Berita Harian: Hip |
Posted: 10 Nov 2011 02:38 PM PST Hip MULA-mula mereka menyebut beberapa nama terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah untuk diundang khas dalam album mereka nanti. Apabila ditanya siapa sebenarnya yang hendak diundang, mereka menjawab, rahsia!.Selepas itu, bercerita pula pasal album terbaru. Sekali lagi mereka mahu berahsia apabila ditanya mengenai tajuk lagu dan nama komposer yang menyumbangkan lagu untuk mereka. Inilah gelagat anggota kumpulan Hujan yang diketuai Noh Ahmad tatkala bercakap mengenai kemunculan album single terbaru Hujan - Kotak Hati. Bersungguh-sungguh memperkatakan itu dan ini, tetapi apabila diminta menjelaskan sesuatu dengan lebih lanjut, dijawab dengan rahsia. Memerhatikan gelagat pemuzik muda yang sentiasa membawa idea baru ini pada Sidang Media Hujan - Kotak Hati di pejabat syarikat rakaman Warner Music, di Petaling Jaya, baru-baru ini, agak sedikit menghampakan apabila suasana temu bual bermain dengan tanda tanya dan teka-teki mengenai perancangan masa depan terbaru mereka.Mereka seperti acuh tak acuh apabila menjawab soalan. Mungkin ini adalah imej Hujan iaitu perangai yang tak berapa serius ketika berdepan dengan soalan daripada media. Kira-kira 20 minit pertama media disajikan dengan kelakuan vokalis kumpulan itu, Noh yang terkenal dengan sikapnya suka mengusik dan melambat-lambatkan sesi temu bual. Ada saja yang mahu dipusing ke sana-sini setiap kali disoal media mengenai album baru. Banyak main. Itu antara kata-kata yang terbit di bibir beberapa media melihatkan Noh asyik berteka-teki dengan soalan media sehingga majlis itu dilihat seperti pertandingan teka-teki . Ada saja yang mahu diusik Noh kepada media. Nasib baiklah ahli kumpulan itu, Dimas bijak mengembalikan suasana yang sengaja dikeruhkan Noh dengan beberapa jawapan mengenai album mereka. Malahan suasana di bilik mesyuarat itu juga agak menarik apabila media disajikan dengan bingkisan beberapa kotak kecil yang dibalut dengan cetakan gambar anggota Hujan dan kotak hati berwarna merah jambu yang dilekatkan di setiap sudut ruang bilik itu.
Terus mahu membongkar rahsia kehadiran Kotak Hati, Noh berkata, istimewanya album mereka kali ini ialah ditampilkan bersama DVD sebagai video yang merekodkan segala aktiviti Hujan sepanjang pembikinan album itu. Uniknya album ini apabila apa yang berlaku di belakang tabir dipaparkan supaya peminat lebih memahami apa yang berlaku sepanjang album itu diterbitkan. "Setakat ini, sudah banyak footage yang sudah diambil. Mungkin kita akan jual album bersama DVD tetapi secara terhad. Pastinya album baru ini akan menampilkan konsep berlainan daripada sebelum ini. "Jika album sebelum ini agak ringan, album baru ini lebih serius dan berat. Konsep yang akan ditampilkan antaranya adalah dedikasi kepada semangat perpaduan," katanya. Hujan yang cenderung melabelkan genre yang mereka bawakan sebagai rock alternatif ini mula memikat peminat muzik sebaik melahirkan lagu Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada yang kerap kali disiarkan di radio. Ditubuhkan pada 2006, Hujan dianggotai Noh sebagai vokalis, AG Coco (gitar), Acer (Dram) serta Dimas (keyboard), akan tampil dengan album terbaru yang segala-galanya masih menjadi rahsia dan mungkin ia satu kejutan kepada peminatnya dalam masa terdekat ini. Pernah membuat persembahan di United Kingdom melalui Jelajah Hujan ke UK dan persembahan di Oxford Bar (Manchester), Zanzibar (Liverpool), Sheffield serta Cardiff, mereka bercadang menjelajah beberapa negara seperti Filipina dan Indonesia. Noh memberitahu, mereka juga akan menampilkan penyanyi tempatan dan luar negara bagi mewarnai album terbaru mereka. "Album ini ada penampilan khas, tetapi nama mereka dirahsiakan. Ia memberikan kelainan dari segi suara yang kita tidak ada," katanya. Berbicara mengenai Kotak Hati, Noh memberitahu kemunculan lagu bergenre balada mempunyai susunan muzik yang ringkas, tenang dan bersahaja. "Ini single kami yang ketiga selepas Muda dan Inspektor Remos. Kotak Hati menceritakan kisah percintaan sepasang kekasih. Lagu dan lirik yang dihasilkan sendiri oleh saya dan ia menggambarkan keikhlasan pasangan kekasih ini bercinta. Mereka sanggup untuk berkongsi segala suka duka yang dihadapi bersama dan berharap untuk terus setia bersama," katanya. Selepas mengeluarkan album ke-3 mereka 'Lonely Soldier Boy'yang dilancarkan pada 25 November lalu, Noh berkata penggambaran video klip itu dijalankan di sebuah studio di Sungai Buloh. Ditanya kenapa video klip itu cukup ringkas, Noh dan rakan-rakan lain sepakat mengatakan ia sengaja dihasilkan begitu supaya lebih dekat di hati peminat. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |