Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Positif telan dugaanMENERUSI banyak laporan media Indonesia, sukar sekali mencari sisi positif seorang penyanyi dangdut yang menggunakan nama pentas Dewi Perssik. Hampir semua laporan yang dibuat adalah tentang sensasi dan kontroversi yang dicipta wanita berusia 26 tahun itu. Malah jika dirujuk namanya dalam enjin carian Internet google, kebanyakan informasi yang tertera juga adalah tentang sisi kurang enak seorang Dewi. Dewi berbogel, Dewi erotik, Dewi bercakaran dan macam-macam lagi. Ironi yang terjadi apabila bertemu dengan penyanyi dangdut dan pelakon yang sedang meledak dengan filem terkininya, Pacar Hantu Perawan serta single Diam-Diam bersama bos syarikat pengurusannya, Republik Cinta Management, Ahmad Dhani. Dia yang juga akrab disapa DePe seorang yang secara total berbeza dengan penampilan diri sebagai Dewi Perssik. Dewi di luar wilayah bekerja dan memakai nama sebenarnya Dewi Murya Agung adalah seorang wanita biasa yang serba ringkas dan paling senang menyendiri sehingga digelar sebagai 'anak tidak gaul' (sombong). Banyak yang ditumpahkan DePe saat pertemuan santai kami yang diatur oleh Iman Tang, lelaki yang bertanggungjawab merealisasikan sesi temu bual itu. DePe hadir ke Malaysia untuk memenuhi undangan membuat persembahan secara komersial pertamanya untuk Konsert Fiesta Indonesia baru-baru ini. Di sebuah kafe di dalam sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, DePe mencurah rasa, yang kebanyakannya adalah tentang kisah duka dan ranjau hidupnya sehingga dia kini semakin tegar menjalani segala kesulitan dengan sebuah senyuman biar jauh di relung hati, ada remuk yang teredam. DePe membuka bicara dengan memberitahu segala kesulitan yang dilalui dikongsi bersama anaknya yang bakal menginjak usia empat tahun, Felice Gabriel pada 15 November ini. Felice juga adalah teman baiknya, malah pada usia yang begitu mentah, anak kecil itu sudah seperti mengerti setiap ranjau dan pahit yang terpaksa ditelan ibunya itu sehingga dia kerap menjadi 'ubat pelali' dan memujuk setiap rasa yang menjeruk di hati DePe. "Dialah motivasi hidup saya. Setiap kali berhadapan dengan musibah, kepada Felice saya curahkan segalanya, kepada dia saya menangis. Dia adalah ubat saya yang telah menghilangkan semua derita," katanya penuh semangat. Penyanyi dan pelakon itu kemudian membogelkan kisah hidupnya. Memberitahu dia terjun ke dunia hiburan kerana minat yang mendalam, pada awalnya, keinginan tersebut ditentang keras oleh ibu dan bapanya yang disifatkan oleh DePe sebagai fanatik agama. Apa lagi untuk melihat dia bergoyang dan 'buka-bukaan' untuk khalayak. Namun sudah seperti takdir hidupnya, DePe akhirnya lolos masuk ke industri seni. DEWI PERSSIK atau DePe mempunyaidua personaliti berbeza. Sebagai DePe seorang seniman, dia nampak begitu terbuka, namun sebagai seorang Dewi Murya Agung iaitu dirinya yang sebenar, dia seorang yang sederhana dalam kehidupan. "Mahu tahu bagaimana semuanya terjadi? Waktu itu, usia saya 17 tahun, di sebuah majlis berunsur agama, saya sedang menjadi qariah. Di majlis anjuran datuk saya itu, diserikan dengan sedikit hiburan dan dihadiri oleh beberapa artis senior yang pada saat itu bertanya siapa mahu membuat persembahan. "Saya tertarik dan memberitahu ibu namun ditentang keras. Kata ibu, saya harus melepaskan tudung kalau mahu menyanyi dan dia menentang keinginan saya. "Tanpa mempedulikan ibu, saya membuka tudung dan mula menyanyi. Saya nyanyi lagu Kuch Kuch Hota Hai dan dari situ kerjaya seni saya bermula," ujarnya sambil sesekali disulam ketawa kecil mengimbas momen lama. Bagaimanapun bukan mudah menjadi anak seni. Sejak awal kemunculan dirinya selalu digulir kontroversi. Ditanya tentang pencetus kontroversi terutama berkaitan imej erotiknya, DePe mempertahankan diri. Katanya dia tidak seksi. Malah bukan seorang yang percaya diri. Apa yang ditonjolkan di pentas dengan goyang dan imejnya itu adalah cermin Dewi Perssik. Bukan Dewi Murya Agung. Tentang kontroversi atau sensasi pula, dia membidas: "Saya tidak cipta sensasi, tapi orang yang mencungkil dan mengambil kesempatan mensensasikan saya. Dan saya percaya tak ada artis yang suka atau berulang kali membaca kisah atau cerita dirinya yang sentiasa dicop kontroversi. "Hidup saya sejak menjadi anak seni lapan tahun lalu penuh fitnah. Namun Allah itu adil, apabila pintu rezeki saya di ufuk timur ditutup, Dia buka pintu rezeki di ufuk barat dan Alhamdulillah walau selepas lapan tahun saya masih tegar di sini." DEPE hanya terbabit dengan filem berunsur seram. Katanya, dia teringin untuk berlakon dalam filem genre lain, namun belum mempunyai rezeki. Dugaan dan fitnah yang dimaksudkan artis yang lahir di Jember, Jawa Barat, Indonesia itu termasuklah kisah pertikaian dengan aktivis Islam yang menentang penampilan seksi dan goyang erotiknya sebagai pengdangdut sehingga dia hampir tidak boleh muncul dalam sebarang persembahan dan panggung-panggung persembahannya dibakar. Saat rezeki bergoyang di pentas dangdut ditutup, pintu menjadi pelakon pula terbuka. "Saya tidak bisa pernah berlakon. Saya belajar sendiri bagaimana mahu menjadi pelakon. Sama seperti bagaimana saya belajar bergoyang dengan hanya melalui internet dan melihat liuk lentok penyanyi pujaan saya, Shakira," katanya yang telah terbabit dengan lebih enam filem berunsur seram yang hampir semua daripadanya adalah hasil idea dia sendiri. Namun kini kabut gelap itu mula beransur nampak cahaya. Sebaik dia mengikat kontrak menjadi artis di bawah naungan RCM serta bermain filem, namanya mendadak naik. Dari satu pentas ke pentas lain, sehingga kadang dia harus menyewa helikopter untuk bergegas mengisi permintaan klien, dalam masa yang sama sibuk berlakon, jadual seorang ratu sensasi seperti DePe padat. Padat dengan rezeki yang tidak pernah kurang dilimpahi oleh Allah buat dirinya. Menganggap dirinya sebagai seorang seniman, bukan penyanyi atau pelakon, kata DePe, hal yang membuat dia tidak berundur dari dunia seni juga adalah kerana dia ikhlas dan sentiasa positif melihat masa depannya. "Sementelah saya telah berjanji dengan ibu dan anak saya bahawa saya tidak akan pulang ke kampung selagi saya tidak sukses. Selagi keluarga mendokong saya, anak cintakan saya dan Allah terus melindungi saya, saya okay," katanya penuh semangat. Trauma DEPE mengaku dia tidak mempunyai kawan di kalangan artis. Dia lebih senang menyendiri. Menjadi wanita, apatah lagi artis yang sentiasa dikelilingi lelaki, gender itu bukan satu tabu buat Depe. Namun bagi Depe, untuk menjalin satu hubungan baharu dengan lelaki, dia tidak tahu menterjemah hal itu sebagai trauma atau apa. Semuanya kerana dia yang kini memegang status janda sudah gagal dua kali dalam institusi kekeluargaan. Perkahwinan pertamanya dengan seorang pelakon, Saiful Jamil berlaku pada usia dia 18 tahun sebaik dia merantau ke Jakarta. "Keluarga saya fanatik agama, jadi tiada istilah cinta sebelum kahwin, justeru saya kahwin awal sebaik bertemu mantan suami," katanya yang kemudian bercerai dua tahun kemudian sebelum berkahwin semula dan diceraikan untuk kesekian kali saat usia baru menginjak 23 tahun. Kini akui DePe, dia sangat takut untuk menyimpul sebuah hubungan baharu. Tambahnya serius: "Kadang pria membuat saya takut, maka tidak mungkin terjadi perkahwinan untuk saya dalam masa terdekat ini." Ujarnya lagi, dia tidak tahu mahu mengklafikasikan hal itu sebagai trauma atau tidak, tetapi bagi DePe jika dia bertemu jodoh kembali nanti, lelaki itu harus dewasa dan matang supaya dia mampu berkongsi suka dan duka hidup selain menghormatinya sebagai ketua keluarga. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Suria FM terjah suksesSURIA FM berterusan memikat pendengar berikutan penampilan segmen-segmen yang segar dan menarik. MENINGKAT dan terus meningkat! Itu gambaran tepat kedudukan Suria FM ketika ini yang mana kaji selidik Nielsen untuk suku kedua tahun 2011 menunjukkan stesen radio berbahasa Melayu sukses memikat pendengar. Ia berjaya kekal sebagai peningkatan tertinggi dalam jumlah pendengar dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 415,000 orang. Sehingga kini, pendengar Suria FM telah mencecah dari 2 juta orang kepada 2.3 juta orang! Hasil kajian berjaya mengekalkan momentum peningkatan bagi stesen radio berbahasa Melayu yang mana ia melibatkan jumlah pendengar pada hari Isnin hingga ke hujung minggu. Jumlah pendengar dari hari Isnin hingga ke hari Jumaat telah meningkat sebanyak 392,000 orang dan jumlah pendengar di hujung minggu meningkat sebanyak 300,000 orang pendengar. Kedudukan Suria FM dalam pasaran radio berbahasa Melayu diperkuatkan lagi dengan pelbagai program dan pengisian yang sentiasa berinformasi dan menghiburkan. Memperlihatkan kepada persembahan segmen-segmen yang ke udara, segmen Breakfast@Suria yang dihoskan oleh Halim, Shiera dan Zizi telah meningkat bukan sahaja dari segi jumlah pendengar malah meningkat dari segi jumlah masa mendengar. Pendengar segmen Breakfast@Suria telah meningkat sebanyak 281,000 menjadikan pendengarnya kini seramai satu juta orang dan masa mendengar pula telah meningkat dari 3 jam 15 minit kepada 3 jam 23 minit. Peningkatan yang positif juga ditunjukkan oleh segmen-segmen yang dikendalikan oleh para penyampai di sebelah petang dan juga malam. Suria FM juga telah melakar sejarah sekali lagi apabila jumlah pendengar semakin meningkat. Suria FM juga menerima respon positif apabila jumlah pendengar yang berumur 20 tahun hingga 39 tahun semakin menggalakkan. Hasil daripada peningkatan ini telah membuktikan Suria FM telah berusaha keras demi memberikan yang terbaik kepada semua pendengar. Daripada barisan penyampai radio yang sememangnya mesra pendengar, putaran lagu-lagu terbaik 90-an dan terbaharu hinggalah kepada aktiviti-aktiviti untuk menghargai para pendengar, Suria FM amat menitikberatkan setiap saat ke udara berteraskan kualiti untuk kepuasan pendengar. Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan Red FM, Azrullah Mohd. Nor: "Insya-Allah Suria FM akan memastikan peningkatan positif dari tahun ke tahun. Keputusan kali ini membuktikan bahawa format 90-an dan terbaharu yang kami bawa semakin diterima ramai. "Kami ingin memanjangkan ucapan terima kasih kepada pendengar, rakan media dan rakan perniagaan untuk sokongan yang tidak berbelah bahagi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan yang telah banyak bekerja keras dan menghasilkan keputusan yang terbaik." Tambahnya: "Suria FM akan memastikan bahawa peningkatan yang positif ini akan berterusan dan dari semasa ke semasa, stesen ini akan memberikan yang terbaik. Terima kasih kerana menjadikan Suria FM nombor satu dari segi peningkatan jumlah pendengar!" Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Idola Kecil 4 lebih sengitNOR HARRIS ALIF NORASHIDI berjaya muncul sebagai juara untuk Idola Kecil 2. STESEN TV9, melalui program Idola Kecil kembali dengan musim keempat! Lebih dikenali sebagai IK4, 12 peserta cilik berusia lingkungan 8 hingga 12 tahun, telahpun dikenal pasti untuk menonjolkan bakat mereka menerusi program realiti hiburan kanak-kanak terkenal ini. Idola Kecil 4 akan mula menemui penonton pada 5 November 2011, Sabtu, 9 malam eksklusif di TV9 (Saluran 119). Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Penjenamaan TV9, Sherina Nordin: "Saya bagi pihak TV9 berasa amat bersyukur kerana permulaan program Idola Kecil musim keempat ini mendapat penerimaan yang positif serta sokongan yang amat menggalakkan daripada semua pihak. "Pada musim ini kami menerima lebih daripada 1,000 penyertaan uji bakat di empat buah lokasi, sekali gus merupakan rekod penyertaan paling tinggi berbanding musim-musim lalu. "Kali ini, penyertaan bukan sahaja dari kaum Melayu, malahan adik-adik yang berbangsa India dan Cina juga turut mencuba nasib mereka. Ini membuktikan bahawa Idola Kecil mempunyai pengikutnya yang tersendiri." "Proses pemilihan sememangnya sukar kerana peserta-peserta kali ini hebat belaka." Peserta yang telah disenarai pendek perlu menjalani sesi 'bootcamp' sebelum 12 peserta yang terbaik dipilih. Kesemua 12 peserta ini datang dari pelbagai latar belakang berbeza rupa, identiti dan perwatakan. Selama tiga musim berlangsung, Idola Kecil telah melahirkan masing-masing tiga juara iaitu Wan Syuhada Md. Amin, 12, yang menjuarai musim pertama, Siti Amirah Dayana, 10, (juara musim kedua) dan Nor Harris Alif Norashidi, 11, (juara musim ketiga). Musim keempat ini akan menampilkan 12 orang peserta yang terdiri daripada lapan orang peserta perempuan dan empat orang lelaki. Mereka adalah Ahmad Marzuki Nordin, 10, Hairul Asri Alis Sjofjan, 12, Irfan Haris Othman, 10, Mohd. Syafiqri Kaharudin, 10, Farisha Asmadi, 12, Nabihah Idrus, 8, Noor Aina Batrisyia Azman 12, Nurfazlina Ramlan, 11, Nurshazleen Natasha Jamaluddin, 11, Sarah Elyssa Khairul Fahmy, 11, Sharifah Nurhafifa Wan Aziz, 12 dan Sharifah Rusilmu Imani Syed, 11. Konsert mingguan pertama akan disiarkan mulai 12 November, setiap Sabtu, pukul 9.00 malam. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |