Adsense

Rabu, 5 Oktober 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Ekin dikuarantin tiga bulan

Posted:

Ekin dikuarantin tiga bulan

Ekin dikuarantin tiga bulan

PASANGAN bahagia Mawi dan Ekin berharap agar kandungan Ekin selamat sehingga ia dilahirkan kelak.


TIADA momen paling menggembirakan buat juara program realiti Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani dan isteri yang dinikahinya pada 20 Disember 2008, Nor'ashikin Rahmat atau Ekin apabila mereka kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata sulung.

Senyuman bahagia sentiasa meleret di bibir kedua-dua mereka ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Astro di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ramai yang menyapa wajah Ekin makin berseri dan badannya sedikit berisi.

Tidak kurang juga ada rakan-rakan artis yang tidak lokek memberikan petua buat Ekin supaya dia melalui kehamilan kali ini dengan selamat dan tenang.

Baik Mawi mahupun Ekin, kedua-dua mereka enggan terlalu kecoh mengenai kehamilan kali ketiga ini selepas melalui pengalaman keguguran kandungan sebanyak dua kali sebelum ini.

Justeru, bagi memastikan kesihatan Ekin dan kandungannya, Ekin telah dihantar untuk menetap bersama ibunya di Johor selama tiga bulan untuk dikuarantin sehingga kandungannya benar-benar kuat.

"Saya sudah ada dua pengalaman keguguran, jadi bila dapat tahu mengandung kali ketiga, bukan saya sahaja tetapi seluruh keluarga mengambil langkah berjaga-jaga. Saya tinggal bersama ibu di kampung selama tiga bulan kerana waktu itu kandungan masih belum kuat.

"Ibu saya juga tidak mahu ambil risiko, jika kandungan sebelum ini, saya jaga diri saya sendiri, ibu hanya datang pada hujung minggu sahaja.

"Namun kali ini, dia benar-benar jaga saya dan pastikan saya benar-benar sihat, sebelum raya baru saya kembali ke rumah di Bangi, Selangor dan ibu saya turut ikut tinggal bersama saya buat sementara waktu. Dia akan menjaga saya sehingga saya selamat bersalin," kata Ekin yang memberitahu Mawi berualang-alik setiap minggu antara Kuala Lumpur dan Johor sepanjang tempoh kurantin oleh ibunya itu.

Dua kali keguguran sebelum kandungan belum pun mencecah dua bulan, secara tidak langsung membuatkan Mawi dan Ekin fobia kerana bimbang perkara yang sama akan berulang. Kini, kandungannya sudah mencecah usia empat bulan dua minggu.

"Syukur, setakat hari ini semuanya sihat, harap-harap semuanya berjalan lancar sehingga saya bersalin kelak. Walaupun usia kandungan saya sudah boleh dikatakan memasuki fasa yang kuat, saya masih diberi layanan istimewa.

"Saya tidak melakukan sebarang kerja. Kerja saya hanya makan dan tidur, selebihnya Mawi dan pembantu rumah yang uruskan. Dia memang tidak bagi saya buat kerja atau banyak berjalan, kadang-kala saya terlupa yang saya mengandung, dia yang ingatkan saya supaya jangan terlalu aktif," tutur Ekin yang mengakui seronok apabila mendapat layanan istimewa.

Cerita Ekin lagi sambil Mawi setia duduk di sebelahnya, meskipun dia tidak mengalami sebarang alahan mahupun mengidam sebarang makanan istimewa, Mawi masih melayankan segala permintaannya tanpa banyak soal.

"Saya tidak ada mengidam, alahan pun tidak ada, perkara yang berubah adalah saya makan dua kali ganda, jadi berat badan pun bertambah.

"Orang kata kalau isteri tidak mengalami alahan, suami yang akan jadi galang gantinya, tetapi setakat ini Mawi juga makan dan kesihatannya juga seperti biasa.

"Sebenarnya, pada tiga bulan pertama kandungan, saya mengambil suntikan kuatkan rahim dan mengambil vitamin tambahan sebagai penjagaan bayi dalam kandungan, semuanya atas nasihat doktor," kata Ekin.

Apabila ditanya soal jantina, kedua-dua mereka memberitahu, mereka tidak kisah sama ada anak mereka lelaki atau perempuan, asalkan bayi itu sihat dan dan sempurna sudah memadai buat mereka berdua.

"Saya tidak kisah perempuan atau lelaki, janji sihat sudah okeylah. Tetapi nanti apabila kandungan sudah cukup untuk melakukan scan, saya akan melakukannya kerana saya tidak sukakan kejutan. Jadi, lebih baik saya tahu jantina awal supaya boleh melakukan persiapan," kata Ekin lagi.

Sungguhpun begitu teruja untuk menanti ahli keluarga baharu, tegas Mawi, setakat hari ini mereka belum melakukan sebarang persiapan untuk menyambut bayi. Bukan tidak mahu, tetapi mengikut petua orang tua-tua, tidak elok melakukan persiapan terlalu awal untuk bayi sulung.

"Saya ikut petua orang tua-tua yang mengatakan tidak elok kalau kita terlebih seronok dan tidak sabar buat persiapaan. Jadi, tunggulah kandungan mencecah usia tujuh atau lapan bulan, baru kami mula beli barang, sekarang memang tidak beli apa-apa lagi," luah Mawi.

Memilih untuk melahirkan anak di Johor, kata Ekin dan Mawi adalah lebih mudah di kampung halamannya kerana selepas itu dia akan bersedia untuk berpantang di bawah jagaan ibu Ekin sendiri.

"Belum tahu lagi mahu bersalin di mana, sebab kita bukan tahu tarikh sebenar kelahiran. Tetapi sekarang ini mengikut perbincangan, saya mungkin akan bersalin di Johor. Bukan apa, senang sebab boleh terus balik kampung untuk berpantang.

"Kalau di sini, perjalanan untuk balik kampung agak lama, kalau di kampung, jarak hospital dengan rumah tidak begitu jauh, jadi memudahkan semua perkara," balasnya yang mengakui telah naik berat badan sebanyak enam kilogram.

Album baharu Mawi

Meskipun sedang sibuk menjaga isterinya yang sedang hamil, Mawi yang sudah lama menyepi bakal muncul dengan lagu baharu kini sedang dalam proses mengumpul bahan-bahan untuk album terkininya.

Sambungnya, album baharunya itu nanti akan bergenre pop rock. Malah, dia telahpun meminta tiga buah lagu daripada komposer dan penyanyi M. Nasir serta sebuah lagu daripada seorang komposer baharu.

"Buat masa ini saya belum masuk studio lagi kerana sedang memilih lagu yang benar-benar sesuai untuk dijadikan single.

"Saya memilih untuk tampil dengan genre lagu pop rock tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan elemen nusantara yang sudah sebati dengan lagu-lagu saya.

"Jika tidak ada aral melintang mungkin bulan Disember depan, lagu single terbaharu itu akan berkumandang di radio," ujar Mawi.

Kurang publisiti, tidak bermakna Mawi semakin kurang popular. Katanya, jadual kerjanya masih penuh dan dia masih sibuk memenuhi undangan nyanyian.

Cuma kini, dia memperlahankan sedikit aktiviti seninya bagi memberi tumpuan sepenuhnya buat isteri tercinta yang sedang berbadan dua.

"Saya masih lagi menerima undangan nyanyian, saya juga sibuk dengan syarikat produksi saya sendiri. Buat masa terdekat ini, tidak ada sebarang projek yang akan berjalan, mungkin tahun depan syarikat produksi saya akan kembali sibuk," tuturnya.

Penaklukan 2 Raksasa

Posted:

Penaklukan 2 Raksasa

Penaklukan 2 Raksasa

Oleh MALIAH SURIP


RAMLI SARIP berjaya merealisasikan kegemilangan Konsert 2 Raksasa.


MALAM Sabtu lalu, di dada langit metropolitan Kuala Lumpur hampir tiada bintang. Namun jauh di tengah Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, di atas pentas, cahaya gemerlapan sudah cukup membuat seluruh isi stadium terang-benderang.

Ia juga bukan cahaya biasa-biasa, tetapi ia merupakan pancaran 'sinaran' dari 'dua butir bintang' terkenal tanah air, Sweet Charity dan Blues Gang.

Mereka sedang berkongsi pentas mengisi dahaga dan membangkit nostalgia 27 tahun lampau - melagukan untaian lagu malar segar mereka dalam konsert yang dinamakan Konsert 2 Raksasa.

Benar, saya tidak lahir dalam era kegemilangan dua buah band yang mengusung nuansa rock n roll dan blues ini. Lebih parah waktu album perdana Blues Gang yang dilahirkan pada tahun 1979, Any Time Any Day dan kelahiran album sulung Sweet Charity dengan menggunakan nama grup yang ditubuhkan pada tahun 1977 iaitu pada tahun 1979, saya belum wujud di dunia ini.

Lantas untuk mengaku diri sebagai penggemar tegar mereka adalah satu pembohongan besar, kecuali sama seperti kebanyakan orang seusia saya, lagu seperti Mak Siti, Khatulistiwa, Oh Mama Saya Mahu Kahwin atau Apo Nak Dikato milik Blues Gang dan Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah serta Batu dan Zakia juga Datang dan Pergi dari Sweet Charity adalah antara lagu hit mereka yang diketahui.

Justeru, apabila berpeluang menjadi salah seorang saksi generasi kini yang menonton konsert dua band yang memang begitu akrab dalam perjuangan seni mereka itu adalah satu momen yang mengujakan.


ITO masih berbisa degan gaya uniknya setiap kali menyanyi.


Sementelah, stadium pada malam itu dibanjiri lebih 8,000 penonton, yang hampir 90 peratus daripadanya adalah golongan pak cik-mak cik yang satu ketika dahulu menjadikan untaian karya dua band ini sebagai pengisi hiburan hati.

Tepat pukul 9 malam, Blues Gang yang cukup terkenal dengan nuansa tersendiri mereka, blues, menebarkan 'haruman' itu dengan persembahan yang tampak cukup menyeronokkan.

Setiap anggota band itu yang diketuai vokalisnya yang juga bermain harmonika Ito Mohd., Julian Mokhtar (gitar), Ghani Datuk Abu Talib (gitar kedua/keyboard), Jim Madasamy (bass/vokal) dan Shaik Karim (drum/vokal) begitu bersemangat dalam kembali mengimarahkan muzik mereka di atas pentas berskala konsert selepas sekian lama bubar dan bermain di kelab-kelab malam.

Selama lebih sejam, mereka menghiburkan peminat dengan hit-hit seperti Malaya Blues, Jumpo Kawan Lamo, Sakit, Sakit, Sakit, Ku Tetap Menanti, Damai dan Cinta oh Cinta yang mengembalikan nostalgia tersendiri kepada setiap yang hadir.

Malah untuk lagu-lagu seperti Oh Mama Saya Mahu Kahwin, Mak Siti dan tentulah Apo Nak Di kato, band yang mempunyai lapan buah album studio ini telah mengundang seisi stadium untuk berdendang dengan mereka.

Sementara pada lagu Khatulistiwa pula, Ito sempat menukar liriknya kepada 'oh orang kita, 1Malaysia' yang mendapat tepukan gemuruh daripada khalayak.

Usai Blues Gang meninggalkan pentas, Sweet Charity dengan figura yang cukup ikonik, Ramli Sarip tidak menunggu lama untuk membawa seisi stadium larut dengan hipnosis mereka.

Di atas pentas, tanpa perlu pengenalan, cukup dengan dentuman muzik yang padu berserta pencahayaan yang menarik, Ramli bersama 'pasukannya', 'berpesta' dengan peminatnya seluruh stadium dengan 22 buah lagu tanpa henti!

Dibuka dengan Sejuta Wajah, vokal serak basah Ramli sudah cukup membuat seluruh stadium bergema dengan sorakan dan iringan nyanyian.

Ia kemudian diikuti dengan lagu Kawan Ketawa Kawan Menangis serta lagu-lagu hit seperti Rock & Roll, Ribut, Tahun 2000, Penunggu, Terharu, Jangan Tunggu Lama-lama, Musibah, Batu dan Datang dan Pergi.


SAMBUTAN hangat daripada lebih 8,000 penonton menjadikan suasana persembahan konsert bertambah mengujakan.


Adalah satu kesalahan besar seandainya Sweet Charity tidak mendendangkan rangkaian hit mereka yang cukup luar biasa indah, Kamelia dan Teratai.

Bagaimanapun sebelum menghadiahkan dua hit tersebut secara langsung dengan permainan yang begitu impresif, Sweet Charity terlebih dahulu mendera peminatnya dengan meletakkan dua lagu berhantu tersebut di penghujung persembahan.

Hasilnya, ia telah menjadi encore atau penutup konsert yang begitu mengesankan.

Biar usia setiap anggota band tidak lagi muda, Blues Gang dan Sweet Charity tampil bersahaja dan menampakkan kematangan mereka menyembunyikan kelemahan masing-masing kerana faktor usia.

Lebih menarik apabila persembahan pada malam itu tidak pincang dan mereka berada dalam piawaian cemerlang untuk band otai yang sudah jarang benar untuk dilihat dalam sebuah konsert berskala besar.

Sesuatu yang terkesan juga adalah tentang lirik-lirik di dalam karya mereka. Ia bukan untaian kosong atau bercerita tentang soal picisan hati, tetapi menyentuh tentang sosial dan budaya yang setakat ini tidak banyak diambil berat oleh band-band generasi baharu yang lebih mementingkan soal kemajuan muzik sahaja.

Ternyata penangguhan konsert yang sepatutnya berlangsung pada 9 Julai lalu dan dibawa ke tarih 1 Oktober yang baru meninggalkan kita kurang seminggu adalah penangguhan yang berbaloi.

Konsert 2 Raksasa yang dianjurkan oleh Netzah Productions Sdn. Bhd. itu sukses dan tiada tolak bandingnya.

Ia juga membuktikan kenyataan Ramli sebelum ini yang berbunyi: "Konsert ini tidak mungkin bosan kerana pengalaman 40 tahun kami dalam bermuzik."

Ternyata, orang lama memang ada gaya dan aura yang tidak akan mati begitu sahaja.