Adsense

Khamis, 12 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Prihatin nasib kanak- kanak

Posted: 11 Apr 2012 08:38 AM PDT

SEBAIK membuka mulut memula bicara, Jaclyn Victor mengatakan kurang berminat membaca akhbar kebelakangan ini. Mengapa begitu?

Alasan diberikan tidak sanggup melihat dan meleret mata membaca cerita mengenai kanak-kanak diculik, didera dan dibunuh!

"Apa sudah jadi dengan masyarakat kita sekarang? Apa terpampang dalam berita sangat menyentuh jiwa dan perasaan. Saya jenis suka kanak-kanak kerana mereka anugerah tidak ternilai dalam hidup.

"Jika hendak melepas geram atau ada tujuan tertentu lain berkaitan dendam atau sakit hati, janganlah jadikan kanak-kanak sebagai mangsa. Keadaan itu membuat saya berasa takut kerana tidak tahu apa jenis apa manusia zaman sekarang.


"Saya berharap cerita mengenai penderaan fizikal terhadap kanak-kanak berubah dan orang dapat berfikiran dengan lebih waras dan menjadi lebih baik. Sebagai warga prihatin, saya mahu melihat Malaysia ceria dan memiliki lapisan masyarakat bersifat penyayang.


"Memang tiada siapa mahu keadaan itu berlaku tetapi jika ia hendak berlaku, sekelip mata boleh berlaku.

"Tetapi peranan kita adalah perlu prihatin dengan persekitaran dan tidak leka membiarkan kanak-kanak bersendirian atau membiarkan mereka keluar tanpa diawasi orang dewasa," katanya selepas sesi fotografi di pejabat Harian Metro, baru-baru ini.

Jac kini tampil dengan single Sebelah Jiwaku yang dianggap bersesuaian dengan gaya dan lenggok nyanyiannya. Buat masa ini, lagu Sebelah Jiwaku sudah pun diputarkan oleh kebanyakan stesen radio sejak beberapa minggu lalu.

"Bagi saya, lagu ini tidak terlalu sukar dibawa. Hanya beberapa kali mencuba, saya sudah dapat membawanya. Lagipun, saya suka lirik lagu ini adalah mengenai cinta dan perasaan dalam diri semua orang dan semua orang patut meluahkannya dengan cara baik terhadap orang lain terutamanya orang yang disayangi.

"Rentak lagu ada elemen rancak, upbeat 'tempo' dan paling penting, lagu ini bukan jenis 'poop bubble-gum'!

Jac kini sibuk membuat persiapan terbaik untuk program realiti Mania. Penyanyi dikenali dengan lagu Gemilang ini bernaung di bawah kendalian komposer dan produser, Aubrey Suwito.

"Saya tidak kisah bekerjasama dengan mana-mana produser kerana masing-masing ada gaya dan pendekatan tersendiri. Apa yang penting dapat meningkatkan kualiti nyanyian dan mencapai tahap diharapkan. Sekarang saya hanya menunggu konsert sebenar dan bersaing bersama penyanyi di bawah produser lain seperti Datuk M Nasir dan Ahmad Dhani," kata penyanyi memiliki vokal lantang ini.

Menyelami hobi yang sering dilakukan sejak bergelar penyanyi popular dan juara Malaysia Idol musim pertama, Jac berkata: "Antara hobi paling disukai selain menyanyi adalah membaca buku. Sejak beberapa tahun lalu, saya banyak mencari ilham baru dalam hidup.

"Sekarang ini, jika tiada jadual nyanyian atau persembahan, saya lebih suka menghabiskan masa mengunjungi kedai buku di mana saja jika ada kesempatan.

"Antara buku kegemaran adalah autobiografi mengenai sejarah dan karakter pemimpin pernah dilahirkan di seluruh dunia. Antara buku yang saya suka adalah mengenai Mahatma Gandhi, Winston Churchill, Memoir Of A Geisha dan Mao Tze Tung.

"Salah satu rak buku saya sekarang dikhususkan untuk menempatkan buku-buku terbabit. Membaca buku seumpama itu dapat memberi gambaran bagaimana mereka melihat dan melalui hidup sebagai pemimpin dan mempengaruhi masyarakat dunia.
Bukan untuk mengambil bulat-bulat tetapi menilai apa yang positif.

"Sebagai contoh, lebih baik membaca buku dulu sebelum menonton filem diketengahkan ke layar perak kerana dari situ, kita mendapat gambaran lebih jelas dan tahu apa kekurangan atau kelebihan," katanya.

Ditanya status dan kisah cinta 'jarak jauh' dengan jejaka yang mengikat tali pertunangan dengannya berasal dari England, Jac, 34, berkata: "Semuanya bergantung kepada takdir. Saya ada komitmen dan keluarga di sini. Sama juga sepertinya di sana. Tapi saya tidak mahu meninggalkan keluarga di sini dan bergegas ke England.

"Bagi saya, cinta dan perkahwinan ikatan suci dan wajar dihormati sebaik mungkin. Saya tidak mahu cinta dua hati berakhir ketika hidup kerana ia sepatutnya tetap 'membara' hingga akhir hayat."




KL bakal diserang zombi

Posted: 11 Apr 2012 08:19 AM PDT

JIKA sebelum ini novel penulis lain diketengahkan menjadi filem, bagaimana pula pengarah dan penulis buku novel itu sendiri yang mengenengahkan novelnya menjadi sebuah filem?

Menerusi filem terbaru bertajuk KL Zombie arahan Woo Ming Jin atau MJ Woo, ia menyaksikan sebuah adaptasi berdasarkan novel bukufixi bertajuk Zombijaya, karya bersama novelis, Adib Zaini dan MJ Woo sendiri.

Filem ini membariskan pelakon popular seperti Zizan Razak, Siti Saleha, Faezah Elai, Usop Wilcha, Izara Aishah, Zain Ruffedge dan ramai lagi.

Mengenengahkan genre aksi komedi, KL Zombie menggambarkan keadaan sekitar Kuala Lumpur apabila penduduk bandar ini dikelilingi 'zombi' atau mayat hidup.

Barangkali kalau sebuah filem 'Zombi Melayu', pasti ramai akan teringatkan filem arahan Mamat Khalid, Zombie Kampung Pisang.

Kata MJ, filem ini adalah filem komersil ketiga arahan beliau dalam tempoh sembilan tahun berkarya.

"Saya lebih banyak membuat filem bercorak kesenian sepanjang tempoh itu. Ini adalah pengarahan ketiga selepas dua kali bekerjasama dengan Pierre Andre menghasilkan dua filem iaitu Salon pada 2005 dan Seru yang ditayangkan April tahun lalu.

"Beberapa filem seni arahan saya seperti The Tiger Factory dan beberapa lain pernah ditayangkan pada Festival Filem Venice (Itali), Festival Filem Cannes (Perancis) dan Fetival Filem Berlin (Jerman).

"Menjadi 'passion' saya untuk bekerjasama dengan mana-mana pengarah bagi menghasilkan filem terutamanya bercorak 'thriller' dan komedi. Ia akan menjadi lebih menarik jika diselitkan elemen komedi yang kebetulan salah satu genre kegemaran saya," katanya pada sesi sidang media dan penggambaran beberapa babak terakhir KL Zombie di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Penulis novel Zombijaya, Adib pula berkata sebanyak 50 peratus elemen filem ini diketengahkan daripada novel Zombijaya.

Katanya, sebahagian jalan ceritanya disesuaikan dengan latar dan jalan cerita tersendiri yakni berbeza daripada apa pernah disaksikan peminat di pawagam.

"Idea untuk membuat filem ini juga datang daripada filem dan drama bersiri dari luar negara yang berkisar mengenai zombi menyerang bandar. Kami bercadang dan mengambil keputusan mengenengahkan novel Zombijaya menjadi sebuah filem kira-kira empat bulan lalu," katanya.

Zizan, pelakon komedi pujaan ramai masa kini memegang peranan sebagai Nipis.
Dia seorang 'wira kebetulan' ditonjolkan untuk membantu menyelamatkan rakan-rakan lain dalam filem ini dan menyifatkan gandingan bersama pelakon lain sebagai sangat menyenangkan.

"Barisan pelakon dipilih cukup 'sporting', kena dengan gaya dan ada karakter tersendiri. 'Mood' kami ketika berada di lokasi sungguh menyeronokkan apatah lagi filem ini ada lebih 100 zombi dengan wajah tidak sama satu sama lain.

"Ini sudah tentu pengalaman berbeza kerana dapat merasakan bagaimana diri seseorang berada dalam keadaan panik apabila diserang zombi dan lebih menakutkan apabila ia datang dengan tujuan mahu menggigit manusia.

"Kebanyakan babak dibuat secara 'cool' dan kru petugas memberikan kerjasama terbaik. Skripnya juga mantap dan saya lega kerana penggambaran selama sebulan sudah berakhir.

"Sekarang kami cuma menunggu filem ini ditayangkan pada 2013. Kehadiran Abang Usop juga menjadikan filem ini sangat lucu dengan aksi spontan beliau," katanya.

Kata Siti Saleha yang memegang watak sebagai watak Nora, KL Zombie mencabar dirinya kerana terpaksa belajar seni mempertahankan diri.

"Nora seorang rakan baik banyak bertarung dengan zombi dan menariknya, setiap zombi yang perlu saya lawan berwajah menggerunkan.

"Saya kagum dengan teknik solekan berkualiti tinggi dalam KL Zombie. Nilai positif iaitu persahabatan juga ditonjolkan dalam KL Zombie," katanya yang baru menyiapkan filem dunia persilatan bertajuk Pak Pung arahan Fauzi Nawawi.

Kos menghasilkan filem KL Zombie menelan bajet RM1.3 juta ini adalah terbitan Lightbulb Pictures, anak syarikat Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).