Adsense

Selasa, 31 Januari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kontroversi pelakon hanya kebetulan

Posted: 30 Jan 2012 03:27 PM PST

Hip

Aziz harap Azura versi baru dapat sambutan positif penonton

SELEPAS publisiti meluas diberikan ditambah kontroversi yang dicetuskan dua pelakon utamanya, iaitu Shahrizal yang sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle dan Neelofa, akhirnya filem Azura 2011 bakal ditayangkan kepada khalayak mulai Khamis ini.

Naskhah terbaru arahan Aziz M Osman ini boleh dianggap sebagai pembikinan semula kepada sebuah filem yang pernah mencetuskan fenomena hampir tiga dekad lalu, yang menampilkan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.

Filem yang ditayangkan pada 1984 itu menjadi bualan kerana bukan saja kehebatan jalan ceritanya, tetapi turut dilatari lagu cukup merdu dan malar segar. Persoalannya, mampukah filem Azura 2011 ini berjaya mengatasi ataupun sekurang-kurangnya meraih pencapaian sama dengan filem asalnya?

Mengulas pertanyaan itu, Aziz berkata, soal sambutan yang bakal diterima cukup subjektif.

"Walaupun publisiti diberikan terhadap filem ini cukup menggalakkan, namun ia tidak menjanjikan apa-apa. Kalau kita lihat, publisiti awal untuk filem KL Gangster cukup suram, tapi sambutannya amat hebat," katanya ketika ditemui pada malam gala filem berkenaan di GSC One Utama, Bandar Utama, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu barisan pelakonnya iaitu Shahrizal, Neelofa, Afdlin Shauki dan ramai lagi.
Ditanya apakah dia ada meminta keizinan untuk menerbitkan kembali filem itu, Aziz berkata, dia memang ada meminta restu daripada pengarah asalnya, Datuk Deddy M Borhan, sebelum memulakan projek berkenaan.

Mengarahkan filem yang pernah mencetuskan fenomena ternyata bukan tugas yang mudah. Dibandingkan dengan filem asal ialah perkara utama yang harus ditempuh Aziz. Mengulas lanjut perkara itu, Aziz bersikap positif sambil menegaskan, dua filem itu masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Filem Azura popular kira-kira 30 tahun dulu dan tidak semua orang tonton filem ini. Anak saya pun tahu mengenai kewujudan filem ini selepas saya membeli DVD. Apa yang boleh saya katakan, saya buat filem ini adalah untuk anak saya, generasi masa kini," ujarnya.

Dijolok pertanyaan apakah kontroversi membabitkan dua pelakon utamanya memberi kelebihan untuk mengumpan penonton, Aziz berkata, dia menganggap perkara itu sebagai kebetulan.

"Saya ambil mereka berdua berlakon pun sebelum berlakunya kontroversi. Apa yang berlaku adalah kebetulan. Tapi, apabila pelakon dilanda kontroversi, pasti ada dua kemungkinan yang berlaku. Pertama, ia mungkin membantu menarik perhatian penonton untuk ke pawagam. Kedua, ia juga boleh menimbulkan perasaan menyampah kepada masyarakat dan mungkin menjejaskan filem itu sendiri. Namun begitu, saya harap filem ini mendapat maklum balas yang positif," katanya.

Versi baru Azura mengisahkan Zack yang jatuh cinta pandang pertama terhadap Azura, petugas kaunter di sebuah pusat paintball yang sering dikunjunginya.
Pemuda itu kemudian membawa Azura bertemu bapanya di Paris. Namun niatnya untuk mengahwini gadis itu ditentang si bapa dengan alasan Zack masih
mentah dan belum mampu berdikari. Dengan bantuan neneknya (lakonan Afida S), Zack dan Azura kahwin lari di London.

Sejurus selepas perkahwinan yang tidak mendapat restu itu, bapa Zack menghentikan segala bantuan kewangan terhadapnya, lalu dia pulang ke
Malaysia dan belajar hidup berdikari di sisi Azura.

Full content generated by Get Full RSS.

Giliran pelawak masuk Istana Budaya

Posted: 30 Jan 2012 03:05 PM PST

Hip

PERSEMBAHAN Lawak Ke, Der? (Bila Hati Digeletek) menjadi anjakan dan pengiktirafan terhadap komedi pentas yang selama ini dianggap sekadar tempelan selain membuktikan ia berdiri setanding cabang seni lain apabila mendapat tempat di Istana Budaya (IB) buat julung kali bermula 3 Februari ini.

Jika selama ini panggung berprestij itu menonjolkan teater, muzikal dan konsert, kali ini barisan pelawak lama dan baru mengisi ruang pentas IB.

Bukan hanya Harith Iskander, persembahan bakal dimantapkan kumpulan daripada Maharaja Lawak Mega (MLM) dan Raja Lawak (RL) termasuk Boboi, Jozan serta Nabil. Afdlin Shauki daripada kumpulan Boboi berkata, peluang yang dibuka IB umpama penghargaan kepada seluruh penggiat komedi sekali gus menukar perspektif segelintir masyarakat yang masih beranggapan pelawak hanya penyendal dalam persembahan. "Evolusi semasa industri seni tanah air sejak tiga empat tahun kebelakangan ini menampakkan aliran perubahan apabila pelakon komedi seperti Saiful Apek dan Nabil mengungguli gelaran Bintang Paling Popular dan kini sebuah panggung berprestij pula membuka ruang untuk penggiat komedi beraksi.

"Peluang sebegini membuktikan komedi dan pelawak mempunyai kedudukan sama penting dengan cabang seni lain, malah ramai sudah melihat bidang ini sebagai kerjaya bukan sesuatu yang dilabelkan hanya untuk suka-suka atau buat orang ketawa," katanya pada sidang media di IB, semalam.

Bagi Harith, peluang keemasan berkongsi pentas dengan bakat besar seperti Nabil, selain Johan dan Zizan sesuatu yang tidak mungkin dilepaskan.

Sementara itu, Ketua Pengarah IB, Datuk Juhari Shaarani, berkata maklum balas peminat sungguh di luar dugaan apabila hampir 70 peratus tiket sudah pun dijual.
"Tiket menyaksikan persembahan ini masih dibuka, cuma terhad untuk tempat duduk tertentu," katanya.

Lawak Ke, Der? dipentaskan pada 3, 4, 5, 10, 11 dan 12 Februari. Tiket boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz.

Full content generated by Get Full RSS.