Hip
Sam kenali Wawa lebih dekat lagi menerusi filem terbaru KEDUA-DUANYA pernah menghiasi dada akhbar gara-gara gosip kononnya mereka sedang hangat berkasih. Maklum saja, apabila ia membabitkan kisah cinta Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABBPBH) 2011, Shaheizy Sam, siapa yang tidak ingin membacanya?
Gosip terbabit juga sedikit sebanyak mempopularkan lagi nama Wawa Zainal, si manis yang turut bernaung di bawah pengurusan MIG Talents, yang kini mula menyerlah menerusi beberapa filem seperti Sumpahan Kum Kum dan Hantu Dalam Botol Kicap. Masing-masing juga sudah pun membuat penafian, seterusnya menjelaskan kedudukan sebenar. Namun, pasangan ini akhirnya bersatu juga, walaupun hanya dalam filem. Mereka akan berlakon bersama dalam Kisah Paling Gangster arahan Brando Lee, terbitan B&L Kreatif dengan kerjasama Metrowealth Pictures.
Mengaku digandingkan secara kebetulan, Sam mahupun Wawa bagaimanapun menganggap amanah diberikan itu tetap tanggungjawab yang cukup besar dan akan dilaksanakan sebaik-baiknya.
Sam juga memberitahu, tentunya peluang terbabit akan digunakan untuk dia mengenali rakan lakon berusia 21 tahun dari Lahad Datu, Sabah, itu dengan lebih dekat lagi.
"Sebenarnya saya tidak terkejut dengan gandingan ini. Pada masa sama, saya tidaklah berasakan pihak produser mengambil kesempatan atas gosip membabitkan kami. Sebaliknya saya tahu MIG akan sentiasa mengambil pendekatan menggandingkan kesemua pelakon di bawah naungannya untuk apa-apa saja filem terbitan mereka.
"Mungkin selama ini, jika ada yang menyangka saya betul-betul punya hubungan dengannya, ia perkara yang tidak mustahil. Apabila saya diberi peluang berlakon dengan sesiapa saja, saya akan cuba mengenali orang itu dengan lebih rapat lagi.
"Jika saya tidak ada inisiatif mengenalinya dan ada rasa malu, susahlah untuk kita bekerjasama. Saya pernah berdepan dengan situasi seperti ini. Daripada pengalaman berlakon bersama, saya boleh rapat dengan seseorang, seperti bersama Yana Samsudin serta beberapa pelakon wanita lain. Dengan Wawa pula, mungkin inilah masanya saya harus mengenalinya," kata Sam.
Seperti biasa, Sam tidak malu untuk 'bercinta' dengan pasangannya dan percaya, 'cinta lokasi' wujud dalam industri perfileman tempatan.
"Bagi mendapatkan keserasian dengan lebih cepat, saya harus mendekati setiap pelakon. Saya akan ajak dia bersembang atau makan bersama, untuk dia lebih rasa selesa dan jika boleh, sentiasa duduk berembang dan berbincang.
"Saya percaya pada cinta lokasi, sebab bila membawa babak percintaan, saya sentiasa percaya yang saya sedang bercinta. Ada ketikanya saya percaya semua pelakon akan melakukan perkara sama, tetapi tidak boleh sehingga terkeluar daripada kenyataan yang dia hanya berlakon. Memang ada juga berlaku, dek terlalu mendalami watak, ia terbawa-bawa ke luar produksi," katanya.
Wawa pula sama sekali tidak takut dengan gosip percintaan mereka, memandangkan hati dan perasaan hanya boleh dikawal diri sendiri.
"Buat apa harus saya takut dengan gosip berkenaan kerana perasaan itu hanya boleh dikawal oleh kita sendiri. Jika kita kata tidak mahu, maka ia tidaklah berlaku.
"Walaupun saya harus bercinta dengan Sam dalam filem ini, namun saya tetap menghormatinya sebagai seorang ikon, idola dan abang yang akan mendidik saya. Inilah peluang untuk saya belajar dengannya.
"Bermula dari sesi bacaan skrip lagi saya sudah banyak bertanya kepadanya dan mendengar segala pendapat yang diberikan," katanya yang mengaku tidak sukar untuk mendapatkan keserasian bersama Sam memandangkan pelakon pujaannya itu sentiasa bersikap profesional, peramah dan merendah diri.
Filem Kisah Paling Gangster yang menjalani penggambaran bermula hari ini turut dibintangi Epy (Raja Lawak), Alex Yanz, Fyza Kader, Zul Suphian, Mikael Andre, Shajiry, Wan Hanafi Su dan Razib Salimin.