Adsense

Khamis, 12 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tawar hati

Posted: 11 Apr 2012 03:59 PM PDT

Hip

Rita Rudaini rela besarkan anak-anak sendirian

HATINYA sudah tawar malah andai ditakdirkan gelaran janda bakal disandang, Rita Rudaini Mokhtar, 36, reda dengan takdir yang ditentukan untuknya.

Bagi pelakon yang juga ibu kepada kepada dua cahaya mata itu, tiada apa perlu ditangisi kerana dia sudah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan sebaik suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, meninggalkan rumah kelamin mereka buat kali kedua sejak empat bulan lalu. Hanya syukur diluahkan pelakon jelita itu. Jujur katanya, Allah mengurniakan anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, yang memberi kekuatan untuk terus melangkah walau berdepan kemelut rumah tangga yang bagai tiada penghujungnya.

"Demi Tuhan, hidup saya kini hanya untuk mereka (anak-anak). Biarlah saya hilang segala-galanya, bukan hilang permata hati saya ini. Saya boleh mati jika dipisahkan daripada anak-anak saya.

"Tiada sesiapa pun boleh merampas mereka. Hanya Allah yang boleh memisahkan kami. Apa pun, kebenaran akan terbukti," luahnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Tampil anggun mengenakan gaun hitam dengan dua kuntum mawar merah diselitkan di rambut ikalnya, biar berdepan dugaan hebat, wajahnya sentiasa tenang dan tersenyum manis menyambut sapaan kenalan serta saudara mara.
Sentiasa di sisi ialah permata sulung yang seakan-akan tidak mahu lepas dari rangkulan si ibu. Masih terlalu kecil untuk memahami situasi sekeliling namun terlihat garis gembira pada wajah akan kecil itu apabila sentiasa mendapat perhatian bonda.

Cukup tabah wanita nan satu ini. Tidak setitis pun air mata mengalir tatkala berbicara perihal episod rumah tangganya termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) kiriman Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan itu memaklumkan permohonan cerai sudah diwakilkan peguamnya.

Calang-calang insan, pasti berendam air mata sebaik menerima perkhabaran tidak di duga ini apatah lagi dimaklumkan akan diceraikan ketika menyambut ulang tahun. Sementelah hanya dikirim menerusi SMS!

"Empat tahun berkahwin, saat bahagia boleh dikira dengan jari. Saya berkahwin bukan disebabkan harta kerana sejak dulu saya sudah biasa berdikari. Saya kahwin dengannya kerana cinta dan sayang. Saya cuma mahu lelaki yang tegas untuk menjadi pelindung kami serta bertanggungjawab terhadap anak-anak.

"Apabila dia memaklumkan sudah mengemukakan permohonan (cerai), saya hanya menunggu proses selanjutnya. Tarikh serta sebutan di mahkamah juga belum diputuskan," katanya yang mengakui sejak keluar dari kediaman mereka hanya sekali Aidil berjumpa dengan anak-anak iaitu baru-baru ini.

Ditanya soal nafkah terutama perbelanjaan anak-anak, agak lama membungkam baru pelakon kelahiran Perlis Indera Kayangan itu bersuara.

Bukan mahu memalukan sesiapa, cuma dia kesal kerana Aidil bukan hanya tidak menjenguk darah daging sendiri, sepanjang tempoh berkenaan Rita ibu, Rita juga ayah.

Datuk dan nenek di sebelah sana juga sama menyepi, langsung tidak bertanya khabar cucu mereka.

Biar betapa kuat pun hatinya, tumpah juga air jernih di pipi saat menatap wajah si kecil yang lena di pangkuan ketika ibunya di kelilingi wakil media. Entah apa yang bersarang di fikirannya, sekali lagi Rita terdiam seketika.

"Semua ini dugaan. Saya yakin Allah tidak akan menguji hambaNya yang lemah. Apabila melihat anak-anak ini, jiwa saya tenang dan semakin kuat. Saya tidak menyesal demi cinta dan sayang, saya turutkan bernikah di sempadan. Dikecam ramai malah pernah dipulaukan media. Saya hanya mahu buat perkara elok dan halal.

"Cuma saya sedih apabila bapa kepada anak-anak ini melepaskan tanggungjawabnya. Saya tidak akan memisahkan hubungan bapa dan anak. Dulu Rayyan akan memanggil bapanya jika nampak Aidil di TV, sekarang jika saya panggil untuk menunjukkan gambar bapanya, dia akan memandang tempat lain.

"Anak-anak saya terlalu kecil untuk berdepan semua ini. Sebagai ibu, saya akan lakukan apa saja demi melindungi mereka. Buat Aidil, terima kasih di atas segala-galanya," katanya yang sedari awal sebenarnya mahu meraikan ulang tahunnya dengan gembira, bukan berbicara mengenai Aidil.

Diajukan pertanyaan sekiranya pihak di sebelah sana menyuarakan alasan, Rita tersenyum sinis dan menegaskan Aidil bebas bersuara namun untuk menyerahkan anak, tidak sesekali.

Zafuan nafi tak jenguk anak

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, sudah memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya yang juga pelakon terkenal, Rita Rudaini Mokhtar, 36, melalui peguamnya di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, kelmarin.

Pemain pertahanan yang kini beraksi dengan pasukan Tentera dalam saingan Liga Malaysia itu, sudah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Rita melalui SMS.

"Memang saya ada failkan sesuatu (permohonan cerai) melalui peguam di Mahkamah Petaling Jaya, semalam (kelmarin). Saya pun sudah maklumkan dengan dia (Rita) mengenai perkara itu dan Rita meminta supaya dipercepatkan.

"Saya serahkan kepada peguam menguruskan perkara itu," katanya di Seremban, semalam.

Mohd Aidil Zafuan berkata, tindakan itu terpaksa dilakukannya sebagai jalan penyelesaian terhadap kemelut rumah tangganya yang berlaku sekian lama sehingga menjadi perhatian ramai walaupun mengakui ia bukan keinginannya.

Bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan itu turut menafikan dakwaan mengatakan dia mengabaikan tanggungjawab keluarga terutama dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 3 dan Airit Rafqa Arjuna, 1.

"Saya terkejut apabila dia (Rita) mengatakan saya tidak menjenguk anak-anak. Semuanya tidak benar. Minggu lalu saya baru pulang, malah setiap hari saya menghantar SMS kepadanya bertanyakan khabar anak tetapi dia (Rita) tidak balas.

"Saya masih waras dan tidak akan meninggalkan mereka (anak-anak) begitu saja, saya tahu akan tanggungjawab sebagai bapa mereka," katanya yang sedikit kesal dengan kenyataan isterinya itu.

Mengulas lanjut hubungannya dengan keluarga Rita, Aidil yang juga abang kembar kepada seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha, berkata dia tidak mempunyai masalah dengan keluarga mentuanya dan mereka bukan penyebab dia memfailkan permohonan cerai.

Sementara itu, bapa mereka, Abd Radzak Salleh, 62, berkata dia tidak mengetahui apa-apa mengenai tindakan anaknya itu walaupun mengakui keadaan rumah tangga mereka berdua bermasalah sejak sekian lama.

KRU Music aktif asah bakat baru

Posted: 11 Apr 2012 03:55 PM PDT

Hip

PENGERUSI bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH, Zainuri Misfar (dua dari kiri) dan KC Ismail (kanan) menjadi juri BIBH sempena Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Village Mall Sungai Petani.

PENGERUSI bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH, Zainuri Misfar (dua dari kiri) dan KC Ismail (kanan) menjadi juri BIBH sempena Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Village Mall Sungai Petani.

Terbit, pasarkan artis sudah ternama namun giat cungkil penyanyi muda

SYARIKAT produksi Kumpulan KRU tidak mahu mengetepikan pembabitan dalam bisnes muzik apabila mereka mewujudkan satu bahagian khusus, KRU Music.

Ia dilihat bagi mengimbangi 'personaliti' KRU itu sendiri yang sejak kebelakangan ini lebih menonjol dalam sektor penerbitan filem. Menurut Timbalan Presiden Media dan Muzik, KC Ismail, sejak KRU Music ditubuhkan banyak projek lama dan baru yang diusahakan, bukan saja menerbitkan dan memasarkan penyanyi yang sudah ada nama seperti Datuk Sharifah Aini, Jaclyn Victor, kumpulan Forteen dan VIP, tapi turut mencari bakat baru untuk diketengahkan.

Katanya, KRU Music mahu menjadi adalah syarikat yang sentiasa aktif menghasilkan muzik dan memasarkan penyanyi secara konsisten. Mereka lebih aktif mencari bakat untuk dipasarkan.

"Sebelum ini kami ada membuat majlis pengumuman untuk Jaclyn Victor, manakala bagi Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah kami akan adakan acara rasmi dalam masa terdekat.

"KRU Music turut mencungkil bakat baru, yang mana dengan diberi peluang sebagai juri untuk pertandingan nyanyian anjuran Berita Harian, iaitu Bintang Idola Berita Harian (BIBH), saya dapat melihat ramai bakat yang boleh diasah untuk dijadikan penyanyi.
"Sebelum ini juga, pemenang BIBH yang lalu iaitu Baby Shima dan Azhar sudah pun kami ambil sebagai artis naungan KRU Music, serta pemenang BIBH yang terbaru, Kamilia Razwanis pun secara automatik bernaung di bawah syarikat kami.

"Selain mereka bertiga, melihat kepada keupayaan dan bakat yang ditonjolkan oleh naib juara BIBH2012 baru-baru ini, iaitu Syazira Hassim, kami juga akan mempertimbangkan untuk mengambil dia. Kami akan memberi peluang untuk Syazira dan dia akan menjalani uji bakat bersama Edry Abdul Halim tidak lama lagi.

"Syazira pun masih muda, dan dia mempunyai banyak masa lagi untuk diasah bakatnya," katanya.

KC berkata, di KRU Music mereka tidak mahu melakukan semuanya serentak dan dalam keadaan kelam kabut dan kaedah ini adalah untuk mengelakkan daripada menghasilkan penyanyi seperti 'mi segera'.

"Mencuba sesuatu yang berbeza, tahun ini juga kami ada mengedarkan produk dari Indonesia, di mana kami memasarkan album untuk penyanyi dari sana seperti Angie dan Raisa untuk pasaran di sini. Kami hanya bertindak sebagai pengedar untuk album mereka dan kami sedang mencari lagi artis yang berbakat untuk dipasarkan," katanya yang akan keluar dengan pelbagai produk lagi di sepanjang tahun ini.

Sementara itu, sempena kemunculan filem 29 Februari, iaitu filem muzikal tiga demensi (3D) pertama terbitan KRU Studios nanti, tiga lagu runut bunyi akan dikeluarkan serentak yang dinyanyikan oleh Jaclyn Victor, Sharifah Aini dan Remy Ishak.

KRU Music juga sedang giat untuk memperkenalkan projek khas mereka iaitu kumpulan Mojo yang dianggotai oleh Edry sendiri selain Aweera itu bekas peserta One In A Million musim ketiga.

Kumpulan Mojo juga turut dianggotai pemain dram kumpulan Tilu, Johar dan seorang lagi pekerja KRU Studios, Denny. Single pertama berjudul Andaiku Bercinta Lagi sudah mula disiarkan di radio dan bakal keluar dengan empat lagu lagi yang sudah pun siap dirakamkan.

Idea yang dicetuskan oleh Edry iaitu untuk menubuhkan kumpulan rock ini sudah lama disimpannya, justeru dengan kehadiran serta bakat Aweera, melengkapkan lagi projek band yang memperjuangkan muzik berkonsepkan Synth-Rock ini.

Sementara itu, seperti sekian lama peminat tidak melihat tiga beradik KRU iaitu, Norman, Yusry dan Edry membuat persembahan secara langsung. Oleh itu, sempena sambutan ulang tahun KRU ke-20 pada Jun ini, peminat berkemungkinan dapat melihat KRU menyanyi.

Menurut KC, untuk tujuan itu, KRU Studios merangcang mengadakan sambutan secara besar-besaran membabitkan penyanyi yang pernah dan sedang bernaung di bawah KRU Music.