Adsense

Jumaat, 27 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Pengalaman menakjubkan

Posted: 26 Apr 2012 07:54 AM PDT

DIKHABARKAN bakal menemu ramah Chris Evans, pelakon terkenal yang memegang watak Steve Rogers yang juga Captain America dalam filem baru Marvel, The Avengers, hati penulis melonjak gembira.

Pertama kerana ingin melihat secara dekat bagaimana orangnya dan kedua, kesempatan itu membolehkan kami, media dari pelbagai negara menyelami peribadi aktor berusia 31 tahun ini.

Memandangkan kami dibawa Walt Disney Studios Motion Pictures untuk menonton tayangan premium filem berkenaan, sekali gus diberi peluang bertemu pelakonnya, maka kesempatan itu tidak boleh disia-siakan.

Meskipun sedar temu bual nanti hanya berkisar peranannya sebagai Steve Rogers, itu bukanlah masalah besar dan akhirnya selepas menunggu hampir sejam, Chris masuk ke bilik yang disediakan khas untuk temu bual itu dengan gaya santainya.


Memulakan perbualan dengan menceritakan pengalamannya serba sedikit menjadi Captain America dalam pasukan Avengers, Chris berkata, dia rasa bertuah dan gembira kerana digandingkan bersama barisan pelakon yang gila-gila.


"Di set penggambaran, kami banyak ketawa dan masing-masing tidak berasa tertekan. Kami seronok menjayakan filem ini dan sudah menjadi seperti keluarga kecil.

"Orang mungkin berkata terlalu ramai adiwira dalam satu filem akan menyebabkan pergeseran pendapat dan pertelingkahan, tetapi hakikatnya itu tidak berlaku kepada kami.

"Benar kami ada bergusti dalam filem ini, tapi kami juga pada masa sama menari terutama apabila ada seorang saja 'bunga' (merujuk kepada aktres, Scarlett Johannson) di set penggambaran," selorohnya.

Walaupun Steve Rogers digambarkan sebagai seorang pendiam dan sukar menyesuaikan diri dengan keadaan, Chris jelas tidak mewarisi sikap itu. Bahkan pemilik nama penuh Christopher Robert Evans itu tetap bebas bercerita termasuk mengulas perasaan bangganya apabila dapat membintangi filem yang turut dibarisi idolanya.

Merujuk kepada Robert Downey Jr dan Samuel L Jackson, katanya, dia membesar dengan menghargai dua aktor terhebat itu dan kerjasama antara mereka sudah tentu menyimpan seribu kenangan.

"Apa yang anda lihat dalam filem tidak sama dengan yang berlaku di luar set. Kami memang mesra, bertukar cerita dan sering ketawa.

"Downey tetap dengan kelakarnya hingga kadangkala kami terpaksa menahan buat muka serius untuk memastikan tumpuan tidak terganggu. Betul, kami lebih banyak ketawa.

"Saya teruja kerana menjadi Steve Rogers membolehkan saya bersama mereka semua. Ini satu pengalaman yang menakjubkan. Sebelum ini, saya menonton semua filem Marvel dan sekarang saya sangat teruja kerana menjadi sebahagian daripada sejarah Marvel," katanya yang memperlihatkan sifat merendah diri.

Bakal menyambut hari lahir ke-31 pada 13 Jun depan, Chris yang dibesarkan di Massachusetts memulakan kariernya di teater sebelum berpindah ke New York di mana dia melanjutkan pengajian di Lee Strasberg Theatre and Film Institute.

Minat mendalamnya terhadap seni lakonan meletakkan Chris sebaris pelakon ternama lain terutama selepas membintangi sekuel Fantastic Four sebagai Johnny Storm aka The Human Torch pada 2007.

Jelasnya, banyak filem aksi yang sudah dilakonkan sebelum ini, namun dia tetap perlu memastikan diri sentiasa gagah, berkeadaan baik dan sesuai bagi menjayakan sesuatu watak.

"Untuk itu dalam filem ini, saya banyak berusaha memastikan Captain America sentiasa nampak hebat di mata penonton walaupun jauh di lubuk hati Steve Rogers itu sebenarnya berasa sunyi.

"Banyak bermain dengan perasaan apabila awalnya Steve Rogers perlu dilihat sebagai terasing selepas terperangkap dalam ketulan ais pada penghujung Perang Dunia Kedua dan hilang rentak sebagai pejuang.

"Dia juga perlu menyesuaikan diri dengan dunia moden, bertegang urat dengan Tony Stark (Robert Downey Jr) yang hebat dalam semua perkara, tapi akhirnya dia berjaya. Mereka semua berjaya," katanya.

Ditanya mengenai pakaian adiwira yang dipasangkan ke badannya, Chris memberitahu 'sut' itu menerima suntikan pembaharuan yang menyerlahkan lagi penampilan Captain America seiring perubahan zaman.

Bagaimanapun, jika ditanya mengenai keselesaan berpakaian begitu, dia berkata lebih rela menjadi adiwira itu daripada menjadi The Hulk ataupun Iron Man.

"Sekurang-kurangnya saya hanya mengenakan pakaian ketat dibandingkan The Hulk atau Iron Man. Sesungguhnya kami lebih tahu azabnya berpakaian begini.

"Sebab itu masing-masing tidak berjenaka dengan 'sut' kami sebab ia memang tidak selesa," katanya.

The Avengers arahan Joss Whedon yang turut dibintangi oleh Mark Ruffalo, Chris Hemsworth dan Jeremy Renner mula ditayangkan di Malaysia pada hari ini.

ia mengisahkan Nick Fury, pengarah organisasi keamanan S.H.I.E.L.D menyatukan empat adiwira Iaitu Iron Man, Hulk, Thor dan Captain America untuk menentang Loki daripada memusnahkan dunia.


Jamal rindu kehidupan lalu

Posted: 26 Apr 2012 07:45 AM PDT

BUKAN tidak bersyukur kehidupannya kini jauh lebih baik daripada masa lampaunya dalam semua aspek, namun ada sesuatu yang kosong. Kekosongan itu dirasakan setiap kali bersujud di atas bentangan sejadah. Air matanya tidak lagi mampu mengalir seperti mana dulu dia berasa dirinya teramat kecil dan hina.

"Saya bersyukur diri saya sudah pulih sepenuhnya dan tidak lagi bermasalah. Cuma setiap kali solat saya sudah tidak dapat 'feel' yang macam dulu atau khusyuk ketika menyerah diri pada Yang Maha Esa.

"Mungkin masa itu saya terasa hina, membuat saya menangis terisak-isak. Kerdil sungguh ketika itu saya rasakan dan kepada-Nya saya selalu memohon agar bimbinglah diri saya dan ubati masalah saya.

"Sekarang ini kalau bersolat, sudah tidak dapat 'feel' itu lagi. Tengah sembahyang tiba-tiba teringat 'cek' dah masuk akaun ke belum atau kereta sudah berkunci ke tidak. Saya tak boleh khusyuk macam dulu dan saya benci bila saya begini.


"Saya mahukan kehidupan sihat saya ini berjalan seiring dengan ibadah saya kerana khusyuk dalam bersolat itu adalah satu nikmat," katanya dalam satu pertemuan di Hotel Istana, Jumaat lalu.


Hampir 45 minit menemu bual Raja Pop yang terkenal menerusi rangkaian lagu hit seperti Azura, Gadis Melayu dan Penghujung Rindu, banyak sisi menarik ditemui dalam diri figura itu. Salah satunya, kemampuannya bertahan selama 33 tahun.

Meskipun kisah masa silam pernah menggugat karier seninya namun Jamal tetap diminati ramai. Buktinya nama Jamal antara yang berada di tangga teratas dalam 'senarai' penganjur persembahan.

Sememangnya, gemersik vokal jantan miliknya tiada galang ganti dan ia menjadi sebutan sejak menjuarai Bintang RTM 1979 dan karisma yang dianugerahkan Ilahi itu menjadi aset paling berharga yang meneruskan legasi Jamal di pentas seni.

Di sebalik namanya yang terus menjadi rebutan, timbul pula dakwaan kononnya Jamal tidak pandai menjaga 'eksklusiviti' atau erti kata lain 'tamak'.

Untuk tahun ini saja Jamal terbabit dalam dua persembahan Hari Ibu, salah satunya Majlis Makan Malam Amal Hari Ibu 2012 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 Mei (Ahad) 2012, jam 8 malam. Selang beberapa minggu dari tarikh berkenaan, Jamal bakal menggegarkan pentas Hari Ibu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur (KL).

Persiapan yang dilakukan penghibur kelahiran Teluk Intan, Perak, itu, tidak terbatas pada Hari Ibu saja malah, Minggu Setiausaha juga Konsert Legenda yang membabitkan tiga lagi figura tersohor, Datuk Sheila Majid, Amy Search dan Zainal Abidin yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Saya bukan tamak dengan mengambil semua persembahan. Majlis Hari Ibu misalnya, saya ditawarkan tiga tempat sekitar KL saja, tetapi cuma satu yang diambil. Saya tidak ambil sebarang persembahan melainkan terima tawaran dengan kontrak yang eksklusif saja.

"Sebenarnya, sukar untuk saya menolak tawaran sebegini kerana penganjur membayar dengan harga sangat tinggi. Tentunya satu penghargaan kerana dalam lambakan wajah baru, saya masih menjadi pilihan mereka.

"Kalau ada yang beranggapan, mengambil dua persembahan berkonsepkan tema yang sama boleh menjejaskan jualan tiket salah satu persembahan, itu saya kurang setuju.

"Lagipun saya percaya strategi promosi yang dilakukan penganjur antara faktor utama menyumbang kejayaan sesebuah persembahan.

"Tidak boleh menggunakan nama artis saja kerana pernah dulu saya menjayakan persembahan membabitkan Amy Search, Ramli Sarip dan Mawi, yang datang cuma 200 orang," katanya.

Jamal menambah, selagi ada permintaan tidak seharusnya dia melepaskan peluang kerana suatu ketika dulu dia banyak menolak peluang.

"Dulu saya jarang terima undangan persembahan kerana tidak berani membuat kemunculan di khalayak ramai kerana berasa malu dengan diri sendiri walhal permintaan sangat tinggi ketika itu. Namun, apapun sejarah silam saya, peminat tetap mahukan saya jadi mengapa tidak saya memanfaatkan peluang itu sekarang, sekali gus menebus kekhilafan," katanya.

Mahu menerapkan unsur kasih sayang dalam persembahan Hari Ibu nanti, bapa kepada Osama Yamani, 11 dan Ahmad Zaki, 6 tahun itu tidak pernah meletakkan noktah dalam perjuangannya.

Sempena hari istimewa berkenaan khususnya di SACC, Jamal juga akan beraksi sambil bermain gitar. Dia mempunyai perancangan memasuki kelas muzik untuk mendalami ilmu gitar dan piano secara profesional.

"Memasuki kelas muzik, antara inisiatif saya untuk terus relevan berada dalam industri muzik. Saya tidak mahu peminat bosan mendengar saya menyanyi saja," katanya.

Persembahan Hari Ibu ini turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi Ibnor Riza selaku artis undangan dan Ifa Raziah sebagai pengacara majlis. Tiket berharga RM250, RM350 & RM500.