Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kematangan Sofia Jane
JUJUR, awalnya tidak tahu mana mahu bermula jalan cerita ini kerana sesi 'sembang' kami meluncur laju seperti air terjun. Datin Sofia Jane, 39, mesra disapa Sofia atau Pia oleh rakan-rakannya berbicara banyak hal, pelbagai peringkat juga status. Tentang kehidupan dan tugasannya sebagai anak seni, ibu dan juga pemerhati dunia pentas lakon. Dia melihat variasi perkara seakan-akan dari mata burung. Dia cukup sensitif terhadap semua perkara yang berlaku di atmosfera dunianya. Wanita ini jelas punya aura tersendiri. Namanya punya tembok teguh seiring portfolio yang dibinanya sedikit demi sedikit. Sofia Jane Hisham, memang cukup sinonim dengan industri perfileman tanah air. Dia pernah menjadi pujaan jejaka sekitar 1990-an. Seiring waktu, dicampur tolak dan bahagi, sudah lebih dua dekad dia menyarung status aktres. Bukan sekadar itu, dia diletakkan status diva. Menurut definisi sebenar, diva asalnya diberikan kepada pelantun vokal opera dan kemudian beralih kepada seorang primadona. Sofia Jane bercerita tentang diva dalam konteks opera kehidupan seorang aktres yang diangkat umum sebagai diva. Sisi malu dan serius "Berlakon itu eskapisme saya. Saya mahu orang tahu perihal produk saya, tugas saya dan bukan hal-hal peribadi saya. Bila saya menggalas tugas, saya mampu berekspresi dalam pelbagai watak dan jiwa orang lain. Saya merupakan seorang yang sangat tebal dengan sifat malu," Sofia Jane membuka dua sisi karakternya yang saya lihat sebagai sisi syiling, melengkapi dengan harga tersendiri. Melanjutkan bicara, penulis bertanyakan sisi serius Sofia, sejak bila benaknya diterjah keseriusan bergelar pelakon. Mengaku serius daripada awal, Sofia turut mengakui pernah elergi karpet merah. Kurang yakin untuk melanjutkan langkah di permaidani khas itu. Siapa sangka rupa-rupanya buat seorang aktres yang penuh daya yakin di layar kaca dan perak, ruang malu dan elergi itu sebenarnya wujud menyelit dalam rongganya. "Suami saya mengubah perspektif saya. Mempamerkan bahawa industri filem ini juga sebenarnya sebuah bisnes, perlu ada sumbangan berupa itu. Saya pernah kurang selesa bila orang mahu tahu kisah peribadi saya. Seiring usia, saya melihat daripada cahaya yang berbeza. Lebih tenang," luah Sofia yang berterima kasih dengan kaca mata suami, Datuk Meor Zain Azman. Seiring usia juga, dia mengaku semakin yakin. "Selepas lebih 22 tahun dalam industri yang kini saya lihat semakin baik, saya yakin dengan apa yang saya mahukan. Saya sudah tidak malu untuk mengungkap apa yang saya mahu, juga tidak segan untuk mengekspresikan apa yang saya rasa. Usia juga membuat saya menganalisis banyak perkara. Kerana apa yang kita buat dan katakan akan pasti menimbulkan kesan, jadi perlu bertanggungjawab terhadap apa sahaja perbuatan kita," luahnya yang mengaku bukan mahu mendatangkan kesusahan buat pihak-pihak luar terhadap sikap cerewet dan teliti terhadap sesuatu perkara. Tetapi nilai itu penting untuk keselesaan dan prinsip dirinya. "Saya sentiasa mahukan karakter yang bermakna. Agar nanti dilihat apa yang saya buat sebagai Sofia Jane, seorang aktres itu berbaloi. Mahu audiens tahu saya sukakan perkara-perkara yang berbeza. Jadi saya memang berhati-hati memilih watak. Saya mahu berbangga dengan apa yang saya lakukan," ujarnya yang sentiasa melihat perkembangan sesebuah karakter dalam naskhah yang diambilnya. Tahun ini tahun rehat "Tahun lepas saya melakonkan pelbagai watak yang menuntut emosi. Watak-watak serius yang menuntut masa dan tenaga antaranya teater Natrah dan telefilem Karma Salina. Tahun ini saya lebih merehatkan diri. Banyak masa untuk famili dan berehat," ujarnya yang turut terlibat dengan filem Hanyut arahan U-Wei. "Karakter yang saya ambil seperti di Natrah, Karma Salina dan filem Hanyut mempunyai bagasi emosi yang tersendiri," katanya yang bersyukur menerima tawaran kepelbagaian karakter sebegitu. Tidak dapat disangkal, nama Zaleha ciptaan U-wei cukup dekat dengan dirinya. Satu karakter wanita tersendiri yang melakari sejarah Sofia sebagai seorang aktres terkenal negara. Walau cuba dihakis dengan karakter-karakter lain yang seiring kekuatan Zaleha, namun sebuah filem dengan judul Perempuan, Isteri Dan... cukup kuat melekat. Tempoh 17 tahun lalu, Sofia Jane berpayungkan sutradara U-Wei buat pertama kali. Sofia ketawa sejenak mengingatkan sejarah yang dibinanya dengan peredaran waktu. Usai filem U-Wei yang mengangkat ikonik Zaleha, Sofia tampil lagi dengan pelbagai warna karakter yang menuntut kepelbagaian emosi dan dia kukuh dalam barisan aktres disegani dan punya ciri khas tersendiri dalam lakonannya. Sejarah berulang, naskhah berganti, di tangan U-wei sekali lagi dia muncul dalam Hanyut yang dinanti dengan debar khalayak untuk menyaksikan perjalanan sejarah Almayer Folly ini divisualkan. "Saya sentiasa bermimpi untuk bekerja dengan Khalid Salleh. Malah suami saya mahukan saya dalam Hanyut. Saya percaya Hanyut akan membuat sejarahnya tersendiri. Sebuah penjelajahan yang cukup menarik. Kolaborasi dengan U-Wei kembali dengan skala produksi yang cukup besar," cerita Sofia tentang Hanyut yang mengaku banyak belajar daripada set filem yang turut menampilkan Alex Komang, Adi Putra, Bront Palarae dan Diana Dianelle ini. "Kalau melihat filem U-Wei, ada kekuatan dalam setiap karakter wanitanya. Ada visi tersendiri. Begitu juga dengan peranan Mem, isteri kepada Kaspar Almayer," ceritanya lagu dalam ritma gembira mengenangkan sesi lakonan dan persediaan yang dibuat secara intensif untuk kejayaan Hanyut. Luncur keyakinan Sofia terhadap Hanyut membuahkan detik tidak sabar menunggu tayangannya. Hidup kini dan masa depan Larut bercerita tentang karakter yang dibawanya yang juga bakal mengubat kerinduan khalayak, Sofia bercerita tentang pengisian masa kini dan hadapan. "Sekarang sudah bukan usia untuk menyesal. Kini adalah untuk mempamerkan kerja-kerja yang saya percaya. Masa untuk tunjuk kepada audiens tentang apa lagi yang boleh saya lakukan. Progresif kerjaya," senyumnya yang sedang merangka satu projek yang berhubung kait dengan sejarah, satu elemen yang menarik perhatiannya. "Saya mahu terlibat dalam sebuah produksi dan naskhah yang menuntut sebuah penyelidikan. Perkara-perkara yang berlaku sepanjang kajian itu menarik perhatian saya. Mungkin juga satu dokumentari untuk kegunaan generasi akan datang, sesuatu untuk pelajar-pelajar seni. Saya melihat ke arah ini," ceritanya laju yang turut berminat dengan falsafah yang bergerak membina minda masyarakat. Menyampaikan falsafah kehidupannya kini yang lebih yakin, dia juga mahu menggunakan masa-masa yang dikurniakan dengan lebih bermakna. "Kena banyak membaca dan mendapat informasi, itu penting dalam hidup. Seiring usia juga, saya mahu mencapai perkara-perkara spiritual dalam hidup saya," luahnya yang bersemangat mahu menyempurnakan projek sejarah yang sedang dirangkanya dengan baik. Wanita di depan penulis ini sudah punya karpet merahnya tersendiri. Walau tidak sentiasa tampil namun namanya terus hadir dengan cara pilihannya, tersendiri. | |||
Posted: Marsha mengaku masih warasPENYANYI kelahiran Akademi Fantasia ini menganggap cerita dia menelan 30 biji pil tahan sakit adalah tidak berasas. PENYANYI dan pelakon Marsha Milan Londoh mengaku yang dia putus cinta beberapa minggu sebelum tersebarnya berita mengenai cubaannya membunuh diri. Bagaimanapun, dalam sidang akhbar yang diadakan di Alibi Music Sdn. Bhd. di mana baru-baru ini, Marsha memberitahu perpisahannya dengan jejaka Melayu itu tidak membuatnya tertekan. "Hubungan kami memang tidak serasi. Sudah lama sebenarnya kami tidak rapat kerana ada on dan off sehinggalah beberapa minggu sebelum insiden itu kami benar-benar putus. "Biarpun kecewa putus cinta setelah hampir dua tahun berkawan, saya tetap boleh bekerja seperti biasa kerana saya jenis orang tidak kisah tentang cinta. "Jadi perkara ini (putus cinta) tiada kaitan langsung dengan kesihatan saya. Ia tidak membuatkan saya terlalu tertekan," ujarnya. Baru-baru ini, Marsha ditemui pengsan di kawasan letak kereta di kediamannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur sebaik pulang daripada membeli makanan. Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu dilaporkan cuba membunuh diri dengan menelan sebanyak 30 biji pil tahan sakit. Sambil mempertahankan dirinya, Marsha menjelaskan kejadian dia ditemui pengsan oleh pekerja penyenggaraan di kawasan kediamannya itu adalah disebabkan masalah kesihatan. "Pada malam sebelum kejadian saya berasa kurang sihat.
"Jadi saya ada mengambil ubat tekanan darah rendah kerana ia ada kaitan dengan penyakit sinobronkitis yang saya hidapi sejak 2009. "Ketika pagi kejadian, saya masih berasa lemah tetapi gagahkan juga untuk membeli makanan bersendirian. Dalam perjalanan pulang, saya terlanggar pembahagi jalan dan berasa tertekan. "Ketika ingin menuruni tangga dari tempat letak kereta ke rumah, saya hilang kawalan lalu terjatuh di tangga dan pengsan," ceritanya yang bakal muncul dengan single berjudul Tak Perlu Selamanya bulan depan. Jelas Marsha, berita mengenai dia menelan sebanyak 30 biji pil itu adalah tidak berasas kerana dia masih waras daripada berbuat demikian. "Macam mana cerita saya mengambil 30 biji pil boleh timbul pun saya tidak tahu kerana pada malam itu (sebelum ditemui pengsan) saya mengambil dua biji sahaja. "Saya masih waras lagi. Kalau betul saya buat macam itu pasti saya sudah lama mati," tuturnya lagi sambil menguntumkan wajah ceria. Marsha membuat penjelasan tersebut dua minggu selepas kejadian yang berlaku pada 7 September lalu dengan memberikan alasan bahawa dia perlu berehat dan tidak boleh tertekan. Jelasnya, perkara itu perlu diikutinya termasuk tidak dibenarkan menjawab panggilan telefon atas nasihat doktor agar kesihatannya tidak terganggu. "Saya ingin memohon maaf kerana tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menjawab panggilan dalam tempoh dua minggu lalu kerana dinasihati doktor," katanya. | |||
Posted: Dang Suria kerja hotel pulaTERKEJUT juga Diva bila seorang teman kepada Dang Suria memberitahu bahawa pengacara cantik itu telah bertukar kerjaya. Kata teman Diva, isteri kepada penulis lirik Ad Samad itu meninggalkan stesen Awani baru-baru ini dan tidak lagi bertugas di situ. "Dang baru sahaja berhenti di Awani. Dia sekarang menjadi Pengurus Perhubungan Awam di Hotel Royale Bintang The Curve dan sebuah lagi hotel yang sedang dalam pembikinan iaitu Hotel Royale Bintang Damansara yang terletak bersebelahan Cineleisure," ujar teman Diva tadi. Dia juga sempat meluahkan rasa terkilan kalau-kalau Dang Suria yang pada mulanya dikenali sebagai pembaca berita sebelum menjadi pengacara, terus menyepi daripada bidang penyiaran. Tapi menurut teman Diva, Dang hanya bertukar kerja dan tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen. Namun, dia masih mengambil tawaran untuk mengacarakan majlis. Diva: Pernah terfikir berubah bidang tapi ada rasa takut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |