Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Atas nama PiyuINI sebuah kisah cinta. Cinta seorang lelaki terhadap dunia seni yang memang sudah mengalir dalam pembuluh darah dan binaan impiannya daripada cilik lagi. Satriyo Yudi Wahono, mungkin khalayak tidak terbiasa nama itu. Atas nama sebuah tuah dan senang diingati, lelaki kelahiran Surabaya ini menggunakan nama mesra, Piyu. Satu nama yang membawa dia bertemu dan disenangi khalayak atas karya dan usahanya bergelar pengkarya dan penggerak seni. Dia pemain instrumen berdawai jenama Gibson Les Paul, juga tulang belakang sebuah grup terkenal bernama Padi. Otak sekali gus pencetak banyak lagu-lagu hit Padi. Tetapi kini, dia memilih hidup solo - tanpa Padi. Pilih karier solo Padi mengumumkan berehat seketika setelah album kelima, Tak Hanya Diam dilancarkan pada 2007, sebelum muncul dua buah tangan menebus rindu peminat iaitu single Terbakar Cemburu (2010) dan Tempat Terakhir (2011). Waktu rehat yang diumumkan ini menjadi keresahan para Sobatpadi (penggemar Padi), bimbang vakum itu membawa kepada pusara sebuah grup yang dianggap genius dan punya tempat tersendiri. Belum pupus kebimbangan itu, Piyu pula mengumumkan kini muncul tunggal sebagai pemuzik, penyanyi dan pengkarya. Juga salah seorang produser, pengarah klip video dan penggiat E-Motion Entertainment, sebuah label muzik. Itu antara jalan yang dirintisnya atas nama solo. Muncul menyanyikan single solo perdananya yang berjudul Sakit Hati, dia yang ditemui di Studio Upbeat, Sudirman, Jakarta baru-baru ini bercerita tentang jalan hidupnya yang terkini. "Saya mahu pindah daripada jalur yang sedia ada dan merintis karier solo. Tidak mahu hanya dilihat tergantung dengan grup Padi. Ini bukan sebuah perancangan yang direncanakan. Daripada dahulu saya ingin menjadi seperti Santana," ujarnya yang meletakkan status dirinya masih sebagai anggota grup, penghibur dan artis. "Idealisme saya ingin menjadi inspirasi buat anak-anak muda. Yang masih terus berkarya walau apa pun masalah di luar sana. Mencari oportuniti lain di celah-celah yang boleh saya masuk," senyumnya yang mempunyak koleksi 600 material dalam simpanannya. "Ini bukan sebuah eskapisme. Tujuan saya adalah mahu dilihat dan didengar sebagai Piyu. Saya adalah Piyu, hanya Piyu. Tidak pakai nama Padi. Saya adalah pekerja keras dan tidak hanya diam meratapi nasib," terangnya yang turut muncul dengan sebuah buku autobiografi yang dinamakan Piyu From The Inside. Lalu lagu Sakit Hati diperdengarkan umum. Sebuah single perdananya biarpun sebelum ini dia pernah berdendang lagu Harmony menerusi album Padi, Tak Hanya Diam. Lalu apa sebenarnya sakit yang dilalui hati seorang Piyu?
"Awalnya lagu ini sepatutnya dinyanyikan oleh dua orang penyanyi lain, Anji atau Once. Tetapi mereka memberitahu bahawa saya adalah orang yang paling sesuai menyanyikan lagu ini. Mungkin kerana peribadi saya. Kalau diberikan kepada Fadly (vokalis Padi) jadi tidak sesuai. Fadly orangnya jernih dan tidak pernah membuat orang sakit hati. "Sentuh tentang sakit hati, mungkin sahaja apa-apa. Daripada pasangan atau pekerjaan. Saya memang suka membiarkan khalayak terkecoh dengan tanggapan mereka," ketawanya meledak mengingatkan tebakan sakit hati khalayak terhadap dirinya. Lagu Sakit Hati ini dimasukkan ke dalam album bertajuk Piyu yang mengandungi 10 buah lagu dan sebuah instrumental. Sembilan buah lagu baharu lain dinyanyikan oleh beberapa penyanyi seperti Tantri (Kotak), Anji (mantan vokalis Drive), Inna Kamarie, Dandy (Mike's), Wafdah serta Erwin. Dalam menunggu waktu untuk dilancarkan, Piyu baru-baru ini sempat mengarah dan membikin klip Sakit Hati. Bercakap tentang lirik, boleh dikatakan majoriti penulisan lirik lagu dalam Padi dimonopoli Piyu. Malah bait-bait perkataannya dirasakan mengena kepada jiwa yang mendengar. Berisi dan menyentuh, Piyu bercerita proses kreatif kata-kata yang dilakukannya. "Selalunya bermula dengan melodi dan kemudian masuk ke dalam lirik. Seperti lagu Kasih Tak Sampai saya membayangkan diri saya ditinggalkan kekasih. Mungkin ada terselit pengalaman peribadi tetapi kemudian saya kembangkan. Saya mahu menjadi orang yang menyentuh dengan lagu. Lirik boleh dikatakan sebagai media imaginasi yang saya tumpahkan," ujarnya yang mahu khalayak tidak terlalu serius memikirkan soal lirik yang cuba disampaikan. 'Mendak' Padi Tidak sah bertemu Piyu kalau tidak bercerita tentang Padi, grup yang membikin rekod penjualan album mencecah 1.6 juta unit melalui album kedua yang berjudul Sesuatu Yang Tertunda (2001). Baru-baru ini Piyu sempat memberi pernyataan untuk tidak dikaitkan dengan Padi. "Daripada saya berstatus solo hingga sudah ada anak dua, setiap kali bangun pagi saya akan terfikirkan Padi. Padi adalah sebahagian daripada hidup saya. Malah Padi adalah rahim, tempat saya berkembang," ujarnya memula bicara tunduk membumi.
"Setiap kali bertemu umum atau Sobatpadi, mereka pasti bertanya tentang album terbaharu Padi. Jangan timpakan semua masalah dan beban kepada saya. Saya hanya manusia biasa yang berusaha untuk tidak ada masalah," ceritanya tentang 'beban' yang ditanggungnya dengan soalan yang dinantikan dengan sebuah jawapan. "Saat Yoyo ditangkap kerana polemik dadah, saya sedih malah kecewa kerana waktu itu dia paling rapat dengan saya. Saya selalu menyokong dia daripada belakang. Dan nanti waktu Yoyo sudah dilepaskan, kita (Padi) juga perlu mengambil masa untuk membangunkan keyakinan diri Yoyo, bukan terus boleh membikin album," ujarnya yang tahu selok-belok masalah Yoyo sang pemain dram yang ditangkap polis tahun lalu kerana masalah dadah. "Saya sangat rindu dengan Padi tetapi adilkah saya sering dibebankan dengan soalan album baharu? Pada saya, saya harus terus berkarya walau apa pun masalah yang melanda. Mahu terus segar dengan karya saya. Kalau ditanyakan hubungan saya dan Padi, kami seperti adik-beradik, pasti ada pergaduhan dan berbaik semula," ujarnya menjawab dengan jujur tetapi ada nilai tersirat. Meninggalkan teluk emosi Piyu terhadap pertanyaan khalayak terhadap Padi, penulis kemudian menanyakan soalan terakhir buat seorang pengkarya Indonesia ini. Apa yang diingini dalam hidupnya dan bagaimana kelak dia mahu diingati. "Saya mahu lebih lagi daripada apa yang saya lakukan sekarang. Mungkin karya saya bukan yang terbesar tetapi cukup kalau jadi masterpiece dalam perjalanan muzik Indonesia. Untuk waktu kini, saya mahu dikenang sebagai Piyu. Sumber inspirasi buat anak muda. Itu yang saya mahu," ujarnya mengakhiri perbualan yang saya kirakan penuh berisi dan menjawab persoalan. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Kristen Stewart disabotaj guru Posted: Kristen Stewart disabotaj guruKRISTEN STEWART mendakwa dia gagal cemerlang di sekolah angkara sikap gurunya. Bintang siri Twilight menceritakan pengalamannya sebagai seorang pelajar kepada sebuah majalah baru-baru ini. Walaupun dia merupakan pelakon yang diminati ramai tetapi para peminatnya pasti terkejut dengan pendedahannya itu mengenai sikap rakan dan guru sekolah terhadap dirinya. Disebabkan kesibukannya sebagai pelakon, projek yang melibatkan dirinya dengan rakan-rakan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Malah, dia juga tidak mendapat simpati daripada guru-gurunya. "Mereka tidak mahu melakukan kerja-kerja tambahan bersama-sama saya dan menyiapkan tugasan ketika saya sibuk dengan penggambaran. Disebabkan itu guru menggagalkan projek sekolah saya bukan satu tetapi kesemuanya. Saya berasa malu dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan mempunyai alasan untuk tidak pergi ke sekolah. Tetapi, ini yang berlaku," katanya. Kristen dan akhirnya mengikuti pelajaran di rumah kerana dia berasa tidak selesa lagi untuk ke sekolah. Mujurlah kehidupannya kini bertukar baik selepas dirinya menjadi salah seorang aktres popular Hollywood. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Kelainan Raja Lawak 6Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEMENJAK diperkenalkan kira-kira empat tahun yang lalu, program Raja Lawak Astro ternyata telah melahirkan begitu ramai pelawak-pelawak yang mewarnai dunia seni tanah air. Nama-nama seperti Yusry Edoo, Ahmad Nabil Ahmad, Kumpulan Sepah, Kumpulan Kecik dan Abd. Rahman Kassim atau Man adalah antara peserta yang pernah muncul juara sepanjang lima musim rancangan berkenaan disiarkan di saluran Astro Prima. Bagi meneruskan kesinambungan kejayaan rancangan yang mencungkil bakat-bakat pelawak pelapis tempatan, maka pihak Astro telah mengumumkan untuk menghasilkan program Raja Lawak untuk musim yang ke-6. Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, untuk musim yang terkini ini terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh pihak Astro. "Jika sebelum ini rancangan Raja Lawak disiarkan di saluran Astro Prima, tetapi bermula pada musim yang ke-6 rancangan ini akan disiarkan pula di saluran Astro Warna. "Tujuan peralihan saluran tayangan dibuat adalah berdasarkan kepada saluran Astro Warna sebagai sebuah saluran komedi dan objektif kami untuk membekalkan kandungan komedi yang berkualiti kepada pelanggan," ujarnya pada satu sidang akhbar baru-baru ini. Menurut Khairul, selain pertukaran saluran tayangan, pihak Astro turut membuat beberapa perubahan dari segi konsep dan format rancangan tersebut yang dilihat berbeza dengan musim-musim yang lalu. Ujarnya, bagi musim yang terbaharu ini antara pendekatan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan Cif Kecik dan Cif Besar bagi membimbing para peserta yang akan bersaing nanti. "Kesemua peserta yang terpilih nanti akan dibahagikan kepada tiga buah kumpulan. Selepas itu setiap kumpulan akan memiliki seorang Cif Kecik yang terdiri daripada pelawak tanah air. "Tanggungjawab Cif Kecik ini pula adalah sebagai penasihat untuk peserta di bawah bimbingan mereka sebelum mereka membuat persembahan mingguan. Pada masa yang sama, ketiga-tiga Cif Kecik dan para peserta akan dipantau pula oleh seorang Cif Besar," jelasnya. Menurutnya lagi, antara matlamat utama kepada pengenalan Cif Kecik dan Cif Besar ini supaya rancangan berkenaan dapat melahirkan pelawak yang memiliki bakat, lontaran idea serta pemikiran terbuka agar lawak yang dipersembahkan nanti memberi impak kepada penonton. "Menerusi pembaharuan yang dilakukan kami percaya melalui panduan serta bimbingan yang diberikan, potensi diri setiap peserta akan dapat dibentuk supaya persembahan yang ditampilkan nanti akan lebih berkualiti," ujarnya. DARI KIRI, Zizan, Khairul Anwar, Bob Azrai dan Johan pada sidang akhbar Raja Lawak 6 baru-baru ini. Raja Lawak Astro 6 akan bersiaran secara langsung setiap hari Jumaat bermula 13 Januari 2012 pada pukul 10 malam dan ketika ini sebanyak enam buah lokasi telah dipilih untuk sesi uji bakat. Antara lokasi uji bakat untuk rancangan tersebut adalah di Godown Ampitheater, Kuching Waterfront, Sarawak (8 & 9 Oktober), 1Borneo, Kota Kinabalu, Sabah (15 & 16 Oktober), Prangin Mall, Pulau Pinang (22 & 23 Oktober), Mega Mall, Kuantan, Pahang (29 & 30 Oktober), SACC Mall, Shah Alam, Selangor (12 & 13 November) dan Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor (19 & 20 November). Kekal Di sebalik beberapa perubahan yang telah dilakukan bagi memantapkan lagi rancangan tersebut, pihak Astro mengambil keputusan untuk terus mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara. Sudah empat musim mengacarakan rancangan Raja Lawak, Zizan yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan meluahkan rasa gembiranya apabila sekali lagi diberi kepercayaan untuk muncul sebagai pengacara bersama Johan. "Sememangnya saya sangat teruja untuk terus bersama dengan rancangan ini dan saya akan memastikan akan ada kelainan yang akan dibuat oleh saya dan Johan agar penonton akan rasa lebih terhibur. "Lagipun peranan pengacara dalam rancangan sebegini juga sangat penting kerana peserta yang bertanding pastinya tidak memiliki pengalaman dan tugas kami untuk membantu sekiranya mereka gugup ketika membuat persembahan nanti," ujarnya. Sementara itu, Johan pula menyifatkan beberapa pembaharuan yang dilakukan untuk musim yang terbaharu itu adalah sesuatu yang positif kepada para peserta yang akan bersaing. "Sudah tentu dengan adanya peranan Cif Kecik dan Cif Besar yang akan memberikan tunjuk ajar, berkongsi nasihat dan galakan motivasi akan dapat membantu para peserta membuat persembahan yang lebih mantap. "Sebagai seorang bekas peserta rancangan ini, saya berpendapat bimbingan daripada orang yang lebih berpengalaman sebenarnya adalah sangat penting dan para peserta harus menggunakan peluang ini untuk memperoleh seberapa banyak ilmu dan pengalaman yang dicurahkan nanti," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |