Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Nilai vokal ForteenEMPAT jejaka mempunyai minat yang sama iaitu seni dipertemukan oleh komposer terkenal Edry Abdul Halim yang merupakan trio kumpulan KRU untuk membentuk kumpulan vokal bernama Forteen. Forteen yang membawa maksud untuk remaja dianggotai oleh empat jejaka iaitu Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 22, (Ariz); Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 22, (One); Mohamad Arif Ameerais Azhar, 21, (Ameer) dan Muhammad Izzul Islam Mazlan, 21 (Izzue Islam). Mereka yang kini sedang hangat dengan lagu single pertama berjudul Berdua Bersatu bersyukur dengan penerimaan peminat terhadap buah tangan pertama mereka. "Tidak sangka, lagu Berdua Bersatu diterima ramai, kami semua bersyukur sangat kerana kami sedar bukan mudah untuk sesebuah disukai oleh segenap lapisan masyarakat. "Memang konsep untuk lagu-lagu kami adalah pop balada dan sebuah kumpulan vokal bukannya tarian, mungkin sebab itu ramai yang boleh layan lagu ini tidak kiralah remaja atau orang dewasa," tutur Ariz. Meskipun bernaung di bawah payung KRU, itu tidak bermakna imej serta lagu-lagu mereka seperti KRU sebaliknya mereka berusaha keras untuk tampil dengan imej dan identiti sendiri bagi membezakan mereka dengan kumpulan nyanyian yang pernah wujud di Malaysia. "Orang sering salah anggap kami kumpulan tarian, sebenarnya kami kumpulan yang mempertaruhkan vokal berharmoni bukannya tarian. "Lagu-lagu kami juga bergenre balada, malah imej kami kemas seperti berkemeja dan bersut . Jika ada orang ingin menyamakan kami dengan kumpulan Korea terpulang pada mereka. Bagi kami fesyen sangat subjektif," jawab One. Menceritakan perjalanan seni mereka, ujar One yang sebelum ini dikenali sebagai Rizu kerana penyertaannya dalam program realiti popular One In A Million (OIAM) musim ketiga, keempat-empat mereka mempunyai perjalanan seni masing-masing sebelum ini. FORTEEN terdiri daripada Ariz (kiri), Izzue, Ameer dan One. Sebaik tamat OIAM, One yang berasal dari Ipoh, Perak itu cuba untuk muncul sebagai penyanyi solo, bagaimanapun tuah tidak menyebelahinya. "Ramai yang mempertikaikan keputusan saya untuk menyertai Forteen kerana sebelum ini saya telah dikenali. Tetapi mereka tidak tahu, kerjaya saya sebagai penyanyi solo kurang memberangsangkan. "Jadi, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu tambahan kumpulan ini merupakan anak didik KRU, saya rasa keputusan yang saya ambil merupakan keputusan yang tepat," jawab One yang bersatu dengan Forteen pada Mac lalu. Tambahnya lagi, peluang yang diberikan KRU kepadanya tidak akan datang buat kali kedua kerana hasratnya hanyalah untuk mengembangkan bakat seni yang dimiliki. "Apa yang saya lihat sekarang ini sudah tidak ada kumpulan vokal seperti Forteen, jadi kemunculan kami pada waktu ini merupakan satu kelebihan dan diharap peminat akan menyokong kami," katanya. Ameer yang merupakan pelajar semester akhir di Food Institute Of Malaysia sebelum ini aktif dengan band indie manakala Izzue Islam pula sebelum ini aktif dalam bidang seni sebagai pelakon sejak dua tahun yang lalu. "Selepas habis sekolah saya berniaga burger di kampung, sebelum ke Kuala Lumpur dan kerja di kedai makan sebagai pembancuh air sebelum terjebak dalam bidang seni. Waktu itu saya hadir uji bakat drama Kampung Jaguh dan bermula dari situ saya bergiat aktif dalam lakonan," ujar Izzue. Jelas Izzue yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu lagi dia menjadi salah seorang ahli Forteen selepas dia menghadiri uji bakat. "Saya tidak sangka dapat bernaung dan mendapat tunjuk ajar daripada KRU kerana bagi saya nama mereka cukup besar dan pernah menghasilkan band-band pop yang popular," tuturnya yang pernah berlakon dalam drama Cita dan Cinta.
Seorang lagi ahli mereka, Ariz pula dipanggil uji bakat selepas dia memuat turun video nyanyiannya di laman sosial video popular You Tube. "Dalam kami berempat, saya yang paling tiada pengalaman dalam bidang seni, cuma saya memang minat menyanyi. Tidak sangka pula, daripada suka-suka kini nyanyian menjadi kerjaya yang serius buat saya," luah Ariz yang juga merupakan seorang jurugambar bebas. Walaupun mereka masih baharu dan hanya mempunyai sebuah lagu single yang telah dirakamkan, Forteen mempunyai perancangan jangka panjang untuk meneruskan kelangsungan mereka dalam industri seni. "Kalau boleh kami mahu nama Forteen dikenali ramai dan berjaya seperti mana kejayaan yang dikecapi oleh mentor kami iaitu KRU. "Melihat kepada sambutan, mungkin kami akan merakam lagu single yang kedua. Tetapi buat masa ini kami memberi tumpuan yang sepenuhnya untuk mempromosikan lagu Berdua Bersatu. "Kami sedar perjalanan masih panjang, tetapi untuk hari ini kami mengharapkan sokongan daripada peminat semua," luah One. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Kim Kibum nafi bedah mataKIM KIBUM SALAH seorang ahli Super Junior yang kini aktif berlakon, Kim Kibum menafikan yang dia telah menjalani pembedahan kosmetik untuk membesarkan matanya. Pada 13 Oktober lalu, Kim Kibum membuat kemunculan sulungnya dalam drama Deep-Rooted Tree sebagai seorang pelajar kacak bernama Park Pang Nyun. Beberapa syot jarak dekat pada wajahnya membuatkan peminat tertanya-tanya adakah dia melakukan pembedahan supaya alis matanya kelihatan berlapis. Antara komen yang diberikan peminatnya: "Matanya kelihatan pelik dan matanya kelihatan berbeza daripada sebelum ini." Selepas mendengar segala komen-komen mengenai matanya itu, Kim Kibum akhirnya memberikan respons akaun laman sosial Twitter miliknya dengan nada gurauan: "Ah… Pembedahan mendapatkan alis mata berlapis. Saya letak banyak solekan di wajah untuk menutup parut daripada pembedahan. Saya memang tidak melakukannya ." Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Kuasa veteran 59 tahunOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
WALAUPUN terlupa lirik dan juga melakukan kesilapan seperti bergumam (mumble) ketika menyampaikan lagu Kerana Mata, Baharuddin Bab, 59, tetap dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Kemenangan yang diraihnya itu sekali gus membuatkan lelaki berasal dari Selangor itu mengalahkan 11 peserta lain yang juga diperakui juri memiliki kehebatan tersendiri. Tergamam dan terkesima dengan kemenangannya itu, Baharuddin juga mengaku sedikit kecewa kerana melakukan kesilapan. Dia tidak mahu jika perumpamaan pepatah 'rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi' berlaku selepas kemenangannya itu. "Syukur Alhamdulillah. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Cuma saya fikir hanya dapat merebut hadiah sagu hati sahaja. "Memang saya akui ada terlupa lirik dan sebagainya tetapi mungkin juri menilai kemenangan saya ini dari sudut yang lain," katanya ketika ditemui sejurus sahaja pertandingan akhir Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011. Menyentuh mengenai pemilihan lagu Kerana Mata nyanyian asal R. Azmi, Baharuddin mengaku ia dipilih berdasarkan cabutan undian yang diberi oleh pihak pengurusan pertandingan. Mereka tidak berhak memilih lagu yang diinginkan tetapi boleh membuat sebarang pertukaran melalui persetujuan di antara peserta-peserta yang lain. "Pertandingan ini boleh dikatakan mencabar sebab kita tidak tahu lagu apa yang kita akan nyanyikan. Dua minggu sebelum pertandingan baru kami diminta untuk mencabut lagu. Alhamdulillah saya puas hati dengan lagu yang saya dapat. Dengan kemenangannya itu, Baharuddin berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta pakej penerbangan dan penginapan tiga hari dua malam untuk dua orang ke Pulau Langkawi, Kedah. BAHARUDDIN diapit oleh pemenang tempat ketiga, Mohd. Amaran (kiri) dan Mohd. Rizal di tempat kedua. Jika peserta paling veteran berjaya menggondol tempat pertama, naib juara pertandingan akhir Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 pula diraih oleh peserta paling muda iaitu Mohd. Rizal Ahmad, 37, yang mendendangkan lagu Berdendang Sayang daripada Ismail Ali Muda. Vokal dan lontaran suaranya yang menyerupai penyanyi asal lagu itu menyebabkan juri memilih Mohd. Rizal sebagai naib johan dan berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta penginapan tiga hari dua malam untuk dua orang ke Pulau Perhentian, Terengganu. Tempat ketiga pertandingan akhir Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 pula dimenangi oleh Mohd. Amaran Harun, 51, yang mendendangkan lagu Harapan Hanya Kenangan daripada M. Bakri. Mohd Amaran berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta penginapan tiga hari dua malam untuk dua orang ke Pulau Kapas, Terengganu. Sembilan peserta lain pula membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penghargaan. Mereka adalah Che Azmi Che Sulaiman; Norasmah Ibrahim; Asiah Dupah; Azizah Ngah; Nerhayati @ Norhayati Yamat; Rosmah Sengari @ Basar; Hazlina Wati Zainuddin; Solhi Tambi dan Habibi Bakri. Tiru penyanyi asal Menyentuh mengenai pemilihan Baharuddin sebagai juara biarpun dia melakukan kesilapan ketika menyanyi, menurut salah seorang juri pada malam itu, Datuk Dr. Johari Salleh, penilaian dibuat bukan sahaja berdasarkan lontaran suara tetapi juga dinilai dari sudut mutu suara yang menyerupai seakan-akan penyanyi asal selain keyakinan peserta menyampaikan lagu yang diberikan. "Sebagai juri memang kami sedar kesilapan yang dilakukan Baharuddin ketika menyampaikan lagu tetapi ia tidak menjejaskan lagu Kerana Mata yang disampaikannya. Dalam hal ini, memang kesemua peserta memiliki vokal yang bagus cuma pemilihan dibuat berdasarkan mutu suara yang dekat dengan penyanyi asal. "Dari segi pemarkahan memang juri sebulat suara memberi markah yang banyak kepada Baharuddin kerana suara, lontaran suara dan keyakinan yang ditunjukkannya," katanya. Selain Johari, pertandingan itu turut diadili oleh penyanyi Juliza Adlizan Abd Rafar dan diketuai oleh Bahagian Perkhidmatan Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd. Asnawi Mutaal. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |