Harian Metro: Rap |
Posted: 14 Mar 2012 07:03 AM PDT WAJAH tampan serta nyanyian merdunya pernah menjadi pujaan tidak lama dulu sehingga dia dinobatkan tempat kedua program realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6). Namun, entah di mana silapnya, karier nyanyian Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz Zaizizi semakin tenggelam dan kemunculannya di kaca televisyen jarang kelihatan. Agak terkebelakang berbanding rakan seperjuangan daripada AF6 terutama Stacy dan Nubhan yang nyata mendahuluinya, anak kelahiran Gerik, Perak ini dalam diam sebenarnya sibuk merencanakan kerjaya nyanyiannya. Jika ada yang mengandaikan Riz sudah berputus asa, apatah lagi dengan situasi industri nyanyian di Malaysia pada ketika ini, jawapannya tidak. Minat yang terlalu mendalam terhadap muzik menjadi prinsipnya dan oleh sebab itu, dia sentiasa berpegang kepada pepatah kejayaan tidak datang bergolek. Bertemu jejaka berusia 25 tahun itu dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini, Riz yang sinonim dengan rambut panjang dan kerinting nampaknya sudah bertukar imej. Kini berambut pendek, penampilannya kelihatan lebih rapi dan matang sesuai dengan umurnya. Tatkala diajukan soalan kenapa mengambil keputusan untuk memotong rambut, jawapannya ringkas iaitu inginkan imej yang lebih kemas dan ringkas. Tidak sabar berbicara mengenai buah tangan terbarunya, Riz berkata, single pertaruhannya, Aku Yang Terbaik adalah lagu yang cukup membawa makna terhadap pembabitannya dalam seni muzik. "Jika sebelum ini saya kurang terbabit sepenuhnya dalam penghasilan lagu menerusi album pertama dulu, sebaliknya untuk single ini, saya benar-benar 'all out' dan bekerja keras demi kepuasan sendiri. Sekian lama ternanti-nanti karya manakah mampu menambat hati saya untuk dijadikan single, akhirnya saya bertemu lagu yang cukup indah melodinya ini. "Hasil ciptaan seorang komposer muda di Indonesia, Atra Petrana, agak lama juga untuk saya memutuskan sama ada menerima atau menolak lagu ini kerana ia bukan ciptaan karyawan tempatan. Maklumlah dengan sentimen yang tercetus dalam industri sekarang iaitu jangan mengagungkan karya terutama dari Indonesia, pastinya akan memberi kesan kelak. "Namun, tidak wajar untuk saya menidakkan kemahuan diri sendiri yang inginkan kepuasan dengan menyanyikan lagu seindah itu. Oleh itu, saya ketepikan isu mengenai sentimen itu dan berkata 'ya' untuk mengambil lagu itu. "Biarlah apapun tanggapan yang dilontarkan selepas ini, namun bagi saya, penghujungnya kekuatan sebuah lagu itu akan kembali pada melodinya. Saya tidak mahu hipokrit dan terus terang sekarang ini, saya amat memilih dalam hal membabitkan material ini," ujar penyanyi ini yang pernah popular dengan lagu Ku Pinjam Satu Bintang duet bersama Alyah. Dirakamkan pada Disember tahun lalu, Riz menyifatkan keputusan untuk bekerjasama dengan produksi di negara seberang menghasilkan single itu sesuatu yang bijak. Walaupun individu yang terbabit kebanyakannya masih muda, namun mereka tidak bekerja sambil lewa dan sangat terperinci dalam segala hal. Malah, mereka sangat terbuka dalam menerima pendapat daripada saya dan tidak ikut kepala sendiri. Itu satu hal yang membuatkan Riz berasa sangat selesa sepanjang proses itu. Baginya, memang begitulah cara terbaik yang seharusnya berlaku iaitu masing-masing bebas menyuarakan dan bertukar idea. Bakal kembali ke gelanggang seni semula, ditanya ke mana dia menghilang selama ini, Riz cuma tergelak dan berkata, dia masih aktif menyanyi. "Sebenarnya, selain sibuk dengan penghasilan single ini, saya masih lagi memenuhi undangan persembahan, cuma kebanyakannya untuk acara korporat dan majlis perkahwinan. Sejak bergerak sendiri ini, saya perlu berdikari dan kena sentiasa mencari tawaran persembahan selain mendapat jemputan. "Syukurlah, masih ramai peminat yang sentiasa menyokong Riz dan kelab peminat saya juga masih aktif sehingga kini. Kadangkala saya akan keluar sekali sekala berjumpa mereka dan menjalankan aktiviti bersama. Cuma waktu menyiapkan rakaman single baru ini tempoh hari, saya begitu sibuk dan masa terluang terhad. "Selain itu, saya masih lagi menghadiri kelas Cikgu Siti Hajar (AF) untuk memastikan vokal saya sentiasa mantap. Masih banyak yang perlu diperbaiki dan saya tidak mahu terlalu selesa dengan apa yang saya ada sekarang ini," katanya. Riz yang sudahpun menghantar lagunya itu ke beberapa stesen radio dan hanya menanti masa untuk diputarkan, dia menaruh harapan tinggi singlenya itu akan disukai pendengar. Ini kerana, sebelum mengedarkannya, dia juga ada memperdengarkan lagu berkenaan kepada beberapa penggiat muzik dan mereka memberikan reaksi yang sangat positif. Dicalonkan dalam senarai 'hot seat' rancangan Mania yang bakal disiarkan bermula Sabtu ini, Riz tidak menaruh harapan tinggi memandangkan calon lain sudah mendahului dari segi undian. Baginya, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana pilihan itu terletak pada kekuatan peminat seseorang artis itu dan mungkin bukan rezekinya mendapat kedudukan dalam rancangan itu kelak. TRIVIA: |
Nasyeed.com jadi acara tahunan Posted: 14 Mar 2012 06:54 AM PDT PENGANJUR Anugerah Nasyeed.Com iaitu Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd bercadang mahu menjadikan anugerah itu sebagai acara tahunan sama gemilangnya seperti Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM). Sehingga sepanjang tempoh kecemerlangan irama nasyid, belum ada pihak yang menganjurkan majlis anugerah khas lagu nasyid dan ia bagaikan terpinggir dalam muzik arus perdana.
Justeru, perlu ada inisiatif daripada pelbagai pihak untuk memartabatkan irama nasyid di Malaysia. Berpegang kepada kata-kata penggiat seni di Indonesia iaitu: "Kalau mahu mendengar lagu dangdut, datanglah ke Indonesia" ada baiknya kita juga berkata: "Kalau mahu mendengar lagu nasyid, datanglah pula Malaysia."
"Lima tahun sekali kami ingin memberikan penjenamaan baru untuk menjadikan anugerah itu tambah meriah. Sebulan sekali, Nasyeed.Com bersama Munsyeed.Com (Majlis Usrah Nasyid Malaysia) bermesyuarat dan kami sentiasa berusaha mencari jalan untuk terus menyemarakkan irama nasyid, lalu daripada situlah lahirnya idea mengadakan majlis anugerah ini dan ia disokong semua kumpulan nasyid kita. "Untuk penganjuran sulung ini, cabaran besar terutama dari segi mencari dana dan penaja serta corak kerja yang kami belum tahu macam mana rentaknya," katanya. Julung kali ia diadakan, lagu yang bertanding adalah terbitan antara 2000 hingga 2010 dan undian awal dibuat menerusi facebook (fb). Untuk tahun depan, pemilihan lagu mestilah dengan karya terbitan mulai 2012. "Bagi kategori lagu popular, ia berdasarkan undian peminat menerusi facebook dan untuk kategori lagu terbaik, ia diadili juri profesional yang terdiri daripada Farihin Abdul Fatah, Alfa Booty, Ad Samad, Along Exists dan Profesor Dr Fakriyah. "Dari segi ketelusan penjurian, mereka mengambil masa lama bersidang seperti persidangan ahli akademik kerana seboleh mungkin kami tak mahu dengar ada yang tidak puas hati," katanya yang ditemui pada sidang media di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, baru-baru ini. Tahun depan Nasyeed.Com akan menambah kategori baru iaitu Artis Baru Terbaik dan Artis Nasyid Luar Negara. "Dengan adanya majlis anugerah ini, akan merangsangkan semangat kumpulan nasyid tanah air menghasilkan lagu dengan lebih berkualiti. Kumpulan nasyid baru pun semakin banyak dan sampai masanya kehadiran mereka mendapat pengiktirafan," jelasnya. Lima finalis untuk setiap kategori sudah disenarai pendek berdasarkan undian popular serta penilaian kualitatif juri profesional. Bermula 9 Mac hingga 8 April ini, finalis bagi kategori Nasyeed Cinta, Nasyeed Munajat, Nasyeed Amar, Nasyeed Selawat, Nasyeed Sirah dan Nasyeed Perjuangan akan diundi sekali lagi oleh peminat untuk menentukan lagu yang bakal menjadi juara bagi setiap kategori. Berbeza dengan proses pengundian sebelum ini yang bersifat mingguan, tetapi kali ini mereka boleh mengundi lagu pilihan mereka setiap hari. Turut disediakan Anugerah Susunan Muzik Terbaik, Anugerah Klip Video Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Lirik Terbaik, Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Juara Carta Nasyeed.Com dan Anugerah Khalifah Nasyeed. Semua pemenang hanya menerima trofi. Bagi menyemarakkan majlis anugerah itu, diadakan beberapa siri jelajah untuk bertemu peminat di empat zon berbeza di seluruh negara. Majlis kemuncak anugerah itu akan diadakan pada 13 April ini di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, mulai 8.30 malam, diikuti Konsert Anugerah Nasyeed.Com pada 14 April. Untuk sebarang pertanyaan dan maklum balas, kirim e-mel kepada event@nasyed.com atau layari www.facebook.com/nasyeedcom. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |