Adsense

Rabu, 5 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tak perlu kontroversi

Posted: 04 Oct 2011 03:46 PM PDT

Hip

Qalisha

Qalisha

Qalisha elak dikenali ramai menerusi cerita panas

KEMUNCULANNYA dalam bidang seni bukanlah seperti kebanyakan penyanyi baru lain, yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti. Jika tidak, pastinya nama Qalisha akan meniti di bibir peminat dengan begitu pantas sekali.

Maklum sajalah, biasanya artis yang lahir daripada program realiti mudah mendapat publisiti. Walaupun bakat tidaklah sebesar mana, jika pandai mencari publisiti menerusi kontroversi, laluan untuk menjadi terkenal terbentang dengan luas. Namun popular dengan cara seperti itu menuntut harga yang tinggi. Silap perhitungan, populariti entah di mana, kerjaya seni pun tidak berapa kelihatan. Enggan kesilapan menjerat diri, Qalisha atau nama sebenarnya Noor Qalisha Ahmad Rashid berkata, dia tidak kisah jika namanya lambat naik, asalkan populariti yang bakal dikecapnya bukanlah dibantu dengan kontroversi memualkan.

"Pesanan keluarga dan pihak pengurusan banyak mengajar saya supaya tidak terjerumus dengan perkara yang boleh mencetuskan cerita panas. Kalau hendak terkenal pun, biarlah orang kenal saya menerusi bakat dan bukannya kerana cerita yang bukan-bukan.

"Biarlah saya lambat popular, asalkan jalannya betul. Jika berbakat, saya percaya lambat laun orang akan kenal juga siapa Qalisha. Apapun, saya bersyukur kerana single pertama saya, Satu Januari juga kerap diputarkan di corong radio walaupun pada awalnya sambutannya agak perlahan," ujarnya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Mungkin tidak ramai yang tahu Qalisha dan pelakon yang semakin meningkat naik, Neelofa, mempunyai pertalian darah keluarga iaitu sepupu. Ketika diajukan pertanyaan itu kepada gadis ini, dia tidak menafikan perkara berkenaan.
Cuma pintanya, janganlah perkara itu diperbesarkan kerana dia tidak mahu ada pihak yang tersalah anggap dengan pengakuannya.

"Kami memang rapat, tetapi kalau boleh saya tak mahu mengaitkan namanya dalam kerjaya yang sedang saya bina ini. Bagaimanapun, kami saling bertukar cerita, pandangan dan nasihat apabila sesekali berjumpa.

"Dia dalam bidang lakonan dan saya pula dalam bidang nyanyian. Jadi mana-mana nasihat atau panduan berguna itu, kami akan kongsi bersama," kata gadis berbintang Cancer ini.

Janji lima tahun ditunaikan

LIMA tahun lalu dia pernah berjanji untuk hadir ke sesi uji bakat di studio Wake The Baby Sdn Bhd milik Ajai selepas dipelawa komposer terkenal berkenaan. Pada masa itu, usia Qalisha baru mencecah 15 tahun dan masih di bangku sekolah.

Namun, disebabkan usianya yang masih muda serta tanggungjawab sebagai pelajar terpikul di bahu, dia terpaksa melupakan saja pelawaan itu. Namun selepas setengah dekad, dia kembali menunaikan janji lama sekali gus mengejar impian untuk bergelar penyanyi.

Sepanjang tempoh terbabit, kata Qalisha, bukanlah bermakna dia duduk diam begitu saja. Sebaliknya dia tetap berlatih untuk memantapkan vokal supaya sesi uji bakat yang akan dilaluinya itu tidak sia-sia.

"Saya kenal abang Ajai secara kebetulan, iaitu ketika kami sama-sama menghadiri satu acara hiburan lima tahun lalu. Pada masa itu meja kami bersebelahan. Bila nenek saya ternampak Ajai, dia terus memperkenalkan saya kepadanya sambil memberitahu saya boleh menyanyi.

"Perkenalan singkat itu menyebabkan Ajai berminat untuk mengajak saya menjalani uji bakat di studionya.
Namun disebabkan komitmen saya sebagai pelajar, saya terpaksa melupakan seketika pelawaan berkenaan.
Lagipun, antara sebab lain saya tidak pergi ke sesi uji bakat terbabit kerana saya tak mahu menjadikan karier nyanyian sekadar suka-suka.

"Jadi, apabila habis belajar dan cukup bersedia, barulah saya pergi ke studionya untuk melunaskan apa yang dijanjikan. Masa mula-mula berjumpa Ajai, dia tak perasan siapa saya. Maklum sajalah, sudah lima tahun lamanya. Alhamdulillah, saya berjaya dalam uji bakat itu dan kini saya menjadi artis Wake The Baby," cerita Qalisha ketika berbicara mengenai pembabitannya sebagai artis rakaman.

Bakal melancarkan album sulungnya hari ini bertempat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, gadis berusia 20 tahun ini mengakui teruja dan berdebar menantikan sambutan peminat terhadap buah tangan sulungnya.

"Tidak sangka, akhirnya album ini berada juga di pasaran selepas menunggu sekian lama. Terus terang, saya rasa teruja dan bersyukur kerana impian saya untuk bergelar penyanyi menjadi kenyataan.

"Album mini ini mengandungi empat lagu, iaitu dua lagu berentak balada dan dua lagi lagu rancak. Satu daripadanya pula saya nyanyikan secara duet bersama abang Ajai.

"Bagaimanapun, secara peribadi saya suka menyanyikan lagu berentak balada kerana ia amat sesuai dengan suara dan jiwa saya," kata peminat setia Kim Kardashian ini.


Jawablah!: Peserta cantik disingkir

Posted: 04 Oct 2011 03:42 PM PDT

Hip

Suffian (dua dari kiri) berbincang bersama Ajai (kanan) ketika sesi saringan kedua diadakan di Sri Pentas.

Suffian (dua dari kiri) berbincang bersama Ajai (kanan) ketika sesi saringan kedua diadakan di Sri Pentas.

Vokal... Bukan Sekadar Rupa tidak tiru program The Voice

SEJAUH manakah program realiti terbitan TV3, Vokal... Bukan Sekadar Rupa mampu mencetuskan fenomena baru dalam dunia penyiaran dan industri hiburan secara keseluruhannya? Itulah persoalan yang berlegar di fikiran sewaktu penerbitan program itu diumumkan kepada media.

Bukan bersikap skeptikal atau berprasangka buruk terhadap objektif program ini, iaitu membuka peluang kepada mereka yang dikurniakan bakat nyanyian luar biasa, tetapi berasakan tidak mempunyai wajah komersial untuk bergelar artis. Cuma tertanya-tanya juga, realistikkah idea ini? Apakah industri hiburan kita serta semua pihak yang terbabit secara langsung sudah bersedia 100 peratus untuk menerima idea ini? Apakah pengenalan kepada program ini mampu membuang persepsi bahawa rupa bentuk fizikal bukan lagi satu kemestian jika mahu menjadi artis seperti yang diamalkan dalam industri sejak awal lagi?

Untuk menjawab pertanyaan ini, Hip menghubungi Penerbit Eksekutif Vokal... Bukan Sekadar Rupa, Muhamad Suffian Che Isa. Tegasnya, meskipun dia juga sedikit kabur dengan penerimaan pelbagai pihak mengenai pembaharuan yang cuba mereka perkenalkan, namun berpegang pada kata kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dia percaya satu hari nanti pembaharuan ini akan dapat diterima dan bukanlah satu retorik semata-mata.

Hip: Kenapa baru sekarang konsep seperti ini diperkenalkan dan tidakkah bimbang jika program ini dikatakan meniru program realiti The Voice yang cukup popular ketika ini?

Suffian: Idea untuk menerbitkan program ini sebenarnya sudah disuarakan sejak dua tahun lalu. Ia ditimbulkan berdasarkan segmen uji bakat yang kami pernah tonjolkan menerusi program Mentor. Bagaimanapun disebabkan slot untuk menerbitkan program baru tidak cukup, jadi terpaksalah kami melupakan saja hasrat itu. Bagaimanapun, tahun ini apabila kami sudah mempunyai slot baru dan Vokal... Bukan Sekadar Rupa mahu diperkenalkan, tiba-tiba muncul program The Voice. Terdetik di hati saya, mungkin akan ada orang yang akan menuduh kami meniru program ini walhal idea untuk membuat program ini sudah ada sejak dua tahun lalu. Lagipun kalau diperhatikan, konsep The Voice dan Vokal... Bukan Sekadar Rupa memang berbeza.
Hip: Program ini lebih menekankan vokal dan bukannya rupa. Bagaimana mahu meletakkan kriteria bahawa seseorang peserta itu menepati syarat iaitu tidak mempunyai rupa tetapi berbakat, sedangkan cantik atau kacak adalah subjektif?

Suffian: Kita akui bahawa rupa bentuk fizikal, cantik atau kacak adalah sangat subjektif. Mungkin pada pendapat kita, peserta ini cantik tetapi tidak pada pandangan orang lain. Dalam hal ini kami sebenarnya mencari peserta yang berbakat besar, tetapi tidak mempunyai pakej untuk diketengahkan sebagai artis. Kami mempunyai kriteria kami sendiri mengenai pakej yang diperlukan untuk menjadi seorang artis. Contohnya, mungkin dia mempunyai suara merdu tetapi berbadan besar. Dan kekurangan itu membataskan dirinya untuk menjadi artis.

Situasi seperti itulah yang cuba kami selesaikan dan bantu. Daripada 1,600 peserta yang hadir, kami sudah menyenarai pendek calon kepada 26 orang. Dalam soal rupa paras, peserta wanita agak sukar sedikit. Jadi penilaian kami adalah dengan menyolekkan mereka, sebab ada ketika apabila wanita disolekkan, wajah mereka berubah menjadi cantik. Jadi jika kami melihat wajahnya cantik dan ada nilai komersial selepas disolekkan, peserta itu akan disingkir. Kami hanya mahukan mereka yang memang jelas tidak mempunyai nilai komersial untuk diketengahkan tetapi mempunyai bakat yang besar untuk dipertaruhkan.

Hip: Apakah anda yakin, industri kita yang memandang rupa bentuk fizikal lebih dari segala-galanya itu sudah bersedia untuk menerima fenomena baru ini?

Suffian: Terus terang, saya sebenarnya tidak pasti dengan penerimaan mereka kerana sewaktu saya bertemu dengan syarikat rakaman untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam program ini, mereka seperti bermain tarik tali. Cukup jelas mereka lebih selesa mengambil sikap tunggu dan lihat. Sebagai benda baru, mereka harus melihat keseluruhan program ini terlebih dulu.

Hip: Tidakkah anda bimbang jika dituduh memberi harapan palsu kepada peserta program ini yang mengharapkan ia mampu merealisasikan hasrat mereka untuk bergelar artis?

Suffian: Kami sudah pun memberi penerangan kepada peserta yang disenarai pendek bahawa kami di sini tidak menjanjikan bahawa mereka boleh menjadi artis terkenal. Kami hanya menyediakan peluang dan ruang untuk mereka memperkenalkan bakat yang mereka ada. Program Vokal... Bukan Sekadar Rupa ini tidak ubah seperti sebuah universiti. Universiti tidak pernah berjanji untuk memberikan kerja kepada graduannya. Sebaliknya hanya mereka yang berusaha bersungguh-sungguh serta cemerlang dalam pelajaran saja yang berpeluang untuk mendapat pekerjaan yang bagus selepas tamat belajar. Begitulah juga yang saya harapkan daripada peserta program ini nanti. Hanya mereka yang sanggup menghadapi pelbagai ujian dan berbakat saja yang boleh berjaya apabila berada di gelanggang sebenar.

Hip: Dari segi juri tetap, mengapa produksi tidak mencari penyanyi yang menepati kriteria yang mereka cari?

Suffian: Pemilihan Azmeer sebagai juri tetap tidak perlu dipersoalkan kerana kami percaya dengan kredibilitinya sebagai seorang komposer serta khidmat yang pernah dicurahkannya dalam program Mentor sebelum ini. Cuma saya pasti, ramai yang tertanya-tanya mengapa Erra Fazira? Pemilihan Erra pula adalah berdasarkan pengalamannya membimbing Salma sebelum ini. Kita sedia maklum bahawa protege Erra, Salma, dianggap sebagai tidak mempunyai nilai komersial tetapi mempunyai vokal yang hebat. Erra berjaya merubah penampilan dan imej Salma daripada seorang yang rendah diri kepada lebih berkeyakinan. Jadi dengan pengalaman Erra itu kami mahu dia kongsi bersama dengan peserta program ini. Ia lebih kepada memberi motivasi kepada peserta. Bagaimanapun, kami juga akan menjemput juri undangan untuk berkongsi pandangan dan panduan.