Adsense

Selasa, 13 Mac 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Dapat tawaran jadi tutor

Posted: 12 Mar 2012 07:59 AM PDT

SEMUA yang ada di langit dan bumi berada dalam ketentuan Allah s.w.t dan siapakah kita untuk menolak ketetapannya. Bagi penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 33, dia juga pernah terfikir untuk bertudung selepas dipertemukan jodoh semula, itu pun jika si suami memintanya melakukan perubahan.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka sama sekali kegelisahan hatinya pada suatu petang hampir sebulan lalu petanda yang Allah memberinya petunjuk untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.

Bagi menenangkan hati yang tidak tenteram, sebaik saja tiba di rumah selepas menghadiri majlis pertunangan rakan karibnya, Farhan AF, dia terus mengambil wuduk menunaikan solat Maghrib.

"Saya tak tahu kenapa hati saya cemas dan tidak keruan. Selepas selesai solat, saya hubungi pembantu peribadi saya beritahu padanya jangan terkejut jika berlaku sebarang perubahan pada diri saya selepas malam ini. Hujan pula tiba-tiba turun dengan lebatnya dengan kilat sabung menyabung.


"Namun suasana itu berlaku hanya sebentar dan selepas itu langit kembali cerah.

Ya Allah, besar sungguh kekuasaan-Nya. Saya terus teringat segala kesilapan dan kesalahan yang pernah saya lakukan termasuk tidak menjaga aurat yang sudah diamanahkan Allah kepada hamba-Nya yang bernama wanita.

"Melimpah air mata saya dan terus menangis semahunya. Sebesar atau sekecil mana dosa pada-Nya, hanya Tuhan yang tahu. Sukar untuk saya menjelaskannya. Apabila mengingatinya, saya sangat takut dengan azab-Nya di akhirat kelak.

Selama 33 tahun saya biarkan aurat saya terdedah pada pandangan lelaki yang bukan mahram. Lantas, saya berlari ke almari mencari tudung yang sememangnya saya simpan untuk menghadiri majlis kenduri doa selamat dan sebagainya.

"Saya sarungkan ke kepala dan menyelinap suatu perasaan yang sangat aman dan mendamaikan. Oh, inilah rupanya yang Allah mahu saya lakukan iaitu bertudung.

"Selepas bersiap, saya terus memandu ke rumah ibu bapa dan mereka menyambut perubahan diri saya dengan penuh kesyukuran. Kalau Allah nak beri sesuatu pada hamba-Nya, Allah akan beri begitu saja.

"Esoknya, adik bongsu saya pula bertudung. Alhamdulillah, kini kami tiga beradik semuanya bertudung (seorang lagi adiknya adalah lelaki) dan kami kini boleh berkongsi tudung serta bersama-sama pergi kelas agama.

"Bagaimanapun, saya agak kesal kenapa kesedaran itu datang agak lambat.
Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Allah memberi hidayah kepada saya sebelum saya menutup mata," katanya.

Untuk melakukan kebaikan pasti ada cabaran yang menanti. Farah berusaha untuk mencari keredaan-Nya dengan menerapkan cara hidup seperti yang diperintahkan pencipta-Nya.

"Saya menjaga batas aurat bukan saja dengan bertudung tetapi mengelak daripada bersalaman dengan lelaki. Meskipun barangkali ada yang berasa hati apabila huluran tangan mereka tidak bersambut, maafkanlah dan fahamilah keadaan saya sekarang.

"Alhamdulillah, rakan sedikit demi sedikit dapat menerima perubahan dan perjuangan diri saya yang baru. Sebenarnya, ia tidaklah semudah disangka kerana bukan setakat perubahan luaran tetapi kita juga perlu memupuk perubahan itu dari dalam. Saya sedang menimba ilmu untuk melengkapkan perubahan ini.

"Saya mula 'menjaga' solat dan jika ada undangan mengadakan persembahan nyanyian, saya beri syarat hanya boleh membuat per sembahan selepas selesai solat. Saya tak mahu 'terlepas' satu pun waktu solat. Saya kena mendisiplinkan diri dan apa jua tanggapan orang, saya terima.

"Sebelum bertudung, saya baru merakamkan single terbaru yang berjudul Berpisah Untuk Setia. Saya terpaksa tukar semula kulit album dengan gambar baru bersesuaian imej sekarang.
"Kalau ada yang bertanya bagaimana dengan perjalanan kerjaya seni saya selepas ini, saya serahkan kepada Allah dan reda pada apa jua ketentuan-Nya," katanya.

Selama 11 tahun Farah menyertai bidang nyanyian, namun namanya semakin dikenali ramai selepas dia menyertai Malaysian Idol musim kedua (2005) dengan Daniel Lee Chee Hun muncul juara.

Sebelum itu, dia yang memiliki kelulusan dalam bidang pengiklanan dan penyiaran dari Universiti Limkokwing menjadi tutor sambilan kerana selain suka mengajar, dia juga menyayangi kanak-kanak.

Selepas berlakunya penghijrahan itu, dia mendapat tawaran mengajar di Sekolah Antarabangsa Seri Cempaka di Bukit Damansara, jurusan Pengucapan dan Drama.
Bagaimanapun, sebelum Farah menerima tawaran itu, dia terlebih dulu beritahu pengetua sekolah yang dia kini bertudung.

"Saya terkejut kerana pengetua langsung tidak kisah kerana apa yang penting baginya saya dapat mencurahkan ilmu dan pengalaman saya kepada pelajarnya.

"Saya akan memulakan tugas baru ini selepas cuti persekolahan iaitu pada pertengahan bulan ini. Saya mengajar sepenuh masa setiap hari dari jam 8 pagi hingga 3.30 petang.

"Alhamdulillah, Allah mempermudahkan penghijrahan saya ini. Pengetua memberi saya kebebasan mencorakkan silibus saya sendiri dan saya diberi tanggungjawab mengajar pelajar tahun satu hingga enam. Saya memang suka jadi pendidik kerana ia adalah kerja yang mulia.

"Sebagai manusia kita tidak boleh terlampau menentang arus dan apabila kita kembali ke jalan Allah, jalan yang berliku akan jadi lurus dengan sendirinya," katanya.

Farah yang sudah lebih empat tahun menjanda, kini mengenali seseorang dan si dia agak terkejut dengan perubahan dirinya tetapi dia menerima perubahan dirinya itu.

"Sejajar dengan perubahan yang baru dilalui, corak hubungan kami turut berubah, tiada lagi berpegangan tangan dan perkara lain yang dilarang agama. Kalau berjumpa pun, kami pergi minum.

"Kalau dulu kami selalu menonton wayang bersama, kini tidak lagi. Andai kata dia berasa kekok untuk berkawan dengan saya, saya rela lepaskan dia pergi. Saya perlu berkorban demi mempertahankan sebuah prinsip.

"Soal jodoh bukan hak saya, Allah yang tetapkan. Selepas bercerai, saya tidak begitu memikirkan mengenai perkahwinan tetapi selepas penghijrahan, saya teringin untuk berkahwin lagi kerana saya mahukan teman hidup dan anak yang boleh mendoakan saya selepas saya tiada lagi di dunia ini.

"Saya mahukan suami yang beriman dan bertanggungjawab. Untuk melakukan kebaikan dan menambah keimanan kita kepada Allah, kita memerlukan sokongan daripada insan tersayang. Dengan arah dan tujuan hidup yang sama, ibadah menjadi mudah," katanya.

Perkembangan lain, Farah baru menyertai pasukan Wataniah mengikuti jejak rakan artis lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Lisa Surihani, Shaheizy Sam dan Intan Ladyana. Pembabitan Farah dalam pasukan itu juga tanpa dirancang.

"Saya menemani Pengetua Pernim, Norlina Alwi menghadiri mesyuarat di Kementerian Pertahanan dan bertemu seorang Pegawai Wataniah di sana dan terus beliau bertanya sama ada saya mahu menyertai pasukan itu dan untuk mendapat pentauliahan, saya kena melengkapkan latihan sebanyak 240 jam.

"Mereka memberi kelonggaran kepada saya untuk memilih waktu menjalani latihan yang diadakan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Allah juga permudahkan urusan saya untuk berbakti kepada bangsa, agama dan negara," katanya.



Kembara amal IKIMfm

Posted: 12 Mar 2012 07:44 AM PDT

SELAIN aktif menyalurkan pelbagai maklumat kepada pendengar, Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) sering menganjurkan aktiviti bersifat kemasyarakatan di dalam dan luar negara.

Pada 13 hingga 15 April ini, IKIMfm akan mengadakan program ramah mesra penyampai saluran radio itu dengan masyarakat di Kundasang, Sabah.

Program amal itu dinamakan Sinar Di Bawah Bayu dianjurkan IKIMfm dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) serta Zellwafa Holidays Sdn Bhd.

Pengarah radio itu, Nik Roskiman Abdul Samad berkata, program berkonsepkan kembara amal ini satu daripada program komuniti IKIMfm dalam usaha mendekati masyarakat serta rakan pendengar sambil melaksanakan tanggungjawab sosial.


"Program ini akan membabitkan penyampai IKIMfm untuk bersama-sama turun padang bagi beramah mesra dengan penduduk sekitar Kundasang yang kurang berkemampuan.


"Dijangkakan 60 orang pendengar IKIMfm dari Semenanjung akan turut serta dalam program amal ini. Penyertaan juga dibuka kepada pendengar yang menetap di Sabah," jelasnya.

Tambah Roskiman, program istimewa ini memilih Kundasang sebagai destinasi kembara amal kerana IKIMfm belum pernah lagi ke sana.

"Program ini membabitkan penyertaan 300 penduduk kampung daripada golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan saudara baru," katanya.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan dirancang termasuk program ramah mesra penyampai IKIMfm dengan masyarakat di situ. Turut dirancang, program masakan bersama Charity Chef IAM iaitu Chef Yang Jamil, gotong-royong membersih kawasan sekitar dan program pengisian berbentuk motivasi dan keagamaan.

IKIMfm turut menyumbang pek makanan dan barangan keperluan harian kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan itu.

"Kami juga mahu mengenali kehidupan dan budaya masyarakat Sabah dengan lebih
dekat. Paling utama merapatkan hubungan ukhuwah di antara pendengar radio, penyampai IKIMfm dengan masyarakat setempat untuk mempromosi radio IKIMfm
di Sabah.

"Ini adalah kunjungan sulung IKIMfm ke Negeri Di Bawah Bayu selepas lebih sedekad memberi hiburan sambil mendidik jiwa pendengar. IKIMfm berharap dengan adanya program ini, jumlah pendengar IKIMfm di Sabah akan meningkat," katanya.