Adsense

Sabtu, 21 Januari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Balasan dosa masa lalu - Awie

Posted:

Balasan dosa masa lalu - Awie

Balasan dosa masa lalu - Awie

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto DJOHAN SHAHRIN SHAH


Kebanyakan filem lakonannya mendapat sambutan memberangsangkan.


FIGURA rock ini mengakui bahawa garisan perjalanan seni yang dicorakkan kira-kira 25 tahun dalam industri hiburan tidak pernah lurus menegak, sentiasa bergelombang dan diduga dengan pelbagai ranjau yang kadangkala membuatkan diri hilang pertimbangan.

Ini kerana setiap langkahnya sentiasa disalah ertikan dan kadangkala mengundang persepsi negatif pihak yang cemburu dengan pencapaian kerjayanya.

Maklumlah perubahan daripada orang biasa yang baru belajar muzik dan menyanyi di kelab malam tahun 1987 kemudiannya bertukar bintang disegani selepas berjaya di layar perak dan pentas teater.

Seiring dengan itu, nama Awie juga disebut dek kerap dikaitkan dengan beberapa siri pergaduhan yang mengakibatkan dia dilabel "artis hitam".

"Saya adalah artis pertama jadi tajuk utama berita sebab bergaduh," ringkas lelaki ini sambil tersenyum sinis pada pertemuan petang Rabu lalu di Ampang, Kuala Lumpur.

Pertemuan bersama Pancaindera untuk berkongsi suka duka dan sejarah hidup yang banyak mempengaruhi tindak tanduk Awie pada hari ini.

"Semuanya bertitik tolak dari sikap segelintir masyarakat yang anggap artis adalah barang mainan, suka-suka hati dimarah, diherdik kalau tak suka. Perkara ini berlaku sejak zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi.

"Sedangkan tiada beza antara artis dengan orang luar, cuma kerjaya saja. Kalau tak suka, boleh tukar 'saluran' lain, tapi jangan sesekali maki hamun artis. Tak boleh ke kita saling hormat antara satu sama lain?

"Tapi bila akal saya diduga dan ada orang lelong terlalu murah, saya belilah. Saya tahu orang yang menjual tak ada diskaun itu handal, tapi bila dah berlaku (gaduh), akhirnya saya dikata puncanya," kesal Awie sambil mengimbas kenangan lalu.

Ditanya adakah sikap panas baran Awie mendorong terjadinya satu pergaduhan sehingga ada yang cop Awie samseng?

"Kebiasaannya, saya seorang yang tenang tapi sifat manusia boleh berubah terutama bila ada cubaan provakasi. Tak kiralah, individu itu dalam kedudukan tertinggi atau punya jawatan besar pun, situasi ini normal.

"Tapi adilkah bila seseorang itu dituduh melakukan kesilapan yang tidak dibuatnya? Kalau pun saya buat salah, ia adalah kesilapan individu. Bukan sebab orang lain.

"Bila artis itu cakap kesalahan itu semuanya fitnah, ada orang nak percaya? Kalau nak cakap pasal fitnah yang orang tabur pada saya, tak terkira banyaknya. Tapi bila seseorang artis yang sudah dicap jahat bercakap tentang kebaikan, pasti ada yang pandang sebelah mata, bukan?" soalnya kembali berhubung tuduhan tersebut.

Mengulas penyebab utama yang menyebabkan dia berkata sedemikian, pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini tersenyum.

"Apa yang masyarakat nampak artis masa bekerja memang berbeza dalam kehidupannya. Senyuman di depan mata ini kadangkala tak selari dengan apa yang kita tengah fikir," ringkasnya berkias.

Penyakit murung

MENGOREK tentang permasalahan dialami oleh Duta Remaja Persekutuan Seruan Islam Negeri Perak selama bergelar anak seni, Awie menarik nafas dalam-dalam.

"Saya pernah murung, pendiam dan suka termenung kosong, macam orang bodoh. Hubungan dengan isteri (Rozana Misbun) dan anak-anak pun kacau. Pantang silap sedikit, pasti melenting.

"Saya jadi malas nak pergi kerja, mudah penat dan ada ketikanya susah nak bernafas. Paling teruk masa latihan Konsert Awie & Ella - Raja & Ratu Rock Malaysia, dua bulan lalu.

"Saya tak boleh menyanyi, suara tak keluar dan tekak ini gatal sangat. Batuk tak payah cakaplah, memang teruk. Bila doktor pakar periksa, tak jumpa apa-apa punca pun.

"Dengan kuasa Allah pada hujung November lalu, masa saya batuk-batuk tu terus keluar bulu halus dari kerongkong. Memang terperanjat," imbasnya.

Adakah itu petanda Awie disihir oleh pihak tertentu? Lelaki berusia 44 tahun ini sekadar tersenyum.

"Susah nak cakap sebab memang benda ini wujud tapi kita tak lihat kewujudannya. Kalau kita mengesyaki orang lain, umpama menganiaya orang lain," katanya yang enggan menafikan atau mengiyakan perkara tersebut.

Pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ini mengakui pernah mengalami penyakit misteri sejak awal tahun 2000 sehingga Awie terpaksa bertongkat kerana sendi kakinya semakin membengkak.

Awie menyangka dia terkena penyakit angin atau gout, bagaimanapun pakar perubatan mengesahkan dia sihat.

"Mungkin juga santau sebab sebelum ini saya pernah nampak kelibat dan alami situasi pelik macam bilik tidur berombak dan berbuai-buai," katanya.

Adakah Awie pernah mendapatkan rawatan tradisional bagi mengubati penyakit misteri tersebut?

"Saya pernah buat rawatan tradisional di beberapa tempat. Tahun lepas, saya merawat dengan seorang pakar buang bisa di Perak. Dia buang jarum dari kaki saya ini secara tak sedar, tapi sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.

"Dia juga siap pesan ada benda lain macam benang hitam, paku, tali tangsi dan tanah kubur ditanam di rumah saya. Saya nak bawa dia balik rumah tapi tak bolehlah sebab dia bukan Islam," dedahnya yang pernah makan ubat penahan sakit selama empat bulan.

Kesilapan diri

MENGAJUKAN signifikan kejadian aneh yang dialaminya itu berkait dengan perbuatan Awie sebelum ini yang pernah mengundang rasa kurang berpuas hati sesetengah pihak dengannya, lelaki ini kembali tersenyum.

"Musibah berpunca daripada pembalasan dosa dan kesilapan lalu sama ada disengajakan atau tidak. Manusia mana yang tak terlepas daripada melakukan kesilapan bukan?

"Hukum karma balasan Tuhan boleh berlaku di mana-mana sahaja mungkin berpunca dari sikap kita yang lalai. Ia adalah cara penyucian agar kita lebih tenang.

"Mungkin juga semua ini adalah peringatan. Kita boleh tengok sekarang ini ada banyak cara kematian berlaku perlu diinsafi. Sebab Tuhan bayar dalam bentuk tunai dimuka bumi ini," katanya.

Ditanya adakah dia mengesyaki sesiapa yang ingin melihat dia sakit dan jatuh terduduk, bapa kepada lima anak ini menggelengkan kepala.

"Saya tidak syak sesiapa pun. Kalau kita cari punca, memang buang masa sebab saya tak yakin boleh tepat 100 peratus. Sebab di hadapan kita muka baik, tak tahulah apa dilakukan di belakang kita.

"Jadi tak payah bersusah payah berusaha nak tahu siapa pedajal kita. Kalau saya tak tahu, dia sendiri akan dapat balasan," katanya penuh makna di penghujung pertemuan selama dua jam itu.

Full content generated by Get Full RSS.

FARAH jawab isu cerai, gambar intim

Posted:

FARAH jawab isu cerai, gambar intim

FARAH jawab isu cerai, gambar intim

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto DJOHAN SHAHRIN SHAH


Laporan polis dibuat bagi mencari keadilan berhubungan isu godam.


GAMBAR yang tersebar itu bukan punca kami bercerai. Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai itu. Apa yang ingin saya beritahu antara kami berdua memang tak ada persefahaman dan jalan yang terbaik adalah berpisah," tegas Farah Ashikin, bekas isteri Hattan dalam satu pertemuan dengan Pancaindera di butik Amir Luqman di Plaza Damas, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Farah dan penyanyi Hattan telah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Rumahtangga yang dibina oleh pasangan ini pada 11 November tahun lalu cuma bertahan dua bulan selepas pelbagai spekulasi tersebar mengenai perceraian mereka seminggu setelah mereka bernikah.

Bagaimanapun Hattan yang ketika itu masih suami Farah Ashikin menafikan sekeras-kerasnya mengenai berita itu sambil menyifatkan ia sekadar gosip kerana mereka berdua adalah pasangan bahagia.

Sayangnya, rumah tangga yang dibina atas dasar cinta yang diharapkan akan berkekalan sehingga hujung nyawa, akhirnya musnah di pertengahan jalan apabila mereka disahkan bercerai pada minggu kedua 2012.

Sebagai pasangan bahagia, sama ada Farah ataupun Hattan, sememangnya tidak mahu rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu runtuh.

Tetapi sebagai manusia kita hanya bisa merancang namun takdir yang menentukan segala-galanya.

Sayangnya, apa yang kurang enak didengar, selepas perceraian itu pelbagai cerita yang tersebar sehingga mengguris hati dan maruah apabila gambar intim Farah dengan seorang lelaki tersebar dalam pelbagai blog dan portal hiburan tempatan.

Ketika ditanya kesahihan perkara berkenaan, Farah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gambar tersebut menjadi punca kepada penceraian mereka.

"Memang benar itu gambar saya. Tapi bukan sebab gambar tu saya bercerai dengan Hattan. Saya tahu ramai yang percaya dan sudah tiba masanya untuk saya menjelaskan perkara yang sebenar.

"Itu gambar peribadi saya yang diambil lebih kurang lima tahun lalu. Kenapa setelah saya kahwin ada orang nak sebarkan gambar tu?

"Saya ada maruah dan keluarga. Bila tersebar gambar berkenaan memang saya malu dan reputasi saya jatuh. Orang tak tahu apa yang terjadi. Orang dengar dan orang percaya bulat-bulat.

"Lagi satu saya bukan artis! Saya hanya orang biasa dan tak sepatutnya mereka siarkan gambar berkenaan. Itu cukup mengaibkan saya," kata Farah, ibu tunggal kepada dua orang anak.

Menurut Farah, walaupun dia redha dengan apa yang berlaku namun dia tetap sedih dengan perceraian itu.

"Saya sangat sedih dengan perceraian kami tetapi saya optimis dengan perjalanan hidup. Saya nak orang tahu yang saya tak menyesal berkahwin dengan Hattan.

"Biarpun banyak dugaan yang datang saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Cuma saya kesal bila ada yang menjaja cerita kami bercerai talak tiga di awal perkahwinan dulu.

"Itu memang satu berita yang tak benar dan sangat mengaibkan.

"Tetapi sama ada suka atau tidak saya kena terima penceraian ini. Kini saya hanya mahu memberi tumpuan kepada bisnes saya," kata Farah.

Mangsa godam

MENGULAS lanjut mengenai penyebaran gambar berkenaan, jelas Farah semuanya berpunca daripada penggodam yang telah membuat onar terhadap e-mel peribadi dan blog peribadinya.

Perkara ini bukan baru berlaku sebaliknya semenjak pertengahan tahun 2010, dia menjadi mangsa digodam yang akhirnya mengaibkan dirinya.

"Saya pernah buat laporan polis pada September 2010. Berita mengenai laporan polis itu pernah tersiar di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

"Saya tak tahu siapa punya kerja. Tapi mereka godam e-mel saya, tambah kandungan termasuk dalam blog dan hantar pada semua kenalan untuk mengaibkan saya," kata Farah yang merupakan pemilik Into Equity Sdn. Bhd. ini lagi.

Melalui syarikatnya itu, Farah merupakan ahli perniagaan hartanah dan pendidikan kanak-kanak yang beroperasi di London, Itali dan Hong Kong.

Selain terbabit dengan bisnes luar negara, dia juga merupakan pembekal barangan hotel terkemuka di Kota Kinabalu dan membekal peralatan kepada Kementerian Kesihatan.

Bisnes yang telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu cukup membuatkan dirinya terkenal dalam bidang perniagaan dan sudah pasti dia terkesan dengan kemelut tak berkesudahan yang akan menjejaskan perniagaannya.

"Saya orang bisnes dan saya tahu dengan penyebaran gambar itu akan menjejaskan reputasi saya. Kalau dengan pelanggan luar negara tak ada masalah tetapi bagaimana dengan pelanggan dalam negara?

"Mahu atau tidak saya kena membersihkan maruah saya yang tercalar.

"Lepas ni saya akan ke Hong Kong untuk urusan perniagaan. Bila balik nanti saya mahu membersihkan nama saya. Saya sudah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap beberapa blog hiburan yang menyiarkan gambar saya," kata Farah.

Full content generated by Get Full RSS.