Adsense

Rabu, 23 November 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Belum sampai tahap Playboy

Posted:

Belum sampai tahap Playboy

Belum sampai tahap Playboy

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN dan NOOR AZLINA JAAFAR


MENGAKUI teruja untuk membintangi filem Khon Malay, Zarina Anjoulie sudah pun mengikuti latihan intensif sejak tiga minggu lalu.


TIDAK habis-habis aktres muda ini dihambat kontroversi sehingga ada yang sudah jelik dengan cerita-cerita panas yang dicetuskan dirinya sejak awal menceburkan diri dalam dunia seni.

Sehinggakan ada yang beranggapan Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul atau lebih mesra disapa Anju ini tidak layak untuk berada di dalam industri lantaran tiada apa pencapaiannya yang boleh dibanggakan.

Beberapa minggu lalu, sekali lagi nama Anju menjadi perhatian ramai gara-gara gambar seksi dan mengghairahkan miliknya tersebar luas di alam maya yang dipetik daripada majalah FHM versi Indonesia.

Mana tidaknya. Foto-foto tersebut menjadi kecaman dan kutukan ramai pihak apabila ia memperlihatkan sebahagian besar payu daranya.

Dengan tindakan beraninya itu yang menambahkan lagi koleksi cerita kontroversi, secara automatik Anju telah dilabelkan sebagai ratu kontroversi.

Namun, bagi anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan tentang dirinya kerana sudah menjadi resmi masyarakat yang pasti akan terus memandang serong kepadanya waima apa keadaan sekali pun.

Malah, dengan penuh tegas juga Anju memberitahu, dia sama sekali tidak menyesal dan tidak akan meminta maaf kepada mana-mana pihak.

"Kalau saya tak buat, orang tetap akan kata, saya buat juga. Jadi, lebih baik saya buat walaupun bukan saya yang mencipta kontroversi itu. Pernah saya meminta maaf sebelum ini tetapi orang tetap menuding jari kepada saya.

"Sebelum ini pun, ada juga kontroversi yang berlaku yang tiada kena-mengena dengan saya tetapi saya tetap dipersalahkan dan dikaitkan.

"Bukan itu sahaja, kalau saya duduk diam-diam di rumah, tetap ada juga cerita yang kurang enak dan tidak betul tentang diri saya yang keluar.

"Jadi, dalam konteks cerita terbaru yang dijaja ramai pihak ini, saya tidak kisah dengan apa yang orang mahu katakan terhadap saya. Malah, saya juga menafikan sengaja mencari publisiti murahan kerana itu bukan strategi saya," jelas Anju ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran filem terbarunya, Khon Malay di ibu negara, baru-baru ini.

Tidak kisah

Mengenai jolokan ratu kontroversi yang diberikan kepadanya, Anju sedikit pun tidak kisah tentangnya kerana sebelum ini pun katanya, dia sudah dilabelkan dengan pelbagai hinaan dan cacian.

Sehinggakan dia sendiri sudah lali dengannya dan tidak mengambil peduli tentang apa yang mahu diperkatakan oleh masyarakat tentang dirinya.

Namun, satu yang pasti tegas Anju, dia tidak kisah dihina mahupun dicaci tetapi dia cukup pantang apabila nama ibu dan bapanya turut dikaitkan sekali.

"Cakaplah apa sahaja tentang diri saya. Memang saya tidak kisah tetapi jangan sampai melibatkan ibu dan ayah saya. Ini sebenarnya penyakit masyarakat kita yang suka mencaci orang sewenang-wenangnya walhal diri mereka juga tidak sempurna.

"Saya sendiri pelik mengapa orang luar mahu bising-bising dan membuat kecoh apabila membabitkan diri saya.

"Sedangkan kalau diperhatikan, ada juga artis wanita yang seksinya tidak kurang daripada saya tetapi tidak pula menjadi mangsa cemuhan dan kritikan. Bukankah itu sesuatu yang tidak adil?

"Saya lebih selesa menjadi diri saya sendiri dan sama sekali tidak akan menjadi orang lain hanya kerana mahu memuaskan hati semua pihak.

"Saya tahu ada artis yang boleh buat begitu tetapi tidak saya. Maaf, saya bukan orang hipokrit," jelas anak kelima daripada lapan beradik ini memberikan hujahnya.

Dibayar

Begitu juga dengan sesi fotografi dengan FHM apabila Anju mendedahkan dia telah menolak tawaran majalah tersebut sebanyak dua kali.

Alasannya, Anju tidak mahu bergaya seksi seperti mana yang dimahukan oleh pihak majalah tersebut.

Lalu, apabila gambar-gambar seksinya dalam majalah tersebut sudah tersebar, apakah sebenarnya yang ingin cuba dibuktikan oleh Anju?

"Saya dibayar untuk bergambar di majalah itu dengan bayaran yang boleh saya katakan sangat memuaskan. Jadi, saya menerima tawaran itu.

"Namun, sewaktu menjalani fotografi dengan mereka di Jakarta, Indonesia dua bulan lalu, berat badan saya naik mendadak.

"Secara tidak langsung, ia menjadikan tubuh dan payu dara saya berubah bentuk. Ditambah pula dengan pakaian yang mereka sediakan, semuanya ketat.

"Hasilnya, gambar-gambar itu nampak sangat seksi dan itu pun saya sudah berusaha untuk menutup bahagian-bahagian tertentu. Dalam beratus-ratus gambar yang diambil, gambar-gambar itu yang menjadi pilihan mereka.

"Bagi saya, tiada apa yang hendak dikecohkan tentang gambar-gambar itu. Bagi saya, ia hanyalah seksi sahaja bukannya sampai saya bogel pun.

"Orang lain yang mencetuskan kontroversi itu, bukannya saya yang memuat naik gambar itu di internet," jelas Anju panjang lebar sambil enggan mendedahkan bayaran yang diterimanya untuk sesi fotografi itu.

Alasan

Apabila Anju memberitahu dia dibayar untuk beraksi berani dan panas sedemikian di hadapan kamera, tidak hairanlah seandainya dia sanggup bergambar bogel selepas ini jika ada tawaran yang mahukan dirinya berbuat begitu seperti majalah Playboy misalnya?

Sambil menghela nafas, kata Anju, dia tidak pernah memikirkan sampai ke tahap mahu menelanjangkan dirinya di hadapan kamera.

Malah, dia tidak mahu ada pihak yang salah faham dan menganggap dirinya sengaja mahu menjual tubuh apabila mengatakan sesi fotografi tersebut dibayar.

Seperti mana yang dikatakannya, alasan dia menerima tawaran FHM adalah kerana mereka memberitahu, hasilnya tidak keterlaluan.

"Saya sendiri pelik dengan masyarakat kita ini yang suka mencari salah orang lain. Apa yang dilakukan oleh artis, ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.

"Apabila ada yang cuba seksi sikit, mulalah mereka hendak melenting dan mengecam tidak tentu pasal. Bukan itu sahaja, apabila ada artis bertudung dan memakai hijab seperti penyanyi Waheeda, dituduh pula sengaja mahu mencari publisiti murah.

"Lantaklah apa yang orang nak kata. Kehidupan saya biarlah saya kemudinya sendiri. Saya tidak mampu menutup mulut orang. Saya selesa dengan cara saya begini," kata Anju yang mula dikenali menerusi drama rantaian Anak Pontianak pada tahun 2007 ini lagi.

Tidak hanya dengan kontroversi itu, Anju juga dikatakan melancarkan perang dingin di Twitter bersama aktor dan pengacara kacak, Awal Ashaari.

Ketika diminta mengulas tentang insiden itu, Anju hanya menjawab: "Maaf, saya tidak mahu lagi komen tentang isu itu. Anggap sahaja semuanya sudah selesai. Saya dan Awal juga sudah berbincang. Kami tidak mahu memanjangkan cerita tersebut."

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada jodoh bersama Fazura

Posted:

Tiada jodoh bersama Fazura

Tiada jodoh bersama Fazura

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar HAFIZH KHOSMAT dan ihsan PRIMEWORKS STUDIOS


TIGA serangkai (dari kiri) Rafidah Abdullah, Bernard Chauly dan Lina Tan meneruskan kesinambungan kejayaan dua filem terdahulu dengan kelahiran filem ketiga mereka, Istanbul, Aku Datang!.


SETIAP kali pengarah ini muncul dengan filem terbaru, ia pasti akan meraih perhatian yang cukup meluas.

Tidak keterlaluan dikatakan, Bernard Chauly antara pembikin filem tempatan yang sering tampil idea baharu dan segar.

Selain itu, salah satu faktor utama yang sering menjadi perhatian apabila memperkatakan tentang Bernard adalah barisan pelakon yang dipilih membintangi filem-filemnya.

Antara nama yang cukup sinonim dengan Bernard ialah Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura yang mula diperkenalkan dalam filem cereka pertama arahan Bernard, Gol & Gincu pada tahun 2005.

Kemudian, Fazura sekali lagi menjadi pilihan pengarah itu untuk membintangi Pisau Cukur pada tahun 2009 sehingga melayakkan pelakon jelita itu menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik Anugerah Skrin 2010.

Namun, apabila Bernard mengarahkan filem ketiganya, Istanbul, Aku Datang! (IAD) tanpa Fazura sebagai bintang utamanya, ada segelintir pihak yang mula membuat andaian yang bukan-bukan.

Walhal di awal perancangan untuk projek itu, sememangnya nama Fazura menjadi pilihan pertama dan dikhabarkan juga pelakon itu bersedia untuk membintangi IAD.

Malangnya, di saat-saat akhir, Fazura dikatakan menarik diri atas sebab-sebab peribadi. Lalu watak Dian dalam filem itu berpindah milik kepada Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23, Lisa Surihani.

"Saya harus akui watak Dian memang saya ciptakan khas untuk Fazura. Apatah lagi, dia sudah membintangi dua buah filem bersama saya dan kami mempunyai hubungan yang sangat akrab.

"Kerjasama kami akan menjadi lebih manis seandainya Fazura membintangi IAD kerana saya berjaya mencipta trilogi untuk Fazura dan diri saya sendiri.

