Harian Metro: Rap |
Posted: 26 Mar 2012 06:29 AM PDT GENIT tubuhnya tidak membayangkan gadis ini berusia 17 tahun. Sekali pandang, mungkin ramai menyangkanya pelajar tingkatan dua kerana selain berbadan kecil, Eyka Farhana memiliki raut wajah dan perwatakan cukup naif. Nyatanya, tidak kira apapun bentuk fizikal atau angka usianya, anak jati Kuala Lumpur dilahirkan dengan nama Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, seorang gadis yang cantik. Kombinasi keayuan padanya membuatkan siapapun yang memandang pasti tak jemu sehinggakan ada yang menggelarnya 'Fazura Junior'. Bila diperhatikan memang ada benarnya kesamaan yang diperkata. Justeru, timbul idea untuk menjadikan dia penghias muka depan Rentak Artis Popular (RAP) berkonsepkan dimensi dua wajah Eyka dengan karakter remaja serta transformasi kepada seorang wanita. "Eyka tidak pernah terbabit dalam sesi fotografi seumpama ini. Terus-terang Eyka seorang yang ringkas dan tidak begitu suka bersolek tetapi hari ini Eyka sangat teruja dengan konsep 'glamorous' kerana Eyka nampak berbeza dan matang daripada usia," katanya mengunjungi Harian Metro, Khamis lalu.
"Tidak sangka semasa pertemuan dengan wakil produksi berkenaan, mereka setuju mengambil Eyka. Bertitik-tolak daripada drama itulah Eyka memperoleh tawaran membintangi drama bersiri Gemilang dan diikuti Juvana. "Daripada Juvana barulah Eyka terasa impak apabila penonton mula mengenali Eyka. Kemudian, Eyka membintangi pula Sejadah Kaabah arahan Bade Azmi," katanya. Bermula dengan rasa mahu mencuba pada awalnya, kini lakonan sudah dianggap satu pekerjaan buat Eyka untuk memperoleh hidup yang lebih terjamin sekali gus keluar daripada kesusahan sekeluarga selama ini. "Ibu bekerja sebagai ejen insuran dan bapa seorang guru. Mereka bercerai masa umur Eyka empat tahun. Eyka ada empat beradik dan Eyka tinggal dengan Mama. "Eyka ada seorang kakak kurang upaya. Dia jadi begitu akibat demam panas semasa berusia enam bulan lagi. Antara sebab Eyka berlakon, selain mudah dapat wang Eyka mahu bantu ibu. "Dengan adanya duit sendiri Eyka tidak perlu susahkan ibu. Eyka boleh biayai persekolahan Eyka dan membantu dua adik. Dulu Eyka pendam perasaan untuk membeli apa-apa yang diinginkan kerana tidak mahu susahkan Mama yang penat mencari duit untuk sekolahkan kami termasuk jaga kakak. "Tetapi sekarang, apa yang Eyka mahukan, Alhamdulillah Eyka sudah mampu memilikinya. Insya-Allah, kalau rajin sebulan bolehlah dapat RM5,000. "Lagipun Eyka mula seronok dengan bidang ini tambahan pula bekerja sebagai pelakon macam tidak bekerja. Apapun, Eyka memasang impian untuk menjadi aktres yang berjaya," katanya. Sedang hangat drama lakonannya Bunga Bunga Syurga ditayangkan di TV3 menerusi slot Zehra, jam 9 malam sejak 9 Mac lalu, dalam tempoh setahun Eyka sudah pun membintangi lebih 10 drama. Antaranya Puteri Pulau Tuba, Miang Buluh Keladi Birah, Ramadan Terakhir, Nur Ain, Naik Lif Turun Tangga, Jatuh Cinta dan Mencari Atirah. Bagaimanapun dalam deretan judul yang diberi, Ramadan Terakhir dan Bunga Bunga Syurga paling mencabar kerana lari daripada kebiasaan tawaran yang diterimanya. "Acap kali atau boleh dikatakan hampir semua drama Eyka menerima watak budak baik. Namun berbeza dengan Ramadan Terakhir kerana Eyka membawakan watak seorang anak kurang ajar. "Manakala Bunga Bunga Syurga pula, Eyka melakonkan watak Emilia seorang anak yatim yang menjadi mangsa penderaan ibu saudaranya, Baidah. Baidah dilakonkan oleh Rozita Che Wan (Che Ta). "Kesukarannya adalah untuk melakonkan watak didera itu sendiri selain perlu menangis. Bayangkan Che Ta sendiri menggigil untuk melaksanakan adegan itu kerana dia tidak sampai hati. "Namun, demi menghasilkan lakonan yang 'real', Eyka membenarkan Che Ta memukul Eyka betul-betul. Eyka tidak kisah kalau sakit sedikit asalkan lakonan menjadi," katanya mengimpikan watak 'Superwoman'. Bunga Bunga Syurga mengisahkan perjuangan seorang pemuda memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak dan menyelamatkan kehidupan tiga anak yatim piatu yang dipelihara oleh ibu saudaranya yang kejam selepas ibu bapa mereka mati dibunuh. Emilia (Eyka Farhana), 17, Nadia (Eira Hazali), 13 dan Haziq (Daniel Hakim), 12, terpaksa diserahkan kepada bapa saudara mereka, Azmin (Hilal Azman), selepas ibu bapa mereka, Imran dan Mira mati dibunuh. Kematian Imran dan Mira masih misteri walaupun kes sudah bertahun berlalu. Azmin sanggup menggalas amanah untuk memelihara anak-anak saudaranya tetapi isterinya, Baidah menerima dalam terpaksa. Apabila Baidah mengetahui Emilia, Nadia dan Haziq mewarisi harta jutaan ringgit, barulah dia tersenyum untuk menerima kedatangan mereka dan bermulalah episod hitam tiga beradik itu. Tahun ini juga, penuntut Sekolah Perempuan Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur itu bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Akuinya, kalau ditanya soal sasaran dia mahu kesemua mata pelajarannya A. "Kalau tanya pada Eyka berapa 'sasaran' untuk SPM memang tinggi tetapi Eyka tidak mahu berharap takut kecewa. Sejak menjadi pelakon, Eyka akui ada kalanya tertinggal pelajaran tetapi Eyka sentiasa berusaha mendapatkan info daripada teman-teman. "Syukur, Eyka masih boleh membahagikan masa dengan baik. Penat memang penat tetapi selepas melihat hasil lakonan dalam televisyen, Eyka puas hati dan rasa berbaloi. "Tiga bulan sebelum menghadapi peperiksaan, Eyka mahu mengurangkan aktiviti lakonan untuk memberi tumpuan kepada pelajaran," katanya mahu menumpukan sepenuh perhatian pada lakonan sebaik tamat pengajian. Trivia Eyka |
Posted: 26 Mar 2012 06:15 AM PDT TERSERGAM indah sebagai pentas berprestij mengangkat martabat seni teater dan muzikal, Istana Budaya (IB) terus mencuri tumpuan khalayak dengan pelbagai agenda persembahan sepanjang tahun. Bagi peminat teater, pementasan karya seni ini sudah menjadi lumrah dipentaskan di lokasi ini. Namun, ia berbeza jika peminat permainan video pula mengambil kesempatan hadir dan berhibur dalam acara yang diadakan.
Apa yang menarik perhatian, IB turut menjadi pilihan penganjur untuk mengadakan acara berlainan seperti Video Games Live (VGL) yang akan diadakan selama dua hari bermula 26 Mei nanti, jam 8 malam. Acara khusus untuk peminat permainan video ini menyaksikan komposer video terkenal, Tommy Tallarico kembali menganjurkan acara sama yang pernah diadakan dua tahun lalu.
Memberi tarikan, persembahan digabungkan dengan rakaman video eksklusif bersama susunan muzik, penata cahaya, penghibur solo, perkusi elektronik dan segmen interaktif yang memberi pengalaman multimedia. Acara ini dianjurkan ZI Production Sdn Bhd dan GEM Impact Sdn Bhd dengan kerjasama IB menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Pancaragam Malaysia dan CosPlay-Fun Malaysia. Presiden GEM Impact merangkap komposer, Norihiko Hibino berkata, persembahan muzik permainan video bersama pemuzik orkestra suatu yang menarik untuk dikongsi bersama peminat yang jarang dipertontonkan. "Ia suatu yang berbeza dan bukan hanya persembahan muzik semata-mata tetapi bagaimana pelarasan kedua-dua muzik itu apabila bergabung. Adanya persembahan sebegini, ia mampu menjadi suatu produk kepada Malaysia untuk dianjurkan lagi pada masa akan datang. "Malah, acara ini seperti festival yang memberi peluang kepada peminat bertemu sama sendiri dan berkenalan. Menariknya, acara ini menemukan peminat 'anime', komik dan permainan video," katanya pada sidang media acara itu diadakan di IB, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pengerusi ZI Production, Datuk Zulkifli Ishak menyatakan, penganjur bersikap optimistik mengadakan acara ini sebagai platform khusus untuk peminat permainan video. Penganjur melihat potensi acara ini boleh dikembangkan di lokasi berlainan termasuk luar negara seperti Thailand dan Indonesia. "Peminat boleh menyatakan pandangan mengenai muzik permainan video yang ingin mereka saksikan nanti. Penganjur sendiri sebelum ini merancang menganjurkan acara sama tahun lalu tetapi faktor lokasi persembahan dan jadual artis yang terbabit memberi kekangan," katanya. Bersama memeriahkan acara ini, peminat berpeluang terbabit dalam pertandingan kostum interaktif, pertandingan permainan video, sesi bertemu komposer dan pereka video terkenal termasuk segmen interaksi bersama permainan video Space Invaders dan Frogger. Senarai muzik baru dan video yang akan dipersembahkan antaranya Mario, Zelda, Halo, Metal Gear Solid, Warcraft, Myst, Final Fantasy dan Kingdom Hearts. Persembahan medley Classic Arcade juga diadakan memainkan muzik permainan video seperti Pong, Donkey Kong, Dragon's Lair, Tetris, Gauntlet, Space Invaders dan Outrun. Tiket bermula pada harga RM95 sehingga RM295 boleh dibeli menerusi laman sesawang, www.ticketpro.com.my atau hubungi Ticket Pro, 03-7880 7999. Peminat di Lembah Klang juga boleh membeli tiket di cawangan Music Valley, Guitar Store, Rock Corner One Utama, The Curve, Subang Parade dan The Gardens serta Victoria Music Centre di Sungei Wang, Bangsar dan Tropicana City Mall. Tiket juga dijual di cawangan The Pfaggs Agency, Johor Bharu manakala maklumat lanjut boleh melayari www.videogameslive.com. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |