Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Pelagak ngeri bukan ekstraAKTOR ini bertutur bak peluru tatkala bercerita tentang momen yang ditempa di negara orang. Farid Kamil, bukan hanya aktor, tetapi sutradara muda ini membikin inisiatif sendiri untuk bergerak setapak lebih. Dia memilih berkelana hampir sebulan di Australia, lebih tepat lagi Australia Stunt Academy untuk menokok ilmu. Mendalami lagak ngeri yang selama ini dilakukan secara praktikal tanpa teori atau panduan yang tepat. "Ingatkan dekat kampung saya sahaja ada Kuala Nerang. Di Australia tempat yang saya belajar itu pun namanya Southport Nerang Road, Nerang," Farid menceriakan suasana sebelum menumpah ceritanya. Melawan gayat "Minggu pertama saya disuruh terjun dari tingkat satu. Saya kalau bab laju, masih okey tapi bab ketinggian agak gayat. Di minggu akhir, saya sudah boleh terjun tingkat lima," ujarnya tentang salah satu praktikal yang dipelajari. Maka sembang selama dua jam berlangsung dengan perkataan lagak ngeri, terjun, lompat, mini tramp, trampoline, bertumbuk dan semua yang berkaitan dengan stunt. Bukan bertujuan untuk menjadi seorang pakar lagak ngeri tetapi untuk bekalan perjalanan diri Farid Kamil sebagai seorang pelakon dan pengarah. "Semuanya bermula apabila saya terlibat dengan lagak ngeri terutama dalam filem Apokalips X arahan Mamat Khalid. Sebelum itu juga sewaktu saya mengarahkan Sam dalam filem Kongsi. Saya hanya boleh beri arahan tanpa tahu sesebuah lagak ngeri secara terperinci," ujar Farid yang kemudian melayari Internet untuk mengetahui negara khusus menawarkan ilmu ini buat kegunaan dirinya. "Paling penting saya tahu ciri-ciri keselamatan untuk lagak ngeri. Sebagai pengarah, semestinya perkara ini saya terokai," tambah pengarah Kongsi itu. Mengaku sedikit tertekan di rantau orang sejak 5 hingga 30 November lalu, sementelah buka sahaja mata, dia terus teringatkan sukatan pelajaran yang semuanya menjurus lagak-lagak ngeri ini. BERBEKALKAN sumber kewangan sendiri, Farid Kamil terbang ke Australia untuk menimba ilmu lagak ngeri. Bukan untuk menjadi pakar bidang tersebut tetapi dia mahu lengkap ilmu apabila turun sebagai pelakon mahupun sutradara kelak. "Kita kekurangan daripada segi keselamatan, itu sahaja kerana di sini faktor itu kurang dititikberatkan. Kita tidak ada pakar untuk menjaga elemen keselamatan. Pelakon lagak ngeri di negara luar dianggap sebagai bintang tetapi di negara kita mereka hanya berstatus pelakon tambahan. "Saya berkongsi cerita yang kita (Malaysia) masih menggunakan kotak untuk sebuah terjunan, para pengajar saya hairan. Di sana mereka tidak pernah guna kotak sebaliknya kusyen udara," sambungnya yang menolak jika kekangan kos adalah penyebab suasana ini berlaku. Antologi lagak ngeri yang dilaluinya dikumpul dan bangun setiap pagi, himpunan ilmu inilah yang memberinya impian untuk kelak membikin sebuah filem yang dicurahkan semaksimum mungkin. Terdahulu secara sembang kopi, Farid berkongsi dengan Bront Palarae tentang momen lagak dan ngerinya. Kuda jadi terapi "Pada 27 November lalu saya menjadi graduan akademi itu. Kami diberi sehelai baju untuk disarung sebagai bukti graduasi. Acaranya menarik, seakan-akan program Survivor," tumpah cerita Farid yang mendapat pujian daripada sudut merendah diri dan aksi bertumbuknya daripada tenaga pengajar. Mengangkat nama tempat lahir, terang Farid, orang Malaysia memang dianugerahkan dengan sikap merendah diri. "Paling seronok bila buat aksi ngeri dengan motosikal. Orang sana siap pakai baju seperti profesional dan saya cuma berseluar jean dan kemeja-T. Tengok-tengok rupanya skil mereka biasa-biasa sahaja," gelaknya yang pernah membintangi filem Remp-It yang mengumpul kutipan box-office RM4.1 juta. Sempat berlakon dua buah filem pendek dan menjadi pameran utama dengan watak puntianak untuk sukatan pelajaran akademi, dia menambah bicara. "Babak gaduh yang ada seni pertahanan diri sama sahaja. Perbezaan terletak pada sudut letak kamera dan ruang praktis. Kekurangan kita adalah daripada sudut latihan. Kalau negara luar mereka ambil masa sebulan untuk praktis dan hasilnya cantik. Di sini, sistem semua mahu cepat dan saya tidak akan benarkan hal ini terjadi dalam filem saya," jujurnya yang akan mengarah dan berlakon dalam filem Ops Sidas yang memaparkan jalan cerita polis dan penjenayah. Masih larut dalam emosi galak bercerita, bab kedua menambah rancak sembang Farid. Jatuh cinta dengan haiwan yang melambangkan maskulin dan kemewahan itu sejak darjah empat, kini setelah selesa duduk sebagai anak seni, dia sudah memiliki dua ekor kuda.
"Malangnya Indra Putra telah mati dan kini hanya ada Tic Tac Toe yang ada kandang sendiri di Ampang. Dulu saya hanya memerhatikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah bermain polo sewaktu saya tinggal di Pekan, Pahang. Itu yang mencambah minat saya terhadap kuda dan sukan polo," cerita Farid yang berjinak-jinak dengan sukan polo sejak setahun yang lalu. Bentuk watak sempurna Sedang menjalani proses dubbing untuk filem Lagenda Budak Setan 2, aktor ini juga akan masuk dalam proses pos produksi filem Petiga yang akan ditayangkan pada tahun hadapan. Bercerita tentang lakonan dan industri yang telah didiami selama 10 tahun, Farid mengaku meletakkan filem Anak Halal lakonannya sebagai sebuah tanda aras dalam skil pentas lakon layarnya. "Sekarang, saya mencari kesempurnaan watak daripada segi pemahaman saya. Bukan hanya berlakon sebaliknya melakukan pendekatan dan motivasi seorang pelakon," luahnya yang merasakan peningkatan lakonan pula melalui filem Apokalips X. "Sejak 10 tahun lalu, industri filem Malaysia menunjukkan peningkatan drastik. Daripada struktur naratif semakin kukuh, begitu juga pembikinan dan teknikal serta skil juga semakin bagus. Kehadiran saya dalam industri ini hanya untuk mencantikkan suasana," senyumnya. Bukan sekadar memuji, tetapi melihat inisiatif yang dilakukan penggerak seni semuda Farid, usaha ini wajar diberi perhatian. Dalam buluh darah dan minda Farid tidak hanya ada semangat sebaliknya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman yang setepatnya. Setidak-tidaknya, sutradara muda ini bakal bergerak dengan bekalan dan asas ilmu sebagai senjata terkuatnya dan bukan hanya keberuntungan atau peluang yang mungkin sebuah peluru untuk segelintir pembikin seni lain. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Izreen akan umum pertunangan
AKTRES dengan nama Izreen Azminda ini sedang menebarkan namanya dengan debunga bakat. Eksplorasi bakatnya banyak ditunjangi watak antagonis yang berjaya membuat penonton berasa benci. Kemunculan dengan watak kontra dalam drama popular Juvana, menambahkan lagi sebab mengapa dirinya dilihat sebagai pelapis aktres tanah air. Sewaktu sedang enak melakar satu demi satu portfolio atas nama pelakon, cerita-cerita peribadi turut menghimpit dirinya. Seakan-akan terkesan dengan watak antagonis yang dipegangnya, ada sahaja cerita panas dan kelam menghampiri pelakon ini. Terbaru, pelakon berusia 26 tahun ini dikatakan bakal bertunang dengan seorang jejaka di belakang tabir. Bukan sebuah cerita negatif tetapi nampaknya hidup Izreen sekarang sudah masuk dalam baris pelakon yang semakin ingin dikenali lebih daripada sekadar cerita di layar. Sedang enak melayari hari-hari penggambaran di bawah arahan Michael Ang, Izreen bakal muncul dengan sebuah telefilem yang bertajuk Pelesit dan Penjara. Dengarnya akan bertunang tidak lama lagi? (Gelak) Mana dengar cerita? Tidak ada perancangan apa pun lagi. Saya sedang sibuk dengan penggambaran. Kalau ada dan sampai masa, saya akan umumkan. Maksudnya benarlah ada hubungan cinta dengan orang di belakang tabir? Saya berkawan-kawan sahaja dan sejauh ini belum ada hubungan istimewa dengan siapa-siapa pun. Orang mungkin salah tafsir kerana saya berkawan dengan semua orang terutamanya orang produksi. Saya memang boleh ngam. Tiada hubungan istimewa dengan siapa-siapa? Tidak ada. Baru-baru ini saya sudah terkena, jadi kena relaks dulu. Saya tak nafikan kalau jodoh sampai, saya terima seadanya. Saya ni sebenarnya suka lelaki yang berwajah Melayu. Perangainya kena kontra dengan saya maksudnya dia perlu jadi air kerana saya bersifat api.
Setelah Juvana dan polemik dengan Johan (Botak), nampaknya cerita peribadi Izreen bertubi-tubi keluar. Peminat hendak tahu cerita peribadi Izreen. Komen Izreen? Memang tidak dinafikan tahun ini paling banyak saya dilanda kontroversi. Itu lumrah dan saya sudah bersedia. Awalnya mungkin saya kekok diterjah soalan sebegitu dan saya emosi menjawab. Itu pengajaran dan pada masa depan saya lebih berhati-hati menjawab. Kadang kala penyampaian itu tidak sama dengan tafsiran. Sejauh mana keterbukaan Izreen berkongsi cerita-cerita peribadi dengan peminat? Sekarang ini saya lebih selesa bercakap pasal kerja. Tentang peribadi, ada batasnya. Bagaimana melihat perjalanan tahun 2011 dan harapan 2012? Perjalanan 2011 sangat mencabar kerana bukan sahaja saya diterima ramai tapi juga terpalit kontroversi yang bukan-bukan. Saya ingat orang akan menyampah dengan saya, tetapi saya lihat sambutan orang ramai terhadap saya sangat baik kerana lakonan saya. Daripada aspek karier, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan penerbit, pengarah dan penonton. Sejak drama Tentang Dhia ditayangkan di TV3, orang lebih memanggil saya dengan nama Melly berbanding cikgu Zakiah (Juvana). Pengarah, Michael Ang juga antara individu yang mempercayai saya dengan memberikan watak yang berat dan comot. Saya mengharapkan 2012 akan muncul dengan kurangnya kontroversi dan prestasi kerja semakin meningkat. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Songlap ada haluanSAM dan Syafie Naswip, saling memberi impak dalam Songlap. SONGLAP berbunyi kotor dan liar tetapi filem yang mengangkat isu sindiket pemerdagangan manusia itu dikupas dengan teliti. Naskhah karya pasangan suami isteri, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak itu 'bersih' hasil dan mahal maknanya. Ia seperti pernyataan bahawa mahalnya sesebuah naskhah filem itu tidak seharusnya dipersembahkan menerusi visual rumah agam, kapal peranginan atau kereta mewah atau gempaknya imej janaan komuter (CGI) yang digunakan. Sebuah filem yang bagus tetap akan menjadi sebuah filem yang bagus walaupun ia dibikin dalam wajah serba sederhana jika dia digarap oleh pengarah yang kenal haluan kerjanya. Berlatarkan kelas sosial tercorot di kota Kuala Lumpur, naratif Songlap bergerak secara linear, tiada satu pun unsur imbas kembali digunakan untuk mengukuhkan karakter watak. Teknik itu berjaya dengan hanya meletakkan survival dua beradik, Am lakonan Shaheizy Sam dan Ad (Syafie Naswip). Mereka menjadi orang tengah kepada sindiket pemerdagangan manusia termasuk bayi dan wanita yang dijalankan oleh Mama dan Pak Mat (Hasnol Rahmat). Sekali imbas, isunya berat tetapi Effendee dan Fariza memberi pendekatan hukum sebab dan akibat, ia menjadi satu kelangsungan hidup kepada golongan yang diwakili oleh Ad dan Am, anak kepada Rita (Normah Damanduri) yang hidupnya menjadi penjaja tubuh di lorong gelap. Kenapa mereka terjerumus dan kenapa masih terikat dalam kerja kotor itu penuh songlap itu, filem ini ada penjelasan. Dari aspek lakonan, filem sebegini ibarat 'udara segar' kepada semangat tubuh pelakon seperti Shaheizy Sam yang banyak diperdagangkan dalam permainan box-office filem aksi atau komedi pecah perut. Kepada Syafie, Songlap seperti dahan-dahan berdaun rendang kepada perdu gagah yang dibenihkan oleh pembikin pertama yang mengasuhnya menjadi pelakon, Yasmin Ahmad. Sara Ali pula generasi aktres baharu yang boleh diharapkan untuk mengisi lakonan beremosi. Dalam Songlap, Sara secukup rasa memberikan gerak tubuh serta air muka yang boleh diserap penonton, biarpun tidak melontarkan banyak dialog. Untuk kesekian lamanya juga, walaupun ada momen perlahan, ini filem Melayu yang berjaya mengheret suspen dalam garapan menuju kesudahan. Mood serta bahasa sinema yang diolah oleh Effendee dan Fariza juga satu kelainan. Suram dan kelabu juga simbol terhadap kehidupan yang dibelenggu kedaifan. Untuk keluar dari kegelapan itu, bayi yang lahir daripada sumbang mahram antara Hawa (Sara) dan Pak Din (Omar Abdullah), seboleh-bolehnya harus diselamatkan. Dalam naifnya, Ad ialah seorang hero, walaupun dia hanya berjaya menyelamat Sara dan seorang bayi daripada dijual. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |