Kosmo Online - Hiburan |
Difitnah ceraikan isteri baharu Posted: Difitnah ceraikan isteri baharuTENGAH hari Khamis, lewat 10 minit dari temu janji, telefon bimbit berdering. Pemanggil di talian, penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Sahabuddin telah menanti di kafe seperti yang dijanjikan sehari sebelum pertemuan. Sampai di kafe, Hattan tersenyum menyambut kami, lebih-lebih lagi selepas disapa, dengan pertanyaan apa khabar pengantin baharu. Dia senyum makin meleret dan segera memanggil pelayan mengambil pesanan. Inti pertemuan pada hari itu hanya satu. Hattan mahu bersuara tentang fitnah yang menuduh dia menceraikan isterinya dengan talak tiga selepas tujuh hari berkahwin. Ada api kemarahan bercampur kecewa dalam bola mata Hattan saat dia mula berbicara. Sesekali terdiam, menggeleng kepala dan mendengus sebagai tanda amarah terhadap fitnah yang ditimbulkan seorang penulis gosip, hujung minggu lalu. Bagaimana tergamak seorang lelaki yang baru ingin menjamah semula rasa cinta, menjatuhkan talak tiga terhadap suri hidup yang selama ini dicari sepanjang tujuh tahun menduda. Ujar Hattan berkali-kali, ia adalah fitnah yang terlalu kejam dan gila. "Menjatuhkan talak tiga adalah perbuatan paling zalim yang dilakukan lelaki. Saya tak akan ceraikan isteri dengan talak tiga dan itu semua adalah fitnah!," katanya sambil menggeleng kepala. Suri hidup Bagi penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu, saat cinta dia dan isterinya, Farah Asyikin Othman, 32, dimeterai dengan lafaz taklik pada 11 November lalu dia sebolehnya tidak akan mempersiakan wanita itu. Katanya, tujuh tahun hidup menduda dan berdoa di hadapan Kaabah sewaktu menunaikan umrah awal tahun ini agar dikurniakan seorang suri hidup, itu sudah cukup buat dia untuk tidak mengkhianati permintaan sendiri. "Ini (kahwin) janji saya dengan Tuhan. Saya mohon jodoh daripada-Nya dan Dia beri seperti apa yang saya mohon. Tiba-tiba saya menceraikan isteri dengan talak tiga dalam tempoh tujuh hari perkahwinan sahaja. Ini adalah satu fitnah yang cukup gila!," katanya lagi. Bercerita tentang gosip tersebut yang menyentak hatinya, dia tidak mengetahui hal tersebut sehingga dihubungi seorang teman yang dengan selamba berkata: "Beb, lu memang real!" dan dijawab saya: "Apa yang real," sebelum teman tadi menjelaskan gosip yang tersebar pada hari itu. ULAS Hattan tentang perkahwinan keduanya dengan Farah: "Saya tak mahu kahwin dan cerai dalam hidup. Cukup dengan perkahwinan ini." Segera mendapatkan akhbar, dia mula membaca fitnah itu. Biar tiada nama, dia amat yakin fitnah tersebut ditulis untuk dia dan isteri. Kesal dan marah bergaul. Apatah lagi isterinya tidak biasa dengan 'permainan' dunia hiburan. Dia bukan orang yang ambil pusing tentang industri hiburan, namun sebaik dikaitkan dengan fitnah tersebut, ada rasa kesal timbul di benak isterinya tentang 'permainan' dalam lapangan yang diceburi Hattan. Dan kemudian mereka mula dihujani panggilan telefon daripada keluarga kedua belah pihak. Ujar Hattan, ibunya menangis membaca fitnah tersebut, sementara keluarga Farah pula mahu penjelasan lanjut. "Isteri saya tidak biasa dengan dunia hiburan. Selepas keluar fitnah itu, kami berdiskusi. Dia tidak faham mengapa orang tergamak sehingga membuat cerita seperti itu dan mula mempunyai persepsi buruk terhadap wartawan hiburan dan industri seni itu sendiri," kata Hattan yang menyifatkan penulis tersebut sebagai tidak mempunyai etika dan tidak tahu menghormati institusi kekeluargaan. Tambahnya lagi, jika mahu menjual cerita pun, jangan sampai memporak-perandakan hidup orang, apa lagi menabur fitnah yang tidak masuk akal dan bernafsu binatang. Sedang asyik berbicara, Hattan menghubungi isterinya yang sedang berada di Kota Kinabalu, Sabah atas urusan kerja. Di hujung talian, terdengar mesra Farah menyapa sebelum menjelaskan dia kesal dengan fitnah tidak berasas itu. Sebagai seorang ibu tunggal kepada dua orang anak iaitu Nazril, 6, dan Khara Latiesya, 5 yang telah enam tahun hidup berdikari tanpa seorang suami, dia terpukul dengan fitnah tersebut. Katanya: "Selepas enam tahun hidup sendiri dan baru sahaja berumah tangga semula, fitnah tersebut cukup memalukan dan menjatuhkan maruah saya sebagai seorang wanita. Saya harap di masa hadapan, tidak ada lagi fitnah sebegini. Saya sayang suami saya dan kami bahagia." Adaptasi HATTAN dan Farah merupakan dua individu dengan latar berbeza namun berkongsi satu cinta. Biar boleh disifatkan sebagai cinta kilat, namun ia tidak berjalan terlalu lancar. Ada gelombang yang harus direnangi sebelum mereka berjaya ke destinasi. Terbuka Hattan berkongsi, mereka juga hampir memutuskan hubungan kerana terkadang emosi tidak dapat menanggung dugaan yang ditempuhi termasuk Farah 'diracun' dengan pelbagai label tentang Hattan seorang kaki perempuan, kaki pukul dan label-label negatif yang lain. Bagaimanapun berkat kesabaran, semua berjaya diatasi. Akhirnya kata sepakat diambil dalam tempoh yang singkat. Cinta mereka harus disimpul dengan ikatan suci iaitu perkahwinan. Selepas bernikah, ada satu lagi fasa yang harus mereka tempuhi. Tujuh tahun menduda dengan hanya ditemani anak terunanya, Adam Iman, 14, akui Hattan banyak benda yang harus diadaptasi terhadap perkahwinan kedua ini. Hal yang sama berlaku kepada Farah yang juga sudah terbiasa sendiri bersama dua buah cintanya. Baru tidak sampai sebulan bernikah, mereka berdua berusaha untuk saling melengkapi satu sama lain, memahami dunia antara mereka yang benar-benar tidak sehaluan dan cuba mencantumkan semua hal untuk keharmonian serta masa depan mereka bersama. Jujurnya kata Hattan ada banyak perkara yang perlu dia dan Farah kompromi. "Kami mempunyai dunia yang berbeza. Dia seorang ahli perniagaan yang beribu pejabat di kota London dan Hong Kong. Saya pula dengan dunia saya yang serba sederhana. Benar, kami adalah sepasang manusia yang berlainan. "Namun sebaik mungkin kami akan bertoleransi, kompromi dan belajar untuk menerima dunia satu sama lain dengan sebaik yang boleh. Malah Farah selalu minta maaf kerana dia tidak dapat menguruskan makan atau menyediakan pakaian saya seperti suri rumah lain kerana kesibukannya. Tapi saya faham kerana sebelum berkahwin, saya telah terlebih dahulu memahami kerjaya dia," ujar Hattan penuh hemah. BAHAGIA. Hattan dan Farah berharap agar kehidupan mereka tidak dilanda fitnah lagi. Mengenang cinta kilat mereka, Hattan berulang kali memberitahu itu yang dinamakan jodoh. Cinta mereka bertaut tidak lama, tidak mencecah usia setengah tahun. Namun bagai ada satu arus elektrik yang mencuit rasa cinta antara mereka. Dia jatuh cinta dan membuat keputusan untuk menikahi Farah selepas insiden Farah mengaku Adam (anak Hattan) sebagai anaknya sewaktu Adam pengsan di bazar Ramadan. "Saya tersentuh dan ia mengerakkan hati saya untuk menikahi dia kerana ciri utama yang harus ada pada bakal isteri saya adalah menyayangi anak saya sepenuh hati, katanya lagi. Sementara ditanya apa kriteria yang membuat Farah juga bersetuju untuk mengakhiri riwayat status ibu tunggal, jawab Hattan sambil tersenyum: "Dia kata saya mempunyai sifat kebapaan." Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Perjanjian FlyOleh NOOR ASHREEN ISMAIL SETIAP anggota Fly berkebolehan menghasilkan lagu sendiri untuk dendangan kumpulan ini. FLY bukanlah pendatang baru di dalam industri muzik di Malaysia, malahan bagi peminat yang sudah mengenalinya, Fly kini sedang giat mempromosikan single kedua mereka yang berjudul Dunia yang sudah pun dimainkan di corong-corong radio tempatan. Fly yang dianggotai oleh lima orang pemuda yang berbakat besar iaitu Yuz (pemain dram), Naz (vokalis), Roy (bass), Arel (gitaris) dan Farock (gitaris) telah berada di dalam industri sejak dari tahun 2008 dan single pertama mereka Waktu Ku Terhenti pernah berada di dalam carta Muzik-Muzik pada tahun 2009. Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila mereka terkeluar setelah hanya tiga minggu berada di dalam carta. "Selama tiga minggu sahaja Fly dapat kekal di dalam carta kerana mungkin tiada rezeki kami. Mungkin ketika itu juga kami orang baharu," ujar ketua kumpulan Fly, Yuz redha dengan rezeki mereka ketika mereka baru bergelar penyanyi. Namun, perkara tersebut tidak mematahkan semangat lima jejaka ini apabila mereka tampil dengan single kedua setelah setahun bertungkus lumus untuk menghasilkan muzik terbaik dan berkualiti untuk peminat tersayang. "Kami tidak mahu terburu-buru dan kami punyai perancangan tersendiri. Sebagai contoh, jika single kedua ini juga tidak dapat sambutan, kami akan tunggu beberapa seketika dan keluarkan pula single yang ketiga. "Ini kerana kami mahukan kualiti di dalam muzik kami dan juga banyak membuat suntingan untuk mendapatkan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada peminat kami di luar sana," ujar Yuz jujur apabila menjawab persoalan mengapa masa yang terlalu lama diambil bagi mengeluarkan sebuah single lain. Menambah info tentang Fly, ujar Yuz mereka berlima sebenarnya mempunyai perjanjian setiap seorang yang mana perjanjian tersebut memerlukan setiap seorang dari anggota kumpulan Fly menghasilkan lagu sendiri. "Kami berlima telah membuat perjanjian yang mana kami harus hasilkan sebuah lagu setiap seorang dan lagu-lagu itu pula akan dikeluarkan mengikut giliran untuk dikeluarkan dan diperdengarkan," tutur Yuz yang mengatakan kali ini adalah gilirannya mengeluarkan hasil nukilannya kepada umum. Berbicara mengenai taruhan terhadap lagu Dunia yang dihasilkan sepenuhnya oleh Yuz itu , Fly ternyata masih mengekalkan genre rock moden sebagai konsep tetap kumpulan mereka. Tambah Yuz, Dunia berkisar tentang naik turun serta kegembiraan dan kesedihan yang dialami dunia kita kini. Sedang giat mempromosikan single kedua yang telah pun dimainkan di Suria FM dan KLFM, Fly kini telah pun muncul dengan single terbaharu mereka yang berjudul Terus Terbang dan kini giliran gitaris Farock untuk penghasilan single ketiga Fly. "Kami diberitahu ada penerimaan baik terhadap Dunia, dan kini giliran single ketiga pula yang diberi judul Terus Terbang pula dihasilkan sepenuhnya oleh gitaris Fly, Farock. "Terus Terbang telah pun dilancarkan baru-baru ini dan promosi juga telah dijalankan. Dan kami berharap single ini akan diterima oleh peminat seperti mana single kedua kami," jelas Yuz lagi. Berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh kumpulan yang ada di dalam industri kini, kumpulan Fly mungkin mempunyai keunikan mereka sendiri. Ini terjadi kerana vokalis Fly, Naz boleh menyampaikan lagu di dalam lapan bahasa yang berlainan. "Selain bahasa Melayu dan Inggeris, antara enam bahasa lain yang saya kuasai ialah Thai, Jepun, Cina, Hindi, Latin dan Tagalog. "Saya bukan semata-mata hanya tahu menyanyi dan menghafal lirik, tetapi saya faham apa yang saya nyanyikan itu. Bukan seperti hanya menyebut perkataan sahaja," jelas Naz. Fly juga mempunyai keunikan lain yang boleh dibanggakan iaitu yang mana kelima-lima orang anggota kumpulan ini mampu bermain kesemua alat muzik seperti dram, gitar dan bass selain kesemua mereka juga mempunyai kebolehan mencipta lagu sendiri. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Hiburan Indonesia di IndopekSYAHRINI (dua dari kiri) membuat kemunculan istimewa dalam program Inbox Awards. SEJAK Indopek 'menyerang' Malaysia menerusi saluran Bintang 141 dan saluran Pelangi 142, ia terus mempertingkat program-program menarik khusus untuk penonton setia mereka. Terkini, bermula 27 November dan akan disiarkan setiap Ahad, program muzik (saluran Bintang 141) yang cukup popular di republik tersebut iaitu Inbox Awards, Harmoni dan Konsert Dangdut. Inbox Awards Bahagian 1 yang sudah bersiaran pada pukul 8.30 malam 27 November lalu akan disusuli dengan Bahagian 2 pada esok, 4 Disember waktu yang sama. Inbox Awards menampilkan artis-artis seperti ST12, Wali Band, Kotak, Anang & Ashanty, Sma*h, Dragon Boyz, Afgan, Armada dan 7 Icon. Program yang menampilkan hos yang ramai termasuklah Gading Marten, Andhika Pratama, Astrid Tiar, Ruben Onshu, Indra Bekti dan Ayu Dewi ini juga akan menampilkan persembahan secara langsung artis-artis tersebut dan juga majlis penganugerahan kepada artis-artis yang mana video muzik mereka berada pada kedudukan tertinggi di carta atas undian para penonton. Selepas Inbox Awards, para penonton akan disajikan dengan rancangan muzikal tertutup iaitu Harmoni dengan episod Spirit of Wali pada 11 Disember ini juga pada pukul 8.30 malam. Ia merupakan persembahan secara langsung seseorang artis atau kumpulan dengan diiringi oleh orkestra secara live. Untuk episod Spirit of Wali yang menampilkan Wali Band. Kumpulan terkenal Indonesia itu turut mengundangkan rakan-rakan artis yang lain untuk sama-sama membuat persembahan dan membawakan karya-karya terbaik daripada Wali sendiri. Antaranya Syahrini akan mendendangkan lagu Yank bersama vokalis Nineball, Ashanty pula akan berduet dengan Faank Wali dalam lagu Aku Bukan Bang Toyib, sementara Anang akan menyumbang suara beliau untuk lagu Baik-Baik Sayang. Tidak melupakan penonton-penonton yang dibesarkan dengan muzik berkonsepkan dangdut, pihak Indopek akan membawakan kepada penonton Konsert Dangdut Rhoma Irama menjelang 18 Disember ini juga pukul 8.30 malam. Konsert yang disiarkan secara langsung ini tidak sekadar menyajikan lagu-lagu dengan irama dangdut malahan diperkemas dengan elemen muzik luar dangdut. Tidak ketinggalan dua putera Rhoma Irama yang juga bergelar penyanyi di Indonesia iaitu Ridho Rhoma dengan muzik beraliran pop dan juga Vicky Rhoma dengan muzik beraliran rock akan turut bergabung dan menyumbang persembahan dalam konsert ini. Bagi kemuncak konsert itu, Rhoma bakal berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi popular Indonesia seperti Armada Band, Yuni Shara, Lis Dahlia, Erie Susan dan ramai lagi. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |