Berita Harian: Hip |
Posted: 02 Nov 2011 07:42 AM PDT Hip Siti Saleha SEBAIK melangkah masuk ke dunia lakonan, gadis jelita ini memasang impian mahu memiliki sekurang-kurangnya satu pencapaian yang boleh dibanggakan sebelum kerjaya lakonannya melangkah ke angka lima tahun. Namun Siti Saleha Mohd Baharum, 21, pernah tertanya sendiri kenapa selepas dua tahun berlakon dan sudah membintangi puluhan drama, namanya masih kurang dikenali. Dia memujuk hati barangkali belum ketemu watak yang kuat, bagaimanapun memasuki tahun ketiga, apa yang diimpikan menjadi nyata.Drama rantaian Nora Elena tidak semena-mena melonjakkan nama gadis ini. Lakonan mantapnya dalam drama itu di sisi Aaron Aziz menjadi perhatian penonton. "Jika boleh dalam tempoh lima tahun, saya mahu berada dalam senarai 10 artis terbaik. Saya tidak mengharapkan apa-apa pada Anugerah Skrin. Saya hanya akan muncul sebagai penyampai bersama dengan Aaron Aziz jika tersenarai lima yang terbaik pada malam itu nanti sudah memadai buat saya," katanya yang baru mengetahui ada harga perlu dibayar apabila bergelar selebriti. Mungkin dua tahun sebelumnya, tiada orang mempedulikan kehadirannya. Tetapi sebaik namanya melonjak menerusi Nora Elena, Siti Saleha mula menjadi mangsa gosip apabila gambar aktiviti bersosial di samping teman dan keluarga tersebar meluas di internet.
"Memanglah ada juga timbul sedikit perasaan kecewa tapi pada masa sama, saya perlu terima kerana ia asam garam bergelar artis. Cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati. "Tetapi saya juga tidak suka berpura-pura, saya masih lagi keluar melepak dengan kawan-kawan tetapi sekarang saya lebih menjaga batas," katanya yang juga agak terbuka apabila ditanya mengenai teman lelaki. Selain gambarnya sedang bersosial tersebar di internet, gambar Saleha di samping jejaka yang juga teman lelakinya pernah disebarkan orang yang tidak bertanggungjawab. Ditanya kenapa dia begitu terbuka mendedahkan kekasih hatinya. Kata gadis ini penuh jujur, dia seorang yang sangat terbuka dan tidak tahu menipu sekiranya ada seseorang yang bersarang di hatinya. "Saya tidak kisah orang ingin mengetahui kisah cinta saya. Bagi saya mereka yang menyembunyikan pasangan masing-masing itu adalah perkara yang tidak patut. Kenapa kita hendak menipu kalau kita ikhlas dalam persahabatan. "Bagaimanapun gambar jejaka yang tersebar di internet itu sebenarnya bekas teman lelaki saya. Kami berpisah kerana dia tidak boleh menyesuaikan diri dengan dunia saya, tetapi kini hati saya sudah dimiliki. Saya menjalin kembali hubungan dengan teman lelaki yang lama, dia lebih 'sporting' mungkin sebab kakaknya sendiri berada dalam industri," kata Saleha yang mahu menumpukan perhatiannya pada filem tahun depan. Mengepak ke dunia filem SITI Saleha memang bercita-cita ingin mengembangkan sayap dalam filem tetapi mungkin rezeki masih belum berpihak padanya. Lagipun dengan keadaan dirinya yang masih lagi belajar, ia menyukarkan sedikit Saleha untuk memberikan terlalu banyak komitmen dalam satu masa. Tahun depan, enam buah filem sudah menanti. Bagaimanapun, hanya dua filem yang sudah mempunyai hitam putih akan memulakan penggambaran iaitu Pukul Habis terbitan Merpati Putih dan Pak Pong arahan Fauzi Nawawi. Walaupun bakal sibuk dengan filem, Saleha akan tetap menerima tawaran drama dan telefilem. Tetapi dia harus bijak membahagikan jadual memandangkan turut terikat dengan jadual kelas. Biarpun harinya dilingkari jadual yang padat, Saleha tidak mempunyai masalah untuk membahagikan jadualnya dengan teratur. Malah, rakan-rakannya turut pelik kerana dia mampu menyiapkan tugasan sekalipun sibuk dengan berlakon. "Walau apa pun yang terjadi, saya akan tetap menghabiskan lagi baki pengajian yang cuma tinggal setahun. Selepas tamat pengajian pada penghujung tahun depan, dapatlah saya menumpukan perhatian secara serius pada bidang lakonan. "Saya berhasrat untuk lanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah tetapi mungkin bukan dalam waktu terdekat. Kalau boleh saya ingin menyambung pengajian di luar negara untuk menimba pengalaman berbeza," kata penuntut dalam bidang Diploma Komunikasi Media ini. |
Posted: 02 Nov 2011 07:39 AM PDT Hip Charice UMPAMA kisah dongeng yang bermula dengan penderitaan dan berakhir dengan kebahagiaan hakiki, begitulah juga diibaratkan mengenai perjalanan seni penyanyi dari Filipina, Charmaine Clarice Relucio Pempengco, atau lebih dikenali dengan nama komersilnya, Charice. Hanya kerana penampilan fizikalnya tidak seperti penyanyi lain, gadis berusia 19 tahun ini pernah dinafikan haknya apabila juri sebuah pertandingan nyanyian yang disertai menyingkirkan dirinya pada peringkat awal. Hati mana yang tidak terguris apabila bakat serta usaha yang dicurahkan itu hanya dipandang sebelah mata. Meskipun ketika di pentas pertandingan berkenaan vokalnya memukau penonton dan tarian yang dipamerkannya cukup hebat, namun semua itu bagaikan tiada erti apabila juri sepakat menyingkirkannya atas alasan yang cukup prejudis. Namun, pengalaman perit itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengejar impian sebagai penghibur terkenal. Doa Charice akhirnya dijawab Tuhan dan peluang untuk menggapai impian itu terbuka luas apabila dia dipertemukan dengan komposer tersohor, David Foster, yang diakui cukup handal dalam mengesan bakat baru berpotensi untuk dijadikan bintang dalam sekelip mata."Bukan mudah untuk saya berjaya seperti hari ini. Ramai yang mahukan saya mengubah penampilan fizikal saya jika mahu menjadi artis terkenal. Hanya kerana wajah saya tidak secantik penyanyi lain, bakat yang saya ada tidak dihiraukan. Malah, saya pernah disingkirkan lebih awal dalam pertandingan nyanyian hanya kerana saya tidak mempunyai pakej seperti yang dimahukan. "Kalau diikutkan, memang saya kecewa dengan alasan itu kerana saya tahu kekuatan vokal saya serta saya boleh menari dengan baik. Tapi jika itu tanggapan mereka, saya tidak boleh buat apa-apa. Namun ia bukan halangan untuk saya terus mengejar impian menjadi penghibur berjaya. Mujurlah saya dipertemukan dengan Foster yang percaya dengan bakat saya miliki ini," katanya dalam temubual bersama sekumpulan wakil media sewaktu kunjungannya ke Malaysia bagi menjayakan konsert David Foster & Friends, yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, baru-baru ini. Sambil menyifatkan kisah hidupnya itu tidak ubah seperti Cinderella, janji Charice, dia tidak akan membiarkan perkara yang sama berulang kepada mana-mana bakat baru yang mempunyai impian sepertinya, namun terpaksa dipendamkan hanya kerana tidak "secantik" seperti yang dikehendaki dalam industri ini. "Saya mahu memberikan kembali apa yang sudah saya peroleh. Segala pengalaman yang saya kutip sepanjang bergelar anak seni akan saya curahkan pada mereka. Selain itu, saya juga ingin menyambung pengajian dalam bidang undang-undang. Ilmu juga amat penting dan tidak mustahil saya akan bergelar peguam selepas ini," ujarnya yang cukup ramah dan cepat mesra ini. Berlakon di sisi Salma Hayek BAKAT seni yang ada pada gadis bertubuh genit ini bukan saja menyerlah dalam bidang nyanyian atau tarian, tetapi juga dalam lakonan. Tentu ada yang perasan penampilan istimewanya dalam drama muzikal bersiri, Glee. Diajak bercerita mengenai pengalaman yang dilaluinya dalam drama itu, Charice mengakui dia cukup teruja membintangi siri popular itu. "Memang seronok dapat berlakon dalam drama bersiri itu. Pelakonnya semua baik-baik dan mesra melayani saya. Paling menyeronokkan apabila kami melepak bersama-sama selepas penggambaran. Kalau diberi peluang dan kebetulan saya tidak sibuk, saya pasti akan kembali berlakon dalam siri muzikal itu. "Selain itu, saya juga baru saja tamat penggambaran filem pertama yang berjudul Here Comes The Boom yang menyaksikan saya bergandingan dengan Salma Hayek dan Kevin James. Saya juga turut menyanyi dalam filem ini," katanya yang teringin membawakan watak hantu untuk filem seterusnya. Ketika yang sama, peminat pastinya memang mengetahui kelebihan yang ada pada penyanyi yang disifatkan pengacara tersohor, Oprah Winfrey, sebagai Gadis Paling Berbakat Dalam Dunia Ini. Vokalnya yang lantang berjaya membuatkan dirinya cukup popular di laman sosial YouTube. Disebabkan keunikan vokal itulah juga maka dia berjaya memikat hati Foster untuk dijadikan anak didiknya. Bagaimanapun, bagi Charice, mempunyai vokal yang lantang bukanlah segala-galanya. Apa yang dimahukan gadis yang mula dikenali menerusi single Pyramid ini ialah nyanyian yang mampu meresap jauh ke dalam lubuk hati peminat. Baginya, kelebihan itu pada penyanyi United Kingdom, iaitu Adele. "Saya amat mengagumi bakat yang ada pada Adele. Tanpa perlu menarik suara dalam nada tinggi, dia sudah mampu menawan hati ramai peminatnya. Saya suka dengan corak penyampaiannya yang bersahaja. Kekuatannya terletak pada melodi dan liriknya yang menyentuh perasaan," katanya yang kini muncul dengan album kedua berjudul Infinity. Bapa mati dibunuh SEMENTARA itu, dalam perkembangan terbaru, penyanyi ini dan keluarganya dilaporkan sangat sedih selepas insiden pembunuhan bapanya yang disifatkan sebagai tragedi. Ricky Pempengco, 40, ditikam Isnin lalu di Manila, sebelas bertembung dengan seorang lelaki mabuk dalam sebuah kedai runcit. AP melaporkan, dalam kenyataannya semalam, Charice ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat di seluruh dunia kerana memberikan sokongan moral kepadanya dalam keadaan yang sukar itu. Charice turut membatalkan baki persembahan siri jelajahnya dan kembali ke Filipina untuk bersama keluarga. Penyanyi ini dan bapanya hidup berasingan sejak beberapa tahun lalu, namun dia mengaku ingin berbaik semula dengan lelaki terbabit. Ketika ini, pihak polis masih memburu pembunuh Pempengco. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |