Harian Metro: Rap |
‘Gangster’ menangis jadi Hariz Posted: 23 Nov 2011 08:05 AM PST BUKAN mudah untuk menggigit emosi penonton. Namun baik Lisa Surihani, Aaron Aziz mahupun Maya Karin Roelcke, setiap seorang mereka bakal meragut perasaan penonton menerusi Ombak Rindu - karya terbaru Osman Ali. Malah jika penonton mengandaikan pelakon kacak seperti Aaron Aziz sukar menitiskan air mata, persepsi itu harus ditolak ke tepi apabila menyaksikan filem melankolik itu mulai 1 Disember ini. Aaron yang pernah tampil dengan watak 'gangster' dalam filem Evolusi KL Drift dan KL Gangster jelas berjaya menunjukkan sisi lakon berbeza dalam filem drama berat itu. Bergandingan bersama dua aktres terbaik iaitu Lisa dan Maya sudah tentu keserasian antara dua pelakon ini menjadi sandaran penting.
Aaron menjadi sandaran terbaik selepas bergelar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2010 menerusi Evolusi KL Drift 2. Memberi tarikan, lakonan cemerlang dua pelakon utama itu turut dibantu pelakon handalan Bront Palarae, Aizah Mahzan, Normah Damanhuri dan Zaidi Omar. Nyata mereka menjadikan Ombak Rindu sebuah karya yang sarat dengan lakonan yang cemerlang dan meninggalkan impak. Bagi Aaron, dia akui pengalaman melakonkan watak Hariz iaitu anak Datuk Sufiah lakonan Azizah Mahzan suatu mencabar dirinya sebagai pelakon. Lebih sekadar menghayati karakter lelaki romantik mencintai dua wanita, Izzah (Maya) dan Mila (Lisa), Aaron berkongsi penghayatan cinta mendalam terhadap gadis yang jujur pada dirinya. Mengikut plot cerita ini, Hariz bertemu Izzah selepas wanita itu dijual bapa saudaranya. Izzah diselamatkan Hariz sebelum mereka berkahwin secara rahsia tanpa pengetahuan kekasihnya, Mila dan ibunya. "Saya tidak membaca novel ini kerana saya tidak suka apabila membacanya, ia mempengaruhi lakonan. Ini novel kelima yang saya lakonkan dan saya percaya ada perubahan dilakukan pengarah untuk menterjemah cerita itu lebih menarik. "Sebagai pelakon, saya tidak mahu keliru dan mencampur aduk karakter dalam novel dengan lakonan saya dalam filem ini. Saya berlakon mengikut skrip dan lokasi juga memainkan peranan penting dalam mencetuskan mood. "Apa yang mencabar adalah menghidupkan sesuatu adegan agar sampai pada penonton seperti mana yang digambarkan peminat novel ini. "Tidak ketinggalan, aspek penyampaian dan sinematografi banyak membantu. "Memang filem ini menonjolkan saya banyak menangis dan saya tidak tahu mengapa, mungkin kerana terlalu taksub dengan watak yang dilakonkan. "Bagi saya, filem ini suatu yang segar kerana selalu peminat melihat watak antagonis pada diri saya sendiri," kata Aaron ketika tayangan previu Ombak Rindu diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Maya pula memberi kelainan watak imej bertudung merujuk gadis kampung sebagai Izzah, berpandangan positif terhadap lakonannya kali ini. Dia sangat menghormati ketika diberi kepercayaan membawa watak itu selepas membaca novel itu tujuh tahun lalu. "Saya suka watak Izzah dan jatuh cinta terhadap watak Hariz. Apabila mendapat peluang berlakon filem ini, saya rasa ia suatu menyeronokkan apatah lagi melalui pengalaman menjalani penggambaran selama tiga minggu di Langkawi termasuk seminggu di Cameron Highlands. "Saya suka cerita ini mungkin kerana saya berjiwa romantik. Saya suka apabila perasaan Izzah dan Hariz yang sangat mencintai satu sama lain tetapi sukar untuk nyatakan. "Apa yang dilalui ketika penggambaran suatu yang mencabar di samping pengarah hebat dan setiap pelakon berupaya memberikan lakonan yang mantap," katanya yang pernah bekerjasama dengan Osman menerusi Anak Halal dan Cun. Pengalaman mencabar juga dirasakan Lisa melakonkan watak Mila yang teruja berlakon di bawah arahan Osman. Mendapat latihan bersama Osman dan pelakon berpengalaman, Ellie Suriati, Lisa berpandangan watak kali ini memberi kelainan pada penampilannya. "Saya sendiri perlu baca novel ini untuk memahami karakter Mila. Selalunya, setiap filem mempunyai watak baik dan jahat tetapi Mila bukan jahat sebaliknya mempunyai sisi putih dan hitam. "Bagi saya, melakonkan watak ini sebagai satu proses yang menarik dan saya berterima kasih pada Osman atas peluang yang diberikan. Malah, bekerjasama dengan pelakon lain banyak membantu dalam menyampaikan lakonan itu berkesan," katanya. Cabaran memberikan lakonan berkesan dikongsi Osman yang bertanggungjawab menterjemah novel asal diadaptasi ke layar perak. Sangat menghargai peluang diberikan produser, Sharad Sharan dari produksi Tarantella Pictures, peluang yang ditawarkan dianggap sangat berharga. "Sudah lama saya impikan mahu mengarah filem yang diadaptasi novel tetapi belum dapat dan jarang diperolehi. Selepas ditawarkan projek ini, saya menghubungi penulis sebenar untuk berkongsi rasa dan saya fikir lebih selesa jika mendapat restunya kerana itu lebih bermakna. "Skrip asal ditulis Arman Tono tetapi saya mengolah agar memenuhi budaya negara ini. Ikut skrip asal banyak watak yang diceritakan tetapi ia diringkaskan dalam filem. "Seperti watak Izzah, saya gambarkan dia dengan karakter bertudung yang sesuai sebagai gadis kampung. Begitu juga, banyak latihan lakon dijalankan kerana pelakon harus bersedia berdepan persepsi peminat novel ini. "Apabila menangani skrip yang bukan karya saya, perkara pertama harus saya lakukan adalah mencintai cerita itu sendiri dan paling penting ia sebati dengan jiwa saya," katanya. Kata Osman, olahan pada skrip asal penting yang disesuaikan dengan penonton tempatan. Malah, struktur asal plot cerita ini dikekalkan termasuk watak utamanya manakala beberapa adegan ditambah seperti lokasi di sawah padi. Di sebalik debaran menantikan tayangan filem ini bermula 1 Disember, penulis novelnya Fauziah Ashaari meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap hasil filem ini. "Saya tidak berpuas hati apabila melihat skrip ini ada campur tangan orang lain. Jika pembaca menghabiskan masa empat hingga lima jam membaca novel, filem pula hanya dua jam dan sub plot dipendekkan. "Saya berharap mudah-mudahan karya ini menjadi filem terbaik dan saya tidak berhak menghakimi lakonan dalam filem ini. "Apa yang saya harapkan sekiranya sesebuah novel itu mahu diadaptasi kepada filem, produser harus ringan mulut dan melantik penulis novel sebagai penasihat bersama," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 23 Nov 2011 07:56 AM PST DALAM tempoh lima hari tayangan bermula 17 November lalu, filem Aku Bukan Tomboy arahan Syamsul Yusof berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1.6 juta. Biarpun, angkanya tidak sebesar hasil kutipan filem terdahulu tetapi ia masih di tahap sederhana. Penerbit filem Skop Production Sdn Bhd (Skop), Datuk Yusof Haslam berkata, jumlah kutipan sederhana itu nyata tidak mengecewakannya. Menurutnya, penerimaan penonton pada genre filem romantik komedi di negara ini agak berkurangan lagi.
"Bukan senang genre ini (romantik komedi) diterima penonton kerana tidak banyak filem yang berjaya di pawagam. Justeru, saya bersyukur dengan kutipan sederhana ini memandangkan ia juga adalah percubaan pertama Syamsul dalam genre lain. "Penonton sebelum ini mungkin sinonim dengan karya Syamsul membabitkan filem aksi atau pun seram yang pernah dihasilkannya. Namun, jika ingin menjadi pengarah yang berjaya semestinya Syamsul tidak boleh tertumpu pada satu-satu genre saja.
Kata Yusof, semua itu rezeki yang ditentukan Tuhan. Apa yang pasti, dua filem Syamsul iaitu Khurafat dan KL Gangster tahun ini cukup berbaloi buat Skop kerana mencatat kutipan keseluruhan RM20 juta. Jadi, ditambah Aku Bukan Tomboy , kemungkinan RM23 juta. "Bagaimanapun, pada saya filem ini tetap menghiburkan. Malah, saya juga yakin dengan kutipan sederhana ini turut tidak mematahkan semangat Syamsul untuk terus menghasilkan karya bergenre romantik komedi. Syamsul tidak serik untuk mencuba lagi. "Selain itu, saya juga tidak melihat faktor kutipan ini dipengaruhi persaingan penayangan filem dari luar negara mahu pun tempoh singkat selama seminggu oleh skim wajib tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di pawagam," katanya. Yusof berkata, kejayaan filem di pawagam bergantung kepada penerimaan baik penonton. Oleh itu, dalam soal ini berjaya atau tidak sesuatu karya itu semuanya kerana penonton. Apapun, filem tempatan kini sudah memiliki kelompok penonton tersendiri. Sementara itu, Syamsul berkata, seperti bapanya, dia juga tidak sedikit pun kecewa dengan jumlah kutipan dicatatkan filem Aku Bukan Tomboy. Akuinya, dia melihat filem itu tetap berjaya kerana ia pengalaman pertama menghasilkan genre romantik komedi. "Saya menyimpan keyakinan filem ini berpeluang mencatat kutipan sehingga RM3 juta. Bahkan, saya sentiasa berpandangan optimis pada karya tempatan yang kini semakin berkembang dan diterima baik penonton. Asalkan jalan ceritanya kuat. "Pendapat berkaitan tarikh tayangan singkat atau penayangan pada cuti sekolah sekarang, bukan persoalannya kerana semua itu bersandarkan penonton. Saya akan terus cuba menghasilkan karya komedi dan takkan sesekali berputus asa," katanya. Syamsul berkata, sekalipun dia bakal memulakan penggambaran KL Gangster 2 pada Disember ini, tetapi dia turut memaklumkan akan muncul dengan filem komedi penuh, KL Tak Gangster sekitar Februari 2012. Kemungkinan filem ini dibintangi Johan Raja Lawak. Sehubungan itu, Aku Bukan Tomboy yang skripnya ditulis Yusof sendiri membariskan pelakon hebat tanah air selain Syamsul seperti Shaheizy Sam, Scha Al Yahya, Sheera Iskandar, Salina Saibi dan Zarina Zainoordin. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |