Harian Metro: Rap |
Posted: 26 Dec 2011 05:09 AM PST UMUM mengetahui, dua wanita jelita ini penyampai radio. Seorang bertugas di stesen bahasa Melayu popular, Hot FM dan seorang lagi di stesen radio Inggeris, Fly FM. Namun, program bual bicara Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9, menyatukan mereka. Sempena tahun baru 2012 dan berkuat kuasa 1 Januari nanti, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau Leeya, 28, dan Hani Farhana Mohd Hatim atau Hunny Madu, 27, akan muncul sebagai pengacara NLKO baru yang disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Ketika ditemui pada sesi fotografi diadakan baru-baru ini, Leeya dan Hunny mengakui mereka sangat teruja dan berbesar hati apabila mendapat lamaran daripada TV9 untuk mengacarakan program NLKO yang menemui penonton dari jam 8 hingga 10 pagi itu. Leeya berkata, dia tidak keberatan memikul tanggungjawab sebagai hos kerana cukup meminati bidang pengacaraan. Katanya, agak lama juga tidak mendapat peluang diidamkan itu dan apabila diperoleh, takkan mahu dilepaskan pula.
"Lagipun, saya seorang yang suka belajar dan menimba pengalaman baru. Barangkali, kemunculan saya juga bertepatan dengan cita rasa dan gaya baru yang diketengahkan program ini. NLKO juga tidak terlalu formal dan sesuai dengan diri saya," katanya. Menurut ibu kepada dua anak ini, dia juga yakin mampu membahagikan masa dengan baik antara karier sebagai penyampai radio dan pengacara. Ini kerana, Leeya kini turut aktif berlakon semula dan baru selesai menjayakan drama Karma untuk TV9. Katanya, lakonan juga sebati dengan jiwanya dan atas sebab itu dia tidak mampu menolak. Menurut Leeya, dia juga bukan seorang pelakon yang memandang pada bayaran. Jelasnya, dia boleh bekerjasama dengan mana-mana pengarah atas dasar kepercayaan. "Saya seronok berlakon dan teringin sangat untuk berlakon filem jika diberi peluang. Malah, saya juga suka buat apa saja kerja demi rezeki. Saya seorang yang suka bekerja kerana saya cintakan kerja saya. Oleh itu, saya takkan menolak rezeki yang datang. "Apapun, berlakon dalam Karma adalah pengalaman yang indah. Produksi di bawah Erma Fatima ini cukup menyeronokkan kerana kami semua umpama keluarga. Biarpun, tak kenal rapat, masing-masing boleh jalin hubungan yang baik," katanya. Menyentuh soal gandingan bersama Hunny Madu, ujar Leeya kombinasi mereka mungkin sesuai. Katanya, Hunny juga memiliki bakat tersendiri dalam pengacaraan. Cuma, bagaimana agaknya penerimaan penonton terhadap kemunculan mereka berdua? Hunny sudah dua tahun tak mengacara KEPETAHAN Hunny Madu ketika berbicara tidak perlu disangkal. Ini kerana, wanita tinggi lampai itu bukan saja mahir berbahasa Inggeris, tetapi dia juga boleh berbahasa Melayu dengan baik. Asal-usul nyata tidak dilupakan Hunny yang ramah menyusun kata. Menyentuh pembabitannya dalam NLKO, Hunny berkata semuanya berlaku secara kebetulan selepas dua tahun meninggalkan 8TV Quickie. Katanya, dia muncul dalam NLKO untuk mempromosikan album sulung, Pulau Janji dan tidak sangka dilamar Penerbit Eksekutif, Wan Sabariah Sheikh Ali. "Beliau (Wan Sabariah) meminta saya menghadiri uji bakat untuk pengacara wanita baru NLKO. Saya pula tiada masalah untuk menerima dan apa salahnya mencuba nasib. Saya datang ke uji bakat diadakan itu hanya sekadar untuk mencuba saja. "Tak sangka diterima dan apabila dimaklum pada keluarga, nenek saya memberikan sokongan penuh. Nenek minta saya menerima kerana NLKO adalah program yang bagus dan dia juga selalu menontonnya. Jadi, saya harap nenek lebih gembira. "Apapun, semoga saya tidak kekok untuk bergandingan dengan pengacara lain seperti Sharifah Nor, Farah Diana Anuar, AG, Fizo Omar dan Lokman. Saya akan cuba sebaik mungkin terutama dalam menyampaikan isu semasa yang berlaku," katanya. Menurut Hunny, sebagai persediaan dia kini bersiap sedia mengisi pengetahuannya dengan pelbagai pengetahuan am dan isu semasa. Katanya, dia akan pastikan ilmu pengacaraan dimiliki mencukupi supaya apa yang disampaikan asli dan tidak kelihatan stereotaip. "Sebelum ini, saya sudah terbiasa dengan penyampaian dalam bahasa Inggeris. Jadi, memandangkan NLKO dalam bahasa Malaysia, maka saya fikir persediaan yang lebih sangat penting. Bagi saya, persediaan melampau itu membawa kebaikan. "Selain itu, saya juga selesa dapat melakukan penyampaian yang bersahaja. Malah, apa yang diharapkan pada kemunculan pertama nanti, semuanya berjalan lancar. Semoga tiada perkataan yang tersekat atau tersasul ketika bersiaran langsung," katanya. Menyentuh mengenai keluarga, Hunny berkata dia juga mengharapkan 2012 akan mengeratkan lagi hubungan bersama suami dengan kehadiran cahaya mata. Ujarnya, dia tidak pernah merancang memiliki anak, tetapi hingga kini masih tiada rezeki. Kata Hunny lagi, suaminya sangat mengharapkan kehadiran zuriat. Namun, apa boleh buat kerana semua ini ketentuan Tuhan. Bagaimanapun, katanya, suami seorang yang sangat memahami dan turut memberi sokongan terhadap karier diceburinya. PROFIL NAMA: Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid PROFIL NAMA: Hani Farhana Mohd Hatim Full content generated by Get Full RSS. |
Asmidar dah ‘sampai ke bintang’ Posted: 26 Dec 2011 05:09 AM PST WANG tunai RM50,000 dan trofi sudah cukup untuk membuatkan pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Norhasmidar Ahmad atau Asmidar tersenyum puas sebagai juara program realiti TV, Vokal - Bukan Sekadar Rupa. Namun, ramai pula berpendapat Asmidar tidak berdepan banyak sangat isu rupa kalau dibandingkan dengan peserta lain kerana dia masih dianggap menarik seperti kebanyakan penyanyi sedia ada.
Bagaimanapun, mungkin rezeki sudah tersirat untuk Asmidar muncul juara kerana rupa menarik adalah satu bonus. Selama berminggu-minggu ke udara, program itu memang sedaya upaya cuba memberikan ruang sama rata kepada peserta lain yang berbadan besar untuk mencuba nasib serta menonjolkan bakat mereka di depan mata juri dan penonton. Acara kemuncak itu berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin.
Tirai konsert akhir dimulakan dengan persembahan hos program, Faizal Ismail (FBI) yang menyanyikan lagu hit kumpulan Maroon 5, Moves Like Jagger yang turut menampilkan penampilan khas, penyanyi handalan, Adibah Noor. Persembahan terbabit mengundang tawa penonton dan juga juri tetap program itu, Azmeer dan Erra Fazira. Suatu kelainan diletakkan apabila Faizal diberi penghormatan untuk memulakan majlis dan percubaan itu ternyata berjaya kerana penonton terhibur dengan aksi bersahaja penyampai Hot FM itu. Penonton di studio turut 'sporting' dengan sentiasa tepuk tangan dan kelihatan teruja apabila setiap kali Faizal mengumumkan kemunculan kedua-dua pesaing akhir yang akan membuat persembahan pada malam itu. Pusingan pertama menyaksikan persembahan lagu pilihan mereka dengan Asmidar memilih menyanyikan lagu klasik Frank Sinatra, My Way sementara Mafa memilih lagu hit P Ramlee, Jangan Tinggal Daku. Pada setiap pusingan yang dijalankan, juri perlu memilih seorang antara Asmidar dan Mafa sebagai peserta yang dilihat menonjolkan kekuatan vokal yang mantap dan dinamik sepanjang penyampaian lagu. Kedua-dua juri tetap, Erra dan Azmeer serta juri jemputan, Ziana Zain rata-rata memuji persembahan kedua-dua mereka yang dilihat semakin matang. Persembahan pada malam itu diteruskan dengan pusingan kedua apabila peserta menyampaikan lagu baru yang dicipta khas untuk mereka. Asmidar menyampaikan lagu ciptaan komposer terkenal, Ajai bertajuk Biar Sampai Ke Bintang. Selain itu, Asmidar menyampaikan lagu itu dengan penuh penghayatan dan seakan-akan serasi dengan lagu itu walaupun setiap peserta hanya mempunyai enam hari saja untuk menghafalnya. Finalis yang berasal dari Perak, Mafa pula mengalunkan lagu baru ciptaan komposer Audi Mok. Pada mulanya, Mafa kelihatan selesa menyampaikan lagu itu, tetapi kebanyakan penonton bersetuju dengan komen Erra yang mengatakan suara Mafa kedengaran tenggelam terutama pada bahagian 'low note'. Lagu 'catchy' yang bercorak pantas itu walau bagaimanapun turut menghiburkan dengan irama muzik yang segar ditonjolkan Audi Mok. Satu kelainan yang diterapkan program Vokal - Bukan Sekadar Rupa adalah segmen Battle yang mula diperkenalkan pada minggu ketujuh lalu. Penerbit eksekutifnya, Muhammad Sufian Che Isa, berkata segmen Battle adalah tugasan yang mencabar kepada finalis selain memberi kelainan dan keunikan yang tidak ada pada mana-mana program realiti TV lain. "Oleh itu, kedua-dua finalis, Asmidar dan Mafa perlu bijak mengatur strategi untuk menonjolkan kehebatan masing-masing selain mencabar pesaing dengan pemilihan lagu yang tepat," katanya. Asmidar memilih lagu Datuk M Daud Kilau bertajuk Laksamana Raja Li Laut sementara Mafa memilih lagu Hurt nyanyian Christina Aquilera. Pusingan Battle ini ternyata memihak kepada Asmidar di mana ketiga-tiga juri terpukau dengan penyampaian lagu oleh Asmidar yang dikatakan sangat 'versatile' serta Azmeer turut menyatakan Asmidar merupakan salah satu penyanyi yang dapat mengawal pernafasannya dengan begitu baik. Malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan penampilan bekas peserta program itu seperti Azmarul, Irsa, Fakhrul dan Boby yang menyampaikan gabungan lagu Cinta Tak Harus Memiliki, Someone Like You, Gerhana dan Tapi Bukan Aku sebelum menutup tirai konsert dengan nyanyian lagu tema Aksi Suara disampaikan bersama Adibah Noor. Format pemarkahan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 50 peratus daripada juri dan 50 peratus lagi melalui undian SMS. Asmidar yang ditemui pada sidang media sejurus tamat konsert itu berkata, dia langsung tidak menduga menjadi juara kerana merasakan Mafa adalah pesaing yang sangat hebat. Sambil mengucapkan rasa kesyukuran atas kemenangan itu, Asmidar mahu menggunakan wang habuan itu untuk menghasilkan 'single' terbaru selain mempromosikan lagu Biar Sampai ke Bintang. Mafa, sementara itu tetap bersyukur biarpun tidak meraih gelaran juara kerana baginya adalah lebih penting untuk membuktikan kepada masyarakat di luar sana yang sebelum ini lebih kerap memandang rupa.. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |