Harian Metro: Rap |
Posted: 10 Nov 2011 06:17 AM PST DIKELILINGI semua teman sebaya dan empat beradik lelaki yang sudah berkahwin, sedikit sebanyak memberi tekanan kepada bintang filem Berlari Ke Langit dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Siti Elizad Mohd Sharifudin yang masih hidup membujang pada usia penghujung 20-an. Secara peribadi, Siti Elizad atau lebih mesra disapa Ejad, 27, mengakui hidupnya juga tidak lengkap selagi belum berumah tangga. Akui Ejad, bukan terdesak untuk berkahwin cuma mengenangkan perkahwinan dituntut agama Islam dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. "Terus terang, saya memang sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal untuk melangkah ke alam rumah tangga. Saya percaya, pada usia sekarang memang layak dan tepat untuk bergelar isteri dan ibu.
"Saya masih ingat lagi, arwah ibu beritahu dia ingin melihat saya berkahwin dulu sebelum menutup mata. Namun, Allah lebih menyayanginya daripada saya sekeluarga. "Apabila ibu meninggal, hubungan saya dengan bapa kembali rapat dan kami sekeluarga sudah tinggal bersama di rumah. Kini, kesunyian terubat apabila adik lelaki saya mempunyai anak, Mikhail. Selain itu, saya ada kucing Parsi, Snowball yang mengisi kekosongan hati apabila sunyi," katanya. Sampai saat ini, kata Ejad, kenangan bersama arwah ibu tercinta sentiasa kekal dalam ingatannya. Katanya, walaupun ibu sudah tiada, dia sentiasa teringat dan cukup rindu kepadanya. Mungkin kerana hubungan mereka cukup rapat sehingga ke akhir hayatnya dulu. Bagi menghilangkan rindu terhadap arwah ibunya, Ejad menyimpan semua barang peribadi milik ibunya termasuk baju sebagai kenangan. "Sebelum ini, apa saja perkara terutama berkaitan peribadi semuanya saya kongsi dengan ibu. Hati saya memang kosong sejak ibu tiada. Hanya arwahlah tempat saya mengadu. Apabila arwah ibu tiada, kosongnya memang lain macam. Saya pun tak tahu macam mana nak beritahu kepada orang. "Maklumlah, saya anak perempuan tunggal dalam keluarga. Empat lagi adik beradik semuanya lelaki dan mereka semuanya sudah berkahwin serta ada keluarga sendiri. Takkanlah saya nak kongsi hal orang perempuan dengan adik beradik lelaki pula," katanya. Selepas 11 tahun putus cinta, ternyata Ejad belum bertemu pengganti bagi mengisi kekosongan hatinya. Kata Ejad, bukannya dia terlalu cerewet dalam mencari teman hidup, cuma belum bertemu lelaki yang tepat untuk dijadikan calon suami. "Saya pula jenis yang suka duduk rumah dan berkurung dalam bilik kalau tidak terbabit dengan penggambaran. Mungkin itu sebabnya saya susah nak jumpa teman lelaki istimewa. "Kriteria lelaki pilihan pula ialah yang tetap ada masa untuk saya walau sesibuk mana pun dia dengan urusan kerjanya. Saya memang suka lelaki yang romantik dan suka memanjakan saya. "Kalau tengah bercinta, saya memang suka kalau si dia telefon tanya sama ada saya sudah makan atau belum. Kalau tak pun, sekadar bertanya khabar pun cukuplah. "Ini mungkin sebab ibu yang besarkan kami dalam hubungan kekeluargaan yang cukup rapat. Tapi, kalau si dia rimas untuk melayan kerenah saya memang dia bukan kriteria calon suami saya," katanya. Ditanya sama ada dia boleh terima suami orang sebagai calon suami, Ejad mengakui dia tidak sanggup berkongsi kasih dengan orang lain. "Tapi jika sudah takdir saya berkahwin dengan suami orang, siapa yang mampu menolaknya? Saya memang kuat cemburu dan tidak boleh berkongsi hak dengan orang lain. Pada masa sama, saya cepat merajuk. Justeru, si dia pula mestilah pandai memujuk bagi memastikan hubungan kami berjalan lancar. "Kalau sudah jumpa calon suami yang sesuai, saya tak akan tunggu lama dan kami akan terus kahwin dalam tempoh terdekat juga," katanya. EJAD TAK SABAR KEMBALI KE LOKASI SELEPAS sebulan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst, kesihatan Ejad kembali pulih seperti sedia kala. Malah, pelakon tinggi lampai ini mengakui sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal untuk kembali ke lokasi penggambaran drama dan filem seperti dulu. Sayangnya, tidak banyak tawaran diterima anak didik pengarah berkaliber, Bade Azmi ini. Buat masa ini, Ejad juga lebih banyak berehat di rumah arwah ibunya sementara menanti tawaran berlakon. Mungkin ramai produser dan pengarah yang fikir Ejad masih sakit dan kesihatannya tidak mengizinkan untuk dia kembali berlakon. Justeru, pada sesi fotografi yang diatur bersama Rap di Balai Berita, baru-baru ini, Ejad memberitahu semua dia tidak sabar kembali berlakon sama seperti dulu. "Saya memang rindu untuk kembali berlakon. Bukannya hanya rindu untuk berlakon filem, tapi juga drama. Memang saya bermula dengan filem, tetapi ia bukan bermaksud tidak minat berlakon drama. "Saya fikir tidak salah pelakon filem berlakon drama dan tidak jatuh taraf pun kerana berlakon filem atau drama mempunyai cabaran dan kepuasan tersendiri," katanya. Kali terakhir, dia berlakon adalah untuk telefilem Jamilah I Love You untuk Astro. Manakala filem terakhir lakonannya ialah Cinta Nan Satu bergandingan dengan Zul Huzaimy. PROFIL NAMA PENUH: Siti Elizad Mohd Sharifudin |
‘Bagai digantung tidak bertali’ Posted: 10 Nov 2011 06:12 AM PST PERTIKAIAN antara Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan sebuah persatuan yang bernaung di bawahnya, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), belum mencapai jalan penyelesaian. Nampaknya isu membelenggu dua persatuan ini bukan diselesaikan dengan bijak, tetapi keadaan tambah kusut dengan masalah baru. Isu antara dua persatuan ini bermula apabila Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, mengeluarkan kenyataan berkaitan peletakan jawatan Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau Mat London serta memburuk-burukkan FDAM.
Jurey juga menyatakan hasratnya untuk menggugurkan mana-mana persatuan yang dianggap bermasalah. Jurey nampaknya mengotakan kata-katanya apabila Mat London dipecat sebagai AJK Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) dan tempatnya digantikan Nancie Foo dan Wendy Wong.
Pada Mesyuarat AJK FDAM pada 20 Mei pula, pihak berkenaan memutuskan sebulat suara menerima surat peletakan jawatan itu dan sebagai menghormati serta mengenang jasa Mat London, dia dilantik menjadi penasihat. Keputusan itu nyata memberikan perasaan kurang senang pada Gafim sehingga surat tunjuk sebab diberikan kepada FDAM agar menjelaskan kedudukan Mat London dalam persatuan itu. Hakikatnya Gafim selaku penganjur Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) turut dibantu FDAM bagi menyemarak acara berprestij itu. FDAM sendiri mengambil inisiatif menganjur acara Jelajah FFM24 di tiga lokasi sebelum ini - Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru. Acara itu dinaungi Mat London yang bertanggungjawab sebagai pengerusi promosi dan publisiti FFM24 berjaya mencapai matlamat atas sokongan kerajaan negeri di tiga lokasi terbabit walaupun tiada bajet diperuntukkan Gafim. AJK Promosi dan Publisiti FFM24, Omar Kalam, berkata, tindakan Gafim itu menimbulkan tanda tanya kepada ramai AJK dan anggota FDAM kerana tiada surat rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu. "Apabila Mat London dipecat daripada AJK Promosi dan Publisiti FFM24, ini bermakna secara tidak langsung AJK lain yang berada dalam unit itu juga digugurkan dan Jelajah FFM24 yang diadakan sebelum ini sebagai tidak sah. "Saya mendapat tahu penggantungan ini diputuskan Gafim pada mesyuarat mereka pada 27 Oktober lalu. Apabila tiada hitam putih, kedudukan FDAM sekarang seperti digantung tidak bertali. "Ketika Jelajah FFM24 diadakan, AJK tidak berasa sangsi dengan pendirian Gafim kerana ia disokong presidennya, Jurey Latiff Rosli yang bertindak selaku Pengerusi FFM24. "Namun, apabila terjadi isu ini AJK dan anggota FDAM tidak tahu apa pula kesalahan yang dilakukan hingga persatuan ini digantung," katanya. Omar yang bertindak membantu FDAM menjayakan Jelajah FFM24 kesal dengan tindakan Gafim berhubung perkara ini dan berpandangan keputusan sedemikian tidak seharusnya dibuat secara terburu-buru. "Apa yang menyedihkan, FDAM tidak diberi peluang berunding secara terhormat. Jurey ada hadir ketika Jelajah FFM24 di Ipoh tapi mungkin dia berkecil hati kerana tidak dapat duduk di barisan VIP dan menganggap Mat London melebihi dirinya hingga membuatkan keputusan itu diambil. "Buat masa ini, FDAM hanya tunggu surat daripada Gafim berhubung penggantungan ini. Bagi FDAM, ia tidak jadi masalah jika dikeluarkan dari Gafim kerana mampu berdiri sendiri. "Mengikut undang-undang persatuan, Gafim tidak boleh campur tangan dalam soal FDAM melantik Mat London sebagai penasihat. "Sekarang bukan saja kedudukan FDAM menjadi persoalan, tetapi bagaimana FFM24 boleh mempunyai dua AJK Promosi dan Publisiti? Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan bijak," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |