Adsense

Khamis, 20 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Berganding lagi dengan Zizan

Posted: 19 Oct 2011 07:31 AM PDT

PADA satu temu bual tidak lama dulu, dia pernah menyatakan belum bersedia untuk memikul watak berat memandangkan pengalaman lakonannya sendiri belum cukup mantap atau boleh dibanggakan.

Namun, kenyataan yang diungkapkan itu tidak bererti Juliana Sophie Johari Evans, 22, tak endah sekiranya graf lakonannya hanya statik di takuk sama.

Tentu saja dia mahukan peningkatan, cuma dia tidak mengharapkan proses perubahan berlaku secara drastik akan tetapi memadai seandainya berdikit-dikit.

Ujar gadis berbintang Taurus ini, sekian lama disogok peranan gadis kolej, dia mula teringin melakonkan watak yang mampu menyerlahkan kebolehan dirinya serta tidak disangka-sangka penonton.


"Mungkin pengarah gemar memberikan watak remaja kepada saya kerana mereka merasakan ia sesuai dengan usia serta karakter saya. Terus terang saya juga senang membawakan watak sebegini yang berkait rapat dengan kehidupan sebenar saya sebagai remaja kerana lebih mudah dijiwai.


"Cuma dari segi tawaran, saya sedar sebenarnya ramai pengarah tidak berani memberikan kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak berkarakter atau saya sifatkan sebagai mencabar.

"Apabila sering disogok peranan yang sama, maka timbul dakwaan kononnya lakonan saya 'stereotype' sedangkan saya bukan tidak berkemampuan memberikan hasil lakonan yang lebih baik, cuma saya tidak punya peluang untuk membuktikannya.

"Saya inginkan watak berbeza dan peluang ini saya dapat melalui filem Mail Lambung sedikit berbeza kerana Maria watak yang dibawakan ini memerlukan ketangkasan kerana saya difahamkan terdapat babak aksi yang harus saya tempuhi kelak," katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem arahan Ahmad Idham yang masih di peringkat praproduksi itu, penggambarannya akan dijalankan dalam masa terdekat.

Menerusi filem itu, Jue yang mencipta nama seawal usia 12 tahun sekali lagi akan bergandingan dengan pasangan gosipnya, Zizan Raja Lawak.

Jue membayangkan penggambaran pastinya menyeronokkan dan lebih mudah dengan kehadiran Zizan kerana mereka sememangnya rapat dan saling mengenali.

"Sebelum ini kami berdua berlakon sama dalam filem Hantu Bonceng, jadi tidak sukar untuk mencari keserasian. Seronok sebab kami sekepala. Cumanya, saya bimbang jika ada babak membabitkan kami berdua, saya akan ketawa.

"Zizan tidak perlu buka mulut, tengok wajah selambanya saja pecah perut. Malah, dia tidak akan membiarkan keadaan set penggambaran sunyi," katanya.

Mail Lambung yang diterjemahkan Idham melalui idea Zizan adalah filem kelima lakonan Jue selepas Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Hantu Bonceng.

Mengenai hubungannya dengan Zizan yang kini dikatakan bertambah serius bukan sekadar sahabat seperti didakwa, Jue mengatakan sudah lama tidak bertemu Zizan.

"Kalau ada yang masih bercakap mengenai hubungan saya dan Zizan, memang saya terkejut. Sebabnya, kami sudah lama tidak berjumpa. Kalau bertemu pun atas dasar kerja saja.

"Maklumlah, Zizan sekarang tersangat sibuk, begitu juga saya terikat dengan kuliah hampir setiap hari. Sebelum ini, kami berdua sudah jelaskan status hubungan kami tidak lebih daripada kawan rapat, namun orang masih lagi menganggap kami bercinta.

"Jawapan saya mudah. Terpulang apa orang nak kata, yang penting kami berdua tahu kebenarannya," katanya.

Selain Mail Lambung yang bakal dibintangi, Jue juga baru selesai menjalani penggambaran Tudung Tweet bersama Liyana Jasmay. Pada 14 hingga 17 Oktober lalu, pelajar jurusan Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway ini sempat melancong selama empat hari tiga malam di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Gadis kacukan Melayu-Inggeris itu antara selebriti bertuah apabila diundang memenuhi program AirAsia Travelogue yang bakal disiarkan menerusi TV3 tidak lama lagi.

Walaupun ramai yang menganggap Vietnam bukan destinasi pilihan, namun berbeza buat Juliana kerana negara itu juga punya keunikan dan sejarah gemilang yang tersendiri.

"Saya tidak pernah ke Vietnam dan ini adalah pengalaman pertama. Dulu ibu pernah bercerita mengenai keunikan negara itu. Oleh yang demikian, saat menerima tawaran daripada AirAsia ini, saya bersetuju untuk melihat sendiri kehidupan dan budaya mereka.

"Banyak tempat kami lawati antaranya 'Cu Chi Tunnel' yang menjadi kubu komunis sewaktu peperangan, Mekong River Cruise dan banyak lagi. Sewaktu di Cu Chi Tunnel, saya sempat memasuki terowong bawah tanah selain menembak menggunakan senapang AK47.

"Saya berasa seronok sepanjang percutian ini dan terima kasih kepada AirAsia kerana memberikan peluang ini kepada saya," katanya yang pernah melancong ke Eropah, Bangkok, Phuket, Jepun dan Korea.

Full content generated by Get Full RSS.

Tolong bayar!

Posted: 19 Oct 2011 07:23 AM PDT

PEMENTASAN teater tradisional, Rebab Berbisik sudah enam bulan berlalu. Walaupun ia sudah selesai, pendukung utama, Rosnan Rahman, berdepan situasi yang mencalar reputasinya.

Ini semua gara-gara pihak produksi pementasan itu, Jazuil Entertainment didakwa Rosnan gagal melunaskan bayaran yang dijanjikan kepada tiga pelakon makyung iaitu Dollah Daud, Tuan Kecik Tuan Yeh dan Aminah Hussin.

Akibatnya, Rosnan kini dipersalahkan kerana menjadi orang tengah yang mengatur urusan bayaran untuk tiga pelakon ini dengan produser Jay Jazuil.

Rosnan berkata kepada Harian Metro semalam, insiden yang berlaku membabitkan namanya itu sangat dikesali.


"Pementasan ini dibuat atas matlamat kebajikan dianjurkan dengan kerjasama IB (Istana Budaya) dan mendapat penajaan satu produk kecantikan.


"Pada peringkat awal, Jay menyatakan kepada saya yang dia mahu memberi bayaran kepada empat pelakon makyung ini termasuk Ibrahim Senik. Saya bertanya kepada dia, sama ada dia boleh bayar atau tidak kerana bimbang kalau kutipan tiket tidak memberangsangkan.

"Namun dia yakin boleh bayar sambil menyifatkan perkara itu adalah tanggungjawabnya. Pada persembahan akhir, acara penyerahan replika cek dibuat kepada empat pelakon ini yang tertera jumlah RM2,000 untuk setiap seorang.

"Buat masa ini, hanya Ibrahim mendapat bayaran, itupun selepas mendesak tapi tiga pelakon lain masih menunggu sampai sekarang.

"Saya banyak kali menghubungi dan menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) termasuk menerusi mesej di facebook kepada Jay tapi dia cuba mengelak dan memberi bermacam alasan," kata Rosnan.

Rebab Berbisik dipentaskan di Lambang Sari, IB, Kuala Lumpur selama empat hari dari 8 hingga 11 April lalu membabitkan lima persembahan.

Mengenakan harga tiket RM32 dan RM52 yang menyediakan 280 tempat duduk untuk satu persembahan, Rosnan menyifatkan pementasan ini sangat berjaya.

Rosnan yang juga berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berkata, sepatutnya perkara membabitkan bayaran artis ini tidak berlaku hingga berlanjutan dalam tempoh panjang. Dia yang hairan dengan sikap produser terbabit dan berharap bayaran dapat dijelaskan dengan segera.

"Dia patut bayar pada persembahan akhir malam itu tapi dia menyatakan mahu kira jumlah kutipan diterima dulu. Sebagai produser, dia tak boleh berdiam diri tetapi bertindak memberi penjelasan kepada pelakon terbabit.

"Cubalah faham nasib pelakon teater seperti Pak Dollah yang sakit tua dan mereka juga tidak ada kerja tetap. Pihak penaja ada memberi bayaran penajaan dan ia sudah boleh digunakan untuk melunaskan bayaran itu.

"Saya cuma tak mahu orang lain memutar belit cerita mengenai perkara ini sampaikan saya menjadi mangsa dan dituduh menipu. Sebolehnya, saya tidak mahu panjangkan perkara ini hingga perlu membuat laporan polis atau membawa ke mahkamah.

"Saya hanya mahu nama saya dibersihkan. Bagi saya, empat aktivis makyung ini adalah tempat saya bergantung dalam menimba ilmu dan saya perlukan mereka untuk melatih saya.

"Apa yang berlaku membuatkan saya berasa bersalah terhadap mereka dan saya sendiri tertekan. Saya memohon agar mereka faham ini bukan kesalahan saya dan pementasan ini juga bukan projek anjuran IB," katanya.

Rosnan yang sangat kecewa dengan insiden ini menyatakan dia sudah lama bersabar menantikan tindakan produser ini untuk menjelaskan bayaran yang dijanjikan.

"Kalau boleh saya mahu dahulukan duit sendiri untuk membayar pada mereka tapi ini saya berpegang pada janji. Saya bimbang kalau saya bantu, Jay akan buat perkara yang sama kepada orang lain. Saya tak mahu bermusuh dengan sesiapa dan lebih baik dia selesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.