penggiat muzik muda, Najwa Mahiaddin dan Yuna. Berkongsi cerita, Sheila mengakui pernah meminta lagu daripada dua komposer muda iaitu Najwa Mahiaddin dan Yuna kerana tertarik dengan kebolehan mereka menulis dan mencipta lagu dengan baik. "Yuna dan Najwa terkejut apabila saya minta mereka buat lagu untuk saya. Mereka ingat saya bergurau. Hakikatnya mereka benar-benar berbakat dan sebab itulah saya ingin bekerjasama dengan mereka," ungkapnya. Sheila Majid menyerahkan plak yang ditandatanganinya kepada Pengarah Urusan Restoran Atmosphere 360, Datuk Mohd. Sabri Mohd. Nadzir selepas majlis sidang akhbar A Day with Living Legend - Sheila Majid baru-baru ini. Ujar Sheila, seseorang penyanyi itu juga tidak semestinya menerima bulat-bulat lagu yang diberikan oleh komposer, sebaliknya perlu dengar dan buat perubahan agar lagu tersebut menjadi lebih menarik. Sheila juga menyelar penyanyi-penyanyi sekarang yang kebanyakannya lebih banyak menjerit daripada menyanyi. "Cara nyanyian juga penting. Ia patut sedap didengar. Penyanyi sekarang bukan menyanyi tetapi menjerit-jerit," katanya yang bakal muncul dengan album terbaharunya tidak lama lagi. Menurut Sheila lagi, terdapat sebuah lagu Indonesia yang akan diberikan nafas baharu turut dimuatkan dalam albumnya nanti. Sheila juga akan muncul dengan single terbaharunya sebelum kemunculan album penuh. Lagu rezeki Ditebak soalan adakah dia bosan menyanyikan lagu yang sama berulang kali seperti Sinaran atau Ku Mohon pada setiap persembahannya, akui Sheila dia memang bosan. Hakikatnya dia sedar lagu tersebut merupakan lagu 'rezekinya' kerana ia menjadi pilihan pendengar peminat-peminatnya sehingga kini. "Memang saya akui bosan menyanyikan lagu yang sama seperti Sinaran setiap kali persembahan tetapi terpaksa berbuat demikian demi peminat. Sinaran adalah lagu 'rezeki'. Saya tidak boleh kata tidak untuk menyanyikannya. Jika saya tak nyanyikan lagu tersebut peminat akan marah," akuinya. Bercerita tentang konsert Legendary Concert 2012 yang akan berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini, ungkap Sheila, dia sangat teruja untuk beraksi bersama tiga penyanyi hebat iaitu Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin. "Saya sangat teruja untuk buat persembahan dengan mereka. Saya akui banyak belajar dengan Zainal. Ketika itu dia masih dengan Headwind. Dia memang seorang penghibur yang bagus. Dia tak takut untuk bercakap ketika persembahannya. "Menariknya, setiap apa yang dituturkan dirinya membuatkan penonton suka dan terhibur. Dia sangat berpengalaman. Amy pula, walaupun dia tak bercakap banyak masa persembahan tetapi bila dia buat persembahan, dia boleh jadi raksasa. Jamal pula tak perlu menyanyi pun orang sudah teruja tengok dia," ungkapnya jujur. Kongsinya, walaupun masa latihan suntuk kerana ia berlangsung pada hujung bulan ini namun dia tidak tertekan kerana pemuzik-pemuzik konsert tersebut sudah acap kali bersamanya ketika persembahan. Konsert yang dinantikan untuk tahun ini juga dikatakan memberi keterujaan besar buat peminat empat legenda ini kerana hampir semua tiket VIP sudah habis dijual. Konsert yang dibawakan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. itu telah memilih lima lokasi berbeza iaitu di Stadium Larkin, Johor Bahru (5 Mei), Kota Kinabalu, Sabah (19 Mei), Kuching, Sarawak (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini. Eksklusif Sheila SHEILA akan berbabit dalam konsert Legendary Concert 2012 bersama Amy Search, Zainal Abidin dan Jamal Abdillah pada bulan Mei dan Jun ini. Dalam perkembangan lain, Sheila cukup teruja untuk mengadakan persembahan sempena sambutan minggu setiausaha di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini. Bakal mengadakan persembahan selama 45 minit, turut berganding dengannya ialah pelawak dan pelakon Dee. "Ini adalah kali pertama saya akan menyanyi di Menara Kuala Lumpur dan sudah ada beberapa idea untuk persembahan itu nanti," kongsinya yang merupakan artis kedua yang mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha di situ selepas Jamal Abdillah. Sheila juga optimis biarpun harga tiket yang dikenakan agak tinggi ia mampu menarik bukan sahaja bos dan setiausaha malah peminat-peminatnya sendiri. Hanya eksklusif menerima satu tawaran sahaja untuk Minggu Setiausaha, Sheila juga memberitahu, akan menyanyikan sebanyak tujuh buah lagu pada hari itu. Bermula pada pukul 12 tengah hari, tiket untuk menyaksikan A Day with Living Legend - Sheila Majid dijual pada harga bermula RM500 sehingga RM6,500 (berkumpulan). Sebarang pertanyaan mengenainya boleh menghubungi Siti di talian 013-337 7710 atau Jojo, 012-690 3058. |
Memori muda-mudi The Cranberries Posted: Memori muda-mudi The CranberriesBAGI generasi yang lahir pada era 80-an, grup yang berasal dari Ireland yang dikenali sebagai The Cranberries adalah sebuah grup legenda. Mereka memang tidak sebesar nama grup seperti Gun 'n Roses misalnya, tetapi bagi peminat yang menghargai indah sebuah muzik yang diadun bersama unik penggerak atau karakter sesebuah grup, The Cranberries adalah satu alternatif lain untuk menikmati untai lagu yang mengasyikkan. Ditubuhkan pada tahun 1989, grup ini terdiri daripada Dolores O'Riordan (vokalis) Noel Hogan, (gitar) Mike Hogan (bass) dan Fergal Lawler (dram). Melabelkan diri mereka sebagai sebuah grup yang membawa muzik alternatif rock, ironi The Cranberries juga begitu sinonim dengan muzik berentak indie pop, post-punk, Irish folk dan pop rock. Hampir sudah tidak pernah kedengaran lagi berita tentang mereka selepas tahun 2003, The Cranberries tiba-tiba muncul kembali mengisi dahaga peminatnya pada tahun ini dengan album studio penuh yang diberi judul Roses. Album tersebut kemudian telah membawa grup ini kembali menjelajah dunia untuk tujuan promosi dan Malaysia telah menjadi salah satu lokasi persinggahan The Cranberries untuk menghiburkan peminat mereka di sini. Bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tanggal 4 April, The Cranberries membuat persembahan dengan penuh energetik di hadapan lebih 8,000 peminat mereka. Ironi, tak padahal mereka sudah masuk dalam kategori veteran. Namun kelincahan dan vokal Dolores yang masih konsisten serta sama seperti yang pernah direkodkan di dalam album membuatkan The Cranberries seperti kembali muda, sekali gus membawa semua peminatnya juga masuk ke alam muda remaja. Lebih mengujakan apabila mereka mendendangkan hampir semua lagu malar segar mereka yang cukup hit satu ketika dahulu seperti Dreams, I Can't Be With You dan Ridiculous Thoughts. Tidak banyak berkomunikasi tetapi tetap menghiburkan peminat dengan permainan pentas yang tangkas dan gaya tarian bebas oleh Dolores sendiri terus melarutkan peminat di dalam dunia mereka. Malah saat lagu seperti Linger, Ode to My Family, Animal Instinct dan When You're Gone didendangkan, The Cranberries hampir tenggelam dengan jeritan dan sorak serta nyanyian daripada peminat yang sememangnya menunggukan saat lagu-lagu tersebut didendangkan secara langsung selepas sekian lama hanya mendengar ia menerusi kaset, cakera padat atau corong radio sahaja. Berselang-seli dengan untaian lagu malar segar, grup tersebut turut mendendangkan lagu-lagu yang diambil daripada album baharu mereka, Roses. Biar ia masih belum mesra telinga, namun peminat tetap memberi sokongan. Sengaja membiarkan peminat menanti sehingga lebih sejam setengah, barulah mereka melantunkan lagu yang cukup berhantu di seluruh dunia, Zombie. Dengan pukulan drum yang cukup mantap dan petikan gitar serta bass yang sama 'keras' Dolores kemudian menyempurnakan nyanyian dengan gaya santai tetapi cukup mengesankan. Sedikitpun tidak tergelincir vokalnya sewaktu mendendangkan lagu tersebut, sama seperti dia mendendangkan lebih 15 buah lagu lain sebelum itu. Turun daripada pentas tanpa meninggalkan sebarang pesanan, The Cranberries naik semula ke atas pentas selepas peminat terus memanggil nama mereka. Sebagai penutup konsert, mereka mendendangkan empat buah lagu termasuk Salvation dan Promises yang memicu adrenalin peminat. Usai konsert, walau meninggalkan peminat di Malaysia tanpa sebarang ucapan selamat tinggal, The Cranberries tetap akan dikenang kerana telah memberi sebuah persembahan yang mantap dan membangkit memori lama menerusi untaian lagu mereka. Hal itu diakui oleh penyanyi, model dan pelakon Maya Karin yang menyifatkan dirinya sebagai kipas susah mati grup tersebut. "Saya sangat meminati mereka dan tahu semua lagu yang mereka mainkan tadi. "Jika peminat saya ada perasaan untuk memeluk saya apabila mereka bertemu saya, saya mempunyai perasaan yang sama iaitu untuk memeluk vokalisnya, Dolores," ujar Maya yang hadir ke konsert tersebut bersama adik lelakinya. - MALIAH SURIP |
Posted: Siti tidak curigai Datuk KOleh NOOR ASHREEN ISMAIL MENARUH sepenuh kepercayaan terhadap suaminya ini, Siti enggan membiarkan emosi dirinya terganggu dengan gosip yang melanda. BUKAN kali pertama, namun sudah dua kali gosip ini bertiup kencang. Gosip yang mengaitkan suami kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K dengan aktres jelita, Rozita Che Wan. Gosip yang mendakwa Datuk K menjalin hubungan sulit bersama Rozita kembali bersemarak setelah beberapa lama sunyi kerana tidak ada bukti kukuh. Namun pada 17 Mac lalu, muncul gosip dalam blog-blog hiburan mendakwa anak bongsu Rozita iaitu Aniq Ezra Azuar Effendy,14, lari dari rumah sebelum ditemui beberapa jam kemudian di rumah rakannya di Subang Jaya tidak jauh dari rumah. Insiden itu pada mulanya dikatakan ekoran Rozita sudah berkahwin dengan seorang Datuk. Spekulasi timbul kembali mendakwa Datuk yang dimaksudkan itu ialah Datuk K! Isu itu selesai kerana semasa memberi keterangan kepada pihak polis, Aniq Ezra dikatakan mengakui lari kerana merajuk dan berkecil hati dengan sikap Rozita yang dilihat terlalu melebih-lebihkan abangnya iaitu Ammar Effendi, 15. Biarpun begitu, apa yang jelas sekali lagi Rozita dan Datuk K dikaitkan, biarpun tiada bukti kukuh menunjukkan yang gosip yang disebarkan beberapa blog hiburan tersebut benar. Pada masa yang sama ketika diminta mengulas gosip terbaharunya itu, Rozita menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut dan berhasrat untuk menyaman pihak yang mengaibkan dirinya itu. Namun apa pula yang bermain di benak perasaan Siti selaku isteri kepada Datuk K? Kosmo! sempat meminta penjelasan dan menyelami perasaan Siti sendiri setelah dilanda gosip yang sama sebanyak dua kali. Peluang menemu bual figura jelita ini terbuka sewaktu dia hadir dalam sidang akhbar di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada Isnin lalu sempena pengumuman majlis Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012. Kosmo!: Apa komen Siti apabila gosip Datuk K dan Rozita heboh diperkata sekali lagi. Kali ini lagi teruk kerana mereka didakwa telah berkahwin. Siti: Kalau boleh Siti tidak mahu komen kerana jika ditulis, lagi orang akan bercakap. Siti pernah memberitahu rakan-rakan wartawan, Siti malas nak komen kerana akan besar lagi isu ini. Cuma Siti mahu cakap di sini, apa-apa pun fikir dulu sebelum kita buat gosip seperti ini. Siti sudah tiada reaksi yang mahu diberikan. Siti pun langsung tidak bertanyakan tentang hal itu kepada suami kerana Siti tahu memang tiada apa-apa pun yang betul tentang cerita itu. Jadi tiada langsung sepatah perkataan menyebut tentang ini kerana kita tahu kenyataannya bagaimana. Siti tiada perasaan marah sedikit pun terhadap Rozita. Ini kerana bagi Siti cerita ini memang tidak betul dan sengaja diada-adakan. Apa perasaan Siti ketika ini? Biarlah mereka (penyebar gosip menerusi blog di Internet). Sekarang Siti seperti tiada perasaan terhadap perkara ini. Geram memanglah geram tetapi jika kita selalu layan orang begini, memang kita juga yang sakit hati dan pening kepala. Jika orang yang betul-betul tidak kuat dan terbawa-bawa emosi, mungkin mereka akan lakukan sebegitu. Namun bagi Siti, tiada apa pun. Siti percaya kepada suami. Tapi Siti ada tak pergi berjumpa dengan Rozita atau sebaliknya? Tidak sama sekali dan tiada sebab untuk kami berbuat begitu. (ketawa) Adakah ia mengganggu hubungan Siti bersama Rozita sendiri? Andai Siti dan Rozita bersua pada majlis Anugerah Bintang Popular (yang bakal berlangsung pada Ahad ini), kami akan bertegur sapa seperti biasa. Tiada sebab untuk Siti mahu memusuhi Rozita atau mengelak daripada berhadapan dengan dia. Tiada sebab langsung. Ini kerana Siti tahu memang ini semua (hubungan sulit Datuk K-Rozita) tidak berlaku. Rozita ingin ambil langkah untuk saman individu tersebut, justeru adakah Siti juga akan mengambil tindakan yang sama? Ada juga saya dan suami terfikir. Jika betul kami jumpa individu tersebut, memang akan kami lakukan. Namun orang yang di alam maya (penulis gosip blog) ini agak sukar untuk dicari siapakah sebenarnya mereka. Siti rasa kesabaran Siti dan suami hanya Allah sahaja yang tahu. Suami pun kecewa dan mengalami tekanan kerana rakan-rakannya sering bertanya tentang hal ini. Ia sehingga membuatkan fikiran dia benar-benar terganggu. Siti kenal suami Siti, insya-Allah dan rasanya tiada langsung perkara sebegini berlaku, apa lagi untuk mencurigai suami Siti. Andai kata penyebar gosip itu sekali lagi menghebohkan tentang perkara itu di masa hadapan, adakah Siti akan ambil tindakan? Biarlah, kita akan berdoa dan berserah kepada Allah supaya orang yang buat fitnah itu akan diampuni dosa oleh Allah dan kembali ke pangkal jalan. Itu Siti rasa jalan terbaik kerana Siti rasa dia pun tahu, fitnah itu lebih keji daripada membunuh. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |