Harian Metro: Rap |
Cenderahati ketabahan, kesabaran Posted: 10 Feb 2012 06:55 AM PST BAGAI tidak percaya tatkala melihat kelibat si jelitawan ini turun daripada kereta petang minggu lalu untuk sesi fotografi, tubuhnya ramping dan wajah tampak cukup berseri manis sedangkan baru dua bulan melahirkan anak keduanya. Bayangkan, Sari Yanti Mohamad Nazari masih jelita dengan susuk tubuh persis anak dara hingga ada antara mereka yang memerhati seakan tidak percaya si pemilik mata galak ini sudah berkahwin dan ibu kepada dua cahaya mata. Bagaimanapun, ketika mengusiknya kononnya gayanya masih tidak berubah seperti detik awal mengenalinya beberapa tahun lalu, lekas bintang yang mula mencipta nama menerusi drama siri popular, Kisah Kaisara ini menepis. "Sari naik badan! Sekarang berat Sari mencecah 48 kilogram. Masih ada tujuh kilogram yang perlu diturunkan!" keluhnya.
Tidak terhenti setakat itu, Sari kemudiannya dikurniakan cahaya mata kedua, Basit Al Haq yang baru berusia dua bulan. Siapa sangka di usia semuda ini Sari sudah sempurna memiliki sebuah keluarga bahagia dengan kerjaya lakonan yang kemas rentaknya. Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini, rezeki dan segala percaturan hidupnya adalah ketentuan Tuhan. "Alhamdulillah semuanya lancar dan teratur. Saya sendiri ada kalanya tersenyum melihat semula perjalanan hidup yang memang pantas dan mudah. Mana tidaknya, memiliki sebuah keluarga dan anak yang ramai memang menjadi impian saya sejak dulu. Syukur sekali apabila apa yang pernah saya mimpikan ini menjadi kenyataan dengan begitu cepat sekali. "Mungkin ini adalah cenderahati di atas ketabahan dan kesabaran saya selama ini. Saya mengharap dan tidak pernah henti mencuba baik dari aspek kehidupan peribadi mahupun kerjaya lakonan," katanya tersenyum. Memiliki dua anak, menguruskan keluarga dengan kerjaya lakonan yang kian meningkat, kekangan masa pasti menjadi kemelut yang menghimpit. Mana mungkin seorang dramatis popular sepertinya yang terperuk di lokasi penggambaran punya masa yang banyak untuk melengkapkan tugasannya sebagai seorang ibu. Jika anak pertama, Sari hanya kembali berlakon sebaik Barr Al Aliy berusia lapan bulan. Namun kali ini, habis saja tempoh berpantang, Sari sudah bergegas melunaskan wataknya dalam drama BFF... Teman Tapi Mesra. Bagaimanapun, jelas anak kedua daripada tiga beradik ini yang juga graduan Pengajian Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional, soal masa tidak menjadi masalah buatnya menjalankan kerja sebagai seorang ibu kerana status isteri dan ibu berkerjaya bukanlah satu alasan untuk seseorang itu lari atau terlepas daripada tanggungjawab. "Memang tidak dinafikan saya penat kerana terpaksa berkejar-kejar ke lokasi dan menyiapkan kerja untuk anak-anak. Namun semua itu adalah lumrah dan sesuatu yang tidak sekali saya lihat sebagai beban sebaliknya semua itu adalah rutin yang sudah biasa saya lakukan sebelum ini, cuma bezanya kali ini saya sudah pun mempunyai dua anak. "Mujur suami cukup memahami dan sentiasa menyokong apa yang saya lakukan. Soal kembali berlakon terlalu awal memang sudah komitmen yang harus saya lakukan. Saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi dan pelakon lain pula hanya kerana memberi laluan kepada saya untuk berehat. Setakat ini saya masih kuat dan mampu menjalankan kerja. "Anak memang saya sendiri yang jaga bersama suami. Namun jika saya terikat dengan mana-mana jadual lakonan, ibu akan datang dari Kuala Pilah untuk membantu. Tapi saya tidaklah terlalu aktif dengan menerima apa saja tawaran yang datang kerana sejak menjadi ibu, saya lebih memilih skrip dan lokasi penggambaran. "Suami juga menjadi tempat rujukan buat saya sebelum menerima apa saja tawaran. Keizinan daripadanya adalah perkara utama," katanya. Terlanjur bercerita mengenai kerjayanya, terlintas pula persoalan mengenai watak idamannya. Mengenali Sari yang tidak lekang tersenyum dan sesekali berjenaka, watak remaja, gadis beruniform sekolah dan gadis periang bagai sudah sinonim dengannya. Mungkin pesona lakonannya dalam Kisah Kaisara terus melekat di minda penonton, Sari terus dilabelkan pelakon remaja dan hanya selesa melakonkan watak seumpama itu sedangkan drama siri Suria Di Cordoba mencerminkan sisi bezanya. Namun ketika diminta berkongsi pandangannya, Sari menyifatkan Kisah Kaisara begitu popular dan menerima sambutan baik membuatkan ramai beranggapan sebegitu. "Nama dan bakat saya mula dikenali menerusi drama itu dan karakter yang saya bawakan ketika itu juga kuat membuatkan peminat dan penonton terus melekat dengan watak itu. Lantas walaupun banyak juga watak lain yang saya lakonkan, tetap ia ditenggelami oleh karakter Kisah Kaisara. Saya tidak terkilan sebaliknya saya berbangga kerana sekurang-kurangnya lakonan saya tetap meninggalkan impak tersendiri. "BFF...Teman Tapi Mesra kali ini umpamanya, saya masih lagi menyarungkan pakaian sekolah untuk episod yang pertama namun seterusnya drama ini banyak menguji kemampuan saya dalam mengalirkan emosi bagi terus menghidupkan watak Shahidah. Ia tidak semudah yang dilihat dan begitu juga lakonan saya dalam Suria Di Cordoba. Semuanya kuat dan banyak bermain emosi. "Insya-Allah jika diberi peluang, saya ingin sekali melakonkan watak yang berat seperti psiko, personaliti berganda dan seorang wanita yang penuh perasaan dendam. Mungkin ia akan membawa saya ke fasa yang lebih baik dan membuktikan bahawa seseorang pelakon itu mampu memberikan sesuatu yang baik jika ada ruang diberi," katanya yang kini sibuk dengan drama sitkom tayangan TV Hijrah berjudul An Nisa' Sari serasi dengan Munif JUJURNYA jelas Sari, dia tidak pernah mengenali hero yang akan bergandingan dengannya dalam drama siri arahan Amy Maziah ini iaitu bintang muda, Munif Isa. Meskipun sudah dicari nama dan wajahnya dalam enjin carian di Google, nama Munif Isa masih gagal ditemui hinggalah di lokasi penggambaran. Tambah Sari, Munif memang tidak popular namun pernah sekali terdetik di hatinya tatkala menonton filem Nur Kasih The Movie, Sari tertarik dengan lakonan Munif yang ketika itu tidak dikenalinya. "Memang kelakar apabila mengingatkan kembali detik pertama kali saya bertemu Munif di lokasi. Saya memang tidak kenal dia namun wajah dan bakatnya memang luar biasa. Saya pernah menonton sebelum ini cuma tidak tahu siapa. Namun apabila kami disatukan dalam drama ini dan mula membina keserasian bersama, saya yakin Munif memang seorang pelakon yang berbakat besar. "Keserasian antara kami mula dibentuk dan saya sendiri selesa setiap kali kami bergandingan. Lakonannya yang lancar dan kemas membuatkan saya menjadi lebih bersemangat," katanya. Drama hasil nukilan skrip oleh Maizura Mohd Ederis ini menceritakan perjalanan dua insan, Shahidah dan Iskandar. Bermula sebagai sahabat dan kemudiannya berdepan pelbagai konflik hidup, dua watak ini terus berkembang hingga ke akhir cerita. Jelas Sari, drama romantis yang diselitkan dengan elemen komedi dan emosi ini memberikan satu kelainan baik kepadanya mahupun pelakon yang gemar menyaksikan drama televisyen. Jangan ketinggalan untuk menonton kesudahan kisah Shahidah dan Iskandar menerusi 'BFF...Teman Tapi Mesra' pada setiap Ahad jam 9 malam di TV3. |
Posted: 10 Feb 2012 06:22 AM PST RAMAI pemerhati dan pengkritik memulakan ramalan mengatakan Adele bakal menang besar apabila tersenarai dalam enam pencalonan pada acara Anugerah Grammy. Superstar British dikenali 'Totenham Diva' ini paling banyak dicalon pada edisi berprestij ke-54 akan berlangsung di Staples Center, Los Angeles, lusa.
Apa yang pasti peminat Lady Gaga pasti terkejut kerana ramalan juga tidak meletakkan sebarang harapan kepadanya untuk mengatasi Adele. Penyanyi glamor dan seksi berambut perang ini hanya dicalonkan tiga kategori, lebih sedikit daripada Bon Iver dan Skrillex. Lady Gaga hanya dicalonkan untuk kategori Album Terbaik (Born This Way), Album Vokal Pop Terbaik dan Persembahan Solo Terbaik (You and I).
Edisi Anugerah Grammy 2012 juga menyaksikan kategori berkurangan daripada 109 kepada 78. Kategori seperti Artis Solo Lelaki Terbaik digugurkan dengan sesetengah diperbaharui dengan kategori nama baru. Kemuncak Anugerah Grammy tertumpu kepada pencalonan Pop Solo Terbaik membabitkan saingan Adele menerusi lagu Someone Like You, Lady Gaga (You and I), Katy Perry (Firework), Bruno Mars (Grenade) dan Pink (F***in' Perfect). Kategori Album Pop Terbaik turut menyaksikan saingan Adele dengan album 21 dicabar oleh Bruno Mars (Doo-Wops & Hooligans), Cee Lo Green (The Lady Killer), Lady Gaga (Born This Way) dan Rihanna (Loud). Album Terbaik juga kelihatan berat kepada Adele. Lagunya, Rolling in the Deep terus berada di petak utama di depan Holocene (Bon Iver), Grenade (Bruno Mars), The Cave (Mumford & Sons) dan Firework (Katy Perry). Dalam kategori Artis Baru Terbaik, senarai The Band Perry dan Bon Iver dikatakan calon pilihan bersaing tetapi J Cole, Nicki Minaj dan Skrillex mampu mencabar. Persaingan Grammy tahun ini juga dikatakan menampakkan penguasaan kumpulan rock popular, Foo Fighters. Kumpulan alternatif rock diketuai bekas anggota kumpulan Nirvana, Dave Grohl itu dalam laluan mencari gelaran keempat dalam kategori Album Rock Terbaik. Foo Fighters dijangka menyapu bersih anugerah Album Rock Terbaik apabila lagu Wasting Light berada pada kedudukan teratas pengkritik dan editor majalah muzik. Empat pencalonan lain memberi cabaran sengit adalah Rock N Roll Party (Honoring Les Paul/Jeff Beck), Come Around Sundown (Kings of Leon), I'm With You (Red Hot Chili Peppers), The Whole Love (Wilco). Tidak ketinggalan adalah Album Pop Vokal Tradisional Terbaik menampilkan saingan Tony Bennett dengan Duet II, The Gift (Susan Boyle), In Concert on Broadway (Harry Connick, Jr), Music Is Better Than Words (Seth MacFarlane) dan What Matters Most (Barbra Streisand). Pelbagai persembahan menarik disusun untuk Grammy dengan program baru diacarakan oleh LL Cool J. Antara penyampai memeriahkan acara ini adalah Marc Anthony, Diana Ross, Ringo Starr dan Lady Antebellum.
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |