Adsense

Sabtu, 3 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kebangkitan selepas enam tahun

Posted:

Kebangkitan selepas enam tahun

Kebangkitan selepas enam tahun

BERKEPUL-KEPUL macam asap dan hilang dengan sendirinya. Itu ironi nama Evanescence yang mewakili perjalanan lima anak seni, Amy Lee (vokalis), Terry Balsamo (gitaris), Troy McLawhorn (rhythm gitar), Tim McCord (pemain bass) dan Will Hunt (pemain drum).

Pengertian Evanescence yang lebih jelas digambarkan oleh Amy sebagai sebuah epik, dramatik dan rock gelap bagaimanapun membuat pendengar dan peminatnya khayal dengan untaian lagu mereka sejak band itu ditubuhkan pada tahun 1995 dan kekal hingga kini.

Mereka membawa aliran muzik yang bersilih ganti bermula daripada klasikal, metal, rock dan kini muzik elektronik.

"Tidak menjadi hal kalau ada peminat memanggil nama band kami dengan pelbagai slanga, asalkan mereka maksudkan Evanescence, itu kami," ujar Amy ketika ditemui di Hotel Hilton Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditemani oleh empat rakan lelakinya yang ada bersilih ganti sejak penubuhan Evanescence, dalam nada ketawa, dia menjelaskan tidak pernah sekalipun dibuli oleh empat teman sealirannya itu.


DARI kiri: Terry Balsamo, Tim McCord, Amy Lee, Troy McLawhorn, dan Will Hunt yang menganggotai Evanescence.


"Saya rasa seperti saya yang selalu membuli mereka. Tapi jujur saya katakan seronok untuk kekal bersama dan apabila ada masa terluang kami keluar bersama-sama," cerita Amy lagi.

Album ketiga

Berbeza daripada album pertama dan kedua mereka, Fallen dan The Open Door yang dipasarkan pada tahun 2002 dan 2006, judul nama band itu iaitu sendiri dipilih sebagai judul untuk memanifestasikan keseluruhan isi album ketiga itu.

"Evanescence dipilih kerana saya merasakan ini ialah karya terbaik saya sepanjang berkarier. Album ketiga ini bukti kesepakatan kami sebagai satu unit dalam aliran muzik ini," tambahnya.

Mengambil tempoh yang panjang iaitu selama enam tahun untuk menyudahkan album ketiga mereka, ujar Amy sewaktu ditanya relevannya mengambil masa terlalu lama untuk membikin sesebuah album, dia memberitahu sepanjang tempoh tersebut, dia juga sedang mencari identiti dirinya sepanjang tempoh itu.

"Saya banyak memerhatikan persekitaran sekeliling, mencari hala tuju band ini dan hala tuju hidup saya.

"Senang cakap, saya sebenarnya memfokuskan kehidupan peribadi sebagai seorang wanita yang juga inginkan sebuah perkahwinan dan kehidupan normal, jadi tempoh enam tahun itu menjadi saksi segalanya," singkap vokalis berusia 31 tahun itu yang telah berkahwin dengan seorang pakar terapi bernama Josh Hartzler pada tahun 2007.

Sambutan yang diterima daripada pendengar dan peminat setia band kelahiran Arkansas, Amerika Syarikat itu kata Amy cukup menggalakkan. Apatah lagi sejak kelahiran album ketiga yang dirasakan dinamik dan bermutu tinggi.


EVANESCENCE yang pertama kali membuat konsert di Malaysia telah menerima sambutan hangat daripada peminat mereka.


"Sejak dilancarkan pada Oktober tahun lepas, sambutan yang diterima amat baik sekali. Kami berasa bangga kerana peminat masih menerima muzik kami walaupun sudah lama kami tidak muncul dengan album.

"Kami bangga album ini begitu dinamik sekali gus membawa muzik kami ke tahap lebih tinggi," ujar Amy sambil mengakui Evanescence merupakan antara album terbaik yang pernah dihasilkan oleh mereka.

Hadiah Nobel Keamanan

Ditanya juga sekiranya terlintas di fikiran band itu untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis muda yang sedang meningkat naik kini, Amy sekadar ketawa.

"Kami belum terfikir lagi untuk membuat sebarang kolaborasi, semahunya jika perkara itu terjadi saya mahukan sesuatu yang unik, biar ia menjadi satu pengalaman manis sekali gus didedikasikan buat peminat," katanya yang tidak menolak sekiranya ada yang sudi bergabung tenaga suatu masa nanti.

Evanescence sempat juga berkongsi perasaan terharu apabila diundang untuk membuat persembahan ketika konsert sambutan Hadiah Nobel Keamanan i ke-18 di Oslo, Norway pada penghujung tahun lalu.


EVANESCENCE suatu ketika dahulu turut dianggotai Rocky Gray (dua dari kiri) selain (dari kiri) Troy, Amy, Terry dan Tim.


"Pengalaman yang sangat di luar jangkaan, menarik dan mengujakan. Dalam pada kami membuat persembahan, konsert itu memberikan banyak kesedaran termasuk pentingnya menjaga bumi agar menjadi sebuah tempat yang terbaik untuk didiami," cerita Amy.

Konsert yang berlangsung sehari selepas penyampaian anugerah kepada Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf, aktivis Liberia, Leymah Gbowee dan aktivis demokrasi Yemen, Tawakkul Karman turut disertai band Sugarland, Matthew Morrison dan beberapa penyanyi lain.

Malah, konsert itu turut disiarkan di 130 buah negara secara langsung di saluran CNN International.

Jaga suara

Tidak banyak yang perlu dikorbankan oleh Amy sepanjang menjadi vokalis band yang diasaskan bersama bekas gitaris Evanescence, Ben Moody untuk mengekalkan momentum suaranya.

"Setiap hari saya membancuh teh herba dengan sedikit campuran madu dan halia. Semuanya buatan sendiri," dedah Amy.

Tidak hairanlah, Amy pernah dilabelkan memiliki suara bernada tinggi yang melebihi tahap forseto sehingga mampu memecahkan gelas kaca.

"Vokal saya hampir mencapai tahap tertinggi, sangat tinggi!, " katanya yang percaya kuasa vokal yang dipunyainya merupakan anugerah yang sehingga kini sukar dipercayai.

Menjawab mengenai imejnya yang sering dilihat mengenakan pakaian berwarna gelap, ulas Amy: "Muzik rock lebih daripada sekadar berpakaian, lebih daripada warna kegelapan."

Smash K-pop Indonesia

Posted:

Smash K-pop Indonesia

Smash K-pop Indonesia

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


SMASH akan berada di Malaysia bermula 13 hingga 17 Mac ini.


KUMPULAN Smash yang berasal dari Indonesia dilengkapi oleh tujuh orang anak muda, Morgan Oey, Rangga Dewamoela Soekarta, Rafael, Dicky Muhammad Prasetya, Reza Anugrah, Muhammad Ilham Fauzi dan Bisma Karisma.

Membawakan genre pop, Smash yang cukup popular dengan lagu debut I Heart You, ditubuhkan pada 10 April 2010 itu dibayangi oleh kumpulan pop popular dari Korea Selatan kerana imej serta muzik mereka mirip dengan genre K-pop yang kini semakin popular.

Menjawab kepada persoalan itu ketika sesi temu bual yang diadakan menerusi video baru-baru ini, mereka tidak menafikan persamaan yang dimiliki dengan kumpulan K-pop dari Korea, bagaimanapun mereka menegaskan Smash mempunyai identiti tersendiri.

"Ya, mungkin imej lebih kurang sama kerana kami kumpulan yang menyanyikan lagu pop serta menari dan inspirasi kami juga daripada band popular seperti Super Junior, 2PM dan Michael Jackson dan ramai lagi.


SMASH dari kiri ikut putaran jam: Reza, Ilham, Bisma, Dicky, Morgan, Rangga dan Rafael (duduk).


"Namun itu tidak bermakna yang kami tidak mempunyai identiti sendiri, kami berasal dari Indonesia, menyanyi dalam bahasa Indonesia cuma rentak sahaja pop yang kebetulan menjadi trend masa kini," ujar Morgan.

Smash juga tidak menafikan kewujudan mereka disebabkan demam K-pop yang melanda Asia.

"Memang benar ketika kami mula muncul, genre K-pop itu sangat popular, kami suka menari dan menyanyi. Apabila mendapat tawaran untuk berada di dalam Smash, kami semua tidak melepaskan peluang.

"Walaupun genre pop popular di luar tetapi hakikatnya di Indonesia sangat popular dengan band yang bermain alat muzik, jadi sukar untuk kami mendapat kepercayaan peminat pada mulanya.

"Tetapi kini, Alhamdulillah, album kami telah terjual sebanyak satu juta unit dalam tempoh enam bulan sahaja," kata Ilham.

Smash yang kini tampil dengan lagu berjudul Ada Cinta akan berkunjung ke Kuala Lumpur pada 13 sehingga 17 Mac depan dan mereka akan mengadakan showcase pertama di ruang legar pusat membeli-belah Sungei Wang, Kuala Lumpur pada 17 Mac pada pukul 1.30 tengah hari.

Peserta masih kurang berkualiti

Posted:

Peserta masih kurang berkualiti

Peserta masih kurang berkualiti


AI IQMAL (depan kanan) merupakan artis PK3 yang mempunyai banyak peminat.


SELEPAS empat minggu bersiaran, Pilih Kasih musim ketiga (PK3) menyaksikan pentas buat anak-anak muda yang ingin mencipta nama dalam bidang hiburan itu semakin panas dengan kritikan apabila para peserta masih gagal mencapai piawaian yang diletakkan oleh para juri.

Bagi para juri, selepas memasuki minggu keempat dan ilmu yang semakin banyak diperoleh dalam setiap sesi latihan serta persembahan pada tiga minggu lalu, kesemua 16 peserta sudah harus sedar mereka perlu mengeluarkan semua kualiti yang ada di dalam diri mereka.

Walau ada peserta yang mereka gelar artis PK3 itu menunjukkan peningkatan, namun para juri terutama pengasas program realiti tersebut, Rosyam Nor berkata, artis-artis PK3 perlu membuktikan kebolehan mereka dengan lebih baik jika mahu selesa duduk di dalam lapangan hiburan terutama sebagai pelakon apabila program tersebut tamat kelak.

Oleh kerana kurang berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan, dua orang artis PK3 disingkirkan secara serentak pada minggu lalu. Yizee Arif yang memang sudah berada dalam kedudukan sukar kerana tidak diundi penonton melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) merupakan mangsa pertama yang diumum keluar, walaupun pengkritik Fauziah Nawi mengakui jejaka yang sudah tiga kali berada di tangga tercorot untuk menunjukkan peningkatan pada minggu lalu.

Selain Yizee, Aada Zara menerima nasib yang sama apabila dihantar pulang. Namun Rosyam menamakan Naqia Nasution sebagai calon yang sepatutnya keluar seandainya dia berada di tiga tangga terbawah. Rosyam juga memberi amaran kepada Naqia dan juga artis-artis lain untuk terus memberikan mutu lakonan yang terbaik pada minggu berikutnya.

Dengan ketiadaan Aada dan Yizee, tinggal 14 lagi artis PK3 yang akan meneruskan saingan pada minggu seterusnya iaitu, Ai Iqmal, Fareth Agang, Heri Aszmo, Hakim Yazid, Jalius Jaibin, Reen Rahim, Miza Azura, Theera Alias, Sura Sojangi, Naqia Nasution, Airil Riffa, Hiera Hassan, Nizen Ayob dan Marina Jose.

Kritikan

Sementara itu, jika tiga minggu lalu penonton yang menyaksikan PK3 secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Senawang, Negeri Sembilan dan di rumah dapat mendengar kritikan lantang seorang lagi pengkritik tetap program itu, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, tetapi Ahad lalu beliau tidak hadir kerana ada urusan di luar ibu kota. Lantas kekosongan yang ditinggalkan olehnya itu memberi ruang kepada Fauziah melontarkan kritikan keras terhadap artis PK3 kerana banyak lagi kelemahan mereka yang perlu diperbaiki.


ARTIS PK3, Sura Sojangi dirakamkan sedang asyik bermonolog.


Fauziah mengkritik kerana dia tidak mahu artis PK3 leka yang akan mengakibatkan mereka hilang tumpuan dan tidak serius.

Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida selaku penasihat PK3, minggu lalu juga diberi mandat untuk mengkritik artis PK3. Jika persembahan teater minggu ketiga yang berjudul Puteri Gunung Sengkuang hasil nukilan dan arahan Erma Fatima dilihat sangat cemerlang sehingga membuatkan penonton tak kering gusi ketawa tetapi persembahan minggu keempat yang berjudul Apo Kono Eh agak hambar dan mesej yang ingin disampaikan agak sukar difahami.

Umie sendiri tidak begitu menyukai teater itu kerana dia tidak faham apa yang mahu disampaikan oleh artis PK3. Sukar untuk menyatakan sama ada naskhah teater itu yang tidak berapa bagus atau barang kali artis PK3 gagal menyampaikan mesej itu dengan baik.

Ia adalah kisah tentang penjajahan budaya luar yang ditunjukkan oleh 'kemunculan' Whitney Houston masuk kampung.

Sejak Whitney muncul di kampung mereka, penduduk yang pada mulanya asyik menyanyikan lagu yang dipopurlarkan oleh masyarakat setempat (Negeri Sembilan), telah mengubah selera mereka dengan menyanyikan lagu Inggeris pula.

Namun pujian harus diberikan kepada artis PK3 dari Sabah dan Sarawak yang berusaha menguasai loghat Negeri Sembilan dengan baik.

Sebagai bakal artis yang akan mewarnai industri hiburan tanah air suatu hari nanti, sewajarnya mereka dapat meletakkan diri dalam apa jua situasi kerana apabila berada di pentas lakonan sebenar mereka perlu melakonkan apa saja watak yang diberikan pengarah.

Sementara itu, dari sudut persembahan monolog, ia ada menunjukkan peningkatan dengan corak persembahan yang pelbagai dan tambahan prop yang menarik perhatian penonton.

Jangan lupa untuk terus menyaksikan Kisah Pilih Kasih yang berubah waktu siarannya iaitu pada setiap hari Khamis dan Jumaat pukul dua petang, Zooom Pilih Kasih pada hari Sabtu pukul 4.30 petang dan tentunya Pentas Pilih Kasih pada hari Ahad pukul sembilan malam hanya di TV2.