Adsense

Khamis, 15 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ajari Aku

Posted: 14 Mar 2012 06:47 PM PDT

Hip

Anuar Zain

Anuar Zain

Bawa diri ke Beijing menyiapkan dua klip video arahan sutradara muda

WALAU berpengalaman luas, Anuar Zain, 42, tidak kisah bekerja di bawah kendalian orang muda apabila menghasilkan klip video dendangan barunya, Sempurnakan Aku dan Ajari Aku di bawah arahan Syafiq Haslam.

Syafiq adalah anak muda yang sedang diasuh oleh bapanya, produser dan pengarah besar, Datuk Yusof Haslam dengan filem pertama arahannya berjudul SAM (Saya Amat Mencintaimu). Lagu Sempurnakan Aku karya NuMatta dan Ajari Aku daripada Adrian Martadinata, menjadi lagu runut untuk filem SAM.

Kedua-dua lagu itu yang mempunyai melodi dan makna mendalam itu menjadi pilihan Skop Productions untuk melatari filem sulung pengarah muda terbabit dengan kerja pembikinan klip bakal dilaksanakan di Beijing, China pada 19 hingga 21 Mac ini.

Akui penyanyi yang sudah lebih tiga dekad melayari arena seni, kesempatan ini juga digunakan untuk mendekati kelompok peminat baru terutama generasi muda yang mempunyai selera tersendiri.

"Saya berbesar hati apabila Skop Productions berminat menjadikan Ajari Aku sebagai lagu runut bunyi untuk filem SAM apatah lagi ia mendapat sentuhan sutradara muda yang saya boleh jangka punya visi jauh dan penuh kesungguhan.
"Memang ia lebih kepada situasi menang-menang dan sebenarnya sudah agak lama saya tidak tampil dengan klip video. Bukan berkira, cuma agak mengecewakan kerana dengan kos tinggi, klip berkenaan tidak dimainkan di mana-mana.

"Saya akui, keadaan ini bukan hanya membabitkan diri saya, malah ramai penyanyi lain. Apabila pihak Skop Productions menghubungi saya membincangkan mengenai soundtrack ini kira-kira sebulan lalu, saya bersetuju kerana yakin dengan sentuhan Syafiq," katanya di sidang media sambutan Hari Ibu di Kuala Lumpur, semalam.

Ini bukan pertama kali Anuar menyanyikan lagu tema filem. Sebelum ini dia menyanyikan lagu Perpisahan untuk filem Cinta arahan Khabir Bhatia dan Sedetik Lebih bagi filem Hikayat Merong Mahawangsa daripada Yusry Abdul Halim.

Penyanyi dan penghibur terbabit akan menyusul rombongan Skop Productions bersama lebih 40 pelakon, kru, pengurusan dan wakil media ke Beijing yang tiga hari lebih awal ke sana yang antara lain bercuti sambil membuat penggambaran klip video dan sebuah telefilem.

Sementara itu, majlis bertemakan Makan Malam Gala Bersama Anuar Zain anjuran Dream Chorus dan Dream Music di Hotel One World Petaling Jaya, Selangor pada 12 Mei ini bakal mendekatkan lagi Anuar dengan peminatnya bersama lebih lapan lagu.

Berkonsepkan berhibur sambil beramal, sebahagian daripada penjualan tiket majlis makan malam itu disalurkan kepada institusi kebajikan.

Anuar mengaku biarpun ramai melihat dia lebih banyak tampil di acara ekslusif dengan harga mencecah ratusan ringgit, jauh di sudut hati pelantun lagu Lelaki Ini ingin menghiburkan peminat dari golongan pertengahan dalam majlis lebih santai.

Namun kekangan waktu membataskan niatnya tetapi jika diizinkanNya, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Mohd Zain mahu menganjurkan acara berkenaan dalam tahun ini atau awal tahun depan.

"Sebenarnya dulu saya kerap mengadakan persembahan yang hanya mengenakan caj untuk makan saja. Ia lebih kepada mendekati peminat yang selama ini memberi sokongan tidak berbelah bagi.

"Saya tidak ekslusif, saya milik peminat cuma hambatan jadual membuatkan majlis seumpama itu sukar direalisasikan.

"Saya pasti ramai yang menantikan momen seperti itu. Saya cukup menghargai doa serta sokongan semua kerana disebabkan peminat, Anuar Zain tetap ada di sini," katanya yang mensasarkan dua misi besar yang belum boleh didedahkan dalam masa terdekat.

MasterChef Selebriti pula bakal temui penonton

Posted: 14 Mar 2012 06:45 PM PDT

Hip

RAQIM (kiri) menyampaikan relika cek kepada Ezani di sebuah restoran terkemuka di ibu kota, semalam.

RAQIM (kiri) menyampaikan relika cek kepada Ezani di sebuah restoran terkemuka di ibu kota, semalam.

SELEPAS kejayaan program MasterChef Malaysia, Astro kini merancang penerbitan rancangan berkonsep serupa, tetapi menampilkan peserta terdiri daripada wajah popular negara ini dikenali sebagai MasterChef Selebriti.

Astro turut menjangkakan penyertaan ramai selebriti dalam program itu, namun semuanya akan didedahkan dalam sidang media tidak lama lagi.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, setakat ini program yang diharap mendapat sambutan hangat peminat itu masih pada peringkat awal perancangan. Raqim berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampai cek kepada pemenang MasterChef Malaysia pertama, Dr Ezani Farhana Md Monoto, 26, di ibu kota, semalam. Hasil kejayaannya, Ezani membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000.

Selain itu, dia turut diletakkan di bawah pengurusan Astro Talent dan bakal muncul dalam dua program bercorak travelog sendiri.

"Di samping Ezani, tiga lagi peserta akhir MasterChef Malaysia turut berpeluang muncul dalam program keluaran Astro sempena Hari Raya nanti," katanya sambil memberitahu, Ezani tetap bebas menerima undangan daripada pihak lain.

Sementara itu, kelainan ditonjolkan program realiti terbabit, di samping sokongan memberangsangkan daripada peminat mendorong stesen televisyen berbayar itu menerbitkan musim kedua rancangan MasterChef.
"Mungkin ada perubahan kecil pada musim baru berbanding konsep asal, yang akan dimaklumkan dalam sidang media nanti. Kita juga akan memperbaiki kelemahan yang ada pada musim pertama kerana ia satu-satunya program realiti berkonsepkan kulinari," katanya.

Ezani pula berkata, selepas menamatkan program itu, dia banyak menerima undangan sebagai juri mahupun tetamu program masakan negara ini.

"Buat masa sekarang saya belum bertugas sebagai doktor gigi, jadi ada sedikit masa untuk saya lakukan aktiviti sebegini.

"Ketika menyertai program ini, saya mendapat tawaran bertugas di Sabah, tetapi saya memohon penangguhan daripada Kementerian Kesihatan. Selepas saya menjadi juara, sekali lagi saya membuat permohonan sama. Jika permohonan kedua ditolak dan saya diminta bertugas, saya akan laksanakan," katanya yang berhasrat menerbitkan buku masakan dan membuka kafe menggunakan wang kemenangannya itu.