Adsense

Selasa, 22 November 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Eja bukti lakonannya hebat

Posted: 21 Nov 2011 09:26 AM PST

TUAH berganda buat Siti Shahriza atau Eja apabila berjaya memenangi dua anugerah dalam masa terdekat. Masih panas lagi dengan kemenangan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem Janin dalam Anugerah Skrin 2011 (ASK2011), baru-baru ini, Eja membuktikan taringnya apabila menggondol gelaran sama dalam Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24).

Kemenangan diraih pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu sekali gus membuktikan kehebatan pelakon sinonim dengan karakter emosi ini sukar dinafikan lagi. Ia juga menjadi tanda aras kerja keras pembabitannya selama 15 tahun dalam seni kini terbalas dan paling manis lagi dinilai barisan juri profesional dalam bidang seni.

"Dua anugerah yang diraih pada tahun ini membakar semangat untuk saya terus berlakon. Ini tahun yang sangat bertuah. Syukur mereka di luar sana dapat menilai saya. Saya sentiasa percaya kepada diri sendiri dengan apa yang dibuat dan terbukti ia berbaloi. Segala kesungguhan dan kerja keras terbukti dengan dua anugerah ini," katanya ditemui selepas majlis berakhir.

Melihatkan pada saingan yang datang dari Maya Karin (Cun!), Tiz Zaqyah (Nur Kasih The Movie), Lisa Surihani (Sekali Lagi) dan Liyana Jasmay (Senjakala), Eja sememangnya diramal mampu memenangi anugerah ini.


Dia yang kelihatan sebak ketika mengambil trofi di atas pentas, tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya. Sambil berterima kasih kepada juri, dia mengakui sudah lama menantikan anugerah ini.


"Saya juga berterima kasih kepada penulis skrip Janin, Wan Hasliza kerana menulis berdasarkan pemerhatian yang mendalam.

"Dia nampak saya dan buat skrip berdasarkan diri saya yang sebenar. Terima kasih juga buat rakan media yang beri sokongan tanpa mencampur aduk peribadi dan karier saya.

"Mereka yang di luar kenal saya sangat cerewet. Memang saya akan minta skrip dulu sebelum terima sesuatu tawaran. Itu pendirian saya dari dulu sampai sekarang. Ikutkan saya boleh buat banyak drama tapi saya sangat cerewet.
Sebagai artis saya tak boleh terima watak mana-mana saja.

"Saya akan pastikan setiap kerja saya akan ditunggu oleh penonton dan tinggalkan kesan. Dengan sedikit lakonan, saya dapat bantu mereka jalani kehidupan yang lebih baik menerusi mesej yang disampaikan," katanya.

Eja berkata, anugerah ini menambahkan beban buatnya untuk terus memberi lakonan terbaik. Walaupun pernah menang dalam anugerah lain sebelum ini, kemenangan dalam FFM24 membuatkan harapan peminat terhadapnya semakin tinggi.

"Kunci kejayaan saya sebenarnya ialah kerja keras yang dilakukan sejak 15 tahun dulu. Kejayaan ini bukan datang bergolek.

"Saya buat sebaik mungkin dengan meletakkan jiwa dan hati, selebihnya saya serahkan pada Allah," katanya yang bercadang meraikan peminat dan media dengan kenduri kesyukuran.

Melihatkan pada saingan yang datang dari Maya Karin (Cun!), Tiz Zaqyah (Nur Kasih The Movie), Lisa Surihani (Sekali Lagi) dan Liyana Jasmay (Senjakala), Eja sememangnya diramal memenangi anugerah ini.

Jika pada FFM23 lalu Shaheizy Sam menang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Evolusi KL Drift 2), FFM24 menyaksikan kredibilitinya meningkat lagi apabila menggondol gelaran Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Kongsi.

"Saya tak jangka akan menang kerana tak percaya dengan kerja saya dalam filem ini. Mungkin juri nampak saya dan pilih saya.

"Saya juga dah lama bersabar dalam lakonan, itulah sebabnya Tuhan nak bagi saya gembira. Bagi saya dalam lakonan tiada istilah terbaik. Adakala kita beri lebih dan adakala kurang," katanya merendah diri.

Dalam kategori ini, Sam disaing Syamsul Yusof (KL Gangster), Awie (Hantu Kak Limah Balik Rumah), Remy Ishak (Nur Kasih The Movie) dan Zahiril Adzim (Senjakala).

Mendedikasikan kemenangan buat peminat serta penyokongnya, Sam tidak berani bercakap mengenai kekuatan lakonannya. Apatah lagi sesetengah pihak mengatakan plot filem Kongsi agak kurang jelas.

"Skop penjurian sangat besar. Saya gembira dan bertuah jadi pilihan. Terima kasih kepada juri. Ikutkan setiap calon mempunyai material untuk jadi yang terbaik.

"Saya tak pandai nak menilai sesuatu kerja yang dibuat. Kemenangan ini ada sebab. Ini semua rezeki yang Tuhan nak beri dan dah susun.

"Kalau bercakap mengenai beban, seandainya tak dapat anugerah ini pun dari hari pertama berlakon lagi saya anggap satu beban.

"Setiap lakonan saya anggap satu kerja yang serius. Sewaktu dapat skrip Kongsi pun saya tak ingat mengenai anugerah, sebaliknya tanggungjawab untuk bawakan watak ini," katanya yang akan tampil dengan filem Songlap pada 15 Disember ini.

Tuah berpihak kepada Soffi Jikan apabila meraih gelaran Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem KL Gangster menewaskan saingan lain, Hasnol Rahmat (Mantra), Khir Rahman (Hikayat Merong Mahawangsa), Syed Asri (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan Salehuddin Abu Bakar (Hantu Bonceng).

"Saya banyak bawakan watak sengal dalam lakonan. Sebagai pelakon saya tak mahu sebarang perkara babitkan emosi.

"Maksudnya kalau kalah akan kecewa. Pada saya kemenangan atau kekalahan ada kebaikannya. Saya memang rajin ikut sesi promosi anjuran FFM kerana ini kali pertama saya dicalonkan.

"Saya datang pun atas dasar kerja berkumpulan bukannya individu. Saya suka bantu mana-mana pengarah. Saya bermula dengan filem Paloh dan kesabaran saya sangat berbaloi. Kita sering diuji dan saya selalu amalkan konsep sabar," katanya.

Kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menyaksikan kemenangan Faezah Elai (Cun!) menewaskan saingan dari Intan Ladyana (Bini-Biniku Gangster), Fauziah Datuk Ahmad Daud (...Dalam Botol), Sherry Merlis (Janin) dan Sabrina Ali (Khurafat). Bagaimanapun Faezah tidak hadir pada majlis ini.

Kemuncak FFM24 juga sekali lagi menyaksikan kehebatan Syamsul Yusof apabila mengulangi kejayaan FFM23 dengan meraih anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem KL Gangster. Malah filem ini turut merangkul lima lagi kategori dipertandingkan termasuk filem box-office.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Setiap pengkarya akan buktikan hasil kerja mereka kepada masyarakat. Namun bagi saya tiada istilah yang terbaik.
Cuma, saya anggap rezeki berpihak kepada saya. Kalau kemenangan ini hanya untuk menerima kritikan apa maknanya.

"Sebagai pengkarya, saya hanya buat yang terbaik kepada penonton, bukannya untuk mencari musuh dan bergaduh. Ketika menang gelaran ini tahun lalu, saya memang rasa terbeban. Kemenangan kali ini akan jadi pembakar semangat untuk terus berkarya," katanya.

FFM24 juga mengulangi kegemilangan KRU Studios apabila sekali lagi mengungguli gelaran Anugerah Filem Terbaik menerusi Hikayat Merong Mahawangsa. Secara keseluruhan, mereka pulang dengan lapan trofi utama.

"Saya sebenarnya 'blur' kerana sebaik habis penggambaran filem Vikingdom, terus ke sini. Saya agak terkejut kerana kami dah menang kategori ini tahun lalu.
Malah saya tak sangka langsung nak menang kerana saya buat HMM bukan untuk anugerah.

"Apabila menang saya rasa dihargai. Kalau tak menang pun saya anggap itu rezeki orang lain kerana pemilihan ini dibuat oleh juri dan kami tiada kena mengenai dengan mereka. Pada saya semuanya yang bertanding sangat hebat dan tak anggap mereka pesaing kerana semuanya mempunyai kekuatan tersendiri," jelas Yusry.

Kemuncak FFM24 yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima berjalan agak membosankan. Persembahan artis juga seakan lesu kecuali penampilan Salamiah Hassan dan Alyah yang menyampaikan lagu-lagu 'tribute' kepada Tan Sri Jins Shamsudin.

Kemunculan Anuar Zain menyampaikan lagu Sedetik lebih juga menerima sorakan gemuruh daripada penonton. Agak dikesalkan pemenang kategori utama langsung tidak diberikan peluang untuk berucap.

Sepatutnya mereka diberi ruang menyampaikan perasaan apabila memenangi kategori berprestij yang menjadi idaman setiap pelakon seperti mana dalam Academy Awards.

INFO:

PEMENANG KATEGORI UTAMA FFM-24

  • Pengarah Terbaik - Syamsul Yusof (KL Gangster)
  • Pelakon Lelaki Terbaik - Shaheizy Sam (Kongsi)
  • Pelakon Wanita Terbaik - Siti Shahriza (Janin)
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Soffi Jikan (KL Gangster)
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Faezah Elai (Cun!)
  • Filem Terbaik - Yusry Abdul Halim (Hikayat Merong Mahawangsa)
  • Skor Muzik Asal Terbaik - Edry Abdul Halim (Hikayat Merong Mahawangsa)
  • Kostum Terbaik - Rosada Abdul Hamid (Hikayat Merong Mahawangsa)
  • Penyunting Terbaik - Syamsul Yusof/ Hisham Jupri (KL Gangster)
  • Penataan Bunyi Terbaik - Hisham Jupri/ Rizal Ashreff (KL Gangster)
  • Cerita Asal Terbaik - Martias Mohd Ali (Libas)
  • Lakon Layar Terbaik - Syamsul Yusof (KL Gangster)
  • Sinematografi Terbaik - Mohd Noor Mohd Kassim (Hikayat Merong Mahawangsa)
  • Penataan Seni Terbaik - Anuar Paharudin/ Kek Ting Lam (Hikayat Merong Mahawangsa)
  • Filem Box-Office FFM24 dengan kutipan RM11.74 Juta (KL Gangster)

    ANUGERAH KHAS JURI

  • Libas (memaparkan elemen seni warisan Nusantara)
  • Janin (filem berbentuk seram mistik terbaik)
  • Pelakon Komedi Terbaik (Allahyarham Zami Ismail)
  • Bintang Wayang 2011 (Sidek Hussein).
  • Anugerah Pencapaian Gemilang (Datuk Michelle Yeoh)
  • Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Senator Tan Sri Datuk Jins Shamsudin)
  • Filem Pilihan Penonton Astro - Kongsi (MIG)
  • Full content generated by Get Full RSS.

    Pertarungan dunia bunian

    Posted: 21 Nov 2011 09:14 AM PST

    SANDARAN terbaru Tayangan Unggul Sdn Bhd, Misteri Jalan Lama, diyakini mampu menghiburkan penonton kerana ia sebuah karya yang berbeza bagi mengisi kemeriahan pawagam tempatan.

    Filem arahan Afdlin Shauki itu akan mula ditayangkan pada Khamis ini dengan menampilkan pelakon yang sudah lama menyepi, Que Haidar sebagai Ilya bersama Hans Isaac (Indra), Liyana Jasmay, Vanidah Imran, Marion Caunter, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Sabrina Hassan, Gambit dan Nasir Bilal Khan.

    Ditemui selepas tayangan perdana filem drama fantasi itu di Cineplex Damansara, The Curve, Khamis lalu, Afdlin, memegang watak Harak, menyifatkan filem ini adalah impian peribadi sejak zaman kanak-kanaknya.

    "Filem ini impian zaman kanak-kanak saya yang baru sekarang dapat dizahirkan.

    Banyak cabaran dan dugaan terpaksa saya dan kru lalui sepanjang menyiapkan filem ini selama 28 hari.

    "Saya turut terlantar selama beberapa hari di hospital akibat keracunan makanan tetapi lega apabila tugas diambil alih dengan baik oleh Hans.

    "Lagipun, bukan mudah membuat penggambaran dalam bulan Ramadan kerana umat Islam sedang berpuasa.

    "Filem Misteri Jalan Lama menggunakan sebanyak 20 hingga 30 peratus imej janaan komputer (CGI). Antaranya bagi tapak organik dan objek kapal di jalan raya.

    "Apapun saya berpuas hati apabila impian kanak-kanak saya itu tercapai menerusi kajian 'hearsay' serta kisah fantasi yang selalu dikaitkan dengan masyarakat Melayu," katanya.

    Sebelum ini Adflin pernah muncul sebagai Pengarah Terbaik Festival pada Filem Malaysia Ke-22 (FFM-22) menerusi Papadom.

    Hadir sama pada majlis terbabit adalah Eksekutif Produser Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai serta beberapa pelakon seperti Ahmad Tarmimi, Liyana, Sabrina dan Gambit. Manakala Que dan Vanidah tidak dapat hadir.

    Filem menelan belanja RM1.8 juta ini antara lain menampilkan suasana suram dan kelainan daripada segi pertarungan makhluk halus dalam dunia bunian.

    Kata Hans, peranan Que sebagai Ilya dalam filem ini turut memberikan impak yang berkesan.

    "Kehadiran Que menyuntik aura tersendiri bagi melakonkan wataknya dengan berkesan. Saya sendiri teruja melakonkan watak saya bersama Que dan kami melalui banyak pengalaman baru ketika penggambaran.

    "Apa dapat saya perkatakan Misteri Jalan Lama mampu menyajikan kelainan berbanding filem tempatan lain. Saya senang bekerja dengan pengarah yang kreatif dan berani mencuba.

    "Dari segi lakonan, kebelakangan ini saya memang sangat memilih untuk berlakon filem. Saya tidak kejar kuantiti sebaliknya memberi penekanan kepada kualiti mencari karakter yang berbeza," kata Hans yang juga seorang produser dan pengarah berbakat.

    Kata Gayatri pula, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan terhadap filem Misteri Jalan Lama.

    "Kami hanya mahu mengajak penonton datang ke panggung dan menikmati filem yang unik dan menghiburkan ini. Ia akan ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 24 November ini. Kami juga tidak meletakkan sebarang sasaran yakni berapa juta kutipan bagi filem ini," ujarnya.

    Sabrina yang tampil dalam beberapa babak berkata: "Walaupun diberi peluang berlakon hanya beberapa babak, ia cukup memberikan pengalaman yang hebat kepada saya.

    "Bagi saya Misteri Jalan Lama memberi peluang kepada saya berlakon dengan mereka yang sudah terbukti hebat seperti Que."

    Full content generated by Get Full RSS.