Adsense

Ahad, 11 Disember 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Hilang tekanan selepas berkahwin

Posted:

Hilang tekanan selepas berkahwin

Hilang tekanan selepas berkahwin

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF


HEBAT... Ezlynn bersama Pengarah Urusan Rafflesia, Winnie Sin (dua dari kanan) dan tiga daripada empat pereka yang akan terlibat dalam majlis perkahwinan mutiara Ezlynn iaitu (dari kiri) Nurliza Azulkarnain, Sharifah Mariam dan Neelofa (kanan).


HAMPIR sebulan mendirikan rumah tangga, penyanyi popular, Ezlynn mengakui kehidupannya kini sudah jauh berubah.

Jika sewaktu masih bujang katanya, semua perkara harus difikirkan sendiri memandangkan tanggungjawab yang harus dipikulnya untuk menyara kehidupan keluarga.

Malah, kalau ada masalah sekali pun, semuanya ditanggung dan akan diselesaikan sendiri tanpa ada bahu yang boleh bergantung harap.

Tetapi sekarang ini kata Ezlynn, dengan adanya Adam Fahmy Shamsudin atau Adam yang kini sudah sah menjadi suaminya, dia boleh bergantung harap kepada belahan jiwanya itu.

"Dengan adanya Adam, saya kini mempunyai teman untuk berbincang tentang apa perkara sekali pun.

"Kalau dulu semuanya sendiri, tetapi sekarang sudah berdua dan setidak-tidaknya segala tekanan yang saya hadapi berkurangan.

"Dalam erti kata lain, bebanan itu semakin ringan dan Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang bertambah lengkap selepas berkahwin," jelas Ezlynn dalam nada penuh teruja.

Penyanyi yang menempa kemasyhuran menerusi lagi Hi Hi Bye Bye itu berkata demikian sewaktu ditemui usai sidang akhbar pengumuman majlis persandingannya yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ezlynn dan Adam mendirikan rumah tangga pada 20 November lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur di mana Ezlynn menerima mas kahwin serta wang hantaran sebanyak RM80 dan RM20,020.20.

Menyambung bicara, pemilik nama sebenar Azline Ariffin ini memberitahu sepanjang tempoh hampir tiga minggu ini, dia begitu gigih menyingsing lengan di dapur bagi menajamkan lagi skil memasaknya.

Sebagai seorang isteri, memang tidak sah kalau tidak turun ke dapur dan menyediakan juadah daripada air tangan sendiri bagi mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Biarpun suaminya seorang yang ringkas dan tidak cerewet tentang soal makan, tetapi Ezlynn enggan menjadikannya sebagai tiket untuk menjadi seorang yang sambil lewa dalam bab penyajian makanan.

"Sehinggakan mak saya sendiri akan menelefon dan bertanyakan soal memasak serta menu yang akan saya sediakan untuk hari itu.

"Saya bersyukur kerana mempunyai ibu yang sangat memahami dan sanggup membantu anaknya ini dalam bab memasak.

"Sempat jugalah dia memberikan tips dan resipi untuk saya menerusi telefon," jelas Ezlynn yang terkenal dengan imej berambut kerinting ini sambil ketawa kecil.

Antara menu yang menjadi kegemaran Adam kata wanita berusia 30 tahun ini seperti ayam masak merah, daging dan ayam masak kicap.

Ujarnya lagi, kesibukannya di dapur semuanya bergantung kepada jadual hariannya dengan Adam kerana bukan setiap masa mereka akan makan di rumah.

Sebaliknya, jika pada hari tersebut mereka sibuk dengan agenda sendiri, maka, mereka berdua memilih untuk makan di luar sahaja.

Begitu juga dengan Adam yang mengakui perlu memikul tanggungjawab baru selepas menikahi Ezlynn yang sudah menjadi artis jagaannya sejak enam tahun lalu.

"Hakikatnya, memang tiada banyak beza antara dulu dan sekarang kerana sejak saya menjadi pengurus Ezlynn, semuanya sudah siap dijaga dan diatur.

"Lebih-lebih lagi sejak kami mula bercinta tiga tahun lalu, kami sendiri sudah menyiapkan diri dan bersedia untuk menghadapi alam rumah tangga. Jadi, kami sendiri tiada masalah untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri," jelas Adam yang berusia 35 tahun itu memberikan hujahnya.

Tidak terlepas daripada disoal tentang cahayamata, pengantin baru ini tidak menolak rezeki yang hadir untuk mereka.

Dengan penuh terbuka, Ezlynn memberitahu seboleh-bolehnya dia mahukan anak secepat mungkin memandangkan usianya sudah melewati 30 tahun.

"Kami memang tidak merancang. Kalau boleh, kami mahu sepasang cahaya mata. Jika ada rezeki untuk kami menimang anak kembar, lagi seronok kerana tidak perlu melalui proses bersalin berulang-kali," ujar Ezlynn berseloroh sambil memandang manja ke arah suaminya.

Dalam pertemuan itu, Ezlynn yang pernah diiktiraf dengan gelaran Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 2004 ini sempat mengkhabarkan tentang perkembangan karier seninya.

Bagi mengubat kerinduan peminatnya, Ezlynn akan muncul dengan single terbarunya tahun depan dan masih mengekalkan konsep muzik dance.

"Saya tidak boleh dipisahkan dengan genre itu kerana peminat mengenali saya menerusi lagu-lagu seperti itu. Apa yang boleh saya katakan lagu terbaru ini nanti akan menampilkan muzik yang cukup energetik.

"Bukan itu sahaja, filem terbaru saya, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit arahan Mamat Khalid juga akan ditayangkan tahun depan. Ia merupakan kesinambungan daripada filem Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah," jelas Ezlynn yang juga pernah membintangi filem Diva Popular dan Bilut sebelum ini.

Majlis impian Ezlynn

SELEPAS majlis resepsi Memey dan Norman Hakim yang mendapat liputan besar-besaran, kini giliran Ezlynn dan Adam pula untuk diraikan dalam majlis yang menelan belanja hampir sama dengan Memey dan Norman.

Bakal berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur pada 11 Januari depan, majlis perkahwinan yang mendapat tajaan Rafflesia itu bakal mengenengahkan konsep musim luruh di Sepanyol.

Untuk itu, warna-warna yang menjadi pilihan adalah emas, kuning dan kuning champagne baik pada gaun perkahwinan Ezlynn mahupun dekorasi yang bakal mendapat sentuhan perancang perkahwinan yang semakin meningkat naik, Che Det.

Biarpun majlis sebelum ini menjadi bahan perdebatan masyarakat, namun Ezlynn mempunyai justifikasi sendiri sebaik sahaja membuat keputusan menerima tawaran Rafflesia.

Katanya, dia dan suaminya berpuas hati dengan profesionalisme Rafflesia yang sanggup bertolak ansur dengan permintaan mereka yang mahu menjadikan majlis itu lebih bermakna.

"Kami tidak menyerahkan semuanya kepada Rafflesia kerana mengenangkan majlis ini adalah untuk meraikan teman-teman media dan juga rakan artis. Sudah pasti kami mahu menjadikannya sebagai momen terindah dalam diari hidup kami.

"Banyak perkara yang kami titik beratkan dan mahu tampilkan dalam majlis ini. Sebagai contoh, saya memang berniat mahu memberikan buku doa buat tetamu Muslim sebagai cenderamata dan Rafflesia menerimanya dengan terbuka.

"Begitu juga dengan permintaan saya dan Adam yang mahukan ibu bapa dan ahli keluarga hadir bersama-sama meraikan majlis ini selain adanya bacaan doa selamat yang wajib dilakukan sebelum majlis bermula," kata Ezlynn sambil dipersetujui Adam di sebelahnya yang sekali-sekala mencelah perbualannya.

Menariknya tentang majlis perkahwinan mutiara Ezlynn dan Adam itu apabila gaun perkahwinannya bakal mendapat sentuhan empat pereka fesyen wanita yang semakin meningkat naik.

Mereka yang dimaksudkan ialah Nurliza Azulkarnain, Sya Shaharani, Sharifah Mariam Syed Mohd. dan pelakon baru popular, Noor Neelofa Mohd. Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa.

Keempat-empat pereka muda ini bakal memberikan sentuhan masing-masing menerusi empat bahagian dalam menyiapkan gaun tersebut yang bakal ditatah mutiara Laut China Selatan yang dianggarkan bernilai RM80,000 hingga RM100,000 sebutir.

Nurliza bakal memberikan penekanan kepada ekor gaun, Sya Shaharani (gaun utama), Sharifah Mariam (kain layah) dan Neelofa (kasut).

Full content generated by Get Full RSS.

KL Gangster 2 filem termahal Skop?

Posted:

KL Gangster 2 filem termahal Skop?

KL Gangster 2 filem termahal Skop?

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN


PARA pelakon KL Gangster 2 yang diperkenalkan oleh Skop Production pada majlis yang diadakan di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.


KL Gangster bukan sahaja filem terbitan Skop Production yang paling berjaya daripada segi kutipan tiketnya yang mencecah RM11.7 juta sewaktu ditayangkan di lebih 60 pawagam di seluruh negara, baru-baru ini.

Malah, ia mencatat rekod sebagai filem Melayu yang paling banyak meraih anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM), 20 November lalu termasuklah Anugerah Box-Office.

Ekoran kejayaan itu, penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam berkata, beliau tidak teragak-agak untuk meneruskan kesinambungannya dengan menerbitkan KL Gangster 2 selain menambah kos dalam penerbitan filem tersebut.

"Kos KL Gangster 2 dijangka mencecah RM3 juta di mana ia adalah filem termahal Skop setakat ini. Kalau dulu KL Gangster pun kosnya sekitar RM2 juta sahaja. Saya berani menambah kos untuk filem ini kerana sambutan terhadap KL Gangster," katanya.

Yusof melahirkan keyakinannya itu pada majlis pelancaran KL Gangster 2 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini, selain mengumumkan barisan pelakon yang akan membintangi filem tersebut.

Jelasnya, beliau membuat keputusan itu selepas Syamsul yang juga merupakan anaknya membuktikan bukan sahaja mampu mengarah dengan baik tetapi juga mengutip kutipan yang boleh dikatakan cemerlang setakat ini.

"Pernah suatu ketika seorang orang kenamaan (VIP) yang berkata kepada saya bahawa Syamsul tidak layak menang anugerah Pengarah Terbaik untuk filem Evolusi KL Drift 2 pada FFM23, tahun lalu tetapi ia berlaku sebaliknya.

"Malah, tahun ini Syamsul sekali lagi memenangi kategori Pengarah Terbaik melalui KL Gangster. Dia (Syamsul) telah membuktikan kejayaannya bukan sekali tetapi dua kali berturut-turut. Saya sendiri kagum dengan kejayaannya itu.

"Saya telah mengarah filem lebih 20 tahun tetapi sampai sekarang saya masih kempunan untuk meraih anugerah yang dimenangi oleh anak saya itu. Sebab itu, saya yakin Syamsul boleh berjaya dalam bidang ini," ungkapnya.

Sementara itu, Syamsul Yusof ketika ditemui berkata, dia tetap akan bertindak sebagai pengarah untuk filem KL Gangster 2.

Katanya, KL Gangster 2 yang berbentuk prekuel turut mengekalkan ramai pelakon KL Gangster, antaranya Aaron Aziz, Soffi Jikan, Adiputra, Zizan (Raja Lawak) dan Sheera Iskandar.

Jelas Syamsul yang menulis sendiri skrip filem tersebut dengan bantuan Rizal Ashreff, KL Gangster 2 dijangka memberi cabaran lebih besar daripada segi jalan cerita dan watak-watak yang ditampilkan selain adegan-adegan lasak yang bakal ditampilkan nanti.

"Antara mesej daripada jalan cerita yang ingin saya ketengahkan ialah bagaimana mahu membuka hati para penonton muda supaya tidak terjerumus dalam gejala sosial. Saya cuba tekankan nilai persahabatan dalam filem ini.

"Paling mencabar kerana saya mahu membawa jalan cerita ini lima tahun ke belakang daripada apa yang dipaparkan dalam KL Gangster supaya ia menjadi sebuah filem prekuel yang mampu menarik perhatian ramai," ujarnya.

Selain skrip, jalan cerita dan mengembangkan lagi watak-watak sedia ada, pengarah muda ini tidak ketinggalan mengundang Rosyam Nor berlakon dalam filem ini.

Kemunculan Rosyam yang akan melakonkan watak ketua penjahat bernama Don dalam filem yang telah menjalani penggambarannya di sekitar Lembah Klang sejak 1 Disember lalu itu, dijangka menjadikan KL Gangster 2 lebih menarik untuk ditonton.

"Sebenarnya saya pernah mengundang Rosyam berlakon dalam KL Gangster tetapi ketika itu dia sibuk dengan komitmen lain. Saya memang mahukan dia berlakon dalam filem kali ini kerana watak itu amat sesuai dengannya," kata Syamsul bersungguh.

Filem ke-29 terbitan Skop Production dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd., itu antara lain mengisahkan tentang Malek dan Jai yang terjebak dalam dunia samseng setelah kematian ayah mereka 10 tahun lalu.

Sejak kematian ayah mereka, kehidupan dua beradik itu serba kekurangan di mana pada masa yang sama, ibu mereka juga sering ketakutan gara-gara ugutan daripada kumpulan gangster yang menagih hutang lapuk keluarga terbabit.

Full content generated by Get Full RSS.