Adsense

Ahad, 20 November 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Berani mati cara Zarina

Posted:

Berani mati cara Zarina

Berani mati cara Zarina

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

PERNAH diselar gara-gara salah penyalahgunaan dadah dan penyebaran gambar lucah, Zarina seperti tidak serik membuka ruang untuk dikritik.


NAMA miss kontroversi, si Zarina Anjoulie Lavocah terbakar lagi. Gara-gara gambar seksinya yang mendedahkan pangkal payu dara dalam sebuah majalah gaya hidup Indonesia cepat tersebar ke Malaysia, segala nista, keji dan kelakuan hitam ke atasnya sebelum ini kembali diungkit.

Sebutkan apa sahaja jolokan, nakal, liar, murahan, bahkan jalang, barangkali itu semua sudah tidak lut menusuk tubuhnya. Kalaupun terdetik rasa bengang, dia sudah kalis terhadap segala tembakan negatif itu. Sebaliknya, tanpa rasa kesal terpancar di wajah, Zarina yang mesra disapa Anju itu berani bertegas dan masih lantang membela diri. Segala cacian orang ditelan, dianalisis dan dihamburkan semula oleh Anju sebagai bahan ketawa.

Pada hematnya, kalau sudah hakikat bernama Zarina Anjoulie, pakai tudung sekalipun, kelibatnya tetap mengundang pandangan serong.

"Semua itu mengarut dan saya boleh terima. Bila baca isu mengenai saya, saya gelak saja. Saya dah tak rasa apa-apa lagi. Pada saya, banyak lagi benda yang teruk.

"Buat atau tidak buat fotografi berkenaan, tak ada beza pun. Selama saya tidak berlakon saya tetap kena kutuk juga. Orang sudah cap saya sebagai artis yang teruk, sekali sudah buat silap, orang nampak saya jahat sampai mati.

"Saya tak boleh nak puaskan hati semua orang. Saya pelik kenapa mereka perlu hentam saya seorang saja sedangkan ramai lagi artis di luar sana yang pakai seksi, dedah sana, terkangkang sini.

"Saya letak gambar saya pergi umrah pun kena kutuk juga. Bagi saya, biarlah apapun orang nak cakap, saya buat bodoh saja," tempelak Zarina mengulas panjang mengenai kontroversi gambar seksinya yang tersiar dalam majalah FHM Indonesia edisi Oktober 2011.

Berbalas soalan dan jawapan, Anju ditebak lagi, ke mana langkah selepas ini dan jika ada tawaran berbogel ke majalah Playboy, adakah tawaran itu sanggup diterima olehnya?

"Tidaklah sampai berbogel. Sebenarnya sudah dua kali saya tolak pelawaan daripada pihak FHM Indonesia. Kalau semua nak tahu, ketika sesi fotografi itu, mereka menyediakan bikini, tapi saya minta agar mereka tukar baju lain. Saya hanya menjadi diri saya sendiri dan itu adalah pilihan saya. Lagipun, saya yang tanggung semua dosa saya. Biarlah apa orang nak kata kerana saya tak boleh nak paksa orang untuk suka kepada saya," selamba Zarina membuka cerita.

Dibayar untuk seksi

Mengamati wajah kacukan Melayu, Iran serta Scotland itu bersuara, rasa kecewanya barangkali dibiarkan bersarang di jiwa. Sesal atau tidak, soalan itu ditanyakan berkali-kali. Jawapannya, dia tidak mahu dilihat lemah atau tunduk merendahkan muka, jauh sekali merayu meminta agar segala aibnya dimaafkan oleh masyarakat.

"Saya tidak perlu menangis lagipun saya dibayar sebanyak RM1,100 (AS$350) untuk fotografi yang dilakukan di Indonesia itu. Saya cuma kesal bila ada orang kata saya ambil suntikan untuk besarkan payu dara, padahal, semasa fotografi itu dilakukan memang saya sedikit berisi. Ketika itu berat badan saya mencecah 62 kilogram, tentulah bila badan sedikit gemuk, semua akan nampak kembang, terutama bahagian perut.

"Saya tak marah media yang tulis cerita saya, itu adat bila jadi artis dan saya cukup faham tugas media. Apa yang saya marah, bila orang komen dan jatuhkan hukuman sendiri, maki dan hentam ibu bapa dengan kata-kata kesat, kenapa semua nak kecoh pasal saya," herdiknya sedikit lantang.

Walaupun masih berpegang dengan prinsip bukan sengaja menempah kontroversi, mahu atau tidak mahu, setuju atau tidak, Zarina kena akur bahawa padah itu yang harus diterima kerana menyediakan ruang untuk dihentam oleh masyarakat. Tidak terhenti setakat penyebaran gambar separuh bogel bersama teman lelaki satu ketika dahulu, namanya terheret pula dengan penyalahgunaan dadah.

Kepada pemerhati yang melihat dirinya sebagai sampah atau perosak dalam industri, pendapat itu benar kerana sumbangan pelakon yang hanya dikenali menerusi drama rantaian Anak Pontianak ini tidaklah sebesar mana.

Bertanyakan Zarina, tidak terdetikkah jauh di dasar hatinya untuk terpanggil ke arah yang lebih baik, dia menjawab:

"Saya tidak berani untuk berjanji apa-apa. Tapi, secara perlahan-lahan saya sedang memperbaiki semula imej dan penjenamaan diri. Saya sudah 25 tahun tapi saya masih tidak boleh membuktikan apa-apa untuk menyatakan bahawa saya juga mahu menjadi seorang pelakon yang serius," katanya yang sedang memberi fokus kepada pembikinan filem Khon Malay, yang kali pertama menempatkan namanya sebagai pelakon utama.

Tambah Zarina: "Saya juga sedang menghabiskan ijazah pertama saya dalam bidang-bidang undang-undang di sebuah kolej swasta. Hari-hari saya pergi sekolah dan sibuk dengan sesi latihan untuk filem, lain-lain perkara saya letak tepi."

Zarina satu kelainan

Ibarat menyerah diri untuk bertemu media usai cerita panas berhubung gambar seksinya mendapat liputan hangat semua surat khabar mingguan minggu lalu, Zarina baru-baru ini menjejakkan kaki ke majlis pelancaran tiga buah filem, Khon Malay, Taiko dan 1945 yang diadakan di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Selaku penerbit bersama, Asri Abdul Rahman daripada AAR Intelligent Sdn. Bhd. menjelaskan pemilihan Zarina sebagai heroin di sisi Faizal Hussein dalam filem berkenaan dibuat kerana percayakan kredibiliti yang ada terhadap pelakon berkenaan.

"Ini pendekatan dan kelainan yang mahu kami mulakan. Mungkin selama ini, orang takut hendak ambil Zarina berlakon kerana memikirkan kontroversinya. Kami pilih Zarina sebelum isu gambar seksi itu tersebar, jadi bukan satu isu bila dia diambil jadi heroin filem Taiko," kata Asri yang selama ini memerhatikan industri perfileman sekadar dari belakang tabir.

Full content generated by Get Full RSS.

Bukan nikah senyap-senyap - Hattan

Posted:

Bukan nikah senyap-senyap - Hattan

Bukan nikah senyap-senyap - Hattan


HATTAN berharap khalayak dapat mendoakan kebahagiaannya.


Ke mudik sehentak galah, ke hilir serangkuh dayung, satu kata lahir dengan batin, sesuai mulut dengan hati...

PEPATAH Minangkabau tersebut sesuai dengan lafaz nikah Mohd. Shukri Shahabudin atau mesra disapa Hattan kepada pasangan yang dinikahinya, Farah Asyikin Othman, 33, pada tarikh cantik, 11 November lalu.

Dengan sekali lafaz, penyanyi berusia 47 tahun itu menamatkan zaman solonya yang sudah enam tahun dilayari. Begitu juga buat Farah, ibu tunggal kepada dua cahayamata iaitu Nazril, 6, dan Khara Latiesya, 5. Satu lafaz daripada hati yang menyatukan mereka zahir dan batin.

Sewaktu menghubungi Hattan Jumaat lalu, dia sedang enak membawa isteri dan anak-anaknya ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Menghirup bayu laut nan damai sambil merapatkan siratulrahim, Hattan bernyanyi-nyanyi gembira di hujung talian.

"Saya bawa anak-anak dan isteri ke Port Dickson (untuk) bercuti," ujarnya dengan nada gembira. Namun di sebalik gembira itu, dia meluahkan rasa, terkilan dengan segolongan invididu atas nama penulis blog dan penggiat forum yang menuduh dia bernikah secara senyap.

"Saya tidak faham kenapa mereka cakap saya kahwin secara senyap. Saya rasa sebagai orang Islam atau beragama apa pun, tidak elok membuat fitnah. Makan dengan duit haram namanya itu. Kenapa mereka mahu sibuk dengan isteri orang lain?" ujarnya sedikit panas walaupun berada di tepi pantai.

"Saya mengadakan pernikahan di kampung saya di Seri Menanti. Ada khemah dan kugiran mengiringi pernikahan saya. Saya ini orang kampung, berasal dari kampung dan sebab itu saya buat di sana. Saya jemput orang-orang kampung saya.


VOKALIS Hattan hairan dengan sikap penulis blog dan forum yang menyatakan dia kahwin secara senyap-senyap.


Malah keluarga saya memakai persalinan kuning menunjukkan kami orang lingkungan dan membawa adat diraja," ujarnya yang selamat menjadi suami Farah dalam majlis akan nikah yang dilakukan selepas solat Isyak. Hattan turut mengundang Datuk M. Nasir, Ramli Sarip dan Man Bai untuk berkongsi kegembiraannya.

"Biarlah apa orang mahu kata. Sekarang, saya sangat gembira dan tidak risau. Malah saya beryukur dengan jodoh saya," ujarnya yang menyeru agar orang luar tidak sibuk menyelidik tentang pasangan dan pernikahannya yang diadakan secara santai namun meriah di kampung.

Merasakan jodohnya kuat dengan Farah, dia bercerita tentang pertemuan tak dirancang yang terjalin di Doha, Qatar.

"Kami bertemu di Doha sewaktu saya selesai menunaikan umrah di Mekah. Farah pula transit dari London. Kami berkenalan dan hanya selepas dua minggu, saya menghubunginya. Pertemuan demi pertemuan selepas itu, saya rasa jodoh kami kuat dan Allah menemukan kami," ceritanya bernyanyi mempamerkan gembira dan bersyukur anaknya Adam Iman, 11, sangat serasi dengan isteri baharunya.

"Saya harap peminat doakan kami. Semoga perkahwinan kami bahagia dan doa juga agar kami dapat menunaikan umrah bersama-sama pada tahun hadapan," Hattan mengakhiri perbualan dan menutup pertanyaan ramai terhadap perkahwinan keduanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Muzik itu menyatukan - Ruth

Posted:

Muzik itu menyatukan - Ruth

Muzik itu menyatukan - Ruth


MENJEMPUT Datuk Khadijah Ibrahim sebagai artis tamu konsertnya, buat Ruth muzik adalah elemen yang menyatukan khalayak yang berbeza negara dan budaya.


KURANG sebulan, penyanyi cantik dengan vokal istimewa ini akan mendendangkan lagu-lagu nyanyiannya di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya itu akan berpentas pada 17 Disember ini .

Ruth Sahanaya yang kekal genit pada usia 45 tahun turut merasai debarannya apatah lagi tetamu kehormat konsert itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Saya berasa ini ialah waktu yang tepat untuk mengadakan konsert," katanya ketika ditemui di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini

Berkongsi rutin sebelum konsert, gelak tawa menghiasai pertemuan itu. Tawa membuatkan Ruth sentiasa tampil muda.

"Saya akan makan awal (pada hari persembahan) kerana tidak boleh menyanyi dengan perut kenyang. Saya akan kuarantinkan diri untuk menjaga konsentrasi. Saya tidak akan banyak berbual," luahnya yang mahu tampil hebat dalam setiap persembahan.

"Beberapa detik sebelum mulanya sesebuah konsert merupakan waktu paling gementar buat saya. Sejurus menjejak pentas, semuanya hilang dan saya akan berasa sangat puas sewaktu penonton ikut bernyanyi bersama. Itu aura yang luar biasa," senyumnya yang sentiasa mahu penonton mengembara dengan persembahannya.

Menjemput Datuk Khadijah Ibrahim sebagai artis tamu konsert tersebut, penulis dan Ruth langsung masuk ke topik penyatuan melalui muzik.

"Muzik itu elemen yang menyatukan. Sebagai orang seni, tugas kita juga untuk menyatukan dan kami menjadi duta dari negara masing-masing untuk penyatuan ini. Malah mungkin juga meredakan segala yang tegang daripada aspek lain. Secara peribadi, saya betul-betul rasa terpacu untuk mengajak teman-teman sealiran untuk sama-sama melakukan penyatuan ini," ujar Ruth yang banyak bersahabat dengan artis Malaysia.

"Bagi saya, dalam lingkungan seni, kami tiada masalah. Muzik ialah bahasa universal yang dapat menyentuh semua," tegas Ruth lagi yang bakal menyanyikan 30 buah lagu secara solo dan medley dalam konsertnya kelak.

"Khadijah Ibrahim adalah antara penyanyi seiring masa saya yang saya kagumi. Hubungan kimia kami kuat dan kami memang secocok sekali untuk bergabung dalam konsert ini kerana muzik yang sama. Kami juga saling berkongsi pengalaman tentang dunia hiburan dan nyanyian," ujar Ruth tentang rakan duetnya dalam konsert anjuran A'caralis Kuala Lumpr Sdn Bhd tersebut.

Konsert menyambut ulang tahun ke-25 Ruth dalam arena muzik ini akan menyalurkan seumbangan kepada badan-badan tertentu antaranya Yayasan Sultanah Bahiyah.

Sempat bercerita tentang hasrat masa hadapannya setelah konsert yang diidamkannya ini tercapai, Ruth sebenarnya teringin untuk memiliki sebuah album berkonsepkan jazz.

"Sejak dulu saya gemarkan jazz. Masa sekolah rendah, ayah selalu dihadiahkan kaset-kaset aliran jazz seperti nyanyian Elle Fritzgerlad. Jazz kemudian terus melekat dalam hati saya.

"Sewaktu awal-awal menjadi penyanyi dan muncul dengan album, saya terfikir bahawa ketika itu tidak terlalu idealis untuk menerbitkan sebuah album jazz. Saya harus fikirkan pasaran maka keluar dengan album Seputih Kasih yang ada pop dan baladanya. Sekarang, orang sudah tahu siapa Ruth Sahanaya dan saya rasa kini adalah masa yang idealis untuk realisasikan impian saya.

"Konsep album itu muncul tiga tahun lalu tapi (rakaman) masih belum terlaksana. Jazz bukan muzik orang atasan atau untuk orang berumur," antusiasnya bercerita tentang cita-citanya yang mungkin bakal terlaksana kelak.

"Saya bukanlah individu yang bercita-cita besar sebaliknya saya jalani sahaja perjalanan kehidupan saya. Saya bersyukur dengan apa yang saya perolehi dan mendapat kepercayaan selama 25 tahun," Ruth Sahanaya atau mesra dipanggil Uthe mengakhiri perbualan petang kami.

Full content generated by Get Full RSS.