Harian Metro: Rap |
Posted: 12 Dec 2011 07:10 AM PST ANJAKAN drastik muzik hari ini adalah satu senario yang sukar dinafikan. Mengikut selera pendengar lengkap dengan kemajuan teknologi, perubahan yang berlaku menandakan wujudnya perkembangan positif. Tidak hanya menghimpit hampir keseluruhan industri muzik baik tempatan mahupun antarabangsa, malah penyanyi dan penghibur adalah individu yang terpaksa beralah dengan perubahan itu. Komposer dan penyanyi antarabangsa terkenal, Richard Marx tidak terkecuali terkesan daripada situasi yang sama. Membina kerjaya dengan empayar identiti muzik balada dan pop rock dengan deretan lirik romantis yang sememangnya sudah sinonim dengan Marx.
"Hampir 30 tahun berdiri sebagai penyanyi, saya sudah puas melalui pelbagai fasa muzik dan pengaruh yang berbeza baik pada aspek muzik, susunan melodi mahupun coretan lirik pada lagu. Saya melihat perubahan itu dari perspektif positif lantaran industri muzik kini berkembang dengan baik. "Justeru, sebagai seorang penyanyi dan komposer, saya perlu melakukan kelainan dalam penciptaan muzik saya. Pendengar dan peminat memang setia dengan apa yang diberikan kerana itulah identiti saya sejak dulu. Namun saya perlu ingat perubahan juga perlu dalam usaha memancing peminat baru khususnya mereka yang muda dan moden. "Lantas saya sendiri cuba melakukan eksperimen dengan mewarnakan susunan melodi itu dengan muzik yang lebih segar dan kontemporari agar selari dengan permintaan hari ini. Itu satu usaha yang harus dilakukan dan bukannya bimbang akan perjuangan sendiri. "Buktinya, lagu terbaru saya berjudul When You Loved Me adalah satu eksperimen muzik yang saya usahakan. Ia diberi nafas moden dengan garapan muzik yang ternyata jauh berbeza dengan rangkaian lagu terdahulu. Malah peminat memberikan reaksi positif dan menyukai apa yang saya lakukan," jelasnya yang mengakui turut memiliki akaun twitter mengikut arus perubahan bagi mendekati peminatnya. When You Loved Me sempat diperdengarkan kepada lebih 5,000 peminatnya, malam kelmarin dalam konsert eksklusifnya, An Acoustic Evening With Richard Marx yang melengkapkan siri penjelajahan penyanyi terkenal itu di Asia bagi mempromosikan album himpunan lagu hit terbarunya, Stories To Tell yang baru dipasarkan di Amerika Syarikat, Mac lalu. Penghibur kelahiran Chicago berusia 48 tahun itu sempat berseloroh mengenai perubahan muzik yang meninggalkan impak kepada muziknya di konsert yang dibawakan Splendid Entertainment itu. "When You Loved Me diputarkan di radio dan kemudian lagu Lady Gaga pula dimainkan sedangkan jika dulu, pasti lagu saya akan diputarkan bersama kumpulan The Carpenters. Ia memang membuatkan saya ketawa dan terfikir betapa cepat keadaan berubah. "Namun tetap gembira kerana lagu itu masih mampu menyelit di antara bintang muda yang mencetuskan fenomena hari ini," katanya mengusik penonton. Malah penyanyi yang sudah banyak kali menempa nama pada majlis penganugerahan antarabangsa ini turut menyuntik kelainan dalam album terbarunya yang akan dipasarkan tahun depan. "Kejutannya apabila saya membuat kolaborasi bersama vokalis kumpulan Vertical Horizon yang juga teman baik, Matt Scannell menerusi lagi terbaru, Save Me. Ia diadun dengan elemen muzik rock kontemporari dan gerak nyanyian yang berbeza. "Malah saya turut mengajak ketiga-tiga anak saya yang dinamakan Marx Brothers iaitu Brandon, Lucas dan Jesse untuk mengiringi saya dalam lagu itu. Mereka punya bakat dalam bermain alat muzik dan menyanyi seperti saya. "Pertama kali ia dilakukan dan saya begitu yakin dengan eksperimen hebat ini. Sengaja saya ketengahkan mereka untuk menghidupkan lagi suasana segar dan moden," katanya yang tampil berbeza apabila menyampaikan lagu Save Me berlatarkan video rakaman persembahannya bersama Marx Brothers, malam kelmarin. Meneliti profil si empunya vokal memukau ini dengan segala anugerah dan pengiktirafan, terlintas pula persoalan adakah perubahan muzik yang berlaku hari ini memberikan kesan peribadi atau mengusik semangatnya untuk terus mempertahankan pengaruh sebagai bintang senior. Namun jelasnya optimis, itu adalah hakikat yang harus ditempuh tanpa perlu ada rasa kecewa atau putus asa. "Perubahan zaman dengan kemajuan teknologi memang meninggalkan kesan positif dan negatif. Ia membangunkan taraf industri dengan pelbagai kelainan yang diberi namun membuatkan peminat muzik kurang menghargai karya seseorang penyanyi. "Mereka mudah mendapatkan muzik atau lagu yang menjadi kegemaran dengan hanya memuat turun dari Internet tanpa perlu membeli album. Ia adalah satu proses pembentukan industri yang baru. "Malah anak-anak saya sendiri tidak lagi teruja untuk membeli album tidak seperti zaman saya dulu yang sanggup beratur panjang di kedai muzik bagi mendapatkan album artis kegemaran. "Situasi sudah berubah dan saya sebagai pemainnya harus melihat senario itu sebagai satu perkembangan yang perlu untuk masa depan," jelasnya yang kini tampil dengan lagu terbaru sentuhannya nyanyian Keith Urban berjudul Long Hot Summer. Harapannya agar lagu, karya dan kehadirannya akan terus dipandang tanpa perlu skeptikal kononnya Richard Marx penyanyi lama yang sudah jauh ketinggalan. PROFIL Nama penuh: Richard Noel Marx |
Posted: 12 Dec 2011 06:09 AM PST SUATU kenangan terindah yang sememangnya tidak diduga komposer bukan Melayu, Alfred Teo Choon Hua. Siapa sangka lagunya berjudul Waktu nyanyian Sabhi Saddi akhirnya dinobatkan sebagai juara AmBank - RTM Cipta Lagu 2011 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 dalam pertandingan yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam minggu lalu. Paling menarik, lirik asalnya dihasilkan dalam bahasa Cina dan terpaksa melalui proses sukar bagi diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Namun tuah ternyata milik jejaka berasal dari Johor ini apabila mengungguli pertandingan yang julung kalinya diadakan dengan menewaskan 11 peserta lain dalam pertandingan yang turut mendapat kerjasama penaja Kopstar, Erama TV, MACP, Nora Kay Beauty Sdn Bhd, Nova Music Sdn Bhd dan Double U Network Sdn Bhd.
"Lagu ini dihasilkan ketika saya kecewa dengan karier seni dan mungkin menjadi karya akhir saya. Untuk mengalih liriknya kepada bahasa Melayu, saya merujuk kepada kamus kerana kurang mahir berbahasa Melayu. Akhirnya, barulah saya minta rakan bangsa Melayu semak semula samaada penggunaan ayatnya betul atau tidak. "Kemenangan ini memberikan semangat buat saya untuk terus menghasilkan lagu lagi. Saya tertarik dengan vokal mantap Sabhi dan akan serahkan lagu ini kepadanya. Malah saya mahu teruskan kerjasama dengan dia dan bercadang untuk tukar lirik lagu nyanyiannya, Nadiku kepada bahasa Cina pula," kata Alfred yang pernah menghasilkan album dengan sebuah kumpulan indie dalam bahasa Cina.
Tempat kedua diraih oleh komposer terkenal Raizan Zainal Abidin atau Neves Pretty Ugly bersama penulis lirik Ismail Mohd Shariff menerusi lagu Dirimu Terunggul nyanyian Mohd Farouk Jayfiena Ermand atau Feroq. Gandingan ini membawa pulang wang tunai RM 25,000. "Lagu ini dihasilkan pada 201O selepas saya menonton sebuah filem Perancis. Saya betul-betul teringin nak cipta lagu selepas menonton filem ini dan segera capai gitar. Apabila 'feel' datang saya berjaya hasilkan melodinya dalam masa dua hingga tiga jam. Saya bayangkan penyanyinya ialah Feroq kerana pernah berjumpa dia ketika bergelar peserta Mystarz LG. "Ini kali pertama saya masuk pertandingan begini dan meraih kejayaan. Memang saya terkejut dengan juri awam yang memberi markah terendah sebanyak 10 peratus. Terbukti penilaian mereka salah kerana kayu ukur mereka tak sama dengan juri profesional. Saya sifatkan mereka ada masalah pendengaran. "Selepas dapat markah yang rendah, saya kuatkan semangat. Tambah pula, rakan di luar yang menyaksikan persembahan Feroq turut beri semangat kepada saya. Tak sangka saya akhirnya berjaya dapat naib juara dan jantung terasa seakan nak gugur apabila dengar keputusan ini diumumkan," kata Neves. Ismail pula menambah, memandangkan lagu ini berentak pop biasa, dia hanya menulis menggunakan ayat yang biasa dan tidak mempunyai dua maksud sehingga mengelirukan pendengar. Tempat ketiga dimenangi komposer terkenal, Salman Shariff menerusi lagu Bingkisan Dari Hati nyanyian One Nation Emcees. Dia menerima wang tunai 15,000. "Sedikit sebanyak saya dapat jangkakan kemenangan ini. Memang ada rasa saya akan dapat tempat. Ini sebuah lagu lama dan berusia 15 tahun. Untuk masuk pertandingan ini, saya buat sedikit perubahan kerana konsep pertandingan ini kena ada elemen etnik, moden dan remaja. Konsep lagu ini sebenarnya dicipta untuk penyanyi yang matang seperti Anita Sarawak. Itulah sebabnya saya pilih ONE menyampaikannya," katanya mengakui kemenangan ini membawanya masuk semula dalam penciptaan lagu komersial selepas lama berehat. Pertandingan ini dinilai juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Wah Idris, Datuk M Nasir, Datuk Freddie Fernandez, Adnan Abu Hassan dan Patrick Terbrack (Amerika Syarikat). Mereka diketuai Datuk Mokhzani Ismail sebagai pengerusi juri. "Kami menilai sesebuah lagu dengan memberi markah 40 peratus untuk melodi, 30 peratus untuk lirik dan potensi serta peluang sebanyak 15 peratus. Kami perlu pastikan lagu itu ada potensi besar untuk dijual dan diketengahkan nanti. Memang susah menilai kerana setiap orang ada citarasa sendiri. Malah semua lagu yang bertanding juga hebat," kata Mokhzani. Peserta lain yang bertanding ialah Khairul Nizam Baharom/ Azura Hashim Kamal (Lali Lala nyanyian Khairul Nizam Baharom), Vijayanathan Dhaharasen (Lets Our Hands Merged nyanyian Vijayanathan Dhaharasen), Sharnaz Saberi (Satu Malaysia nyanyian Dewi Liana Seriestha), Jimmy Fong Chin Chew (December Skies nyanyian Jimmy Fong Chin Chew), Syed Hanafi Syed Abdullah/ Rabi'ahtuladawiyah Mohd Saleh (Limpahi Aku Keampunan nyanyian Azizul Hakim), Mohd Adam Masumi/ Delynne Hashim (Can I Be The One nyanyian Amirul), Ismail Datuk Dr Ahmad Nawab/ Norhayati Abdullah (Kau Tetap Kekasihku nyanyian Alwani dan Nora), Loo See Luan (Through Your Eyes nyanyian Sheila Abdul) dan Ezra Ily Gabu (Kau Bukan Untuk Ku nyanyian Ezra Ily Gabu). Mereka menerima hadiah saguhati wang tunai RM4,000. Hadiah disampaikan Pengerusi, Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim diiringi Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D' Cruz serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail. Pertandingan yang dikendalikan Linda Onn dan Muaz ini mendapat sambutan hangat apabila menarik perhatian ramai penonton. Mereka dihiburkan persembahan bertenaga Bob menerusi lagu Namun Ku Punya Hati, M Nasir menerusi lagu Mantera Semerah Padi, Wah Idris dengan lagu Standing In The Eyes Of The World dan jenaka daripada Saiful Apek. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |