Adsense

Khamis, 20 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Diugut bunuh

Posted: 19 Oct 2011 03:46 PM PDT

Hip

Selena Gomez berada dalam ketakutan diancam pesakit mental

PASTINYA saat ini penyanyi remaja yang juga kekasih Justin Bieber, Selena Gomez, berada dalam ketakutan. Sesiapa pun akan berasa sedemikian sekiranya menerima ugutan bunuh yang mengecutkan perut.

Jika sebelum ini Gomez yang turut dikenali sebagai pelakon itu pernah mendapat ancaman daripada peminat penyanyi remaja tersohor itu, setelah gambar mereka dalam suasana penuh intim ketika bercuti tersebar di internet, kali ini ugutan yang diterima lebih teruk lagi.

Menurut laman gosip terkenal, TMZ, seorang lelaki berusia 46 tahun dikenali sebagai Thomas Brodnicki memaklumkan kepada orang ramai yang Tuhan menyuruhnya membunuh artis remaja yang popular dengan siri Wizards of Waverly Place itu. Lelaki terbabit pula mempunyai sejarah sakit mental, jenayah mengendap dan melakukan ancaman. Tentunya ia kombinasi yang menakutkan sekali buat sesiapa saja. Berikutan ancaman berkenaan, Unit Pengurusan Ancaman, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) menangani kes itu dengan serius.

Gomez sendiri sudah pun ke mahkamah dan mendapatkan perintah supaya lelaki itu tidak mendekati dirinya kerana dia benar-benar berada dalam ketakutan.

Kisah ancaman berkenaan didedahkan peguam Gomez, Blair Berk, dalam beberapa dokumen ketika dia mendapatkan perintah mahkamah terbabit.

Brodnicki nampaknya pernah memberitahu pakar sakit jiwa yang merawatnya, selain daripada arahan yang kononnya diterima dari Tuhan, dia juga mengembara dari Chicago ke L.A. untuk bertemu dengan artis berusia 19 tahun itu, selain pernah berkunjung ke tempat kerja Gomez tidak kurang daripada tiga kali.
Pelakon Monte Carlo dan pasukan peguamnya turut menyatakan, selepas Brodnicki dikatakan membuat ancaman untuk mencederakan orang ramai, dia dicekup untuk menjalani ujian kewarasan. Ketika itulah lelaki terbabit membuat pengakuan berhubung ancaman terhadap Gomez.

Sewajarnya mereka mengambil langkah berhati-hati kerana ia bukan lagi ancaman daripada kanak-kanak yang begitu meminati Bieber, sebaliknya ancaman daripada pesakit mental dewasa.

Bieber belanja RM3 juta untuk kekasih?

SEMENTARA itu, saat diri Gomez berdepan ancaman menakutkan, muncul pula gosip mengatakan kononnya Bieber sudah pun membelanjakan kira-kira RM3 juta untuknya. Angka berkenaan dikatakan didedahkan sendiri oleh rakan penyanyi Never Say Never itu.

Menurut laman OMG!, beberapa rakan Bieber bimbang penyanyi berusia 17 tahun itu berbelanja besar daripada hasil pendapatannya untuk membuatkan gadis berkenaan melekat padanya. Maklum sajalah, Bieber dua tahun lebih muda daripada Gomez.
Jadi, dia perlu membuatkan teman wanitanya kagum dengan cara dia melayan wanita muda terbabit.

Begitupun ada yang beranggapan, sebenarnya rakan Bieber cemburu kerana penyanyi itu tidak menghabiskan duit untuk mereka, seperti mana dia mencurahkan Gomez dengan hadiah dan percutian mahal. Maka muncullah pelbagai spekulasi.

Menurut rakan penyanyi lelaki terbabit, Gomez ialah gadis impian Bieber.

"Dia benar-benar ingin membuatkan Gomez kagum padanya. Setiap kali mereka keluar, ia umpama sebuah produksi, daripada pengawal peribadi hinggalah ke jambangan bunga, jet peribadi kepada hidangan yang disediakan khas. Tambahan lagi, Bieber memberikan Selena hadiah yang mahal-mahal. Semua itu tentunya memerlukan perbelanjaan yang tinggi," kata rakannya itu.

Semua peminat sudah pun membaca mengenai sewaan bilik hotel yang mewah, majlis makan malam dan tontonan wayang secara tertutup di Staples Center di L.A., serta pengembaraan menggunakan jeti peribadi. Namun, bukankah itu caranya anak muda yang berpendapatan tinggi, seperti dua artis ini, berbelanja sejak dulu lagi?

Kecap populariti sendiri

SELENA sendiri bukanlah artis yang menumpang populariti Bieber, terutamanya sejak akhir-akhir ini. Selain dikenali menerusi hasil kerjanya sendiri, sama ada di TV mahupun filem, dia juga kini meletup bersama album terbaru Selena Gomez & The Scene berjudul When The Sun Goes Down.

Di Amerika saja, album single mereka terjual melebihi 5 juta unit, selain memiliki dua album berstatus emas, dua album yang memasuki carta top 10 pada minggu pertama jualan, dua single yang menjuarai carta Billboard Dance dan sebuah trofi Peoples Choice Award, sejak kemunculan mereka kira-kira dua tahun lalu.

Album terbaru Gomez sudah pun memasuki pasaran antarabangsa mulai Jun tahun ini.

Menerusi album berkenaan, Gomez dan rakan-rakannya mengecap populariti menerusi lagu Who Says, Bang Bang Bang dan Love You Like A Love Song. Ia turut menyaksikan Gomez bekerjasama dengan pencipta, penulis dan penerbit kelas A termasuk Toby Gad, E-man, Priscilla Renea, Tim James & Antonina Armato, Greg Kurstin, Midnight Beast/Stefan Abingdon dan ramai lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Liyana jadi tauke drama

Posted: 19 Oct 2011 03:36 PM PDT

Hip

Tudung Tweet menjadi projek pertama syarikat penerbitannya

DARIPADA pelakon kemudian menjadi penyanyi, Liyana Jasmay bergelar penerbit pula dengan projek pertamanya ialah menerbitkan telefilem untuk sebuah stesen TV.

Itulah perkembangan terbaru yang dilakukan oleh gadis berusia 23 tahun ini. Ketika nama sedang popular dan usia masih muda, pelakon ini sudah mengatur pelbagai perancangan bagi mengukuhkan kedudukannya dalam dunia hiburan pada masa akan datang.

Telefilem bertajuk Tudung Tweet ini diterbitkan syarikat produksi miliknya, Mermaid Studios sudah selesai menjalani penggambaran yang dimulakan 3 Oktober lalu. Bukan sekadar berlakon, tetapi Liyana turut membintangi telefilem ini dengan memegang watak sebagai Zubaidah.

Pada mulanya watak Zubaidah itu mahu diberikan kepada Juliana Evans. Tetapi selepas dibincang semula, saya sendiri memilih untuk memegang watak itu. Peranan bertudung bukan yang pertama pernah saya lakukan. Saya pernah tampil bertudung buat kali pertama dalam filem Khurafat.

Tudung Tweet turut menampilkan 20 pelakon dan kebanyakannya bakat baru seperti Mia Nasir, Afiq Muiz dan Izzue Islam. Memang menjadi sebahagian daripada matlamat Mermaid Studios untuk menggilap bakat baru dalam bidang lakonan, katanya.

Menurut Liyana, idea menghasilkan Tudung Tweet timbul selepas melayari laman Twitter dan Facebook yang semakin popular di kalangan masyarakat di seluruh dunia.
Skrip drama ini asalnya diilhamkan Thumb Shuhaimi dan saya. Kerja pengarahan oleh Ghaz Abu Bakar. Saya selesa bekerjasama dengan Ghaz atau Cikgu Ghaz.

Selain itu, saya juga pernah berlakon di bawah arahannya menerusi telefilem Ponti Anak Remaja dan Laila Sari. Dia juga mengarahkan klip video nyanyian saya iaitu Aku Tak Percaya Cinta dan Aku Jatuh Cinta dan Aku Tak Percaya Cinta. Cikgu Ghaz turut mengolah semula skrip yang saya dan Thumb hasilkan, katanya.

Sementara itu, Thumb Suhaimi berkata, idea menulis cerita telefilem itu dihasilkan daripada satu status Twitter yang dibacanya.

Lalu, ia dipanjangkan dengan memberitahu Liyana sendiri mengenai idea terbabit. Ternyata usaha pelakon ini tidak sia-sia kerana Liyana amat menyukainya.

Selain cerita Tudung Tweet, kami turut mempersembahkan beberapa lagi cerita lain kepada stesen TV. Bagaimanapun, cerita Tudung Tweet yang lebih menarik perhatian mereka.

Sebagai kawan seperjuangan, saya berbangga dapat sama-sama terbabit menjayakan projek bayi ini. Saya mula mengenalinya sejak dia berlakon filem Castello dan kami bertambah rapat ketika sama-sama berlakon dalam telefilem Ponti Anak Remaja, kata Thumb yang cukup dikenali menerusi drama Cili Padi sejak zaman kecil.

Bertanya mengenai apa yang cuba disampaikan di dalam Tudung Tweet, Thumb cuba membayangkan bagaimana gadis yang menjadi perhatian ramai dan nakal berubah menjadi baik selepas dijatuhkan serta kembali berpijak kepada bumi yang nyata.

Pendek kata cerita ini sebenarnya terjadi di dunia dan tak mustahil kita sendiri pernah berdepan dengan senario sedemikian. Mungkin ia bersifat sinis.

Namun lumrah hidup di dunia, kita sebagai manusia biasa tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan. Tiada siapa yang sempurna di muka bumi ini, katanya sambil memberitahu Twitter telefilem ini boleh diikuti di @tudungtweet.

Penggambaran Tudung Tweet dijalankan di sekitar Kuala Lumpur seperti di Wangsa Maju, Melawati dan lokasi utamanya di Asia E University.

Full content generated by Get Full RSS.