"Tetapi, saya akur dan percaya dengan kehendak takdir bahawa kali ini bukan rezeki saya untuk bekerjasama dengan Fazura. Apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh Fazura saya amat menghormatinya.

"Mungkin siapa tahu di masa hadapan, saya dan Fazura akan kembali bersatu dalam mana-mana filem," jelas Bernard dalam nada yang cukup optimis tanpa sekelumit rasa kecewa dalam butir bicaranya.

Kejayaan

Pengarah berdarah kacukan Sikh dan Cina itu berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis tamat penggambaran filem IAD di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir penerbit eksekutif dan penulis skrip IAD, Lina Tan dan Rafidah Abdullah serta barisan pelakon filem yang diterbitkan oleh Red Films dengan kerjasama Primeworks Studios itu.

Meskipun tidak mendapat sentuhan bintang kesayangannya untuk IAD, namun bagi pengarah kelahiran Taiping, Perak itu dia cukup berpuas hati dan berbangga dengan lakonan Lisa dalam filem tersebut.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Lisa juga merupakan antara bintang yang dicungkil bakatnya oleh Bernard sewaktu membintangi siri 3R dan sebuah lagi filem arahan Bernard, Goodbye Boys.

Namun, ketika itu kata Bernard, watak Lisa hanyalah kecil. Apabila berpeluang bekerja dengan Lisa kembali, dia dapat melihat perubahan serta kematangan aktres popular itu.

"Lisa berjaya membawakan watak Dian dengan gaya dan caranya tersendiri. Walaupun dia tahu watak itu untuk Fazura tetapi, dia sedikit pun tidak terpengaruh sebaliknya berusaha untuk mencipta Dian dalam acuannya sendiri.

"Setiap kali saya mencipta sesuatu watak itu saya mengharapkan pelakon yang membawakannya mendapat sesuatu yang positif daripadanya.

"Fazura misalnya pernah memberitahu saya watak Putri dan Intan yang dibawakannya dalam filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur telah banyak mematangkan dirinya sebagai seorang individu.

"Begitu juga dengan Lisa yang menyatakan kepada saya bahawa watak Dian itu telah banyak membuka matanya tentang dunia sekelilingnya. Jika itu yang dirasakan oleh setiap pelakon, ia adalah satu kejayaan buat saya," jelas Bernard yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam jurusan komunikasi ini lagi.

Cabaran

Selain Lisa, IAD turut dibintangi oleh aktor muda yang semakin meningkat naik, Beto Kusyairy selain juara One In A Million musim ketiga, Shah Indrawan Ismail atau Tomok dan penyanyi serta komposer muda popular, Aizat Amdan.

Mengulas lanjut tentang IAD yang menelan kos sebanyak RM1.7 juta itu lagi, Bernard tidak menafikan ia adalah filem yang paling mencabar untuknya sepanjang bergelar pengarah.

Mana tidaknya. Hampir 90 peratus penggambaran filem bercorak komedi romantik ini dijalankan di Istanbul, Turki pada Oktober lalu.

Malah, Bernard juga menjelaskan rintangan dan cabaran yang perlu ditempuhinya bukan kecil-kecil anak.

"Masalah utama kami sudah tentu dari aspek komunikasi kerana sebahagian besar mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, cuaca dan juga keadaan lalu lintas di sana yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada penggambaran.

"Di sebalik masalah itu semua, kami semua berbangga kerana dapat menghabiskan penggambaran ini hampir sebulan dan dalam lingkungan bajet yang telah ditetapkan (ketawa).

"Memang seronok apabila berpeluang menjalani penggambaran di luar negara kerana ia memberi pengalaman baru bukan hanya untuk saya tetapi juga kepada semua pihak yang terlibat," jelas pemilik nama penuh Bernard Surinder Chauly Junior itu yang telah melawat Istanbul sebanyak empat kali dalam tahun ini untuk mencari lokasi terbaik sebelum memulakan penggambaran.

Fokus kepada lakonan

Meskipun sedar bahawa dia adalah pelakon pilihan kedua, namun Lisa tidak mahu memandangkan perkara itu sebagai ssuatu yang serius.

Malah, dengan penuh jujur dan terbuka dia menjelaskan seandainya watak Dian di tangan Fazura, ia akan menjadi lebih menjadi dan memberikan impak seperti mana dalam filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur.

"Saya anggap semuanya ini sebagai satu rezeki untuk saya bekerja dengan Bernard yang sudah lama saya idamkan selepas siri 3R dan Goodbye Boys.

"Bukan itu sahaja, saya menyifatkan diri saya begitu bertuah kerana dapat berlakon di samping barisan pelakon hebat seperti Beto, Tomok dan Aizat meskipun mereka masih baru.

"Pengalaman membintangi IAD hakikatnya telah memberi peluang saya bertemu dengan orang dan mempelajari benda-benda baru," jelas Lisa yang mula dikenali menerusi filem I'm Not Single arahan Pierre Andre pada tahun 2008.

IAD yang kini di peringkat pasca produksi bakal ditayangkan di pawagam tempatan sekitar pertengahan tahun hadapan.

Full content generated by Get Full RSS.