Adsense

Sabtu, 11 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nay utamakan kesihatan

Posted: 10 Feb 2012 02:32 PM PST

Hip

MENJALANI sesi penggambaran yang berlarutan hingga dinihari cukup melelahkan.

Berulang melalui situasi itu jelas menuntut kekuatan fizikal luar biasa setiap pemainnya, malah kerana mengejar waktu sering kesihatan pemain sinetron dijadikan taruhan.

Situasi itu juga dilalui Naysila Mirdad, 23, ketika membintangi sinetron, Dewa. Puteri ketiga pasanganpelakon, Jamal Mirdad dan Lydia Kandou menyedari kesihatan yang sempurna turut menyumbang kepada keberkesanan watak yang dijayakan. Apatah lagi, sinetron yang kembali menemukannya dengan Dude Harlino itu memerlukan Naysila atau akrab disapa, Nay memainkan karakter tomboi, sesuatu yang berbeza daripada watak manja dan feminin yang sering diamanahkan kepadanya.

Untuk menjaga staminanya, gadis kelahiran Jakarta berusia 23 tahun itu memastikan dia mengambil suntikan multivitamin yang memberinya energi apabila terpaksa seharian bertungkus lumus di studio penggambaran.

"Tahap kesihatan kami diawasi oleh doktor yang akan ke studio setiap dua minggu sekali atau bila diperlukan. Jadual kerja kami terlalu padat, setiap hari melakukan penggambaran.

"Justeru, rumah produksi mengutamakan kesihatan pelakon dan kru yang terbabit.
Jika terlalu penat, saya akan mengambil suntikan sekurang-kurangnya seminggu sekali. "Suntikan itu memberikan banyak manfaat, bukan hanya mencerahkan warna kulit malah lebih penting tubuh jadi segar dan tidak mudah penat," kata gadis yang memulakan karier lakonan bersama kakaknya, Nana Mirdad menerusi sinetron, Liontin pada 2005.

Serasi dengan suntikan itu, Naysila bagaimanapun hanya mengambilnya mengikut keperluan tubuh selepas mendapat nasihat daripada doktor yang merawat.

Tidak menafikan rehat yang terbaik adalah tidur, gadis yang turut dikenali menerusi sinetron Intan, Aqso dan Madina, Cahaya dan Melodi itu tetap mengutamakan kualiti hidup.

"Waktu tidur saya mungkin berkurangan, namun tidak mendatangkan masalah kerana saya mengutamakan rehat yang berkualiti. Saya tidak punya pilihan lain kerana ini adalah tanggungjawab," katanya.

Pengalaman ketika mengalami kekejangan sewaktu penggambaran sinetron, Intan beberapa tahun lalu membuatkan Naysila enggan bertolak ansur mengenai penjagaan kesihatan.

Imbasnya, ketika itu dia mengalami sesak nafas dan hampir pengsan tetapi tidak tahu apa punca sebenarnya. Melihat keadaan Naysila begitu, dia segera dikejarkan ke hospital dan diberitahu mengalami keletihan yang keterlaluan.

"Paling penting menjaga pemakanan kerana biasanya di lokasi penggambaran, pemakanan seimbang kurang dititikberatkan.

"Saya juga mengamalkan meminum klorofil untuk menambah serat selain banyak minum air putih.

Klorofil membantu badan saya menjadi lebih segar, selain mencantikkan kulit.

Ia juga membersihkan ginjal," kata Nay yang juga laris sebagai pelakon iklan komersial.

Tidak hanya menitikberatkan kesihatan dalaman, Nay juga rajin melakukan perawatan wajah. Memiliki kulit sensitif, solekan yang dikenakan berbelas jam itu membuatkan wajahnya mudah ditumbuhi jerawat.

"Kurang tidur, selain solekan tebal membuatkan wajah saya mudah didekati jerawat. Saya terpaksa mengambil ubat khusus supaya masalah ini tidak berlarutan.

"Untuk mengatasinya, saya harus menjalani rutin menemui doktor tetapi ia tidak dapat dipenuhi kerana saya kesempitan waktu disebabkan jadual penggambaran," katanya.