Utusan Online - Hiburan |
Posted: Edrie bersemangat hero gitarOleh ABD. AZIZ ITAR
DALAM persada muzik tanah air, tidak ramai pemain gitar yang menonjol selain nama-nama seperti Man Kidal, Hillary Ang, Sham Kamikaze, Allahyarham Samad Lefthanded dan Allahyarham M. Shariff. Selain nama-nama tersebut, nama Edrie Hashim pula tidak boleh disisihkan begitu sahaja. Dia juga salah seorang gitaris era masakini yang menyerlah dalam dunia muzik tempatan sejak 10 tahun lalu. Gitaris berusia 38 tahun ini misalnya, bukan sahaja terkenal sebagai pemuzik undangan tetapi juga seorang komposer selain aktif dalam kumpulannya, Projekpistol yang membawakan konsep muzik rock. Dalam kebanyakan konsert penyanyi solo tempatan, Edrie sering dijemput sebagai pemuzik undangan mereka. Malah, dalam konsert seperti Jom Heboh anjuran TV3 pun khidmat gitaris ini sering digunakan. Menurut Edrie, pembabitannya dalam pelbagai cabang seni bukan kerana dia tamak atau mahu menjadi hero gitar, sebaliknya ia demi survivalnya dalam bidang muzik yang menjadi kerjayanya selama ini. "Saya mula terbabit dalam bidang muzik pada pertengahan tahun 1990-an tetapi ketika itu nama saya tidak menonjol. Ketika itu, selain bermain muzik saya juga mencipta lagu dan lirik untuk artis lain. "Lagu Akan Ku Tunggu nyanyian kumpulan Candy antara lagu ciptaan saya yang popular sekitar tahun 1997. Saya lakukan semua itu demi kerjaya saya dan baru kini nama saya sebagai gitaris menonjol. "Lama kelamaan kerjaya saya juga semakin berkembang dan tidak terikat sebagai gitaris semata-mata," katanya kepada Hits pada sesi fotografi sempena kemunculan album solo keduanya tidak lama lagi. Edrie yang pernah tampil dengan album solo berjudul Transfigurasi pada tahun 2006 berkata, biarpun lama bergiat di belakang tabir dia bersyukur kerana itu kini mampu menyerlahkan bakatnya. Kata suami kepada gitaris dan vokalis Candy, Nurul Patricia Roberts ini, menerusi peluang itulah dia cuba mengembangkan bakatnya dengan menimba pengalaman bekerja dengan ramai artis popular tanah air. "Saya pernah bekerja dengan Awie Wings, Search dan Hattan. Daripada situlah saya mencuba bakat mencipta lagu seperti Iris yang pernah dipopularkan oleh Awie tidak lama dulu. "Melalui pergaulan dengan mereka jugalah saya banyak menimba pengalaman untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. Antaranya dengan menubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Neo Worldwide Entertainment. "Saya kini bukan lagi seorang gitaris semata-mata tetapi juga komposer, penulis lirik, pemuzik berkumpulan dan pemilik syarikat rakaman. Saya puas dengan pencapaian ini selepas lebih sedekad dalam bidang ini," ujarnya. Kata anak sulung daripada tiga beradik ini, kelembapan industri album ketika ini tidak boleh dijadikan alasan untuk berpeluk tubuh dan menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, dia bijak merebut peluang yang ada. Edrie kini sibuk mempromosikan lagu-lagu ciptaannya dalam laman sesawanganya, edriehashim.com yang akan dilancarkan pada bulan depan dan ini merupakan bisnes baru buatnya. "Sebagai permulaan melalui laman i-Tunes itu saya akan menjual lagu-lagu saya yang berjudul Sakti, Mr. Seposen dan 1001 dalam bentuk muat turun. Ini salah satu cara untuk menjual album yang berkesan ketika ini. "Di Malaysia belum ramai artis yang melakukan cara ini di mana kebanyakannya dilakukan oleh syarikat telekomunikasi atau syarikat rakaman. Bagi saya, setiap artis perlu ada inisiatif sendiri untuk menjalankan bisnes ini. "Setiap lagu yang dimuat turun akan dikenakan bayaran RM3. Setakat ini sambutannya bagus apabila ramai yang melanggan termasuklah dari Mexico," ujarnya yang dalam nada penuh bangga. Dengan menggunakan empat orang kakitangan, bapa kepada Darren Haikal, 7 tahun ini menambah kaedah baru itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan buatnya tetapi juga patut dijadikan ikutan artis lain. Jelas Edrie, dalam keadaan jualan album secara fizikal iaitu dalam format cakera padat semakin merudum, sudah sampailah masanya kaedah jualan album secara independent itu diperluaskan skopnya. "Saya tidak suka kalau ada penyanyi yang mengeluh album mereka tidak boleh dijual tanpa mencari alternatif lain. "Sebenarnya jualan album secara online lebih menguntungkan kerana ia boleh dikawal sepenuhnya oleh artis terbabit berbanding dulu jualan album lebih didominasi oleh syarikat rakaman. "Kalau dulu jualan album RM10 seunit, artis hanya mendapat RM1 royalti sedangkan RM9 diambil oleh syarikat rakaman. Tetapi dengan kaedah yang saya gunakan ini 100 peratus hasil jualan album masuk dalam poket artis terbabit," jelasnya. Bagi merancakkan lagi penjualan album secara muat turun dan online, Edrie juga menggunakan laman sosial Facebooknya untuki diperkenalkan kepada para peminatnya yang kini mencecah 5,400 orang di laman tersebut. Selain sibuk dengan persiapan rakaman album solo keduanya itu, Edrie juga sibuk mengadakan persembahan bersama kumpulan Projekpistol yang telah menghasilkan album sulungnya berjudul Stereo Andromeda. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Rahsia awet muda terbongkarOleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
KETAMPANAN wajah yang disulami dengan kelunakan suara setiap kali melantunkan lagu-lagu popularnya seperti Sedetik Lebih bukan sahaja memukau tetapi sentiasa menjadi igauan peminatnya. Begitulah kehebatan lelaki bernama Anuar Zain yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) baru-baru ini. Anuar Zain atau Shahrul Anuar Zain membuka rahsia kecantikan wajahnya biarpun dia sudah berusia 41 tahun. Tidak salah jika sebagai artis, dia perlu berbuat sesuatu agar wajahnya sentiasa nampak segar dan muda selain bijak menjaga keterampilan diri di khalayak. Maka itulah, selain menjalani rutin pemakanan yang agak ketat, pelantun lagu Lelaki Ini dilihat mempunyai petua awet muda. "Perkara utama yang amat saya titik beratkan adalah penjagaan berat badan kerana saya perlu mengekalkan berat tertentu mengikut ketinggian. "Selain itu, saya juga memilih untuk makan lebih banyak makanan berkhasiat serta mengambil beberapa vitamin untuk mengekalkan kesihatan kulit. "Semua itu penting kerana saya mahu merasa selesa ," katanya kepada Hits ketika ditemui usai persembahan Majlis Makan Malam Amal Diraja Belum Temengor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini. Tanpa berselindung, Anuar mengakui dia menyedari perubahan wajahnya sesuai dengan usianya. Justeru, lelaki bujang ini mendedahkan, dia kini menjalani rawatan pembentukkan muka atau face reshaping di sebuah pusat kecantikan di ibu kota. "Proses ini bukanlah rawatan muka seperti botox tetapi ia lebih kepada urutan menggunakan beberapa alatan elektronik di bahagian muka. "Tujuan proses ini adalah untuk membuang lebihan kulit terutamanya di bahagian bawah muka saya," katanya jujur. Anuar berkata, sesiapa sahaja yang berada dalam situasinya pasti mahu sentiasa kelihatan segak walaupun dimamah usia. Beralih ke topik pengurusan, Anuar memberi penjelasan mengapa terjadi perpisahan di antaranya dengan pengurusnya, Rohila Tahir. "Tidak ada apa-apa yang perlu dikecohkan kerana ini adalah keputusan kami berdua. Setelah 10 tahun bersama, kami merasakan ini merupakan keputusan terbaik untuk karier masing-masing. "Walaupun saya masih kekok dan belum pandai untuk menyesuaikan diri tanpa kehadiran Rohila namun saya percaya perubahan ini tidak akan memendekkan rezeki saya dalam industri ," katanya Memilih untuk berkerjasama dengan pengurus baru, Dar Danial, Anuar memberitahu, ini merupakan kali pertama dia mendapat khidmat seorang pengurus lelaki. "Setelah berkerjasama dengan tiga orang pengurus wanita, mungkin sudah tiba masanya saya mencuba khidmat pengurus lelaki pula. "Syukur, Danial merupakan seorang yang cepat belajar dan sehingga kini rezeki saya juga tidak tersekat dengan perubahan besar ini," katanya . Memilih untuk tidak menyertai peringkat separuh akhir Muzik Muzik Disember ini untuk lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim, Anuar ada alasan yang tersendiri. "Saya tidak suka memasuki pertandingan dan bertanding. "Soal siapa yang akan menggantikan saya untuk menyanyikan lagu itu nanti, saya percaya mereka lebih tahu siapa yang sesuai," katanya merendah diri. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |