Adsense

Sabtu, 5 November 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bukan dasar suka -suka

Posted: 04 Nov 2011 06:56 AM PDT

MUNGKIN suatu masa dulu mereka alpa atau lalai kerana keseronokan dunia, namun belum terlewat untuk mereka berubah ke satu arah yang lebih baik.

Itulah nikmat kesyukuran yang dirasai Siti Nordiana Alias atau Nana dan bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Asiahtunakma Abdullah (Akma).

Dua artis wanita ini dengan niat berhijrah, membulatkan niat yang luhur kepada imej bertudung. Bukan atas dasar suka-suka atau mengikut 'trend', perubahan yang dilakukan mereka adalah demi kehendak diri sendiri dan keluarga tersayang.

Bersua pada sesi fotografi diatur sempena Aidiladha esok, Nana dan Akma dilihat semakin jelita dengan imej terkini. Malah, gerak-geri dan bual bicara mereka disusun dengan lebih teratur dan sopan.


Apapun, tatkala ditanya mengenai penghijrahan dibuat, nyata kedua-duanya sedia berkongsi cerita. Bukan bertujuan menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah, tetapi sekadar meluahkan rasa gembira dan bersyukur.


Mereka nyata masih aktif menerima undangan persembahan nyanyian dan apa yang menggembirakan, periuk nasi mereka sedikit pun tidak terjejas selepas tampil dengan imej bertudung.

Ujar mereka, peminat dapat menerima dan setia memberi sokongan padu.
Justeru, tidak sedikit pun timbul sekelumit perasaan berbelah bagi atau tidak yakin dengan keputusan yang mereka buat. Ikuti kisah mereka.

Nana perbaiki diri demi anak

PERNAH dikecam hebat kerana keberaniannya tampil di khalayak umum dengan imej 'seksi', Nana juga ketika itu dianggap sangat terdesak dengan publisiti murahan. Kini semua itu ditinggalkan Nana jauh-jauh.

Dia tidak sanggup lagi mendengar kata-kata nista orang yang begitu menghiris perasaannya. Lalu suatu hari, iaitu seminggu sebelum Aidilfitri lalu, berdetik di hatinya agar berhijrah untuk menutup aurat demi kebaikan diri dan anaknya.

Pada usia 27 tahun, Nana sangat bersyukur kerana mendapat seru dan 'hidayah' lebih awal.

Kata Nana, hatinya mula terbuka selepas terbaca sebuah majalah yang membicarakan pelbagai hukum-hakam dalam Islam.

"Ketika itu, saya duduk sendirian dan tiba-tiba rasa terpanggil supaya membeli majalah agama itu untuk membacanya. Sekalipun, tidak membicarakan soal menutup aurat, sebaik saja membacanya terus timbul keinsafan betapa banyaknya dosa yang sudah saya buat.

"Dengan mendedahkan tubuh dan rambut untuk tatapan umum, sudah banyak dosa saya lakukan kepada Tuhan. Itu belum termasuk dosa lain yang saya sedar atau tidak sedar sudah dilakukan. Sampai bila saya perlu berterusan seperti itu?
Sekurang-kurangnya, dengan menutup aurat, satu kewajipan kepada Tuhan sudah dapat dilaksanakan.

"Selepas merenung kekurangan diri, saya nekad membuat perubahan demi kebaikan.
Bukan untuk saya seorang tapi keluarga dan lebih-lebih lagi anak tersayang, Muhammad Rayyan Nakhaie. Saya teringin menjadi ibu contoh yang baik untuknya.

"Malah jika diambil kira rasanya berubah pada usia 27 tahun ini sudah agak lewat. Sepatutnya, saya berubah lebih awal lagi. Apapun, saya benar-benar berasa sangat bersyukur kerana akhirnya dapat juga melaksanakan tuntutan Tuhan yang pernah saya lalai," katanya.

Menurut Nana, secara berperingkat, dia akan menerapkan lebih banyak ilmu agama yang secukupnya untuk diri dan anaknya itu.

Jelas Nana, biarpun sudah berimej wanita bertudung, rezekinya masih tidak terganggu dan percaya semua yang berlaku adalah atas kehendak Ilahi.

Akma insaf selepas diduga

BERBICARA mengenai perubahan dirinya, Akma berkata dia mula bertudung sejak tahun lalu. Malah enggan dilihat melakukan perubahan secara drastik, dia memakai selendang lebih dulu. Akhirnya barulah dia memakai tudung selepas semakin selesa dan yakin.

"Segala dugaan dulu banyak mematangkan saya untuk berfikir dan membuat keputusan. Oleh itu, apabila Tuhan memberikan hidayah pada usia 26 tahun ini, saya sangat bersyukur. Sekurang-kurangnya, saya belum terlewat untuk menjadi manusia yang lebih baik.

"Lagi pun, apa yang saya lakukan dulu sudah banyak membuatkan ibu bapa saya sedih dan risau. Bahkan, pelbagai cercaan perlu dihadapi mereka hingga ada mengatakan ibu bapa saya tidak pandai menjaga anak. Dalam soal itu, sayalah yang bersalah.

"Saya lalai dengan kehidupan dunia hingga hilang pertimbangan memikirkan yang mana baik dan buruk. Oleh itu, selepas segala yang berlaku membuatkan saya tersedar, mesti berubah dan sebagai anak perlu menjaga nama baik ibu bapa," katanya.

Akma berkata, ayahnya insan yang paling gembira apabila mendapat tahu dia membuat keputusan mahu berubah imej dengan bertudung.

Katanya, berkat doa ibu bapa dan keluarga, hidupnya kini sangat gembira dan sungguh tenang.

Mengenai kerjaya nyanyian pula, Akma sedar selepas dia keluar dari AF3, muncul ramai lagi peserta musim baru yang menenggelamkan bintang terdahulu.

Biarpun dia muncul dengan beberapa single, itu masih tidak cukup untuk memahat namanya. Namun, Akma kerap diundang menjayakan siri jelajah Gempak Astro di bandar kecil seluruh Malaysia.

Cuma, katanya undangan untuk persembahan itu kurang mendapat liputan media sehingga ramai beranggapan dia dan beberapa rakan lain termasuk Hazama, Idayu, Edlin tidak lagi aktif menyanyi.

Hakikatnya, dia tetap aktif dan pada masa yang sama berniaga juadah berasaskan coklat.

"Syukur, hingga kini saya masih mendapat banyak tawaran menyanyi.
Bagaimanapun, publisiti untuk diri yang kurang kerana sudah lama tidak bersua dengan pihak media. Selain itu, saya juga sibuk mengusahakan perniagaan juadah coklat dari rumah secara langsung.

"Perniagaan ini, baru dua bulan saya buat. Justeru, sebelum serius menceburinya, saya lebih dulu mengikuti kursus dan bengkel pembuatan coklat.
Ditambah lagi, saya sangat minat memasak dan suka menyediakan hidangan yang menjadi kesukaan adik-beradik.

"Apa saja yang adik-beradik hendak makan, saya akan cuba buat. Melihatkan mereka suka makan, saya pula jadi seronok memasak. Oleh itu, saya nekad menceburi perniagaan ini dengan membuat promosi di Internet.

"Bagi sesiapa yang berminat dan ingin membuat tempahan, bolehlah melayari blog saya di cocolycious.blogspot.com untuk memilih pelbagai juadah coklat yang dijual," katanya.

Pada kesempatan ini Akma dan Nana tidak lupa mengucapkan Selamat Aidiladha kepada semua pembaca setia Harian Metro.

PROFIL NANA:

NAMA: Siti Nordiana Mohd Alias
PANGGILAN KOMERSIAL: Nana
ASAL: Negeri Sembilan
TARIKH LAHIR: 22 November 1984
USIA: 27 tahun
STATUS: Ibu tunggal
KARIER: Penyanyi, pelakon
ANAK: Muhammad Rayyan Nakhaie (tiga tahun)
DRAMA/TELEFILEM: Wad 04, Helah, 3 Dara Pingitan dan Aku Budak Minang 2

ALBUM: ALBUM: Gurindam Rindu Berkasih (1999), Luahan Hati Kekasih (2000), Firus - duet bersama Syura (2001), Bingkisan Kasih (2001), The Best Of siti Nordiana (2000) Istimewa Untukmu - duet bersama Achik (2003), Pelangi (2004), Benang Emas - duet bersama Achik (2005), Cahaya Kekasih (2007)

PROFIL AKMA:

NAMA PENUH: Asiatun Akma Abdullah
PANGGILAN KOMERSIAL: Akma
UMUR: 26 tahun
TARIKH LAHIR: 9 Mac 1985
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
BINTANG: Pisces
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, berniaga coklat
HOBI: Membaca novel dan bermain boling
PENDIDIKAN: Diploma Seni Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
SINGLE: Tetap Menanti dan Pergi
DRAMA: Otai, Pria, Daun Kesum Daun Kari, Farah Shaqira
FILEM: Hooperz
PENCAPAIAN: Peserta Akademi Fantasia Musim Ketiga

Full content generated by Get Full RSS.

Bakal ditayang di 72 negara

Posted: 04 Nov 2011 06:38 AM PDT

SELEPAS berjaya memasarkan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) di peringkat antarabangsa dengan judul The Malay Chronicles, kini KRU Studios bersedia menghasilkan sebuah lagi filem bagi pasaran dunia dengan menampilkan pelakon popular Hollywood sepenuhnya.

Memaparkan kisah epik pengembara dan lanun Scandinavia, filem terbaru arahan Yusry Abdul Halim, Vikingdom menampilkan pelakon seperti Dominic Purcell yang cukup popular menerusi drama bersiri Prison Break dan filem Blood Creek, Natassia Malthe (Elektra), Craig Fairbrass (House Of The Rising Sun), Jon Foo (Takken) dan Conan Stevens (The Hobbit).

Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, pihaknya gembira kerana usaha dilakukan menampakkan perkembangan positif apabila pengedar memberikan persetujuan awal menayangkannya.

Katanya, filem yang memulakan penggambaran di sekitar Cyberjaya, Gua Tempurung, Batu Gajah dan Ipoh Perak sejak dua minggu lalu, bakal diedarkan di 72 negara sementara Britain mahupun Amerika Syarikat sendiri menunjukkan minat untuk menayangkannya.


"Kami bertuah kerana rakan niaga KRU Studios, Epic Pictures di Hollywood mempunyai hubungan baik dengan penggiat di sana. Mereka juga yang melamar Dominic untuk terbabit dalam filem ini.


"Terus terang, pada peringkat awal untuk memasarkan Vikingdom ke pasaran luar sewaktu menyertai program memasarkan filem di Cannes, kami tidak mempunyai apa-apa, sama ada poster mahupun gambaran filem bakal dihasilkan.

"Apa yang kami jual adalah skrip dan juga nama Dominic. Bagaimanapun, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Kini boleh dikatakan hampir semua negara di setiap benua bersetuju memasarkan Vikingdom," katanya ketika ditemui di majlis sidang akhbar Vikingdom bagi memperkenalkan barisan pelakon filem itu, kelmarin.

Menyentuh pelakon lain yang turut membintangi filem terbabit, jelas Norman sebenarnya mereka memberikan kuasa kepada Dominic untuk memilih siapa lagi yang sesuai untuk terbabit dalam Vikingdom.

"Memandangkan kami menggunakan namanya, dia mempunyai kuasa untuk memilih pelakon gandingan. Kami akur dengan pemilihannya memandangkan Dominic hanya boleh bekerja dengan mereka yang dirasakan sesuai dan sekali gus memastikan pembikinan filem ini berjaya dihasilkan dan dipasarkan," katanya.

Kata Norman, idea menghasilkan Vikingdom bermula tiga tahun lalu apabila skripnya sudah dihasilkan tetapi kerana mahu menghasilkan HMM, projek itu dihentikan buat seketika.

Mengenai kos pembikinan filem itu, Norman mengakui menelan kos yang besar tetapi setakat ini mereka tidak lagi memperoleh jumlah sebenar kerana ia masih lagi dalam pembikinan.

Sementara itu Yusry sebagai pengarah Vikingdom berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang penggambaran dijalankan apatah lagi hampir 70 peratus pembikinannya dilakukan di dalam studio dan selebihnya di luar.

"Senang hendak bekerja dengan pelakon antarabangsa ini. Selagi kita mematuhi kontrak ditandatangani, selagi itulah mereka memberikan kerjasama baik dan komited terhadap kerja dilakukan.

"Tahap profesionalisme mereka sangat tinggi. Begitupun, apabila sudah beberapa minggu bekerja dan keserasian antara kami sudah wujud, mereka tidak berkira sangat.

"Sebelum ini memang mereka ada minta perkara yang tidak dapat kami berikan seperti karavan tetapi mereka faham. Walaupun mereka ini bintang Hollywood tetapi sifat 'diva' langsung tidak wujud. Setakat ini, penggambaran berjalan dengan lancar," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.