Berita Harian: Hip |
Posted: 28 Oct 2011 09:34 PM PDT Hip Bintang filem kontroversi dari China antara lima aktres bakal bergelar gadis Bond terbaruKEBERANIAN Tang Wei melakonkan aksi berahi ketika membintangi filem arahan Ang Lee, Lust, Caution, empat tahun lalu hampir membunuh kariernya yang pada saat itu sedang memuncak. Ketika membintangi Lust, Caution, Tang belum mempunyai nama besar malah bakatnya cuma berlegar dalam penerbitan drama bersiri televisyen. Namun, pesona dimilikinya meyakinkan Lee untuk memilih Tang memainkan watak utama yang mencetuskan kontroversi, Wong Chia Chi. Tang mengenepikan 10,000 aktres lain untuk menggalas watak itu. Menerusi Lust, Caution juga, pelakon kelahiran Hangzhou, Zhejiang, China ini dianugerahkan trofi pertama iaitu Pelakon Baru Terbaik di Anugerah Golden Horse pada 2007.Kemanisan yang diharap berpanjangan tanpa disangka membawa musibah besar apabila aksi berahi Tang itu mengundang kemarahan pihak berwajib di China. Impak daripada kecaman itu, nama Tang disenarai hitam daripada membintangi drama dan filem selama dua tahun, malah kontrak iklan menggunakan wajahnya juga ditamatkan. Meskipun Lee yang turut memberikan sentuhannya dalam satu lagi filem kontroversi, Brokeback Mountain memotong hampir tujuh minit daripada keseluruhan babak panas dalam produksi, ia tidak mengubah nasib malang Tang. Bukan hanya aksi berahi Tang yang mencetuskan kemarahan, malah produksi filem yang tidak bersifat patriotik turut dikenal pasti sebagai punca utama kepada kontroversi Lust, Caution. Lantaran tiada tawaran baru, Tang yang bercita-cita menjadi ahli arkeologi dan peguam namun menceburi dunia lakonan selepas bergelar model berpindah ke Hong Kong sebelum terbang ke United Kingdom selama tiga bulan. Sepanjang kehilangannya itu, Tang memperkemaskan diri dengan mengambil kursus pendek drama dan bahasa Inggeris, malah turut terbabit dalam pementasan Shakespeare untuk projek graduannya. "Seseorang pelakon harus memiliki jiwa kental, selain berani membina benteng pertahanan diri yang kukuh. Mereka harus menjadi seperti rumput yang sentiasa degil untuk tumbuh tanpa sesekali gentar dipijak," katanya. Selepas tiga tahun menyepikan diri, tahun lalu Tang kembali ke layar perak dengan filem romantik komedi, Crossing Hennessy menemukannya dengan penyanyi dan aktor popular Hong Kong, Jacky Cheung. "Saya tidak pernah mahu menjadi seorang bintang, ramai juga yang maklum mengenainya. Tetapi masih ramai yang datang dan memberitahu: "Oh! Kamu sekarang seorang bintang". "Hakikatnya saya tidak pernah tahu ke mana haluan saya. Saya cuma mengimpikan sebuah kehidupan ringkas namun membahagiakan. "Memang saya berubah tetapi perubahan itu adalah kerana tuntutan dalam kerjaya ini. Saya masih berusaha keras mencari ruang damai untuk diri sendiri," katanya. "Kegembiraan juga saya nikmati ketika bersama kru penggambaran. Mereka sentiasa mengambil berat, begitu juga dengan pengarah yang tidak mengabaikan keperluan saya. "Namun kebahagiaan sebenar datang dari hati paling dalam. Saya selalu mencarinya, malah sentiasa tertanya-tanya apa sebenarnya yang saya mahukan. "Saya bersyukur kerana mampu berdikari, malah berada dalam bidang yang paling saya cintai tetapi apakah itu kebahagiaan hakiki? "Apa pun juga saya percaya kebahagiaan sejati adalah di syurga. Di situ manusia hidup akan dalam keadilan dan percaya adanya syurga dan pembalasan mengubah hidup saya dengan pantas," katanya. Bakal jadi gadis Bond? BIARPUN sudah menyunting aktres Perancis, Berenice Marlohe untuk beraksi sebagai gadis Bond terbaru namun pengarahnya, Sam Mendes dan pelakon utamanya, Daniel Craig masih mencari satu lagi wajah eksotik untuk mendampingi aktor itu. Tang dikatakan menjadi calon pilihan utama Mendes dan Craig, bersaing dengan Fan Bingbing, Li Bingbing, Shu Qi dan Josie Ho yang kesemuanya belum dikenali di Amerika Syarikat. Lima nama itu berada dalam senarai utama selepas produksi berkenaan menemubual lebih 100 aktres di sekitar Asia. Tang disebut-sebut sebagai calon pilihan kerana penguasaan bahasa Inggerisnya yang baik. Dia menguasai bahasa itu selepas mengambil kursus pendek di University of Reading, United Kingdom ketika namanya dibekukan daripada lakonan. Media juga difahamkan, pengurusan Tang turut bertanggungjawab sebagai pelabur dalam edisi ke-23 Bond yang masih belum memiliki judul tetap. Watak itu menjadi rebutan ramai aktres Asia apatah lagi impak kemunculan Datuk Michelle Yeoh dalam Tomorrow Never Dies memperkenalkan namanya di pasaran antarabangsa. Jika berjaya, beliau akan menjadi pelakon Asia kedua untuk watak idaman ramai aktres dari seluruh dunia itu. |
Posted: 28 Oct 2011 09:32 PM PDT Hip Teruja tonton konsert komposer tersohor, pesanan buat artis calon anugerah AIM 18ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat semua pembaca Berita Harian, semoga hari yang dijalani akan memberikan kebahagiaan dan kejayaan buat kita semua. Banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian dan tidak kurang juga kerjaya masing-masing, Siti amat berbangga kerana pada hari ini, rakyat Malaysia mampu bangkit dan bersaing dalam pelbagai bidang. Ini bukan saja bertujuan untuk mengukuhkan lagi ekonomi keluarga malah menyumbang kepada negara juga. Begitu juga dengan golongan wanita yang semakin ramai menceburi pelbagai lapangan untuk menjana kemajuan diri dan masa depan mereka.Siti amat bersyukur kerana baru-baru ini, produk SimplySiti mendapat anugerah yang diberikan oleh UDC Business Award 2011 untuk UDC-Upcoming Beauty Product Of The Year. Sebelum ini produk SimplySiti juga pernah meraih anugerah The Best Halal Lauch daripada Watson's Health, Wellness dan Beauty Award; SME's Woman Of The Year Award 2010 daripada SME's Tun Dr.Siti Hasmah; The Best Most Promising Brand 2010 daripada The Brandlaureate-SMEs Chapter Awards 2010 dan The Best Water-Proof Mascara daripada Anugerah Kecantikan Untukmu Cosmopolitan 2010. SimplySiti juga pernah meraih anugerah The Best Halal BB-Cream daripada Watson's Health, Wellness & Beauty Award 2010; The Best Coverage Face Powder by Watson's Health, Wellness & Beauty Award 2010; The Best Exclusive Brand Lauch daripada Watson's Health, Wellness & Beauty Award 2010 dan The Best Halal Product Award 2010 daripada The Halal Journal Awards. Bagi Siti, ini adalah persaingan yang sihat dalam perniagaan dan tentunya dari semasa ke semasa kami akan terus menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam bidang kecantikan ini. Baiklah, itu mengenai produk kecantikan Siti dan tentunya Siti amat teruja untuk bercerita mengenai Konsert David Foster yang sempat Siti tonton minggu lalu. Sejak terbaca iklan mengenai konsert tersebut, Siti memang bertekad untuk menontonnya kerana mengagumi lagu-lagu ciptaan komposer ternama ini. Siti akui, ada kalanya memang teruja apabila berdepan dengan selebriti yang Siti idolakan hasil kerja mereka. Siti akui sewaktu menonton Konsert Celine Dion di Las Vegas, Siti juga seperti peminat-peminat yang lain, berasa sangat tergamam apabila penyanyi kesayangan kita ada di depan mata. Malah Siti tidak malu untuk mengakui, Siti menitiskan air mata melihat konsert itu kerana hasrat untuk bertemu penyanyi kesayangan tercapai. Begitu juga dengan Konsert David Foster ini, Siti menghayati persembahan beliau dengan rakan-rakan artis yang diundang ke pentas. Bagi Siti, David adalah komposer yang amat menghargai bakat yang ada pada seseorang artis. Lagu-lagu beliau menjadi hit kerana beliau tahu bagaimana untuk mencipta lagu kepada artis-artis yang beliau bekerjasama. David adalah komposer yang tahu nada atau ciri-ciri vokal yang ada pada seseorang artis dan kemampuan mereka juga dinilai oleh David. Justeru, setiap lagu yang terhasil akan menepati kemampuan setiap artis dan tentunya menjadi siulan ramai. Siti juga tidak mahu ketinggalan untuk bercakap mengenai Anugerah Industri Muzik yang akan berlangsung pada 12 November nanti. Siti akui peminat juga maklum bahawa inilah julung kalinya Siti tidak bertanding dalam anugerah ini sejak mula bergelar artis. Jangan salah faham kerana Siti tidak menyertainya kali ini kerana Siti tidak ada album atau produk terbaru dalam jangkamasa atau syarat yang ditetapkan. Siti lihat nama-nama yang mendominasi pencalonan AIM kali ini ramai di kalangan artis-artis muda dan baru. Ini satu perkembangan yang baik kerana industri muzik semakin hari semakin banyak melahirkan nama baru dan tentu genre muzik dapat diperkembangkan. Namun Siti amat berharap agar semua pihak menggunakan platform AIM ini dengan sebaiknya kerana ia adalah satu pentas anugerah yang berprestij. Doa Siti agar perjalanan majlis ini akan lancar, artis akan bersaing secara sihat dan mendapat pengalaman untuk terus berkarya. Bagi Siti, AIM amat besar dan pelbagai anugerah Siti peroleh. Jika dulu, Siti amat berhati-hati dalam setiap penghasilan album kerana menitikberatkan kualitinya dan AIM selalu menjadi ilham. Alhamdulillah, dalam banyak barisan anugerah yang Siti peroleh, antara anugerah yang terbanyak adalah AIM. Semoga ia terus menjadi semangat kepada ramai artis di luar sana untuk berjuang dalam bidang ini. Sekian saja bicara Siti pada minggu ini. Moga kita akan bersua lagi pada minggu hadapan. Salam sayang. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |