Adsense

Sabtu, 1 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Biarlah misteri

Posted: 30 Sep 2011 03:36 PM PDT

Hip

Sarah Sechan mahu media berlaku adil melaporkan berita perceraian

LANGSUNG tidak pernah terlintas di fikiran, kes perceraiannya akan mendapat liputan luas media hingga membuatkan pengacara popular, Sarah Sechan kurang selesa apabila hal peribadinya terlalu disorot.

Meskipun sedia bekerjasama, namun masih ada bahagian yang enggan dikongsi secara umum. Sarah sebaliknya, lebih rela menyimpan itu sebagai misteri untuk dirinya dan suami.

Tolonglah berikan liputan yang adil, tanpa perlu ditokok tambah serta diselitkan pelbagai tanggapan yang cuma memburukkan lagi apa yang berlaku. - Sarah Sechan

Pinta Sarah kepada media, usah terlalu memfokus episod keretakan rumah tangganya cuma pada sudut negatif kerana dia sudah berusaha menjadi manusia yang jujur kepada semua penggemarnya.

Cuba bersikap tenang, wanita kelahiran Bandung, Jawa Barat berusia 37 tahun itu juga memohon kepada media supaya tiada soal jawab diadakan.

Cukup cuma dia yang berbicara menjelaskan segala kekeruhan yang menjadi kabut kepada rumah tangga yang dibinanya selama lapan tahun bersama Emir Hakim.

Bekas VJ MTV itu, bagaimanapun tidak membantah perkahwinannya sedang bergolak tetapi enggan menyatakan sebab mengapa mereka mahu bercerai.
"Saya cuma mohon doa semua. Apa saja boleh berlaku pada masa akan datang, kita tidak pernah tahu kerana semua itu adalah rahsia Allah.

"Tapi ini kehidupan yang harus saya lalui. Saya yakin mampu melaluinya, malah tiada apa yang harus kami berdua selindungkan.

"Namun untuk hari depan, kita lihat saja bagaimana nanti," kata pengacara bertubuh kecil molek itu tenang ketika ditemui wartawan di Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Sarah memfailkan permohonan cerai di Pengadilan Agama Depok pada 26 Julai lalu menganggap perpisahan adalah jalan terbaik untuk dirinya dan Emir.

Sebagai seorang yang dewasa, Sarah dan Emir tenang menghadapi kemelut itu lantas berharap media juga bersikap matang serta tidak membuat pelbagai spekulasi ketika melaporkan berita perpisahan mereka.

"Saya dan suami sangat rasional, justeru berharap media dan masyarakat juga melihat serta memahami masalah kami dari mata orang dewasa.

"Saya cuma mahu tegaskan, ini adalah urusan rumah tangga saya bermakna ia sesuatu yang peribadi. Maaf jika saya menolak untuk berkongsi sesuatu yang seharusnya menjadi ruang peribadi saya dan keluarga," katanya.

Kenyataan tegas itu seolah-olah menghantar isyarat bahawa Sarah enggan membiarkan kisah perpisahan mereka menjadi bahan sensasi media.

Justeru, pada pertemuan itu, Sarah selesa jika cuma dia yang bersuara mewakili keluarganya agar tiada perkataan yang mengguris perasaan orang lain, terutama anak tunggal mereka.

"Kami tidak ingin berita simpang siur kerana harus menjaga perasaan banyak orang, terutama anak. Usah menulis sesuatu yang berbaur fitnah kerana saya sudah berlaku jujur.

"Tolonglah berikan liputan yang adil, tanpa perlu ditokok tambah serta diselitkan pelbagai tanggapan yang cuma memburukkan lagi apa yang berlaku.

"Hubungan saya dan suami masih baik dan cukup dewasa. Semoga teman atau masyarakat yang menggemari saya atau sebaliknya menerima kenyataan ini dengan matang," katanya.

Saat ini kata Sarah, komunikasinya dengan Emir dan anak mereka masih berjalan baik malah yakin, perceraian yang bakal dilalui tidak akan memberi kesan buruk kepada semua.

"Hingga ke proses ini, segala-galanya sudah saya perjelaskan kepada anak. Insya-Allah anak saya mampu menerima.

"Dia seorang yang cerdas dan sering melihat kasih sayang saya serta suami terhadapnya masih utuh meskipun kami sedang berdepan masalah," katanya.

Keluarga tidak masuk campur

BIAR pelbagai sisi dicuba untuk mencari penyebab kepada keretakan itu, seluruh keluarga Sarah seperti sepakat untuk tidak menambah beban kotak pemikiran wanita yang dilahirkan pada 9 Mei 1974 itu.

Selain kedua orang tuanya yang kemas mengunci mulut, hal yang sama juga diambil oleh adik beradik Sarah. Biarpun saling mencurah perasaan, namun bibir mereka seakan terkunci untuk bertanya lanjut mengenai badai yang sedang melanda rumah tangga Sarah.

"Apa pun yang terjadi itu adalah kisah rumah tangga mereka. Itu yang sering dipesan mama ketika kami mengambil keputusan untuk bernikah," kata adik Sarah, Ade Fitria Sechan.

Berharap media tidak cuba mendapatkan penjelasan daripadanya, Ade lebih senang menjawab tidak tahu supaya isu itu tidak berlanjutan.

"Saya tidak terlalu tahu, malah tidak pernah bertanya. Saya mengerti perasaannya ketika ini kerana saya juga pernah melalui episod yang sama.
"Bohong jika dia tidak pernah mencurahkan perasaan, apatah lagi kami adik beradik. Tapi saya tidak pernah bertanya.

"Saya biarkan saja dia yang membuka cerita. Jadi saya tidak tahu mengapa dia mahu bercerai. Lebih baik ajukan saja soalan kepada tuan punya badan," katanya.


Mesti Tonton: Penamat kurang mengesankan

Posted: 30 Sep 2011 03:29 PM PDT

Hip

Info:
Filem: Abduction
Arahan: John Singleton Genre: Aksi, Misteri Pelakon: Taylor Lautner, Lily Collins, Alfred Molina, Jason Isaacs, Maria Bello, Sigourney Weaver, Elisabeth Rohm, Michael Nyqvist, Freema Agyeman, Aunjanue Ellis, Antonique Smith dan Denzel Whitaker. Durasi: 1 jam 46 minit Tarikh tayangan: 22 September 2011.

APA yang anda rasakan jika tiba-tiba mendapati ibu dan bapa yang membesarkan anda selama ini bukanlah ibu bapa kandung sebenar? Itulah konflik yang melingkari hidup seorang pemuda, Nathan Price, apabila mengetahui dia bukan anak kandung kepada pasangan Kevin dan Mara Harper.

Lebih memeritkan, usahanya untuk mencungkil identiti diri yang sebenar mengheretnya ke kancah dunia jenayah yang tidak diketahui puncanya.

Pendedahan identiti sebenar Nathan bermula apabila dia terlihat gambarnya sewaktu kecil yang disenaraikan sebagai kanak-kanak hilang di internet. Dia juga sering dibayangi mimpi aneh yang menghantui tidurnya.
Sekelip mata kehidupannya berubah apabila dia menjadi buruan kumpulan penjenayah dan ejen penyiasat, menyebabkan Nathan terpaksa melarikan diri demi menyelamatkan nyawa. Secara tidak sengaja, dia turut mengheret satu-satunya insan yang dipercayai, Karen yang juga jirannya dalam pelarian berkenaan.

Abduction hadir sebagai sebuah filem aksi yang mendebarkan, penuh dengan babak suspen yang membuatkan penonton berteka-teki apakah sebenarnya yang terjadi kepada watak utamanya? Filem arahan John Singleton ini nyata mampu menyajikan sebuah cerita yang menarik lagi menghiburkan.

Ditambah dengan lakonan berkesan Taylor Lautner, bintang Twilight yang semakin mendapat tempat dalam dunia lakonan, filem ini dilihat meyakinkan.

Lautner mampu muncul sebagai bakat baru yang mempunyai masa depan gemilang dalam lakonan, seperti yang pernah dikecapi Matt Damon, sehingga diangkat antara bintang aksi masa kini menerusi siri filem Bourne. Lebih-lebih lagi, kedua-duanya mempunyai aura serta penampilan yang hampir sama.

Sebagai Nathan, Lautner berjaya memperlihatkan watak anak muda yang sukar mempercayai setiap individu yang dekat dengannya, justeru dia tekad menjejaki ibu bapa kandungnya di samping merungkai situasi serta konflik yang dihadapi.

Dengan setiap pergerakan diekori, Nathan akhirnya menyelesaikan teka-teki sukar itu apabila dia mengetahui ibu bapa kandungnya yang sebenar ialah ejen risikan persekutuan yang memiliki kod senarai nama penjenayah. Pasangan Kevin dan Mara pula ialah ejen rahsia yang ditugaskan bapa Nathan untuk menjaganya dari kecil, selepas kematian ibunya.

Biarpun berupaya menimbulkan pelbagai persoalan di minda penonton sejak awal cerita, namun penamatnya bagai dibuat secara tergesa-gesa sehingga membantut penghayatan. Sayang sekali kerana penghujung cerita ini sedikit menghampakan, sedangkan rencah yang dimuatkan di dalam filem aksi ini dilihat begitu meyakinkan.

Bagi yang menggemari filem aksi, filem bernilai RM120 juta ini mula menjengah ke panggung seluruh negara sejak 22 September.

Selain Lautner, memperkuatkan filem tulisan Shawn Christensen ini ialah Lily Collins, Alfred Molina, Jason Isaacs, Maria Bello, Sigourney Weaver, Elisabeth Rohm dan Michael Nyqvist.