Adsense

Selasa, 13 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ella berahsia pasal kahwin

Posted: 12 Mar 2012 03:03 PM PDT

Hip

TEKA-TEKI tarikh perkahwinan dan jejaka bertuah yang berjaya memikat hati ratu rock Ella terus menjadi tanda tanya setelah penyanyi itu dikesan mengikuti kursus kahwin pada 3 dan 4 Mac lalu.

Bagaimanapun, Ella atau Norzila Aminuddin terus mengunci mulut tanpa mahu berbicara langsung soal perkahwinan. Usaha menjejaki penyanyi rock wanita ini gagal dan tatkala dirisik kepada pengarah jenamanya, Badrul Hashim menegaskan, sekalipun Ella menghadiri kursus kahwin sebagai persediaan, tidak bermakna dia bakal berkahwin dalam tempoh terdekat.

Kemunculan Ella menjayakan HotFM Big Jam di Dataran Syahbandar,Kuala Terengganu bagaimemberi sedikit sinar harapan. Siapa tahu penyanyi berusia 46 tahun itu sedia membuka mulut seterusnya berkongsi saat gembira bakal disatukan dengan jejaka bernama A yang dikatakan seorang juruterbang.

Namun, harapan itu sekali lagi hampa apabila kakak kepada penyanyi Korie itu bertindak melarikan diri daripada media. Menurutnya, dia bersedia menja-wab soalan media, tetapi hanya berkaitan dengan konsert dan kerjaya, tetapi enggan melayan sebarang pertanyaan mengenai hal peribadi.

"Pasal konsert boleh, tetapi mengenai kahwin saya tidak mahu cakap. Saya tidak mahu kenyataan saya nanti disalah tafsirkan," kata penyanyi itu kepada media yang mendekati.

Ditanya kesahihan berita menghadiri kursus kahwin seperti yang tersebar luas di laman blog, penyanyi itu menegaskan terpulang kepada orang ramai dan peminat untuk mempercayainya atau tidak.
Kata Ella, dia enggan berkongsi bukan disebabkan bimbang perancangan untuk berkahwin tidak menjadi seperti pengalaman silam yang pernah ditempuhi.

Sebaliknya hanya bersedia untuk berkongsi dengan media dan peminat apabila tiba waktunya nanti.

Bagaimanapun, siapakah jejaka bernama A sebenarnya masih lagi menjadi tanda tanya. Ada yang mendakwa A yang dimaksudkan adalah jejaka Cina Muslim bernama Abdul Rahman yang bertugas sebagai juruterbang.

Tetapi ada juga mengatakan boleh jadi A yang dikatakan adalah Amir yang pernah menjadi pemuziknya satu ketika dulu.

Sam tak paksa peminat mengundi

Posted: 12 Mar 2012 03:01 PM PDT

Hip

BINTANG Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Shaheizy Sam Samad, tidak mahu memaksa peminat mengundi dirinya bagi membolehkan dia merangkul gelaran itu buat kali kedua.

Katanya, kalau boleh biarlah undian itu lahir daripada ketulusan jiwa peminat setianya. Justeru, sejak dulu Sam tidak pernah terbabit langsung dengan sebarang aktiviti mahupun kempen gerak-gempur bersama peminat, semata-mata untuk meraih undian.

Ia bukan caranya, malah semakin menghampiri tarikh 8 April ini, iaitu detik acara kemuncak berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, dia juga semakin jarang menggunakan laman sosial untuk berkomunikasi dengan peminat. "Saya tidak mahu peminat buat sebab terpaksa. Saya juga semakin jarang berhubung dengan mereka menerusi laman twitter. Bukan apa, saya tidak mahu disangka hanya berbaik dengan peminat disebabkan ABPBH. "Saya tidak kisah sama ada mereka mahu mengundi atau tidak. Tak bermakna apabila mereka tidak mengundi, saya akan marah dan tidak hargai peminat.

"Saya hargai setiap seorang daripada mereka. Mereka yang bayar gaji saya sebab sanggup keluar duit untuk menonton filem lakonan saya. Sebagai balasan atas sokongan mereka selama ini, saya akan cuba luangkan masa mengikuti siri jelajah yang diadakan.

"Tahun lalu saya tidak begitu berkesempatan mengikutinya kerana terlalu sibuk. Oleh kerana saya bercuti sejak Ogos lalu, saya akan cuba luangkan waktu bertemu dengan mereka kali ini," kata Sam yang sudah pun turun ke beberapa lokasi.

Selepas bekerja keras sepanjang tahun lalu, semua hasil lakonannya akan menjengah pawagam tahun ini. Satu daripadanya ialah filem Aku Ada Kau Ada, yang turut menyaksikan Sam dan Yana Samsudin menyumbangkan suara untuk lagu Begini Caranya, ciptaan Ajai.
"Saya menyanyi untuk filem ini saja. Setakat ini, tak terlintas langsung untuk saya kembali menyanyi. Saya sudah tua, seganlah hendak menyanyi semula," katanya yang pernah menganggotai kumpulan MOB.