Adsense

Sabtu, 5 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Korban giring

Posted: 04 Nov 2011 04:38 PM PDT

Hip

REZEKI yang diberikan Tuhan bukan milik mutlak dirinya, sebaliknya pinjaman Allah itu sentiasa ingin dikongsi oleh vokalis Nidji, Giring bersama mereka yang memerlukan.

Sempena sambutan Aidiladha esok, Giring mengambil kesempatan untuk melaksanakan ibadah korban sebagai tanda syukur terhadap rezeki yang diberikan Allah untuk dirinya dan keluarga. Giring mengakui, sejak beberapa tahun kebelakangan ini rezekinya dan Nidji begitu murah membuatkan dia berasa wajib untuk berkongsi kegembiraan itu bersama mereka yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka.

"Kebelakangan ini rezeki Nidji sentiasa lancar. Ketika Tuhan memberikan sedikit kegembiraan, mengapa tidak saya berkongsi nikmat Allah itu bersama mereka yang memerlukan? "Mudah-mudahan rezeki yang dikongsi ini membawa sedikit senyuman kepada mereka.Kebiasaannya saya akan menyembelih kambing, namun sejak tiga tahun ini saya senang korbankan lembu," kata lelaki kelahiran Jakarta, berusia 28 tahun itu.

Selain meraikan Hari Raya Korban, Giring atau nama lengkapnya, Giring Ganesha berkata, sembelihan itu juga bagi meraikan kelahiran anak keduanya, Aisyah.

"Kebetulan sehari sebelum Aidiladha akan diadakan acara untuk meraikan Aisyah yang mula bertatih, jadi saya satukan dengan korban. Alhamdulillah, persiapannya hampir selesai," kata Giring yang melonjak bersama Nidji selepas melancarkan album sulung, Breakthru.

Membawa gelaran haji selepas menunaikan rukun Islam kelima itu pada 2008, memori terindah sebagai tetamu Allah masih melekat kukuh dalam ingatan lelaki berambut kerinting itu. Giring belum dapat melupai detik ketika bulu romanya meremang apabila kali pertama melihat Kaabah. Seraya tanpa disedari, air matanya mengalir laju.
"Saat itu saya merasa kecil sekali, seolah-olah saya ini bukan sesiapa di mata Allah," katanya.

Penyanyi Sang Mantan dan Laskar Pelangi ini mengakui, dia beruntung kerana menjadi pilihan Allah untuk menjadi tetamu-Nya serta berkesempatan melihat keindahan Kaabah. Membilang setiap dosanya membuatkan Giring sentiasa diburu ketakutan bimbang jika monumen suci umat Islam itu tidak dapat dilihatnya.

"Terlalu banyak pengalaman berharga yang saya belajar sepanjang di Tanah Suci. Saya banyak belajar erti sabar dan pasrah kepada Allah.

Malah saya juga mengenal erti toleransi dan sentiasa berfikiran positif. Ketika sampai di Indonesia, saya sedar hidup ini harus dilalui dengan penuh rasa syukur dan ikhlas kerana Allah," katanya.

Masih terimbas di pandangan matanya, panorama yang menyentuh perasaan apabila melihat jutaan jemaah haji berjalan beramai-ramai untuk mengabdikan diri kepada Allah.

"Mereka melakukannya semata-semata untuk mencari keredaan Allah. Terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan namun mereka semua ikhlas dan reda. Saya juga diuji apabila hampir tergelincir ketika melakukan lontaran. Alhamdulillah tiada kemalangan berlaku. Apatah lagi ketika itu saya juga harus melindungi ibu yang turut menunaikan haji bersama," katanya.

Impak pemergian ke Tanah Suci turut membawa perubahan dalam diri Giring, terutama pada penampilannya. Giring berkata, dia sering menggunakan pakaian rapi dan bersih untuk memudahkan dirinya beribadat tanpa ragu.

Bahagia nikah janda

PERNIKAHAN dilalui bersama janda anak satu, Cynthia Riza pada akhir tahun lalu membuahkan kebahagiaan berganda dengan kelahiran Aisyah, sembilan bulan lalu selain ditemani Zidane, anak hasil perkahwinan terdahulu Cynthia. Umpama menikmati bulan madu tidak berpenghujung, Giring dan isteri laluinya dengan penuh kebahagiaan terutama ketika menguruskan anak.

Mereka tidak pernah membezakan kasih antara dua cahaya mata itu, malah Zidane dan Aisyah diberi perhatian sama rata supaya tidak timbul perasaan cemburu di hati masing-masing.

"Saya tidak pernah membatasi pergerakan Zidane. Biarlah dia membesar seperti anak kecil lain. Saya juga tidak sabar menanti Aisyah dan berjalan. Menanti momen itu cukup menyeronokkan. Saya dan Cynthia sering berusaha menggembirakan hati anak-anak. Kami cuba untuk tidak membangkitkan perasaan cemburu dalam diri mereka. Kalau saya mendukung Aisyah, Cynthia pula akan mengendong Zidane. Kami mahu keluarga kecil ini tumbuh menjadi sebuah institusi bahagia," katanya.

Lebih setahun hidup bersama, Giring bersyukur kerana Cynthia tidak pernah mengongkong pergerakan kariernya. Apa juga masalah, diselesaikan menerusi komunikasi. Selama berpacaran hingga bergelar suami isteri, tidak pernah mereka berdebat.

"Dia bertanggungjawab, selesai kerja akan terus pulang ke rumah. Jarang dia berpeleseran dan mungkin itu antara faktor yang membuat rumah tangga kami sentiasa harmoni," kata Cynthia.

Masa berkualiti akui Giring harus diutamakan kerana kesibukan persembahan di luar daerah menyebabkan mereka jarang dapat bersama.

"Disebabkan itu, ada yang berasa aneh kerana hubungan kami seperti pasangan berpacaran. Suasana romantis itu harus terus disuntik untuk mengeratkan kebahagiaan suami isteri," kata Giring sambil mengakui meskipun sibuk dan kerap makan di luar, padat, dia pasti mencari ruang menjamah air tangan Cynthia.

Full content generated by Get Full RSS.

Mesti Tonton: Misteri bilik kosong bawah rumah

Posted: 04 Nov 2011 04:35 PM PDT

Hip

Filem: Don't Be Afraid of the Dark
Pengarah: Troy Nixey
Pelakon: Guy Pearce, Katie Holmes, Bailee Madison Genre: Thriller/Seram Pengedar: United International Pictures Tayangan: Mulai 26 Oktober 2011
FILEM Don't Be Afraid of the Dark pada mulanya mungkin dianggap lebih kurang sama dengan beberapa filem seram lain yang pernah ditonton sebelum ini, sama ada tempatan mahupun import jika kita mengikuti cerita pada sinopsisnya. Ia mengetengahkan kisah sebuah keluarga yang berpindah ke rumah baru dan menyimpan misteri menakutkan.

Begitupun, sebaik saja menonton hasil arahan pertama Troy Nixey ini, ia nyata ada kelainannya. Filem ini diperkayakan oleh idea penulis bersamanya, Guillermo del Toro dengan elemen suspen dan seram menerusi kewujudan makhluk kerdil yang aneh merangkak di lantai bawah tanah.

Ia mengisahkan sejenis makhluk misteri yang begitu mengidamkan gigi seorang kanak-kanak bernama Sally, yang menjadi penghuni baru rumah agam tersohor di sebuah pekan kecil. Elemen seram mula dirasa sebaik saja penonton dibawa mengikuti hakikat kewujudan ruang kecil di bawah rumah berkenaan, yang dibina pemilik asal rumah itu.
Kewujudan ruang terbabit pada mulanya tidak disedari pemilik baru, Alex, bersama anaknya Sally serta kekasih Alex, Kim.

Di dalamnya, tersimpan makhluk yang kelihatan seperti makhluk kuno yang sering dilihat dalam kisah zaman dulu.

Bagaimanapun, kemampuan berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris serta boleh memujuk manusia menjadi teman bermain menimbulkan persoalan. Kekuatan filem ini banyak terletak pada aksi pelakon kanak-kanak, Bailee Madison yang mempunyai bakat besar untuk mencipta nama setanding pelakon muda, Dakota Fanning.

Begitu juga Guy Pearce yang sememangnya dikenali antara aktor yang bagus. Sayangnya, lakonannya dalam filem ini kurang menyerlah, dek babak membabitkan dirinya tidak terlalu banyak. Lakonan Guy Pearce tidak dimanfaatkan dengan berkesan untuk filem ini, maka uia tidak begitu menguji beliau untuk memberi kerja lakon yang lebih impak.

Begitu juga pengarah tidak terlalu menitik beratkan latar belakang kewujudan makhluk berkenaan, sebaliknya banyak menekankan babak bisikan demi bisikan sama, dalam suasana gelap dan ada ketikanya pada babak tertentu ia agak membosankan.

Pada ketika yang sama, suasana kegelapan sememangnya penting dalam filem bercorak seram seperti ini, namun kegelapan yang dipersembahkan termasuk pada siang hari agak tidak boleh diterima.

Setiap bilik atau ruang amatlah malap termasuk bilik Sally. Penonton mengandaikan teknik pencahayaan tidak diberi perhatian dalam rumah itu. Adalah logik jika bilik bawah tanah yang digambarkan suram dan malap, bertepatan dengan judul filem itu.

Unsur suspen terlalu diberi perhatian untuk menakut-nakutkan penonton sehingga ada masanya menjengkelkan dan dianggap membuang masa hingga menghilangkan keghairahan penonton. Watak Sally yang malang pula diulang-ulang mengalami trauma dek gangguan makhluk itu, namun tiada sesiapa mempercayainya.

Apapun, filem ini tetap menghiburkan untuk ditonton terutama mereka yang menyukai filem seram. Cuma, kesan seramnya itu bergantung tahap penerimaan penonton sendiri.

Full content generated by Get Full RSS.